Saturday, June 27, 2009

MUNCUL KEMBALI (244)

Umno Mesti berdepan dengan saya: bukankah ada unsur riak?

MURSYIDUL Am Pas, Tok Guru Nik Aziz melenting dan mengamuk sakan sehingga membuat kenyataan dalam keadaan berang mahu menyaman Utusan Malaysia dan juga saya yang menulis di ruangan Pendapat akhbar berkenaan pada 16 Jun yang mengulas tentang ungkapan memastikan nasihatnya didengar yang kononnya beliau tidak kata begitu tetapi telah dilapor dengan niat jahat.

Ekoran lentingan dan ngamukkannya itu, gagasan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas dibatalkan dengan penggagasnya sendiri tidak menyokong gagagasan itu. Pelik tapi benar.

Tentulah Tok Guru Nik Aziz bangga sakan kerana semua orang Pas, termasuk Presidennya terpaksa 'tunduk menguku' kepada apa yang dimahukannya.

Hari ini Tok Guru Nik Aziz dalam cabarannya untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak antaranya dilaporkan berkata: "UMNO mesti berdepan dengan saya sebagai pemimpin Islam, Perdana Menteri sebagai pemimpin sekular, maka kita berdebat.....". Mudah-mudahan tidak akan berbangkit soal salah lapor lagi bagi setiap patah yang saya petik semata-mata untuk lari dari keperluan bertanggungjawab terhadap apa yang dikata.

Pada pendapat saya 'mesti berdepan dengan saya' sama juga dengan 'mesti didengar' , membawa maksud sesuatu yang mutlak, tidak boleh menolak atau membahaskannya, apakah lagi mempertikaikannya dari sudut apa sekali pun.

Nampak sangat betapa angkuh, sombong, riak dan bongkaknya bila seseorang mengucapkan demikian.

Secara tidak langsung sebenarnya ada bibit-bibit 'over perasan' bahawa takah ketokohan beliau sama dengan Perdana Menteri.

Tidak hairanlah kalau gagasan Presiden mengenai kerajaan perpaduan ditolak kerana apa pun yang Pas mahu, yang pimpinan Pas nak gagas dan sarankan tidak boleh menduhului beliau, tidak boleh tidak dimaklumkan kepada beliau terlebih dahulu.

Saya secara peribadi, malah saya yakin rakyat negara ini yang tidak terkatup pemikirannya tanpa mengira fahaman politik, kaum dan anutan agama sudah mendapat jawapannya kepada pertanyaan kenapa gagasan kerajaan perpaduan ditentangnya.]

Juga boleh diteka jawapan kepada pertanyaan kenapa Timbalan Presiden Pas yang menang jawatan itu hasil majoriti undi perwakilan boleh dianggap menjadi sampah sarap dalam Pas kerana menyokong gagasan itu.

Menyamakan perdebatannya nanti sama seperti secara amalan nabi-nabi, contohnya Nabi Ibrahim berdepan dengan Namrud, Nabi Musa berdepan dengan Firaun dan Nabi Muhammad s.a.w. berdepan dengan Abu Jahal adalah juga menunjukkan betapa takbur, angkuh, sombong, bongkak dan riaknya beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Yang pasti yang secara Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Muhammad s.a.w.nya adalah beliau dan Pas 'lah bagi beliau manakala yang secara Namrud, Firaun dan Abu Jahalnya adalah Dato' Seri Najib dan Umno.

Sekali lagi nampak sangat betapa takbur, angkuh dan riaknya beliau, bahana terlalu anggap diri tersangat tokoh dari segala tokoh gara-gara diuji dengan anugerah kuasa dan kedudukan oleh Allah.

Macam mana pun saya yakin jika Pedana Menteri menyahut cabaran itu, pelbagai alasan dan syarat yang tidak munasabah akan dikenakan supaya cabaran perdebatan itu tidak akan menjadi kenyataan yang nantinya akan diletakkan pada batu jemala Umno di atas tidak menjadi kenyataan cabaran perdebatan itu nanti.

Tetapi lebih baik bagi Dato' Seri Najib biarkan cabaran itu sebagaimana Si Luncai dibiarkan terjun dengan labunya.

Perdana Menteri atau mana-mana anggota kabinet dan pimpinan Umno atau pun BN tidak perlu buka langkah silat apabila gendang yang dipalu awal-awal lagi sudah pun sumbang.

Tidak akan ada apa hasilnya yang akan diperolehi jika Umno berdebat atau berbincang dengan pihak yang telah menganggap Umno sama dengan komunis, seruapa ajaran sesat Ayah Pin, sama dengan Namrud, Firaun dan Abu Jahal kerana pihak yang membuat anggapan itu terlalu yakin bahawa Pas adalah Islam dan Islam adalah Pas, malah seolah-olah pemimpin Pas sudah ada senarai nama dalam syurga macam para sahabat yang menerima anugerah rodhiallahu-anhu.

Bagi saya 'Pak Had Ceton Tembus' pun nampak betapa terkatupnya pemikiran politik Nik Aziz oleh daki angkuh, sombong, riak, takbur dan bongkak apabila beliau berkata sejak Pas ditubuhkan pada tahun 1951 sehingga hari ini, rakyat belum mendapat jawapan mengenai dasar Umno.

Bagi saya, bukan rakyat yang belum mendapat jawapan, tetapi Nik Aziz dan pentaksubnyalah yang ketinggalan 'beca roda tiga' dalam perkara tersebut.

Harus diketahui dan diterima hakikat bahawa Umno bukannya tentang Pas kerana Umno itu sendiri lahir lebih awal dari Pas, tetapi Pas 'lah yang tentang Umno.

Sebenarnya sejak tahun 1951 lagi Umno melawan tentangan Pas terhadapnya. Ini suatu fakta yang tidak boleh dipinda dan tidak mungkin terpinda kalau pun usaha dibuat oleh mana-mana pihak sekali pun.

Umno melawan tentangan Pas kerana Pas perasan dan melabelkan Pas itu Islam dan Islam itu Pas yang pada saya kalau itulah yang menjadi pegangan orang Pas, ianya boleh rosakan akidah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Pas dan Islam adalah dua item yang berbeza. Pas tidak cukup suci untuk disama-tarafkan dengan Islam. Saya mohon alim ulamak, termasuk para mufti membantu saya memberi hukum dalam soal ini.

Harus diingat bahawa yang Umno tolak adalah Pas, bukannya Islam. Hanya Pas yang anggap Umno tolak Islam kerana tolak Pas.

Lagi pun Mana tahu apa yang Pas labelkan macam-macam terhadap Umno betul-betul selari dengan Islam dan yang Pas label terhadap Pas sendiri pula memang betul macam tetak dengan golok dari penilaian Allah dan Rasul-Nya.

Apakah halal Umno dilabelkan sama dengan komunis atau sama dengan ajaran sesat Ayah Pin atau dengan melabelkan Umno memusuhi Islam dan hukum hakam semata-mata kerana melawan tentang Pas terhadapnya?.

Saya amat bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Tok Guru Nik Aziz tidak perlu meminta maaf kepada Umno bila beliau menyamakan Umno sama seperti komunis dan ajaran sesat Ayah Pin atau pun apa-apa juga pelabelan dan tanggapan yang memisahkan Umno dari Islam, sebaliknya beliau kena minta ampun dari Allah.

Cuma kalau saya boleh nasihatkan orang Umno, jangan sekali-kali ikut rentak berparti politik dan bepolitik terkatup fikiran macam Nik Aziz dan pentaksub-pentaksubnya yang anggap diri sendiri sahaja yang betul tanpa mengambil falsafah dari tundingan jari yang mana ketika sebatang jari dituding ke arah orang lain, empat batang jari lagi tertuding ke arah diri sendiri.

Berparti politik dan berpolitiklah secara rasional dan profesional serta sentiasalah berdoa memohon petunjuk dari Allah agar apa yang dilakukan menjadi kerja ibadah.

Manakala kepada orang Pas pula, saya juga mengambil peluang ini mengajak anda semua agar berpolitik secara rasional dan profesional dan elakkan dari berparti politik dan berpolitik secara taksub dan seakan memBERHALAkan sesama manusia.

Rujuklah al-Quran dan Hadis sebagai rujukan mutlak untuk semua perkara.

Buka telinga untuk mendengar dengan fikiran dan dada yang lapang hujah dari ulamak yang dilabelkan sebagai ulamak Umno dan ulamak tanpa berparti politik, jangan hanya dengar sebelah pihak, yakni dari ulamak Pas sahaja sebagai pendukung dan penyokong Pas.

Kena ada rasa bimbang kalau-kalau apa yang kita sangka perbuatan ahli syurga sebenarnya perbuatan ahli syurga dan sebaliknya.

Dengan itu kita tidak akan leka dan hanyut dengan keyakinan kerana terpengaruh dengan apa yang kita rasa selari dengan Islam yang dikatakan oleh orang yang dianggap alim tetapi pada masa yang sama ada dia kepentingan politik bagi parti politik yang didukung.

NOTA KHAS: Dengan ini ingin saya tegaskan bahawa tulisan-tulisan saya yang nampak menyanggah Tok Guru Nik Aziz bukan kerana saya mahu berlawan ilmu atau kerana ada perbalahan peribadi dengannya. Sebenarnya Tok Guru Nik Aziz tak kenal pun saya. Saya tetap hormati beliau sebagai tok guru, orang tua dan ilmuan ulung. Saya adalah antara pengkagumnya dan saya pernah tulis dan terbitkan buku berjudul; NIK AZIN INTAN TERPILIH ABAD INI.

Sanggahan kebekalangan ini adalah terhadap pandangan dan sikapnya yang saya rasa tidak berapa betul yang kerananya bukan sahaja boleh memunahkan pemikiran orang ramai, tetapi juga boleh merosakkan prestasi dan reputasinya sebagai seorang yang bertaraf Tok Guru semata-mata kerana pandangan dan sikapnya itu kerana kepentingan berparti politik dan berpolitik.

Apa yang saya anggap tidak betul itu pula tidak semestinya tidak betul juga pada orang lain. Masing-masing ada pandangan berdasarkan pemilikan ilmu masing-masing. Kerana itu saya lebih suka kalau pendapat/tulisan saya disanggah dari dijulang. Saya bukan pendebat/pemidato, saya ada sedikit kerajinan menulis, maka saya guna saluran penulisan untuk buat teguran.

Bagi saya menegur Tok Guru dan mana-mana tokoh tanpa mengira parti politik adalah fardhu kifayah. Kalau semua asyik angguk terhadap apa yang tidak betul, kita semua akan berdosa. Saya tidak takut dimarah oleh sesama manusia tetapi lebih takutkan Allah kerana tidak menggunakan saluran yang ada untuk membuat teguran demi kepentiangan umah Nabi muhammad s.a.w.

Dalam membuat teguran, saya juga merujuk kepada si tempang yang tegur dan memberi amaran kepada Umar Al-Khattab dengan pedangnya supaya saya menjadi tidak rasa tidak padan kerangka untuk tegur Tok Guru yang sebenarnya terdedah kepada godaan yang lebih besar pangkat dan keupayaan menggodanya berbanding dengan kalangan yang tidak setandingan dengan pemilikan ilmu, kedudukan, kuasa dan ketokohannya.

Si tempang yang tegur Umar dengan pedang itu pada saya ada unsur-unur falsafah, yakni kalau diterjemahkan keapad zaman sekarang, si tempang itu samalah kelasnya orang yang tak mengaji tinggi macam saya yang juga boleh tegur orang yang mengaji tinggi/orang berilmu jika orang mengaji tinggi/orang berilmu ada buat silap. Kalangan yang ada ilmu, apatah lagi tok wakil, anggota exco, kakitangan kerajaan negeri dan penjawat jawatan dalam parti saya yakin tidak akan berani tegur kerana ada kepentingan tertentu. Orang macam sayalah yang kena ambil tanggungjawab itu.

Dalam pada itu dda penjenguk yang membangkitkan kenapa saya sebut tentang saya sering catatkan bahawa saya bekas kakitangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKn) dan saya latarbelakang pendidikan saya dalam mengegur Tok Guru, pimpinan Pas dan Pas. Jawabnya adalah untuk membuktikan bahawa saya ada maklumat dan ada asas pendidikan agama dalam membuat teguran untuk parti yang kononnya berjuang atas nama Islam, bukan pakai hentam sebarangan.

Masa menulis saya merujuk kepada terjemahan al-Quran dan terjemahan Kitab Sahih Muslim Jilid I,II,III dan IV serta terjemahan Kitab Sahih Muslim Jilid I,II,III dan IV di samping kita-kita tua dan buku-buku agama untuk memastikan hujah saya tidak terlencong dari yang dibenarkan oleh Islam, Kalau terlencong juga bermakna ianya kerana ketoholan ilmu saya dan saya memohon keampuan dari Allah.

Sekian, semuga para penjenguk blog saya dan pembaca tulisan saya di media-meia cetak boleh faham dengan pendirian dan prinsip hidup saya. - RAMLI ABDUL HALIM

8 comments:

Anonymous said...

riak tu memeng dah ada lama dah....

pakteh adam said...

Pak Meli

Nik Aziz Kata "UMNO mesti berdepan dengan saya sebagai pemimpin Islam, Perdana Menteri sebagai pemimpin sekular, maka kita berdebat.." dan Pak Meli kata " Pada pendapat saya 'mesti berdepan dengan saya' sama juga dengan 'mesti didengar' , membawa maksud sesuatu yang mutlak, tidak boleh menolak atau membahaskannya, apakah lagi mempertikaikannya dari sudut apa sekali pun.melalui saya"

Lebih kurang sama dengan sabda Lim Kit Siang " Langkah mayat saya dulu"

Kata saya " LKS bagi orang Islam 2 pilihan, samaada tunggu sahingga dia mati, atau mari kita lawan tengok siapa mati" untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai Negara Islam, walaupun kita tak perlukan mereka untuk mengiktirafkan Tanah Milik Kita sebagai Negera yang mendaulah Islam.

Pengamatan saya, ini amat bertepatan dengan motto PR, iaitu LAWAN TETAP LAWAN, ciptaan ANWAR.

Orang PAS WAJIB tegur Nik Ajis. Bukan apa, kalau dibiarkan, ditakuti ia akan digolongkan kedalam golongan yang rugi. (simple je… bisikkan kat telinga Nik Ajis… Surah Demi Masa…)

Semoga kita dijadikan di dalam golongan Yang berSYUKUR dan ber FIKIR. Amin

Anonymous said...

50 tahun BN memerentah, judi ok, murtad ok, ISA ok, rasuah ok. Apa lagi yang nak kita katakan.Yang tak ok hukum hudud.

Anonymous said...

Nik Aziz berat benar doh pok li weh, taraf kucar tahik doh ni. Daripada duk biar dia duk beber kokse kokde dan duk ppunoh islam lagi, baik pujuk dia suruh berhenti dan letak jawatan la.

Lagipun dia dah ada jaminan masok syorga. Molek dia pencen lo ni waktu jaminan masih ada ni. Takut lama lagi dia duk ngapor kokse, PAS tarik balik jaminan dia masok syorga, susoh la dia dan anak-anak dia nak tulong.

Ko guano?

MAT DAUD GRUGREH

oRANG DEKAT JOKEL TGNA said...

....50 tahun BN memerentah, judi ok, murtad ok, ISA ok, rasuah ok. Apa lagi yang nak kita katakan.Yang tak ok hukum hudud....

RAKYAT NEGARA KITA PELBAGAI KAUM, BUKAN ISLAM PERATUS. JUDI, MURTAD, RASUAH UNTUK ORANG YANG TIDAK BERIMAN DAN BERTAQWA WALAUPUN YANG TERLIBAT MELAKUKANNYA BERAGAMA ISLAM,

TOK GURU NIK AZIZ KATA MELAYU TIDAK SEMESTINYA ISLAM. KALAU DAH BUKAN ISLAM, BUKAN BERIMAN DAN BERTAQWA PEDULI GI 'LAH NAK BERJUDI, NAK MURTAD DAN RASUAH DAN SEBAGAINYA, BUATLAH. PADA MEREKA TAK ADA SOAL DOSA PAHALA, SYURGA NERAKA. POKOKNYA KITA YANG ISLAM, YANG BERIMAN DAN BERTAQWA TIDAK TERJEBAK. KALAU DALAM NEGARA TAK ADA ARAK, TAK ADA JUDI, MACAM MANA KITA NAK TAU KETAHANAN IMAN DAN TAQWA KITA. RAMAI ORANG PAS BILA MENYEBERANG KE GOLOK, KE HADNYAI, BUANG KOPIAH. ORANG BERIMAN DAN BERTAQWA DI THAILAND TAK LANGGAN PEREMPUAN SUNDAL WALAUPUN KALAU MEREKA BUAT BEGITU KERAJAAN NEGARANYA TIDAK AKAN KENAKAN SEBARANG TINDAKAN. KALAU ORANG KITA KE SEBERANG, BELUM TENTU KOPIAH TIDAK DIKILAS. TENTANG ISA PULA IANYA UNTUK ORANG YANG TUNJUK SAMSENFG DENGAN PIHAK BERKUASA. YANG TAKDOK BUAT KERENAH APA-APA, TAK GENTAR PADA DAN TAK TAKUT PUN.

pemudacakna said...

Nampaknya ramai yang komplen apa yang TOK GURU kata. Itu tandanya ucapan TOK GURU ada yang tak kena. Fikir-fikirkan!

Anonymous said...

apala ajak najib berdebat.....kalau dengan nik ajis tu lepas debat pun tak akan selesai jugak.... dengan puak sendiri pun degil macam musang bulan......inikan pula puak lawan.... lagi pun buat apa debat kalau jenis fikiran yang dia mutlak betul orang lain mutlak salah......BIAR LAH DIA BERDEBAT SORANG... BAIK NAJIB BUAT KERJA NAK JAGA RAKYAT DARI MELAYAN KERENAH NIK AJIS...... SATU MALAYSIA...RAKYAT DI DAHULUKAN ...DEBAT NIK AJIS USAH DILAYAN.

Panglima Perang Cyber said...

teruskan menulis.saya suka baca tulisan berani dan tidak mengampu seperti anda.

syabas!