Sunday, June 28, 2009

MUNCUL KEMBALI (245)

Umno dan Pas ada musuh bersama

SAYA ingin ulangi pandangan dan pendirian saya bahawa orang Melayu/Islam di negara ini hanya perlu ada dua parti politik sahaja yakni Umno dan Pas.

Bagi yang tidak sukakan Umno masuk Pas dan yang tak sukakan Pas masuk Umno kerana Umno dan Pas itu sendiri diwujudkan oleh kelompok yang serupa pada asalnya.

Demi agama, bangsa dan negara, UMNO dan Pas tidak boleh terus bagaikan kucing dengan anjing dalam berparti politik dan berpolitik kerana jika keadaan itu berterusan, musibahnya akan menimpa orang Melayu Islam.

Untuk maklumat bersama dan supaya orang Umno dapat kenali apa itu Pas dan orang Pas pula kenali apa itu Umno, maka saya garapkan maklumat mengenainya, walaupun ringkas saya rasa lengkap. Saya mulakan dengan Umno.

Umno adalah nama singkatan kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau dalam bahasa Inggerisnya United Malay National Organisation dan dieja dalam tulisan jawi dengan: ڤرتوبوهن كبڠسأن ملايو برساتو

Ianya adalah parti terbesar di negara ini dan merupakan pengasas dan tulang belakang pakatan Barisan Nasional (BN)yang telah memerintah Malaysia tanpa terganggu sejak merdekalagi.

Ia dikenali sebagai penjaga nasionalisme Melayu atau ketuanan Melayu dan ideologi Islam tulen.

Umno memperjuangkan bahawa orang Melayu dan orang-orang Muslim lain merupakan peribumi di negara ini berhak menerima keistimewaan sebagai hak semenjak lahir.

Sang Saka Bangsa:
Satu perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor.

Ia berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1hb. Machingga 4hb Mac 1946.

Seramai 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing ke kongres berkenaan.

Dato Onn bin Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak.

Tiga usul telah diluluskan oleh Kongres, yakni:
<> Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu;
<> Membantah pertubuhan Malayan Union
<> Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu sahaja.

Sebuah jawatankuasa yang terdiri dari Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za'aba) telah dipilih untuk menyediakan draf piagam atau Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.

Walaupun ada bantahan yang hebat daripada kaum Melayu, Kerajaan British sebagai penjajah ketika itu tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1hb April 1946 telah menubuhkan Malayan Union.

Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union.

Pada 11hb Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (nama asal UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru.

Perlembagaan UMNO telah diterima dan diluluskan oleh para peserta. Dengan itu, maka UMNO pun lahirlah secara rasmi sebagai sebuah parti politik Melayu yang menjadi wadah dan saluran bersuara bangsa Melayu.

Dato Onn mencadangkan keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu".

Bagaimanapun cadangan itu tidak dipersetujui oleh majoriti orang Melayu. Ekoran dari itu, Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO.

Perletakan jawatan itu dilakukan pada persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951. Dato' Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951.

Zaman Tunku Abdul Rahman:
Pada 1951, Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Presiden UMNO kedua bagi mengambil-alih tempat yang dikosongkan Dato' Onn.

Atas persepakatan di antara UMNO, MCA dan MIC mesyuarat kerajaan British diadakan di London dan hasilnya kemerdekaan Tanah Melayu tercapai.

Tengku yang dikenali dengan Bapa Kemerdekaan telah menerajui pembentukkan Malaya merdeka (yang kemudiannya dinamakan Malaysia hingga kini).

Walaupun difitnah dengan pelbagai tuduhan bahawa beliau jahil, namun jasa besar Al-Marhum Tunku kepada syiar Islam ialah penubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) dan di peringkat antarabangsanya ialah OIC.

Almarhum meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada 1971 dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.

Zaman Tun Abdul Razak:
Pada tahun 1971, Tun Abdul Razak mengumumkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan membantu orang Bumiputera. DEB mensasarkan pegangan ekonomi orang Melayu sebanyak 30% menjelang 1990.

Bagaikan matlamat itu gagal mencapai matlamat hingga kini kerana sikap kaum Bumiputera sendiri yang lebih sukan mengalibabakan, projek, saham dan segala bentuk keistimewaan untuk mereka.

Zaman Tun Hussein Onn:
Pada bulan Januari 1976 Tun Hussein Onn dilantik menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak.

Pada 20hb April 1981, beliau melancarkan Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana amanah Bumiputera yang bertujuan untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara.

Pengerusi pertama ASN adalah Tan Sri Abdul Khalid Ibraim (kini Menteri Besar bagi kerajaan PKR/PR Selangor).

Zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad:
UMNO telah diharamkan oleh mahkamah pada 4hb Februari 1988 selepas berlakunya krisis kepimpinan UMNO pada 1987 yang menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah telah bertanding jawatan Presiden UMNO namun kalah dengan perbezaan undi yang kecil.

Dr Mahathir (kini Tun) dengan dasar Pandang Ke Timur serta Wawasan 2020nya telah mendaftar satu pertubuhan baru dengan nama UMNO Baru pada 13hb Februar 1988.

Tengku Razaleigh telah menubuhkan parti serpihan UMNO, Semangat 46 selain berlakunya Krisis Perlembagaan Malaysia 1988. Bagaimanapun S46 dibubarkan selepas parti itu berkrisis dengan Pas dan yang merupakan rakan S46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Presiden UMNO serta keahlian dalam UMNO.

Ekoran dari itu Parti Keadilan Rakyat ditubuhkan selepas gelombang Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seterusnya menjadi pesaing sengit UMNO, dalam Pilihanraya Umum 2008 yang lepas.

Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi
Pada tahun 2003, Tun Dr Mahathir menyerahkan jawatan Presiden UMNO kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi setelah Umno/BN kalah agak teruk pada pilihanraya umum ke-10.

Abdullah menerajui kerajaan berslogankan GEMILANG, CEMERLANG dan GEMILANG serta BEKERJA BERSAMA SAYA, JANGAN BEKERJA UNTUK SAYA di samping diperkenalkan ISLAM HADHARI yang dianggap dan diratin oleh Pas sebagai ajaran dan mazhab baru yang menyongsang dari Islam.

Pada tahun 2004, UMNO dan Barisan Nasional dibawah terajuan Abdullah mencapai kemenangan kerusi tertinggi dalam sejarah pilihan raya di Malaysia dengan mendapat 198 daripada 219 kerusi atau 90.41% kerusi.

Namun pada 2008, UMNO dan Barisan Nasional terajuan Abdullah yang menerima tikaman dan sabotaj dari dalam Umno/BN sendiri mengalami kemerosotan undi dan gagal mencapai kemenangan 2/3.

Pakatan Rakyat yang dianggota DAP, PKR dan Pas sebagai saingan menguasai 4 negeri di Semenanjung Malaysia yakni Kedah, Pulau Pinang, Perak (kini diperintah Umno/BN semula) dan Kedah) selain PAS mengekalkan kemenangan Kelantan untuk penggal keempat.

Zaman Dato' Seri Najib Tun Razak:

Pada 3hb. April 2009 Dato' Seri Najib Tun Razak telah dilantik sebagai Perdana Menteri ekoran kebersaraan Tun Abdullah yang telah menerima desakan dari dalam ekoran keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 yang telah mencatatan Umno/BN mencapai kemenangan 2/3.

Dato' Seri Najib dengan konsep atau gagasan 1MALAYSIA juga menerajui Umno sebagai Presiden dan barisan Nasiobal sebaga Pengerusi.

Sejak era Dato Onn, era Tunku hinggalah ke era Datuk Seri Najib, negara-negara Islam mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam contoh, cuma Pas sebagai parti pembangkang, khususnya tokoh tertentu dalam Pas yang tidak iktiraf, malah disamakan Umno sebagai leader pakatan parti pemerintahan sama dengan komunis dan ajaran sesat Ayah.

MENGENAI PAS:
PAS, singkatan kepada Parti Islam Se-Malaysia atau dalam jawinya dieja: ڤرتي اسلام س-مليسيا adalah sebuah parti yang berpoltik berteraskan Islam di Malaysia dan diterajui oleh presiden sebagau peneraju utama.

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951, lima tahun teterkemdian dari Umno ditubuhkan oleh kalangan berpenndidikan agama dalam Umno bertujuan cuba mengimbangi perjuangan berteraskan nasionalisme UMNO.

Sebenarnya semangat perjuangan yang berteraskan kepada Islam di negara ini telahpun wujud semenjak tahun 1906 lagi, yakni 46 levuih awal dari kewujudan Pas lagi.

Semangat itu dibawa dan diperjuangkan oleh golongan pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, khususnya di Mesir.

Antaranya termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd. Tahayang berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Pas yang muncul pada tahun 1951 adalah atas kesedaran masyarakat Melayu (pada waktu itu) untuk melihat Islam dapat ditegak dan didaulatkan di negara ini.

Berdasarkan kepada maklumat yang ada dalam simpanan saya, PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 23 Ogos 1951. Pun begitu ada yang mengatakan Pasditubuhkan pada 24 November 1951, ada yang kata 26 November 1951 dan yang kata 25 November 1951.


Walaupun di sini terdapat tarikh yang berbeza, namun bagi ahli-ahli sejarah dan tokoh-tokoh lama dalam PAS, fakta kedua 24 November 1951 adalah tarikh kepastian PAS ditubuhkan, malah sering disebut tahun 1951 sahaja.

Pada asalnya ia ditubuhkan sebagai sebuah pertubuhan dengan nama Persatuan Islam Se Malaya ekoran dari satu pertemuan alim ulamak yang didakan di Madrasah ad-Daerah al-Wahaniah dengan bapa kepada Tun Abdullah, yakni Haji Ahamad Badawi Abdullah Fahim selaku mudir sekolah berkenaan bertindak sebagai tuan rumah kepada pertemuan/perhimpunan itu.

Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31hb. Mei 1955 dengan Nombor Pendaftaran. 733 (Pulau Pinang) yang mana pegawai pendaftaran yang meluluskannya adalah beragama Hindu yang kenap rapat dengan Hj Ahmad Fuad bin Hassan.

PAS adalah pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948.

Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.

Dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kembali semula kepada Islam, pada tahun 1906 golongan reormis telah berjaya menerbitkan sebuah majalah di Singapura yang diberi nama al-lmam.

Selanjutnya pada tahun 1925 terbit pula akhbar Edaran Zaman di Pulau Pinang, majalah al-Ikhwan pada tahun 1926 dan Suara pada tahun 1928.

Dengan terbitnya akhbar dan majalah tersebut, golongan ini telah berjaya mencetuskan Revolusi lntelektual di kalangan masyarakat Melayu dan akhirnya bibit-bibit kesedaran yang ditanamkan itu telah mendorong masyarakat Melayu untuk menubuhkan beberapa kesatuan atau pertubuhan bagi memajukan bangsa Melayu dan umat Islam pada tahun-tahun berikutnya.

Persatuan Melayu pertama bercorak politik secara nyata ditubuhkan di negara ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan lbrahim Haji Yaakob.

la ditubuhkan pada Mei 1937. Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran mahu memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British.

Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana ia telah diharamkan oleh Jepun semasa Jepun menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941 - 1945.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, sebuah parti politik baru Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak.

Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya berpindah tangan kepada Dr. Burhanuddin al-Helmi - iaitu seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris di samping bahasa Melayu.

PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh. Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah.

PKMM telah berjaya memperluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya.

Selain Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA) juga merupakan antara sayap atau bahagian dalam struktur organisasi PKMM.

MATA merupakan bahagian agama parti berkenaan. Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948.

Tujuan PKMM melahirkan Hizbul Muslimin sebagai sayapnya adalah bagi mengumpulkan tenaga para ulama.

Sebagai sebuah parti Islam pertama di negara ini, Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam serta mewujudkan sebuah negara Islam atau Darul Islam.

Dalam pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO. Bagaimanapun, riwayat hidup Hizbul Muslimin berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai tujuh orang pucuk pimpinannya, termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Baqir sendiri di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulations.

Sungguhpun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.

Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pemimpin MATA dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah menggarap sebahagian besar dari ground work bagi melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS.

Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih tertonjol lagi apabila sebahagian besar dari bekas pucuk pimpinan pusatnya turut menyertai PAS dan memainkan peranan secara aktif.

Mereka antaranya termasuklah Ustaz Othman Hamzah, Ustaz Baharuddin Abd. Latiff, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi.

Besar kemungkinan juga Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan (beliau meninggalkan Pas dan menyertai Umno) turut diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini.

Tambahan lagi ramai pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa dengan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja perjudian (loteri).

Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan awal penubuhan PAS sebenarnya adalah ditimbulkan oleh sebahagian besar ahli-ahli agama di dalam UMNO semasa berlangsungnya Muktamar Ulama Ketiga di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth dengan penitia penajanya terdiri daripada:
<>Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi
<>Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha
<>Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim - Anggota
<>Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota
<>Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota
<>Tuan Haji Mansor J.P - Anggota
<>Dua tiga orang ulama yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.


Penitia penaja inilah yang berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu - iaitu dengan nama Pertubuhan Ulama Se-Malaya.

Penitia ini telah berusaha mengadakan persidangan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, ulama perseorangan, para kadhi dan juga mufti.

Walaupun perhimpunan ulama dan orang perseorangan yang dianjurkan oleh Bahagian Agama UMNO itu pada mulanya berjaya menubuhkan Pertubuhan Ulama, tetapi atas inisiatif Ustaz Othman Hamzah, bekas Ahli Jawatankuasa Hizbul Muslimin yang mewakili Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunung Semanggol berjaya melahirkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) bagi menggantikan Pertubuhan Ulama Se-Malaya yang dicadangkan pada mulanya.

Maka PAS telah ditubuhkan secara rasmi hasil dari perhimpunan atau muktamar tersebut, yang antaranya turut disertai oleh:
<>Persatuan guru-guru agama dari Perlis
<>Persatuan ulama dari Kedah
<>Persatuan anak-anak Kalimantan Malaya (PERKAM) Perak.
<>?Kelab Darul Ehsan dari Selangor.
<>Kelab Melayu Bagan dari Seberang Perai.
<>Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunong Semanggol, Perak
<>Perikatan Melayu Bersatu dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Dan lain-lain badan kebajikan, kelab atau jamaah terutamanya dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.

Juga hadir sama pada perhimpunan itu beberapa orang Tuan Guru, wartawan, imam dan kadhi atas nama peribadi.

Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:
PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.

KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.

Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:
<>Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan - Yang Dipertua Agung
<>Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Timbalan Yang Dipertua Agung
<>Tuan haji Hussin Che Dol - Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
<>Fakir Muhammad Nor - Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
<>Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli - Naib Yang Dipertua Agung (Selatan)
<>Tuan Haji Ahmad Maliki - Setiausaha Agung
<>Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Bendahari Agung
Ahli Jawatankuasa Agung pula terdiri daripada:
<>Tuan Haji Yahya Joned
<>Tuan Haji Uthman Talib
<>Tuan Haji Mohammad Nor
<>Tuan Haji Zabidi Ali
<>Tuan Haji Abdul Wahab
<>Tuan Haji Assaiya
<>Muhammad Mahzub
<>Tuan Haji Ahmad Nadur.

Jika dilihat kepada persatuan, peribadi dan jumlah yang hadir semasa perhimpunan atau muktamar penubuhan PAS itu, yang kebanyakannya terdiri dari tokoh-tokoh agama, maka secara tidak langsung menunjukkan bahawa elemen dan semangat perjuangan Islam telah tersemai bersama PAS semenjak awal penubuhannya lagi.

Elemen Islam dalam PAS ini lebih terserlah lagi apabila usaha yang dibawa oleh Yang Dipertua Agung Pertamanya, Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan untuk menyetujui gagasan National Conference tajaan Dato’ Onn Jaafar.

Ramai yang berpendapat bahawa Haji Ahmad Fuad mungkin terpengaruh dengan cara politik Dato’ Onn yang juga merupakan rakan karib beliau.

Gagasan itu tidak diterima oleh ahli dan penyokong-penyokong PAS.
Kegagalan Haji Ahmad Fuad mendapatkan sokongan ahli dan penyokong-penyokong PAS ini sekali lagi menunjukkan bahawa kesedaran mendalam mengenai politik Islam di kalangan ahli dan penyokongnya telah wujud walaupun PAS sendiri ketika itu masih berada pada tahap yang lemah.


Akhirnya, dalam satu Perhimpunan Khas pada September 1953, Haji Ahmad Fuad terpaksa mengambil jalan keluar dengan meninggalkan PAS bagi bersama-sama Dato’ Onn (menyertai Parti Negara).

Kesedaran Islam di kalangan ahli dan penyokong PAS inilah yang menjadikan satu ciri keistimewaan kepada perjuangan PAS walaupun sepanjang sejarah perjuangannya ramai di kalangan pemimpin atasnya meninggalkan parti.

Senarai Presiden Pas;
<> Hj Ahmad Fuad bin Hassan = 1951 - 1953
<>Dr Hj Abbas bin Hj Ilias (Pemangku) = 1953 - 1956
<> Dr Burhanuddin bin Hj Mohd Noor (Al-Helmi) = 1956- 1969 (beliau adalah rakan akrab Abdullah Cd yang kini Pengerusi Parti Komunis Malaya dan merupakan orang yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat kejayaan Rejimen Ke-10 PKM membasmi musuh kepada Utusan Melayu yang ketika itu markas operasinya di Singapura)
<>Tan Sri Mohd Asri Haji Muda (Pemangku ketika Dr Burhanuddin menjadi tahanan ISA) = 1965 - 1966
<>Tan Sri Mohd Asri Haji Muda = 1969 - 1982
<>Tuan Guru Haji Yusuf Rawa = 1982 - 1989
<>Dato' Haji Fadzil Mohd Noor = 1989 - 2002
<> Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang = 2002 - kini.


Yang kena diketahui oleh orang Melayu dan umat Islam di negara ini ialah sama ada Umno dan Pas pada asalnya adalah datang dari kelompok yang sama malah Dr Burhanuddin telah mengikat janji sulit dengan Abdullah CD bagi tujuan perjuangan memerdekakan negara.

Oleh itu bagi saya dalam orang Pas menyinggung Umno atau Umno menyinggung Pas, biarlah berpada-pada kerana keduanya ibarat paha kanan dengan paha kiri, jika dicubit salah satu daripadanya, maka keduanya akan terasa sakitnya.

Sebenarnya Umno dan Pas ada musuh bersama yang perlu ditentang hingga ke titisan darah terakhir, yakni parti yang pemimpinnya mahu mayatnya dilangkah terlebih dulu sebelum mahu mewujudkan negara Islam atau membentuk penerintahan secara Islam.

3 comments:

pemudacakna said...

UMNO dan PAS harus bersatu jika benar-benar ingin melihat kerajaan Islam ditegakkan. Selagi kedua-dua parti ini bercanggah fikiran selagi itulah lemahnya Islam. Bila lemahnya Islam maka lemahlah Melayu kerana rata-rata penduduk di Malaysia adalah Melayu yang beragama Islam.
Sememangnya MELAYU DAN ISLAM tak dapat dipisahkan umpama UMNO dan PAS. Tapi bilakah UMNO dan PAS boleh bersatu?
Terpulanglah kepada semua orang MELAYU dan ISLAM.
PAS TIDAK BOLEH MEMARTABATKAN ISLAM SEORANG DIRI, BEGITU JUGA DENGAN UMNO.
"Wahai orang yang BERIMAN, Bepegang teguhlah kamu dengan TALI ALLAH dan janganlah kamu BERCERAI-BERAI"
Wallahua'lam.

Selamat Pagi Seisi Dunia said...

Bersatu padu, mengukuhkan ikatan silatur-Rahim, berkasih sayang sesama makhluk adalah dituntut oleh agama.
Orang yang kuat agama sengoti akan kukuhkan perpaduan, ikatan silatur-rahim dan kasih sayang sesama makhluk.
Bila ada yang enggan dan menentang perpaduan, meumutuskan silatur-rahim dan enggan bekasih sayang....nilai sendirilah orang agama sengoti...alim sengoti atau sebaliknya

yes said...

Setuju, Pas dan Umno harus bersatu dalam hal ugama. Sebelum bersatu mestilah ada kesefahaman, apa yang nak di tolak apa yang boleh diterima. Maka barulah boleh bersatu. Kalau arak dan judi di terima dan hudud di ketepikan mustahil PAS dan UMNO dapat bersatu. Itu kira perkara basic sahaja , belum yang lain lain.