Wednesday, October 15, 2008

MUNCUL KEMBALI (102)

Turunkan harga minyak tanggungjawab kerajaan, rakyat pula boleh main peranan menghalang kenaikan harga barangan keperluan

HARGA petrol dan diesel yang dikaitkan sebagai gernyut nafas kepada hampir semua cabang kehidupan sudah pun tiga kali diturunkan dalam tempoh kurang dari tiga bulan ekoran kemenjunaman dengan agak kronik harga minyak mentah di pasaran dunia.
Walaupun tidak menerima pujian tanda berterimakasih atas penurunan harga runcit bahan bakar sebagaimana ianya dikecam hebat dan padahnya kerajaan gagal mengekalkan kemenangan 2/3 pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu, namun kerajaan telah menunaikan tanggungjawabnya menurunkan harga minyak.
Pun begitu masih ramai yang mempertikaikan bahawa kadar penurunannya lebih rendah dari kadar kenaikannya tanpa diambil kira bahawa sebenarnya harga runcit bahan bakar di negara ini lebih rendah dari negara-negara lain kerana harganya disubsidikan.
Harga bahan bahan bakar yang dianggap tinggi tetapi sebenarnya masih rendah berbanding dengan harga bahan itu di negara-negara lain di sebelah sini kecuali di Brunei Darulsallam adalah ekoran dari kerajaan mengurangkan jumlah subsidi.
Kerajaan pula bukannya mahu mengaut apa-apa keuntungan dari pengurangan subsidi bahan bakar, sebaliknya ia adalah untuk digunakan bagi menanggung jumlah subsidi ke atas bahan-bahan makanan, terutama beras yang merupakan keperluan makanan utama bagi rakyat negara ini menghadapi lonjakan harga.
Ekoran dari tindakan bijak dan berkesaan tetapi tidak disyukuri rakyat itu itu masalah harga beras dapat diatasi dan harganya kembali kepada harga asal, bukan kerana harganya turun sangat pun tetapi kerana sebahagian dari harganya ditanggung oleh kerajaan melalui pengsubsidian harga jualan runcitnya.
Sebenarnya pada pendapat saya, sebagai sebuah negara yang buminya subur dan sesuai untuk ditanam dengan semua jenis tanaman tanpa memerlukan penjagaan yang terlalu rapi, rakyat boleh memainkan peranan menghalang kenaikan harga barangan jika mereka ada kesedaran dan dipupuk kesedaran bagi tujuan itu.
Caranya ialah dengan setiap tanah milik mereka yang ditumubuhi menerung dan semak samun diusahakan dengan padi, sayuran dan buah-buahan bagi menampung keperluan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Manakala bagi kawasan berpaya pula patut diusahakan dengan ternakan ikan, udang dan sebagainaya bagi memenuhi keperluan laut pauk dan sumber proten di samping setiap keluarga patut memiliki sejumlah terakan ayam kampung yang boleh diternak secara lepas bebas, itek, serati dan angsa yang boleh hasilkan telur di samping kena turut memiliki ternakan beberapa ekor kambing, lembu dan kerbau.
Harga apa pun barangan tidak akan melonjak seandainya jumlah barangan di pasaran melebihi keperluan. Ianya akan naik kalau permintaan tinggi terhadap sesuatu barangan yang jumlahnya berkurangan dalam pasaran.
Di Malaysia permintaan terhadap sayur-sayuran dan lauk pauk tidak sepatutnya berlaku kalau masing-masing rajin gerakan tulang empat kerat kerana rakyatnya rata-rata mempunyai tanah walaupun hanya sekitar di sekeliling rumah yang jika diuasahakan dengan tamanan sayur-sayuran, keperluan sayuran-sayuran untuk keluarga akan mampu ditampung.
Yang sepatutnya menghadapi masalah hanya mereka yang tinggal di pangsapuri atau flet. Itu pun mereka masih mampu dapatkan sumber sayur-sayuran sendiri kalau pasu-pasu bunga ditukar dengan tanaman sayur-sayuran manakala untuk dapatkan sumber lauk pauk dari ikan pula, akuarium bagi belaan ikan hiasan patut diganti dengan diisi benih ikan dari spesis yang boleh dijadikan lauk.
Dengan kata lain jika ada semangat, sikap, perinsip dan ketegasan hanya akan membeli barang-barang yang tidak boleh dihasilkan sendiri sahaja sebagai budaya hidup rakyat negara ini, pasti mereka tidak akan menghadapi masalah kenaikan harga yang kronik terhadap barang-barang keperluan dan tidak akan ada rungutan kononnya walaupun harga minyak turun, harga barangan keperluan tetap juga tinggi seperti yang sedang berlaku sekarang.
Perlu rasanya diulanagi bahawa apa pun barangan akan tinggi harganya kalau permintaan terhadap sesuatu barangan itu melebihi jumlah sesuatu barangan yang ada di pasaran. Untuk mengelak dari kenaikan harga, maka kena diikhtiarkan supaya barangan di pasaran melebihi permintaan.
Untuk tujuan itu kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa sebagaimana kerajaan boleh turunkan harga minyak. Dalam soal menyekat kenaikan harga barangan, hanya rakyat yang boleh memainkan peranan kerana kuasa penentu ada di tangan mereka, bergantung kepada semangat, prinsip dan sikap rakyat sendiri.

No comments: