Thursday, April 9, 2009

Cerpen Terbaru April 9/2009 (1)

Prinsip
oleh
RAMLI ABDUL HALIM

TIDAK ada apa yang dibawanya untuk berjumpa dengan rakan seperjuangan yang kini menjadi pemimpin penting, pemimpin yang dipuji-puja dan ditaksubi berjuta pendukung dan penyokong parti yang menjadi wadah perjuangan.
Kopiah rongak birai dan sudah berpetit lalat pun yang merupakan antara jumlah harta miliknya yang tidak secumak mana juga tidak dibawa.
Kepala yang diseliputi rambut lebat tetapi telah uban sepenuhnya dibiarkan tanpa ditutup oleh kopiah mahu pun semuntal ekor berjuntai.
Yang dibawanya adalah hafalan ayat seratus empat puluh lapan hingga seratus empat puluh sembilan Surah An-Nisaa’ serta terjemahannya sebagai bahan hujah untuknya berkata benar walaupun ada telinga dan hati yang sakit menerimanya.
Dia tidak mahu hipokritkan diri: tunjuk lebai dan berjurus kerana tenggekan kopiah atau pun lilitan semuntal kain batik lepas, apatah lagi lilitan serban yang padanya menjadi imej pakaian orang lebai-lebai.
Janggut berjerabu di dagu, misai meliar dan segala bulu gemulu dibiarkan tidak bercukur pun bukan kerana mahu membentuk imej lebai tetapi kerana dia sebenarnya tidak mampu untuk beli pisau pencukur atau gunting bagi mengandam janggut, misai dan sekalian bulu gemulunya.
Semuga dia tidak berdosa kerana terpaksa selekeh, disebabkan ketidak-mampuannya.
Baju yang dipakai pun hanya baju gumbang yang sudah lusuh. Pun demikian dengan kain pelaikat yang dipakainya, sudah lusuh dengan tepinya sudah banyak tempat rongak dan berjerabu-katu.
Selipar yang dipakai juga sudah nipis dan rongak kronik birai bahagian tumitnya.
Itulah kemampuan sebenarnya apabila dia memilih untuk memastikan apa yang menjadi haknya adalah benar-benar halal dan dalam keredaan-Nya, kerana kesediaannya untuk miskin di dunia, kaya di akhirat, sengsara dan hina dina di maya pada serba sementara ini tetapi akan bahagia dan mulia pada kehidupan abadi nanti.
Sebagai pejuang, pendukung dan penyokong parti yang kini ditakdirkan berjaya membentuk kerajaan di beberapa buah negeri, dia pernah ditawarkan kawasan balak supaya taraf kehidupannya lebih standard.
Kononnya kalau tokoh banyak jasa sepertinya hidup merempat, mahu tidak mahu imej parti yang diperjuangkan, yang didukung dan disokong boleh tercalar, malah boleh timbul persepsi nanti kononnya pimpinan parti tidak reti balas budi.
“Ustaz gila”
Dia tersentak oleh kata nista rakan seperjuangan yang lebih muda darinya yang asalnya merempat tetapi sekarang hidup kaya penuh bergaya kerana acap dapat kawasan balak dan jadi rakan kongsi bermodalkan air liur bagi pembangunan memajukan tanah-tanah simpanan bangsa yang sebilangan besarnya sudah bertukas status hakmilik.
Kalau tidak diambil kira bahawa muka rakan seperjuangannya itu adalah ciptaan Allah yang belum tentu halal baginya untuk dijadikan sasaran tumbukan, rakannya itu mungkin sudah tersungkur menerima padah penumbuk jantannya.
Mujurlah dia sedar dan dapat sedarkan dirinya bahawa segala ciptaan Allah yang diamanahkan kepada hamba-hamba-Nya, termasuk penumbuknya, tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk perbuatan dan perlakuan yang tidak benar-benar halal, maka dia masih mampu tersengih menerima kata nisa itu.
Rakan seperjuangannya agak marah dan kesal bila dia tolak tawaran pemberian kawasan balak kepadanya yang kononnya akan memampukannya menikmati hidup yang sama taraf, kalau pun tidak lebih baik dari wakil-wakil rakyat.
Bagi rakan seperjuangnya, dia bukan sahaja tolak tuah, tetapi dia juga telah secara sengaja menyepak terajang rezeki yang datang menggolek dan peluang yang telah jatuh ke riba.
Dia kononnya sengaja kehek tubik rezeki yang sudah masuk ke mulut.
“Ana takdok baka gila. Macam mana enta boleh kata ana gila. Ana belum pernah masuk wad gila”
“Kalau pun Ustas tak gila tapi keputusan Ustaz tu keputusan gila”
“Maksud, enta?”
“Diberi kawasan balak kenapa ditolak?”
“Ana bukan pembalak. Ana tak ada kepakaran tentang balak membalak ni”
“Bukan semua yang dapat kawasan balak ada kepakaran tentang balak”
“Apa orang yang tak ada kepakaran macam ana ni boleh buat bila diberi sesuatu bidang yang ana tak ada kepakaran mengenainya?”
“Ustaz akan dapat wang”
“Mudah bunyinya”
“Memang mudah”
“Tanpa modal?”
“Hm. Tanpa modal. Malah tak payah keluar peluh pun”
“Biar betul”
“Bila ada kawasan, taukeh-taukeh balak akan datang cari Ustaz”
“Tujuannya?”
“Beli kawasan”
“Dapat percuma, kemudian dijual?”
“Ya lah. Tak ‘kan nak bagi percuma”
“Betul ke cara begitu?”
“Itulah yang diamalkan”
“Halal ke?”
“Bukannya kita curi atau rompak. Tapi kita diberi kawasan. Malah Ustaz minta pun tidak”
“Siapa pemberinya?”
“Orang yang ada kuasa. Dia orang tu ‘kan rakan kita juga. Rakan kena tolong rakan”
“Em-bi?”
“Dan exconya juga?”
“Kenapa orang macam ana yang diberikan kawasan?”
“Kerana Ustaz banyak jasa kepada perjuangan”
“Jasa kepada perjuangan?”
“Ya”
“Ana tak berapa cerat”
“Ustaz bekerja kuat menarik minat dan kecenderungan orang ramai selaku pengundi menyokong parti kita. Parti melabelkan Ustaz sebagai arkitek kepada kejayaan parti capai sekarang. Hasilnya sebagaimana yang Ustaz sendiri tau ‘lah”
“Ana tak berapa tau sebenarnya”
“Kena ana beritahu ke?”
“Kalau tak diberitahu macam mana ana akan boleh tau apa yang ana belum tau”
“Antara hasilnya, rakan yang dulu sama-sama sengkek, yang dulu paling kencang pun hanya guru sekolah agama rakyat, kini dah jadi pemimpin utama, dah menduduki kerusi exco dan wakil rakyat”
“Jadinya?”
“Mereka berada pada tahap sekarang antaranya kerana budi Ustaz”
“Ya ke?”
“Kata orang ada ubi ada batas, bila terima budi kena balas”
“Ana tak anggap ana telah berbudi. Kalau pun memang ana memang berbudi, ana tak minta dibalas”
“Tapi tak salah ‘kan kalau budi Ustaz mau dibalas”
“Dengan memberikan ana kawasan balak?”
“Antaranyalah”
“Itu yang enta kata balas budi?”
“Ha ah”
“Bagi ana itu bukan balas budi namanya”
“Dah tu?”
“Ana melihat pemberian kawasan balak itu sama seperti ana diberi kayu api neraka”
“Masyaallah!”
“Kalau Em-bi dan exco merasakan ana berbudi kepada mereka, balas budi yang patut diberikan kepada ana adalah apa yang menjadi hak mutlak mereka, bukan mengkhianati mandat dan pecah amanah dengan memberikan apa yang bukan hak mutlak mereka kepada ana”
“Maksud Ustaz?”
“Kawasan balak bukan hak milik mutlak mereka. Balak adalah kepunyaan sekalian rakyat negeri ini, milik generasi sekarang dan akan datang. Mereka diberi mandat dan amanah untuk menguruskannya sahaja. Memberikan kawasan balak kepada orang yang tidak benar-benar berhak macam ana, bermakna mereka pecah amanah. Pada zahirnya mereka beri balak untuk ana, hakikatnya mereka memerikan ana kayu api neraka”
“Kalau macam tu ‘lah pendirian Ustaz, maka kalau nanti hidup Ustaz terus susah dan merempat, terus sengkek, Ustaz jangan salahkan sesiapa. Peluang dah dibuka tapi Ustaz menolaknya”
“Biarlah ana papa kedana, namun mengambil apa yang tidak sepatutnya menjadi hak mutlak ana, jawabnya tidak sekali-kali. Bagi ana Em-bi atau exco tidak cukup berhak mutlak untuk mengagih-agihkan atau menyokong pemberian balak atau punca-punca pendapatan lain dari hasil negeri kepada siapa yang mereka suka demi kepentingan politik dan menafikan hak mereka yang berhak yang tetapi dianggap tidak memberi laba dalam usaha mengekalkan kuasa”
Ketegasan pendiriannya itu menjadikan keduanya tidak seerat dulu lagi, umpama tidur sebantal tetapi mimpi tidak sama, malah nada dan dengkurnya juga tidak serupa.
Rakannya itu bertambah kaya dan bergaya kerana satu demi satu kawasan balak diperolehi sedangkan dia tetap juga pada takuk lama dan dia semacam renggang dan direnggangkan dari aktiviti parti kerana sikap dan prinsip hidupnya.
“Pakcik dah buat temujanji?” langkahnya tersekat bila pengawal keselamatan bermisai tebal memegang tangannya, menghalang dia dari masuk ke ruag tamu pejabat Em-bi..
“Em-bi yang suruh datang”
“Pandai juga pakcik temberang”
“Ana temberang?”
“Kalau nak samas-seghial, tak payah jumpa em-bi. Saya pun boleh bagi”
Nyaris-nyais penumbuk membuatkan pengawal keselamatan terpaksa terbongkok-bongkok memungut taburan gigi sendiri.
Kemunculan em-bi yang baru melangkah masuk ke ruang pejabat menjadikan wajah pengawal keselamatan yang menjengkelkannya itu hilang dari kepeduliannya.
Mudah-mudahan em-bi bukan baru datang dari rumah kerana waktu sepatutnya memulakan kerja sudah berjam-jam berlalu. Baginya bukan curi harta benda sahaja berdosa, curi masa pun turut berdosa sama.
“Ahlam-wasahlam birobbikum!” secepat kilat em-bi memeluknya membuatkan pengawal keselamatan tercengang melihat Em-bi memesrainya.
“Tafadhol!”
“Tak apalah. Cukuplah kita hanya jumpa di sini. Ana tak mau kotorkan pejabat enta”.
Merah padam muka pengawal keselamatan yang terasa pedas dan menyengatnya apa yang diungkapkannya.
“Mari masuk dulu”
“Tak perlu”
“Lama tak kita tak jumpa”
“Lebih baik lama tak jumpa kalau mendatangkan pahala daripada kerap jumpa tetapi menambahkan dosa yang sedia ada”
“Ana yakin enta tidak maksudkan dengan tawaran kawasan balak yang enta tolak. Kedatangan enta tentunya tidak ada kaitan dengan isu itu. Ana minta maaf jika enta tersinggung dengan tawaran kawasan balak untuk enta”
“Betul. Ana datang bukan kerana itu. Bukan pasal tawaran kawasan balak yang bagi ana bersifat tawaran kayu api neraka itu”
“Tapi dah pasti tetap ada tujuannya”
“Betul”
“Boleh ana tau?”
“Ana bawa untuk enta ayat seratus empat puluh lapan hingga seratus empat puluh sembilan Surah An-Nisaa’”
Em-bi tergamam.
Dia membaca ayat berkenaan berulang kali menjadikan muka Em-bi merah padam.
“Ana baca kenyaatan enta di akhbar lidah resmi parti, akhbar arus perdana, kaset, cd dan vcd ceramah enta”.
Muka Em-bi direnung dalam. Dalam renungan itu dia menanti dan mengharapkan respon em-bi.
Pun begitu tidak ada sepatah apa pun keluar dari em-bi.
“Ana mau tanya enta, Tuhan mana, ayat Quran mana dan Rasul-Nya mana yang menghalalkan enta mengutuk dan mencerca tokoh parti lawan?”
Em-bi terlopong.
“Ana juga mendapati enta sering doakan kemusnahan pihak lawan. Ana mau tau Tuhan mana, ayat Quran mana dan Rasul-Nya yang mana menghalalkan enta berdoa sedemikian?. Bukankah yang alim dituntut alimkan yang jahil, supaya yang jadil diberi hidayah”
“Selama ni tak ada yang ingat dan sedarkan anda tentang ini”
“Ada sebabnya kenapa tidak ada yang berani buka mulut”
“Boleh enta berikan contoh?”
“Enta menggunakan kuasa dan kedudukan enta memperjahil dan menjauhkan mereka dari matlamat sebenar perjuangan parti yang kita sama-sama dukung dan sokong, menjadikan parti dibanjiri oleh pendukung dan penyokong jahil yang enta sendiri tidak berusaha untuk merdekakan mereka dari kejahilan”
“Tuduhan enta terlalu berat”
“Ana terpaksa berkata benar”
“Ana biarkan pendukung dan penyokong kekal dalam jahil?”
“Betul. Kerana jahil, walaupun apa yang enta syarahkan dan doakan tidak selari dengan apa yang dimahukan oleh Islam, oleh Allah dan Rasul-Nya, mereka terimanya sebagai benar belaka”
“Ya ke?”
“Pemberian kawasan balak dan kurniaan kedudukan dan jawatan menyebabkan yang alim pun sanggup memperjahilkan supaya peluang terus dapat kawasan balak dan terus menerima pelbagai peluang dan kekal pada jawatan yang disandang tidak akan terjejas. Mereka lupa dan ada antaranya buat-buat lupa bahawa enta bukan maksum. Enta hanya manusia biasa yang perlu sentiasa ditegur dan diperingatkan”
“Jadinya?”
“Enta kena segera bertaubat”
“Dengan berundur dari kedudukan ana sekarang?”
“Berundur dari jawatan yang disandang tidak akan membantu menghapuskan doa yang telah dilakukan”
“Apa yang kena ana buat”
“Rujuk al-Quran dan Hadis. Apa yang halal kena buat, apa yang haram kena dijauhi walupun tidak melalabakan dari sudut kepentingan politik”
“Kalau enta jadi ana, apa yang akan enta buat?”
“Berhenti memburuk, mencerca dan menghina pihak lawan. Jauhkan diri dari meneruskan amalan mendoakan kemusnahan orang lain. Perbuatan sedemikian bukan perbuatan orang alim tapi perlakuan dan tindakan orang jahil”
Ada air mata mengalir di pipi em-bi ketika dia melangkah pergi membawa imej serba sederhananya yang tidak pernah berganjak dari menjadi prinsip hidupnya yang nengutamakan halal-haram dalam apa jua yang mahu dilakukannya

No comments: