Monday, April 27, 2009

Cerpen Terbaru 28(2009)/4 - Dikemaskini semula dengan pembetulan ejaan

Cerpen berjudul
?
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk

HARI ini 10 Mei, hari ibu dan hari kelahiran anakku, ada rombongan yang datang mahu meminang anakku. Hendaknya kali ini akan menjadi, biarlah yang masuk meminang kali ini memang jodoh anakku.
Ibu yang sudah agak lama berstatus armalah atau ibu tunggal itu memanjatkan doa selepas selesai sembahyang Subuh pada pagi yang bening.
Kokok ayam jantan yang tadinya bersahut-sahutan sudah tidak lagi kedengaran, mungkin sedang mengais mencari makan memenuhi fitrah kejadian ayam: kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan resam ayam juga, bertelur sebiji riuhnya sekampung.
Pada bahagian ribaan, telekung sembahyangnya basah.
Maknanya sudah cukup banyak air matanya tumpah dalam doa sambil menangis demi anak daranya yang sudah termasuk dalam bilangan andartu, dalam kelompok anak dara tua, malah sering di dengar sindir sinis dari jiran-jiran, kononnya anak daranya sudah basi, mambo, kelarah, berkarat dan berkulat.
Usia anak daranya sudah pada garis kritikal untuk bertemu jodoh dari kalangan teruna, kerana itulah pinangan dari lelaki berusia tujuh puluh lapan tahun, yang empat puluh empat tahun lebih tua dari anak daranya dan dua puluh sembilan tahun lebih tua darinya tetap dialu-alukan.
Lama sebelum Subuh dia sudah bangun bersembahyang malam, qiamullail, sembahyang sunat tasbih, sunat tahajud, sunat isytiqorah, sunat hajat dan sunat fajar.Sepanjang malam tadi sehingga Subuh dia berdoa, malah selepas sembahyang sunat Dhuha nanti dia akan berdoa lagi supaya tarikh 10 Mei akan mencipta sejarah, akan menamatkan era andartu anaknya.
Rombongan kali ini adalah merupakan yang ketiga puluh empat meminang anak dara tuanya yang susah mencecah angka usia tiga puluh empat tahun dan telah putus tunang sebanyak tiga puluh tiga kali.
Entah apa jadahnya, usia pertunangan hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja, lepas itu pihak lelaki memutuskan tali pertunangan, rata-rata selepas anaknya diajak keluar jalan-jalan oleh tunangannya.
Nak kata anaknya tak lawa, tak juga. Nak kata tak cerdik, mengajinya sampai universiti, ada master walaupun masih bergelar siswazah menganggur.Walaupun tidak pernah berkerja dengan kerajaan tetapi anak dara tuanya pernah kerja dengan sektor swasta.
Sebagaimana sudah tiga puluh tiga kali putus tunang, anak dara tuanya juga sudah tiga puluh tiga kali berhenti kerja, tiga kali berhenti sendiri dan tiga puluh kali lagi diberhentikan, setidak-tidaknya dinasihatkan berhenti.
Tempoh masa kerjanya hampir sama juga dengan usia pertunangannya, sekitar tiga bulan, lepas itu anak dara tuanya kembali menganggur, terpaksa kembali menagih sekeleng darinya untuk beli setem hantar resume minta kerja, malah untuk beli sekelosong etak pun.
“Pukul berapa?” tersentak dia oleh sergahan anak dara tuanya yang awal-awal pagi lagi sudah siap berjangak. Bau-bauan yang dipakai melebihi keperluan sepatutnya, menusuk hidung dan menggangu kelancaran pernafasannya yang ada asma.
“Pukul berapa apanya?”
“Katanya hari ni ada rombongan nak datang meminang”
Sah anak dara tuanya sudah pelahap dan kemaruk benar nak berlaki. Kalau zaman remajanya dulu sering disebut ‘gatal bian’, malah bagi yang cara cakapnya kasar akan disebut ‘gelenyar’.
Agaknya bukan dia sahaja sebagai ibu, anaknya sebagai empunya diri juga malu berstatus andartu, tidak tahan apabila sering disindir sebagai anak dara berkarat, berkulat, mambo, kelarah dan sebagainya.
“Tengahari”
“Mama kata orangnya dah tua”
“Memang tua pun”
“Tua sangat ke?”
“Awak tu bukannya muda lagi pun sebagai anak dara”
“Agaknya lima puluh umurnya?”
Dia gagal menahan tawa.
“Kenapa ketawa?. Orang tanya sungguh-sungguh, Mama main-main pula”
“Bukan lima puluh”
“Muda lagi?”
“Tujuh puluh lapan. Setahun lapan bulan lagi nak cukup lapan puluh”
“Sama tua dengan tokcik?”
“Awak pun bukannya muda lagi sebagai anak dara”
“Saya baru tiga puluh empat. Bagi masyarakat kita saya dah kira tua sangat sebagai anak dara. Dalam masyarakat barat anak dara seusia saya yang belum kahwin bukannya dianggap sudah terlewat”
“Pandailah kau beri alasan. Awak tu bukan orang barat”
“Tak ada ke yang muda sikit?”
“Dah tiga puluh tiga lelaki yang sebaya, malah ada yang lebih muda dari kau pernah jadi tunang kau, semuanya putus”
“Mereka yang putuskan, bukannya saya”
“Tentu ada sebabnya”
“Sebabnya mereka yang lebih tau. Yang pasti tiga puluh tiga bekas tunang saya tu bukan jodoh saya. Kalau dah tak ada jodoh, macam-macam halangan menghadang”
“Jadi jodoh kau lelaki umur tujuh puluh lapanlah? ”
“Agaknyalah.Tapi tua sangatlah, Mama. Sepatutnya dia pinang Mama”
“Mulanya memang dia merisik aku pun, tapi aku minta dia lamar kau”
“Kenapa pula?”
“Aku ni selain dari arwah ayah kau, dah merasa tiga kali hidup bersuami sebelumnya. Seorang daripadanya Banggali masuk Islam”
“Hebat juga Mama ni”
“Aku ni masa menjanda belum habis idah dah ada yang booking. Bercerai pun aku yang minta cerai, ada bekas suami aku terus tak kawin sampai mati lepas bercerai dengan aku. Mati dalam gila talak. Mujur aku jenis tak biak, kalau tidak entah berapa jumlah anak aku. Hanya bila bersuamikan arwah ayah kau barulah dapat kau”
“Kira-kira Mama ni laku benar, jenis diterima pajak gadai jugalah. jadi rebutan lelaki”
“Tapi kau ni tak ‘menurun baka’ langsung. Aku pun naik hairan. Jangankan nak merasa hidup bersuami silih berganti lelaki, satu pun belum lagi”
“Lelaki umur tujuh puluh lapan tahun boleh pakai lagi ke Mama?”
“Boleh pakai apanya?”
“Maksud saya masih sempurna lagi ke dia tu sebagai lelaki?”
“Dia tu seorang pesara atas nama pegawai kanan, pencennya beribu sebulan. Anak-anaknya semuanya berjaya sebagai tokoh korporat. Masa depan kau terjamin”
“Lari tajuklah Mama ni”
“Nak ke mana tu?”
“Lupa pula. Minta duit, nak beli nasi kerabu”
“Duitnya ada dalam laci sana tu. Kau belikan sekali lima ekor ayam"
"Nak buat apa?"
"Nanti rombongan tu kena makan tengahari rumah kita ni. Kau kena masak. Biar bakal suami kau tu rasa air tangan kau”
“Mama pula kenapa masih berteleku atas sejadah?”
“Aku tunggu masuk waktu Dhuna. Aku nak sembahyang sunat Dhuha, minta supaya kau ada jodoh kali ni”
“Jodoh tua”
“Sesuailah untuk anak dara tua”
Andartunya berlenggang pergi.
Dia melihat jam dan mengangkat takdir sunat Dhuha selepas dipastikan waktu terlarang sembahyang sunat selepas sembahyang fadhu Subuh sudah pun erlalu.
“Makan sudah minum pun sudah. Bakal tunangannya rapatlah ke mari. Nak disarungkan cincin pertuangan ni”
Dia tersentak dari lamunan.
Baru sedia sedar bahawa dia bukan lagi sedang berteleku di sejadah tetapi sedang berada di tengah-tengah rombongan meminang.
Andartunya segera merapati wanita separuh umur yang minta bakal tunangan merapatinya.
Sekalian anggota rombongan ‘menonye’ kerana tidak tahan dengan bau-bauan yang dipakai pada sukatan yang berlebihan menusuk hidung.
“Boleh awak buka laluan, biar bakal tunangan dapat rapat ke mari”
Andartunya menghulurkan kedua belah tangan untuk disarungkan cincin pada mana-mana jari dari sepuluh jarinya yang dirasakan sesuai.
Anggota rombongan tergamam.
“Sihat ke apa dia ni. Jangan-jangan tersalah makan ubat. Lain macam nampaknya ni”
Gerutuan perempuan separuh umur itu membuat anggota rombongan yang lain ketawa gelihati.
“Itulah bakal tunangan” beritahunya. Tegas dan sedikit keras.
Andartunya mula tersengih-sengih macam kerbau rabit, malah ada mirip-mririp bapa kambing baru lepas menghidup kencing ibu kambing, mungkin kerana andartunya menahan malu.
“Saya rasa timbul salah faham di sini”
“Maksud awak?”
“Saya wakil bakal tunangan lelaki”
“Saya tau”
“Saya disuruh meminang tuan rumah”
“Dia anak saya. Dia juga tuan rumah ni”
“Tak apalah, bakal tunangan lelaki pun ada di sini. Baik kita tanya dia sendiri. Dia mau pinang emak atau anaknya”
Bakal tunangan lelaki yang jalannya menggunakan tongkat rotan segera merapati perempuan separuh umur.
“Ayah pilih anaknya ke tau emaknya?”
“Ayah ni dah tua. Tentulah yang memilih emaknya”
“Kenapa pula saya"
"Bakal tunangan lelaki, dia ni ayah saya, pilih emaknya, bukan anaknya"
"Anak saya lebih muda, lebih cantik”
“Saya dah tua”
“Anak saya………”
Belum sempat dia menghabiskan kata, andartunya bingkas bangun. Sempat pula lepas berapa das kentut di samping cebih-tonye sebelum hilang dari pandangan anggota rombongan.
“Saya lebih suka anak saya yang kahwin, bukan saya”
“Tapi saya sukakan awak, bukan anak awak”
“Apa tak kenanya dengan anak saya, sampai lelaki dah berumur macam awak pun tak mahukannya?”
“Saya tak mau jadi bekas tunangnya yang ke tiga puluh empat. Lagi pun anak dan cucu saya pun ada yang sebaya dengannya”
“Tapi…..”
“Kalau awak rasa tak boleh terima saya, tak apalah. Kita batalkan saja hasrat meminang. Perkahwinan memerlukan kesediaan untuk saling merelakan”
Untuk beberapa ketika suasana menjadi hening, tidak ada siapa yang bercakap, mungkin untuk memberi masa kepadanya berfikir dalam sebelum membuat keputusan
“Kalau awak rasa awak tak akan menyesal dengan pilihan awak, tak apalah, saya terima"
Akhirnya dia memecah kesunyian.
"Alhamdulillah"
"Tapi macam mana dengan anak saya?”
“Kalau ada jodoh, kawinlah dia tu nantinya”
“Bila?”
“Susah nak jawab”
“Kalau tak ada jodoh?”
“Tak kahwin sampai matilah nampaknya”
Tanpa disedarinya air jernih melimpahi kolam matanya dan berleceran di pipi.
Dia menangis kerana gembira dan pada masa yang sama dia menangis kerana sedih.
Dia gembira kerana akan menjadi isteri untuk kali kelima, dia sedih pula kerana dia bimbang anaknya entah bila akan bertemu jodoh.
Tinggal kira-kira tujuh bulan lagi usia anaknya akan meningkat kepada tiga puluh lima tahun.
Apakah andartunya boleh melihat dengan penuh kesyukuran lelaki yang diharap menjadi teman hidupnya akan bermesra dengannya, lelaki yang diharapkan menjadi suami, menjadi bapa tirinya.
Sebagai seorang isteri dia romantis dan manja, kerana itulah bila bercerai dengannya, kebanyakan bekas suaminya mati dalam keadaan gila talak.
Dia bimbang andartunya tidak sanggup melihat keromatisan dan kemanjaan bersama lelaki bernama suami.
Andartunya pula sejak di darjah satu hinggalah sekarang, apabila tiba hari ibu, anaknya akan memberikannya hadiah walaupun dalam bentuk hanya sekelosong etak.
Tetapi tanpa anak, andartunya tidak mungkin akan menikmati pengalaman manis menerima hadiah dari seorang anak.
Dalam usia tiga puluh empat tahun masih juga belum bersuami, harapan untuk anaknya nanti akan dapat anak da dia akan dapat cucu sudah terlalu tipis.
Soal lambat mendapat jodoh, kenapa anaknya boleh putus tunang sebanyak tiga puluh tiga kali dan juga boleh berhenti kerja sebanyak tiga puluh tiga kali menjadi suatu persoalan yang sukar untuk dirungkaikannya, malah tidak mungkin akan terungkai!

2 comments:

Suara Pemuda said...

Salam abe ramli..

ada sambungan ke cerita ni?

tak lengkap rasanya kalau anak dia tak kahwin.

Hati-hati dengan cerita tergantung, nanti peminat bakar panggung..

Tetapi..cerita sebenar tidak seindah cerita hindustan yang penamatnya Hero akan Berkahwin dengan Heroin..

PS : kalau boleh..nk tahu juga kenapa anak dia blh putus tunang banyak kali selepas bertemu dengan tunangan dia..

Wassalam...

Satu lagi cerpen yang menarik dari saudara..

Suara Pemuda said...

Cerpon?