Thursday, April 9, 2009

MUNCUL KEMBALI (133)

Bukit Gantang dan Bukit Selambau: kegagalan Muhyidin & The Games

BOHONG dan 'belawok banga' kalau dikatakan Umno/BN tidak kecewa dengan kekalahan dalam pilihanraya kecil di kawasan Parlimen Bukit Gantang (Perak) dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau (Kedah).

Malah, kekalahan itu secara tidak langsung pastinya akan menimbulkan rasa cemas dan gundah di kalangan pimpinan Umno (terutama yang sebelum ini menganggap Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai punca kerosakan Umno di mata para pengundi di negara ini) tentang nasib yang terpaksa dihadapi pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Bukan sahaja Tun Abdullah tetapi menantunya Khairy Jamaluddin yang diharap oleh banyak pihak, termasuk di kalangan orang Umno, akan kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda Umno Malaysia tetapi takdir menentukan beliau menang: telah tidak diikut-sertakan berkempen dalam pilihanraya-pilihanraya berkenaan.

Kononnya tanpa penglibatan Tun Abdullah, Khairy dan mereka yang ada aura Abdullahisme, Umno/BN akan menang di kedua-dua kawasan dengan mudah, apatah lagi dengan penglibatan Tun Dr Mahathir yang sangat anti Tun Abdullah sehingga sanggup keluar Umno dan masuk semula apabila Tun Abdullah bersara dan Najib menduduki kerusi perdana menteri.

Mahathir juga banyak ganggu Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, sekaligus menjadikan Umno diwabaki sindrom 'kurang ajar' terhadap pemimpin dan merebaknya fenomena 'membuka pekung di dada'.

Yang jelas tanggapan dan kesimpulan yang dibuat kononnya Tun Abdullah yang status 'Mr Clean'nya tercalar gara-gara Khairy menjadi menantunya, malah Khairy atas sifat peribadinya yang dikaitkan dengan Umno kehilangan sokongan kerananya adalah tuduhan yang sangat tidak tepat, melulu, ada unsur khianat dan berniat jahat berpalitkan irihati dan dengki.

Kekalahan Umno/BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau jika dilihat oleh pemain politik yang tulus dan berhikmah adalah bersifat menafikan tuduhan, tanggapan, persepsi dan andaian liar, busuk, jahat dan khianat terhadap Tun Abdullah dan Khairy selama ini.

Kalau Kamaruddin anak lelaki Tun Abdullah atau Nori anak perempuan mantan perdana menteri ke-5 itu aktif berpolitik, bukan sahaja bapa mereka tetapi tentunya mereka berdua juga pasti dilihat busuk lagi membusukkan.

Setiap sen kekayaan yang Kamaruddin miliki pasti akan dijadikan penyebab untuk dibusukkan sebagaimana Khairy diperbusukkan apabila segala pencapaian Khairy dikaitkan dengan kerana beliau adalah menantu perdana menteri walaupun hakikatnya beliau menjadi menantu Tun Abdullah ketika perdana menteri yang merupakan satu-satunya perdana menteri yang mengamalkan membaca al-Quran selepas Subuh (setakat ini), belum lagi menjadi perdana menteri.

Sukar untuk dipastikan kenapa Tun Abdullah tidak disenangi, terumata oleh Mahathir. Ketika Umno/BN menang sangat cemerlang pada pilihanraya umum ke-11 yakni pilihanraya umum pertama bagi penggal Tun Abdullah menhadi perdana menteri, kemenangan itu dianggap tidak baik untuk Umno/BN kerana majoritinya terlalu mewah.

Apabila pada pilihanraya umum ke-12 Umno/BN gagal mencapai kemenangan 2/3, Tun Abdullah dilanyak dan beliau dilihat sebagai ppenyebab pencapaian buruk itu, malah dari dalam kabinetnya sendiri telah datang desakan supaya beliau berundur dari kerusi kepimpinan parti dan kerajaan.

Beliau secara jelas menunjukkan bahawa beliau 'tidak pelahapkan' jawatan dan kedudukan telah akur dengan desakan itu. Kini beliau berstatus bekas perdana menteri yang pastinya nama dan segala baktinya akan semakin mengucup dari menjadi sebutan umum.

Tanda dan cula ke arah itu mula membayangi hidup beliau apabila beliau telah tidak diikut-campurkan dalam kempen pilihanraya Bukit Gantang, Bukit Selambau mahu pun Batang Air di samping Khairy menantunya selaku ketua pemuda juga tidak diikut-campurkan.

Ini membuktikan betapa tidak ada nilainya Tun Abdullah dan Khairy kepada kalangan tertentu dalam Umno, sebaliknya Mahathir pula diikut-sertakan yang pastinya akan menimbulkan pelbagai persepsi apabila anak kepada Mahathir yakni Mukhriz Mahathir yang mendapat tempat ketia dalam pertandingan jawayan ketua pemuda Umno dikabinetkan dan Khairy sebagai ketua pemuda tidak dianggota-kabinetkan.

Khairy mencatat sejarah sebagai ketua pemuda pertama tidak dianggota-kabinetkan.

Pun begitu keputusan pilihanraya di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, telah mencatat hakikat Umno/BN bukan sahaja kalah tetapi pihak lawan memperolehi majoriti yang lebih tinggi dari majoriti yang dicapai pada pilihanraya umum ke-12.

Selaku tokoh yang dipertanggungjawabkan mengetuai kempen bagi kedua-dua kawasan, Muhyiddin Yassin yang celupar mendesak Tun Abdullah letak jawatan patut 'kencing dalam tempurung' dan ukur pengaruh sendiri pada mata majoriti rakyat dengan apa yang berlaku.

Kalau di luar Malaysia, saya tidak yakin Muhyiddin yang gagal membuktikan kehebatan untuk tugas pertamanya akan menerima tawaran sebagai timbalan perdana menteri atau sebarang jawatan kabinet. Kalau di Bukit Gantang dan Bukit Selambau pun sudah gagal, macam mana mahu melaksanakan kerja yang lebih besar sebagai timnbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Muhyiddin patut malu kerana strategi menafikan pengaruh Tun Abdullah dan pada masa yang sama pula menjulang ketokohan Mahathir yang telah acap kali merosakan Umno, antaranya ekoran kes dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menyebabkan Umno/BN dan kerajaan berada di hujung tanduk sebelum berjaya diperkasakan oleh Tun Abdullah pada pilihanraya umum ke-11.

Bagi saya, kekalahan Umno/BN (dengan pihak lawan meraih majoriti yang lebih tinggi) adalah kerana kegagalan Muhyiddin sebagai tokoh yang dipertangungjawabkan mengetuai kempen dan merancang strategi dalam pilihanraya di kedua-dua kawasan dan tidak mustahil keadaan itu akan berlanjutan hingga ke pilihanraya umum ke-13 nanti, apatah lagi dengan penyusunan kabinet yang secara peribadi saya melihatnya sebagai akan timbulnya sindrom api dalam sekam dalam Umno.

Percayalah Umno/BN tidak akan kalah kerana kehebatan lawan tetapi Umno/BN akan kalah kerana angkara dari dalam Umno/BN sendiri. Lawan terutama Pas pada hakikatnya sukar untuk melawan Umno/BN ketika era pemerintan Tun Abdullah tetapi lawan akan lebih mudah melawan kepimpinan Umno/BN dan kerajaan pada era kepimpinan Najib bertimbalankan Muhyiddin.

Lawan sukar untuk terjah Tun Abdullah sebagai perdana menteri dan presiden Umno sehingga dalam usaha untuk 'nyahkannya' dari kepimpinan parti dan kerajaan dengan melibatkan Mahathir pun, tokoh dari titih ulamak tersohor itu tetap mampu bertahan.

Kerana itulah sepanjang era penerajuannya lawan lebih banyak terjah Khairy menantunya yang saya yakin kalau beliau (KHairy) busuk dan kotor, Allah tidak mentakdirkan beliau menang kerusi pemuda.

Justeru saya yakin, lambat laung Khairy akan jadi tokoh penting negara seandainya beliau mampu mencontohi teknik dan tektik mertuanya berpolitik dan saya percaya Najib akan menyesal kerana mengepikan tokoh-tokoh seperti Khairy dan juga tokoh berpengalaman seperti Datuk Syed Hamid Jaafar Albar dari menganggotai kabinet pada era kepimpinannya.

4 comments:

Anonymous said...

Beberapa fakta dan andaian yang perlu dibetulkan:

i) Ini bukan kali pertama Ketua Pemuda UMNO tidak dilantik ke kabinet. Zahid Hamidi dan Jaafar Albar adalah contoh dimana KP UMNO tidak dilantik ke kabinet.

ii) Mukhriz adalah Ahli Parlimen. Sekalipun mendapat tempat kesepuluh dalam pertandingan Ketua Pemuda, ianya bukan satu isu. Sebagai Ahli Parlimen, beliau boleh dilantik sebagai Menteri/Timb Menteri tanpa perlu disenatorkan.

iii) Benar BN kalah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Namun menyatakan bahawa tanpa kehadiran Tun Abdullah dan Khairy pun BN kalah satu huraian yg tidak mendalam. Apakah jika Tun Abdullah masih menjadi PM dan Khairy muncul setiap hari di media massa semasa kempen Sdr yakin BN tidak akan kalah lebih teruk!!!!

iv) Menyalahkan Muhyiddin atas kekalahan di dua bukit agak tidak adil. Kalau tanam pisang pun nak kena tunggu setahun baru berbuah, apakah dgn menjadi kepala utk ke-3 pilihanraya kecil selepas bbrp hari menjadi Timb Presiden UMNO, Muhyiddin dapat mengubah keadaan dan meredakan kemarahan sesetengah rakyat Bukit Gantang.

Tuan bebas memberikan pendapat. Tetapi buruk sangka bukanlah cara yg terbaik utk memberikan pendapat yang objektif!!!!

Wak Kembang Kempis Bukit Marak said...

Bukan ini bibit ledakan malapetaka kepada Umno?


Khairy dah mula bertindak

Akhbar melaporkan Khairy telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Ali Rustam di Melaka. Gerangan apa pertemuan itu tidak diketahui. Butiran pertemuan tersebut hanya menyebut kenyataan Khairy bahawa semua Ketua Pemuda Negeri akan terdiri dari muka baru.

Apa istimewanya Khairy hingga saya berulangkali menilai langkahnya??? sebenarnya beliau memang istimewa dalam umNo hingga beliau dijadikan subjek oleh Negarawan Tu Det dalam usaha meneyrang Pak Lah. Takkanlah Tun mahu berdepan dengan budak hingusan..tentu Tun melihat ancaman besar Khairy…

Memang telah diketahui bahawa Khairy adalah budak licik dalam umNO. Kalau layak diumpamakan dengan Hang Nadim di Singapura, begitulah Khairy dalam umNo. Beliau adalah orang yang berani berhadapan dengan musuh politiknya. Secara baik atau jahat. Khairy mampu melakukannya.

Siapapu tak boleh menolak keberanian Khairy menerima pelawaan Kelantan berhadapan Husam di kubu kuat PAS. Khairy menerimanya dan mampu berhujjah dengan baik malah bersikap terbuka dengan beberapa kejayaan dan kebaikan PAS. Khairy juga adalah antara budak jahat yang tampil dalam kebanyakan pilihanraya kecil terutamanya di Selangor yang menyaksikan DS Khalid tewas dalam percubaan pertamanya sebagai ahli politik.

Walaupun Khairy membuat kenyataan bersikap terbuka dengan kabinet Najib, namun itu adalah jawapan standart seorang ahli politik. Kenyataan Khairy akan melantik ketua pemuda negeri baru adalah langkah proaktif khairy dalam menguasai sayap pemuda itu. Beliau menyedari kemenangannya adalah dengan jalan salah dan rasuah. Langkah bijak adalah memastikan tapak kukuh disediakan untuk masa depan politiknya. Menggunakan alasan beliau diminta oleh Najib memperkukuhkan parti, adalah alasan sesuai untuk membuat rombakan. Najib juga tidak dapat berdalih dengan alasan Khairy bahawa beliau diarahkan memberi tumpuan kepada parti. Kini Khairy telah melangkah mula memperkukuhkan umNO yang sebenarnya memperkukuhkan dirinya.

Nampak gayanya, umNo akan berhadapan masa sukar sedikit masa lagi. Khairy akan memastikan kuasa pemuda akur padanya dalam masa yang sama Mahathir melalui Najib akan memastikan pengerusi perhubungan tunduk kepadanya. Pasti akan tiba masa pertembungan besar ibarat letusan gunung berapi di Itali yang memusnahkan bangsa pompei ribuan tahun dulu. Pertembungan antara generasi muda dan tua dalam umNO. Ketika itu di mana Puteri dan wanita umNO. Adakah keduanya akan bersama atau masing masing memilih regu sendiri???

Biarlah masa menentukan kemusnahan umNo hasil pertembungan sesama sendiri sebagaimana musnahnya ahzab hasil sengketa antara mereka. -Anak Senget (dipetik dari Sabahdaily)

Che Mamat Golok Tumpul said...

Kesilapan fakta membuktikan bahaea Meli bukan orang Umno sebagimana yang diandaikan oleh kalangan tertentu. Apa yang Meli tahu tentang Umno tidak sama dengan apa yang Meli tahu tentang Pas.

Anonymous said...

yakin meli khairy tak salah,tak semua yg Allah bagi kemenangan adlah orang baik2.Amerika serang Iraq sampai Saddam mati kena gantung ,adakah Amerika yang betul dan Saddam yang salah.Yang pastinya KJ ni adalah pengamal rasuah nombor wahid.