Monday, April 13, 2009

MUNCUL KEMBALI (140)

Yang perlu diasah adalah belakang bukannya mata parang yang dah tajam

SESUAI dengan transformasi menjadi teras dan matlamat kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak, maka saya memberanikan diri mengutarakan pendapat untuk menentang dan menyongsang arus berhubung dengan peranan dan fungsi program PERMATApintar yang dinaungi Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri.

Tidak dapat dinafikan bahawa tujuan PERMATApintar baik dan murni tetapi sama ada disedari atau tidak oleh kita semua bahawa matlamat dan tujuan PERMATApinta itu pada hakikatnya lebih bersifat mahu mengasah mata parang yang sudah sedia tajam atau memberi makan dan minum kepada orang yang sudah sendawa kekenyangan.

Pelajar pintar tetap akan pintar walaupun mereka dalam keadaan macam mana pun. Tanpa mengikuti kelas tusyen dan dalam keadaan tidak ada tempat khusus untuk mentelaah umpamanya, kerana memang ianya seorang yang pintar semula jadi, anak seorang nelayan di Kelantan mendapat 20A dalam peperiksaan SPM yang keputusan diumumkan baru-baru ini.

Kerana itulah terungkainya rangkaikata peninggalan orang tua-tua bahawa kalau benih yang baik jatuh ke laut akan menjadi pulau, jatuh ke daratan menjadi gunung atau kalau sudah intan pertama, tenggelam dalam lumpur yang kotor dan hanyir pun nilainya tetap tinggi serta kemilau tetap menyerlah.

Maknanya pelajar yang telah sedia pintar tetap dengan kepintarannya dan masa depannya tetap cemerlang, gemilang dan terbilang kerana dengan kepintaran yang dimiliki akan digunakan untuk mencemerlang, menggemilang dan menterbilangkan dirinya.

Justeru program khusus untuk menambah-pintarkan lagi mereka yang sudah pintar bukan lagi menjadi keperluan terdesak, sebaliknya ia akan bersifat 'over' dan mengada-ngada oleh pihak yang mengilham, merancang dan merealitikan program seumpama itu.

Ianya juga sama seperti tradisi Jabatan Pertanian misalnya yang akan menjadikan projek tanaman salak, tanaman lada, tanaman sayur-sayuran, buah-bauahan atau sebagainya yang sudah berjaya dijadikan projek angkat jabatan dan dipasang tanda dengan tulisan 'PROJEK DIBAWAH SELIAAN JABATAN PERTANIAN' dan sebagainya. .

Sedangkan sebelumnya, ketika projek mahu dimulakan dan pengusahanya datang meminta khidmat nasihat, apatah lagi bantuan-bantuan material yang diperlukan, tidak langsung ditunjukkan minat untuk membantu memudahkan pengusaha berjaya dalam apa yang diusahakan.

Demikian halnya dalam bidang keusahawan. Apabila seseorang usahawan itu berjaya, bank pun berlumba-lumba tawarkan kemudahan pinjaman mudah. Sebelum berjaya, pelbagai syarat ketat dikenakan untuk memunasabah dan mewajarkan permohonan pinjaman ditolak.

Dalam hal PERMATApintar, sepatutnya yang menjadi fokus untuk dipintarkan adalah pelajar-pelajar lembab, otak beku dan bangang supaya untaian kata orang tua-tua bahawa belakang parang pun kalau diasah ianya akan tajam direalitikan.

Jangan pula mata parang yang sudah sedia tajam diasah sedangkan belakang parang yang tumpul dibiarkan tidak berasah. Tak payahlah nak tambah-masinkan lagi lautan dengan membubuh segenggam garam atau nak memaniskan lagi sebaladi madu dengan menambah sesudu gula.

Dengan kata lain, program PERMATApintar akan dilihat lebih berfaedah dan lebih tulus serta telus tujuan dan matlamatnya, malah akan dipersepsikan sebagai sangat hebat kalau pelajar yang lembab, otak beku dan bangang dipintarkan.

Sebaliknya akan dianggap mengada-ngada dan sengaja mengambil kesempatan untuk tujuan tertentu kalau PERMATApintar merancang program untuk pintarkan pelajar yang memang sudah sedia pintar.

3 comments:

mylivingwall said...

Pohon kebenaran dari saudara untuk menerbitkan pos ini di laman web kita di http://mylivingwall.com dan paut kembali ke blog saudara.

http://mylivingwall.com

Budak Kelantan Dok Seri Kembangan said...

Guano nampak bini PM menonjol lebih pada perdana menteri sendiri, tubik tv sokmo bini PM ke-6 ni, tak serupo bini PM hak lepas-lepas doh.
2. Cuma hak tak berapo comelnya, ppalo nyo toksir tutup. Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam di Jabatan Perdana Menteri dan alim ulmak kena royat, dedah aurat tu haram, junjung rambut tanpa ditutup bermakna junjung dosa. Kalau ppakat tak royat, menteri pun kena tanggung dosa.
3. Pakcik Meli tak berani ke nak kapakkan bini PM, suruh tutup aurat?

Orang Kelantan dok di Pekan said...

Mu tak tau ko Meli. Najib tu aloh ko bini. Pah tu pulok nampak sangat Najib jadi mengkorang Mahathir.
Semoh (Rosmah) Masor suko benar rapat dengan Dr Semoh (Siti Hasmah)sama-sama junjo dosa, tosir tudung ppalo.
Aku raso pilihanraya umum ke-13 lerat kalu Najib jadi PM. Rakyat tak berapo arat ko PM aloh ko bini.