Tuesday, April 14, 2009

MUNCUL KEMBALI (141)

Demi meningkatkan kualiti kepimpinan, elakkan Najib dipuji berlebihan

SEMACAM suatu trend atau rasanya lebih kena kalau dikategorikan sebagai ‘badi’ apabila pada setiap kali Perdana Menteri baru dilantik, maka pelbagai pujian digubah oleh pelbagai pihak, malah pada masa yang sama dan pada segala kesempatan yang ada dibangkit segala usul asal yang molek-molek.
Demikian juga dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Ke-6 bagi negara ini. Sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri, pelbagai pujian, sanjungan dan pendewaan dibuat oleh pelbagai pihak, malah dibangkit segala usul asal yang semua molek perfect.
Pada masa yang sama, bekas Perdana Menteri yang lepas mula dilupakan, seolah-olah tidak ada apa jasa yang dibuat kepada negara. Kalau pun disebut sekali sekala, rata-rata ianya adalah yang negatif sifatnya.
Ertinya pujian, pemujaan, sanjungan dan pendewaan bersifat sementara belaka di samping di sebalik pujian, sanjungan dan pendewaan itu sebenarnya bersifat ada udang di sebalik batu, ada ketam di sebalik kayu.
Yakinlah sebagaimana perdana menteri yang lepas-lepas, Dato’ Seri Najib juga mahu tidak mahu akan berdepan dengan hakikat yang telah dihadapi oleh mantan-mantan perdana menteri, yang mana yang menjadi juara pemuji, pemuja, penyanjung dan pendewa sekarang tidak mustahil nantinya akan jadi peneraju kepada gerakan menentang kepimpinan Dato’ Seri Najib.
Justeru itu, Dato’ Seri Najib dan kalangan yang mangutamakan kepimpinan yang berkualiti tidak sepatutnya menelan bulat-bulat pujian, sanjungan, pemujaan dan pendewaan murahan yang memang menyedapkan telinga mendengarnya di samping cukup mendamaikan perasaan.
Ingatlah, lazimnya setiap yang manis memang sedap tetapi kebanyakannya menjadi racun yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik manakala yang pahit (krtitikan, teguran dan peringatan) rata-rata adalah berubat.
Dato’ Seri Najib tidak akan menjadi perdana menteri yang berkualiti dan berkemampuan membina kepimpinan yang juga berkualiti kalau beliau terlalu banyak menerima dan seronok dengan pujian, pemujaan, sanjungan dan pendewaan serta mudah terbuai dalam keseronokan gara-gara dipuji, dipuja, disanjung dan didewakan.
Sebaliknya beliau bukan sahaja akan menjadi perdana menteri yang berkualiti dan mampu pula membentuk kepimpinan yang juga berkualiti, tetapi beliau akan terus mantap dan kental pada kerusinya sekarang jika beliau boleh menerima segala teguran, kritikan dan peringatan dengan penuh keterbukaan.
Sebagaimana dengan ubat yang paling pahit itu adalah ubat yang paling mustajab, maka teguran, kritikan dan peringatan yang paling tidak sedap di dengar telinga adalah merupakan yang paling baik untuk dijadikan bahan renungan dan dalam membuat sesuatu pertimbangan.
Hakikatnya mereka yang tidak membuat teguran, kritikan dan peringatan atau mereka yang enggan meneima teguran, kritikan dan peringatan akan tergolongan dalam golongan yang rugi dan hal ini boleh dirujuk melalui Surah Al-Asyr yang mengandungi tiga ayat.

1 comment:

abu muhammad walid ilias said...

assalamualaikum
seronok baca tulisan pakcik li walaupoun ada yang saya tak setuju
tapi sakit mata laa baca, latarbelakang hitam n tulisan putih tu rasa serabut jah.buleh ngejah ko?