Saya KIV sokongan dan kecenderungan terhadap Pas
ENTA dah macam memusuhi Pas. Ana ada menyimpan buku-buku yang enta tulis dan terbit seperti GARA-GARA PENANGAN TOK GURU ORANG ISTANA MERANA, PARTI PILIHAN RAKYAT KELANTAN, MENTERI BESAR BERKOPIAH MEMBAWA TUAH, AMANAT TOK GURU, NIK AZIZ INTAN TERPILIH ABAD INI, PANGLIMA JIHAD PAS, NIK ADLI: HERO BARU PERSADA POLITIK NEGARA dan AKAN TERMAKBULKAH DOA DATIN SERI DR WAN AZIZAH di samping pelbagai tulisan di akhbar alternatif dan juga majalah yang banyak melabakan Pas.
Sekarang kenapa nada enta sudah berubah, termasuk tulisan enta melalui blog enta. Apakah kerana kontrak enta di Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan tidak disambung?
Demikian isi SMS (yang bukan lagi bersifat pesanan ringkas yang dihantar oleh pengirim) yang nombor telefon pengirimnya tidak dimunculkan di screen. Sepatutnya pengirim kena gentleman, jangan sorokan nombor telefon dan identiti sebagai pengirim.
Jangan risau, sebagai pengamal media, saya tidak akan dedahkan identiti anda kepada umum, saya akan berpegang teguh kepada etika, nama sumber tidak akan didedahkan kecuali di mahkamah.
Apa yang penghantar SMS tanya itu sebenarya turut menjadi pertanyaan orang rumah saya kerana dia tau, banyak wang yang saya habiskan untuk terbitkan buku-buku yang labakan Pas sebelum saya dijemput bekerja dengan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan.
(Saya yakin saya dijemput kerja pun kerana buku-buku yang saya tulis dan terbitkan dilihat labakan Pas. Keyakinan saya berpaksikan kerana ketika dijemput bekerja, saya bukan sahaja tidak ditemuduga tetapi segala dokumen termasuk sijil-sijil saya tidak pun diminta).
Seandainya saya disyaratkan kena berikan sijil atau surat rekmin, pasti saya tidak akan diterima bekerja di Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri kerana saya tidak ada apa-apa diploma, apatah lagi ijazah.
Kebetulan ketika bekerja sebagai Ketua Biro Harian Watan mahu pun dengan Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) sebagai pemberita daerah bermula di Tanah Merah, sijil-sijil saya juga tidak diminta sebagai syarat kemasukan.
Pun demikian ketika menyertai Harian Nasional, saya dipujuk menyertai suratkhabar harian bersaiz tabloid pertama di negara ini dengan tawaran melalui telefon oleh Pak Yusoff Al-Bakri.
Mungkin kerana diajak bekerja tanpa berdepan dengan temuduga dan tidak pernah diminta ditunjukkan sijil itulah menyebabkan saya tidak begitu merasakan setiap kerja saya terlalu bernilai sebagaimana tanggapan orang lain yang terpaksa berdepan dengan temuduga, kena dapatkan surat rekmin dan sebagainya untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan.
Orang rumah saya sendiri sukar percaya kenapa saya boleh jadi tidak menunjukkan kecenderungan terhadap Pas semasa dan selepas bekerja dengan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kekantan kerana dia tahu banyak wang telah saya habiskan bagi menerbitkan buku yang pro Pas ketika dia sendiri bergelumang dengan S46, parti yang saya tegaskan kepadannya tidak akan panjang jangka hayatnya.
Macam mana pun saya tidak pernah menghalang orang rumah saya aktif dalam Pas, parti yang disertainya selepas pembubaran S46.Bagi saya tahap penilaian seseorang tidak serupa. Ia juga bergantung kepada sejauh nama seseorang itu kenali parti yang didukung dan disokong. Saya tau orang rumah saya tidak kenal Pas sebagaimana saya kenal parti itu.
Saya mula hilang kecenderungan untuk menyokong Pas ketika masih bekerja dengan Urusetia Penerangan lagi kerana banyak yang berlaku di dalam kerajaan pada pemerhatian, penilaian dan yang saya alami tidak sama dengan apa yang disyarahkan oleh pimpinan.
Persepsi saya ketika belum bekerja dengan Urusetia Penerangan dan selepas bekerja dengan agensi kerajaan negeri Kelantan itu sangat jauh berbeza. Bagi saya Pas dan matlamatnya cukup bagus, cuma orang yang menggerakkan parti itu sahaja tidak banyak bezanya dengan Umno, tambah-tambah sejak akhir-akhir ini, bermula dari parti itu mula diresapi sindrom profesinalisme di kalangan pimpinanya.
Saya tidak boleh hipokrit dan tidak boleh berbohong kepada diri sendiri sebagai pengamal media. Kebetulan saya tidak ada cita-cita politik dan tidak ada kecenderungan untuk mengisi masa saya dengan kegiatan parti politik tetapi saya tidaklah jahil sangat tentang politik.
Walaupun saya tidak mengaji sampai ke Mesir, saya sentiasa membuka terjemahan al-Quran dan memiliki Kitab Terjemahan Hadis Sahih Muslim I,II,III dan IV serta Terjemahan Hadis Sahih Bukhari Jilid I,II,III dan IV.
Saya berpegang kepada pesanan ustaz saya dan pesanan Allahyarham Dato' Haji Muhammad Nasir yang merupakan mentor saya: bila timbul apa-apa keraguan tentang sesuatu perkara, rujuklah al-Quran dan Hadis kerana yang betul-bertul benar dan mutlak kebenarannya terkandung di dalam keduanya.
Justeru apabila timbul keraguan tentang apa yang saya dengar atau ketika saya baca tulisan dalam bentuk makalah atau buku, tidak kira siapa menulisnya, termasuk yang ditulis oleh bekas Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainal Abibin, saya akan semak terjemahan al-Quran dan Hadis sebelum mempersetujui atau menolaknya.
Tuhan Pun Mencarut, Tuhan Pun Samseng, Sanggup Bekerjasama Dengan Syaitan, Islam Membenarkan Mencerca Individu, Pas Kalah Kerana Pengundi Hantu adalah antara faktor-faktor penyebab kenapa saya KIV SOKONGAN DAN KECENDERUNGAN SAYA TERHADAP PAS hingga ke suatu masa setelah saya dapat ketemui ayat al-Quran dan Hadis sama ada saya boleh 'TERIMA' atau 'MENOLAK'ungkapan-ungkapan itu.
Kalau yang mengucapkannya di kalangan ketua cawangan atau pendukung dan penyokong kelas tamada saya tidaklah ambil kisah sangat kerana tahap keilmuan dan ketokohan mereka tentu tidak mampu untuk mempengaruhi masyarakat terbanyak.
Bila tokoh besar yang dilihat besar tahap pemilikan ilmu amal dan pengaruhnya yang mengucapkannya, maka saya terpaksalah merujuk kepada al-Quran dan Hadis sama saya kena setuju atau tidak setuju.
Islam itu Pas dan Pas itu Islam serta menolak Pas bermakna menolak Islam adalah antara kenyataan, pendapat dan pandangan yang menjadi saya semakin tumpul untuk dampingi Pas macam dulu lagi.
Setakat ini saya menganggap kenyataan, pendapat dan pandangan itu boleh menyumbang kepada kersosakan akidah dan saya terpaksa KIV dulu sokongan dan kecenderungan terhadap Pas. Saya perlu mencari ayat al-Quran dan hadis untuk memastikan sama ada halal atau tidak kenyataan, pandangan dan pendapat sedemikian.
Kerana itu saya sengaja menulis sama ada melalui blog, artikel di akhbar atau majalah, malah melalui cerpen saya tentang pendirian saya bahawa tanggapan Islam itu Pas dan Pas itu Islam, menolak Pas bermakna tolak Islam serta isi ceramah tokoh-tokoh Pas yang agak meragukan dengan maksud agar mereka yang terbabit memuhasabah diri.
Saya cukup sedar rata-rata pimpinan Pas cukup berilmu berbanding dengan saya tetapi harus diingat bahawa syaitan dan iblis yang ditugaskan menggoda mereka adalah dari kalangan yang ada kelas dan dikira 'padan gu' untuk digoda.
Saya khuatir kalau apa yang diceramahkan bukan berteraskan keilmuan yang dimiliki tetapi kerana terpedaya dengan bisikan syaitan dan iblis. Hakikatnya bukan sedikit orang alim zaman berzaman mati masuk neraka kerana terpedaya oleh bisikan dan godaan syaitan serta iblis.
Kerana itulah saya KIV dulu sokongan dan kecenderungan terhadap Pas kerana kalau apa yang diceramahkan oleh pimpinan Pas berteraskan bisikan dan godaan syaitan dan iblis, adalah menjadi fardu kifayah kepada pendukung dan penyokong Pas untuk menegur dan memperingatkan mereka supaya bertaubat.
Pendukung dan penyokong Pas yang ada kepentingan untuk dapatkan kawasan balak dan kepentingan-kepentingan lain tidak mungkin berani menegur dan memperingatkan, maka tugas itu terpikul atas bahu orang yang tidak ada sebarang kepentingan politik macam saya yang kebetulan diberi sedikit bakat dan kegigijan dalam bidang karang mengarang.
Menyamakan standard Pas dengan Islam bagi saya tidak boleh, sebaliknya Pas dibolehkan menggunakan pendekatan Islam dalam berpolitik atau pun berkerajaan dan pendekatan itu pula mestilah benar-benar selari sengoti dengan Islam dan bukannya berbentuk retorik.
Tokoh-tokoh Pas kena pastikan apa yang dirasakan segala perbuatan dan percakapannya adalah peruatan dan percakapan ahli syurga memang benar begitu, bukannya hanya dirasakan segala perbuatan dan percakapannya adalah peruatan dan percakapan ahli syurga tetapi hakikatnnya adalah perbuatan dan percakapan ahli neraka.
Kerana saya belum yakin apa yang pendukung dan penyokong Pas buat dan cakap adalah benar-benar perbuatan dan percakapan ahli syurgalah antara beberapa faktor lagi kenapa saya KIVkan dulu sokongan dan kecenderungan terhadap Pas.
Saya tunggu sehingga apabila kalah dalam pilihanraya pimpinan Pas akan kata 'kita terima takdir dan suratan Allah yang pasti ada hikmahnya. Kita telah berusaha tetapi kita reda kerana Allah belum takdirkan kita menang' bukannya bila kalah maka dikata 'kita kalah kerana pengundi hantu, kerana SPR tidak telus'.
Kalau pun benar pengundi hantu wujud atau benar SPR tidak telus, kedua-dua makhluk itu tidak akan mampu mengubah suratan dan takdir Allah Maha Penentu yang mentakdirkan berlakunya sesuatu (misalnya kalah-menang dalam konteks pilihanraya) kerana ada hikmah-hikmah tertentu yang menuntut manusia memuhasabah diri!
Monday, April 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment