Wednesday, April 22, 2009

MUNCUL KEMBALI (153)

Kerjasama Umno-Pas tidak semestinya Pas jadi sebahagian parti komponen

BEKRJASAMA, berbaik sangka, menjalin ukhwah dan mengelak dari buruk sangka, memutuskan silatul-rahim dan sikap permusuhan tanpa terhad kepada yang dihalalkan oleh Allah adalah merupakan antara ajaran Islam.
Bila ianya ajaran Islam yakni ajaran sama ada dalam bentuk suruhan atau tegahan Allah yang disalurkan melalui Rasulullah s.a.w. sebagai utusan dan disertakan dengan rujukan mutlak al-Quran dan hadis, dengan sendiri ianya menjadi keperluan kepada kehidupan manusia yang secara bijaksana menggunakan kurniaan istimewa kepada ciptaan-Nya bernama manusia, yakni otak yang berakal.
Segala jenis haiwan sama ada mamalia atau reptilia serta unggas dicipta berserta dengan otak yang kesemuanya ditempatkan di kepala, bukannya di kepala lutut seperti juga manusia, tetapi otak ciptaan-ciptaan-Nya tidak dilengapkan dengan akal.
Maknanya bagi mana-mana manusia yang gagal menggunakan otak berakal, standardnya sama dengan segala jenis haiwan, tidak ada bezanya dengan lembu, kerbau, gajah, kambing, monyet, babi, lutung, biawak, semut dan sebagainya kecuali dalam bentuk paras rupa fitrah kejadian manusia itu sendiri.
Demikian juga apabila ada usulan, cadangan dan usaha oleh kalangan yang mahu mewujud dan menjalinkan kerjasama Umno-Pas bagi tujuan menstabilkan politik negara dan menghapuskan permusuhan sesama sebangsa dan seanutan agama khususnya, kalangan yang guna otak berakal tidak akan mudah menolak manakala yang ada otak berakal tetapi tidak mengksploitasikannya akan cebik bibir, malah sanggup merancang demonstrasi menunjuk penentangan.
Walhal bentuk kerjasama itu pelbagai sifat, natijah dan realitinya. Tidak semestinya Pas kena masuk Barisan Nasional (BN) dan sama-sama menjadi kerajaan baru boleh dinamakan kejasama, sebaliknya Pas boleh terus kekal sebagai pembangkang kerana tugas, tanggungjawab dan kewajipan berbakti pada agama, bangsa dan negara turut terpikul di atas bahu pembangkang.
Dengan kata lain, peranan pembangkang sama pentingnya dengan peranan kerajaan kepada sesebuah negara. Kerajaan akan mampu jadi hebat kalau pembangkangnya kuat dan hebat. Kerajaan akan lemah dan tidak bermaya kalau kerajaan saja kuat tetapi pembangkang lemah, sebaliknya kerajaan yang lemah boleh jadi kuat kalau pembangkang kuat dan kualiti bangkangan oleh pembangkang dalam bentuk membina, telus dan telus.
Pada saya konsep dan maksud tersirat di sebalik cadangan kerjasama itu perlu diberi penerangan kepada umum. Oleh kerana Pas adalah satu-satu parti pembangkang Melayu beragama Islam yang mantap dan menunjukkan kecenderungan berpolitik dan berparti politik berpandukan ajaran Islam, maka hanya parti itu yang pastiknya mampu memainkan peranan menegur, memberi cadangan, kritikan dan saranan yang tulus dan telus untuk meningkatkan kualiti kerajaan.
Ertinya kerjasama yang perlu Pas berikan ialah dalam bentuk memberi teguran, saranan, kritikan, pandangan dan idea yang telus dan tulus serta selari dengan tuntutan Islam sama ada melalu persidangan dewan rakyat dan dewan negara atau melalui memorandum mahu pun persidangan meja bulat.
Pas patut berhenti terpedaya dengan mimpi siang hari parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) yang tidak ada ikatan resmi bentuk kerjasamanya untuk menumbangkan kerajaan kerana hakikatnya menjadi kerajaan itu jauh lebih payah dan lebih berat bebanannya dari menjadi pembangkang. Ini boleh dirujuk kepada menteri besar dan ketua menteri di negeri-negeri yang diperintah pembangkang sekarang.
Lagi pun Pas tidak mungkin mampu membentuk kerajaan seperti yang Pas mahukan bagi negara ini sebagaimana Pas parti gagal merealisasi kerajaan impiannya dan yang menjadi harapan rakyat pemberi mandat agar kerajaan yang dibentuk menyamai kerajaan Pas Kelantan bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak (sebelum kerajaannya kembali kepada Umn/BN di Perak).
Apa bezanya di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang dengan Umno/BN kecuali berlainan wajah menteri besar/ketua menteri dan barisan exconya berbanding dengan zaman pemerintahan Umno/BN. Premis-premnis perjudian dan pusat hiburan masih wujud, yang berubah barangkali gaya hidup menteri besar/ketua menteri, exco, wakil-wakil rakyatnya dan 'juak' masing-masing.
Lagi pun jika betullah kerajaan yang ada berjaya ditumbangkan, masa untuk mematangkan sesebuah kerajaan akan mengambil masa yang panjang kerana kerajaan kena belajar dari pengalaman. Sebagai contoh tengok saja di Kelantan, selepas berusia kira-kira 19 tahun, apakah ianya berada pada 19 langkah terkedepan berbanding dengan kerajaan negeri-negeri dikuasai Umno/BN bagi rekod pencapaian dalam pelbagai sudut.
Kerana itu Pas perlu bekerjsama dengan Umno selaku parti tulang belakang BN dalam membuat teguran membina supaya kerajaan Umno/BN yang sudah berpengalaman sebagai kerajaan lebih 50 tahun menjadi lebih berkualiti.
Jangan terus buang masa dan menjadi tradisi pembangkang sejak dulu dan masih kekal hingga sekarang dengan mencerca tokoh-tokoh yang dipilih oleh takdir dan suratan-Nya berada pada kedudukan yang mana jika kita melihat dengan mata dengki dan irihati serta tanpa mengambil kira dari sudut hikmahnya akan nampak serba buruk buruk dan 'tidak terpakai-gawai' belaka.
Parti pembangkang lain tidak boleh memainkan peranan ini kecuali Pas yang kebanyakan pemimpinnya lebih cenderung bermain dengan al-Quran dan Hadis dalam berhujah. Parti-parti lain termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih melihat kepentingan pemimpin utamanya mahu jadi perdana menteri dan merasakan dialah yang paling layak bagi mengisi jawatan itu tanpa mengambil kira kemungkinan yang bakal berlaku jika kerajaan betukar tangan, serta dimuhasabah diri kenapa Allah menyurat dan mentakdirkan dia ditimpa pelbagai masalah menjadi laluan untuk ke kerusi perdana menteri tersekat.

Apa yang berlaku di Pulau dan Selangor sepatutnya dirujuk dengan telus dan tulus.
Manakala Umno pula perlu memberi kerjsama kepada Pas dalam bentuk kena menerima ktirikan, cadangan, pandangan, teguran membina dan memorundum parti tanpa melihat Pas sebagai pembangkang berniat jahat dan bertujuan mahukan kerajaan hilang sokongan dan tumbangkan kerajaan.
Umno dan Pas dalam kerjasama itu nanti kena buang buku lama (pendekatan berpolitik cara klasik) dan kena buka buku baru sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa, termasuk kena diperakukan bahawa peranan parti kerajaan dan pembangkang sama-sama peneting dalam amalan demokrasi.
Tidak rugi, malah tidak membazir rasanya kalau elaun ketua pembangkang umpamanya disamakan jumlahnya dengan elaun perdana menteri supaya jawatan itu dan perananan ketua pembangkang tidak dianggap 'lekeh' dan tidak ada 'kelas'. Paling tidak pun kena samakan dengan elaun timbalan perdana menteri dan diberi peluang dan ruang yang sama rata di media cetak dan elektronik arus perdana.
Bagi saya kalau kerjasama yang dimaksudkan menterpaksakan Pas menjadi sebahagian dari BN saya tidak bersetuju kerana ianya pada pendapat saya akan merugikan negara dari sudut kepentingan politik, malah jika itulah yang menjadi syaratnya, kerajaan yang ada akan lebih cepat tumbang kerana suara kepembangkangan yang dimiliki Pas yang memang ada keupayaan jitu untuk itu dengan sendirinya akan terkunci!

No comments: