Wednesday, June 17, 2009

MUNCUL KEMBALI (226) - KEMASKINI

Terkenangkan masa lampau sebagai orang Pas

BERTITIK tolak dari komen yang dihantar oleh penjenguk yang menggunakan Anonymous mendorong saya meninjau lokasi-lokasi yang dicatatkannya.

Anonymous dalam komennya menulis: kawe nampak di sekitar Kota Bharu, Kube Kerian dan Khalan Chepa ada di pasang sepanduk 'KERJAAN PERPADUAN - BONEKA UMNO. SAH!.Kita pakat lihat, kita pakat kelih, puak-puak PAS dah mula main sama sendiri doh. dah mula serang sama sendiri.Kalau manusia jenis main sama sendiri, bagi lelaki disebut GAY, bagi wanita disebut LESBIAN. Tapi puak PAS hok jenis masin sama sendiri baka dari keturunan Nabi Noh ada lagi Ko?Tok Guru Nik Aziz kena be'tul budok-budok, jangan dok ikut erel budok-budok. Kita sebagai orang tua buat cara orang tua, Pemimpin buat cara peminpin.Janganlah, kito dah kena pimpin ... masih nak memimpin.... payoh jugok....

Terbukti apa yang dikomenkannya benar, Anonymous serius dan bukan main-main, bukannya bertujuan untuk seronok dan buat jooke. Terima kasih atas maklumat ansa.

Melihat sepanduk 'KERJAAN PERPADUAN - BONEKA UMNO' di sana sini menyebabkan saya terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan kerana segala sendi dirasakan lemah dan seluruh badan tidak bermaya.

Sambil mengurut dada bagi menahan kesedihan dan dukacita yang teramat sangat dengan apa yang sedang berlaku kepada Pas sekarang, saya teringatkan arwah Pakcik Deraman (bapa saudara saya yang tinggal di Kampung Seberang Jeli, bekas pelajar Pondok Lati).

Apabila Pas kalah dan kerajaan Pas tumbang pada tahun 1978, beliau jatuh sakit kerana tidak dapat menerima kenyataan dan demamnya itu membawa kepada kematiannya. Apa yang berlaku kepadanya tidak ada dalam rekod sejarah Pas dan penyokong Pas macam Pakcik Deraman saya tentulah banyak jumlahnya.

Saya juga terkenangkan Cikgu Soh Tandak yang kuat Pas kena penampar orang Umno ketika beliau sedang mengajar di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Bechah Kelubi.

Beliau jatuh telentang depan murid darjah lima, termasuk saya sebagai antara muridnya. Si penampar Cikgu Soh yang merupakan orang kuat Hussein Serama bagaimanapun mati atas nama penyokong Angkatan Perpaduan Ummah. Cikgu Soh pula setahu saya sekarang sudah berpihak kepada Umno.

Juga saya terkenangkan Ustaz Abdullah Adam (guru saya di Madrasah Al-Balaghulmubin) yang ditago dengan tanah ko dan tahi yang dibungkus dengan daun keladi sebagai amaran supaya jangan kuat Pas.

Ustaz Lah, lepasan Maahad Muhammadi yang bersifat sederhana orangnya akhirnya menyerlahkan kebolehannya bertomoi sebagai seorang yang berasal dari Kampung Bakung yang bersempadan dengan Thailand.

Lepas itu beliau yang diamanahkan oleh Datuk Haji Muhammed Nasir supaya mengendalikan Madrasah Al-Balaghulmubin pada awal penubuhan sekolah agama rakyat itu tidak diganggu lagi.

Beliau kemudiannya menyertai Angkatan Tentera Malaysia sebagai imam tentera (sekarang dikenali dengan KOR Agama atau KAGAT) dan saya mendapat maklum sekarang beliau yang boleh membuatkan jamaah menitiskan air mata bila beliau bang, menetap di Bukit Gading, Tanah Merah.

Saya juga terbayangkan longgokan buah setol, tanah ko, parang bong, sadat, potong tengalung dan tongkat batang langsat diisi dalam lori yang bawa pengundi kampung saya ke tempat mengundi di Baroh Pial.

Peralatan itu semua adalah untuk dijadikan senjata bagi menghadapi serangan dan ugutan Pemuda Tahan Lasak Umno yang ganas dan sanggup balun penyokong Pas sampai lembek lotek, jika tunjuk lemah dan tidak melawan.

Tidak juga saya lupakan bagaimana saya yang membonceng motosikal seorang penduduk kampung tergulin-batin jatuh ke dalam selut lembek sqwqh apabila motosikal gagal dikawal ekoran terkejut oleh bunyi letupan bedil tarik (mercun) yang direntang di tengah jalan dan dirempuh. Kami ketika itu (waktu malam) dalam perjalanan pulang selepas menampal poster pilihanraya.

Menjadi orang Pas dan berjuang dalam Pas dulu susah dan sangat merbahaya, terdedah kepada kemungkinan kena gocoh, kena tampar, kena sepak, kena tongkat batang langsat dan sebagainya.

Orang Pas ketika itu umpama timun berada dalam longgok durian, digolek dan menggolek akan terguris dan pecah. Hanya semangat dan demi untuk memelihara dan mengembangkan sebuah parti politik yang diasaskan oleh para ulamak, masing-masing tetap kuatkan semangat menghadapi segala dugaan dan ancaman.

Berjuang dalam Pas pada waktu itu juga (sebelum tahun 1990-an) sama seperti meneroka tanah haram di tengah hutan yang terpaksa berdepan dengan acaman harimau, singa, gajah dan pelbagai spesis binatang buas lagi, tidur pun tak berapa lena dibuatnya.

Orang Pas ketika itu berdepan dengan ancaman keganasan dan kesamsengan Pemuda Tahan Lasak Umno yang tidak akan dikenakan apa-apa tindakan apabila mendatangkan kecederaan kepada orang Pas yang dkerjakan. Tapi kalau orang Pas tampar orang Umno, alamatlah kena masuk lokap berminggu-minggu.

Masa tu terkenal dengan nasi gaul hampas nyior dan abu bila masuk lokap. Saya tidak pasti sama ada betul ke tidak mereka yang dilokapkan diberi makan nasi gaul hampas nyior dan abu ketika itu. Saya tak ada pengalaman tentagnya kerana saya tidak pernah dilokapkan.

Ketika saya masuk lokap kerana lupa bawa kad pengenalan sepulangnya saya dari mengunjungi bapa saudara (Pakcik Deraman) dan emak saudara (Maksu Mekyam) di kampung Seberang Jeli, saya diberi makan nasi bungkus lauk ayam goreng. Masa tu komunis masih aktif, orang yang keluar-masuk ke mana-mana kawasan yang termasuk dalam Jajahan Jeli sekarang diperiksa rapi.

Apa yang saya lihat di Kemboja (di muzium kenangan Perang) semasa mengikuti rombongan Menteri besar Kelantan ke sana beberapa tahun yang lampau, pesalah dijelkan dalam kedaan duduk mencangkung dan dikonkrit. Pesalah akan mati dalam keadaan begitu dan terpaksa menanggung siksa yang sukar untuk diperikan.

Ada yang ditebuk tapak kaki dan tangan, disekerukan pada katil besi dalam keadaan menelentang dan dinyalakan api dibawahnya. Peta Komboja di stadium berkenaan dibentuk dari tengkorak manusia, membuktikan betapa ramainya korban mangsa keganasan perang.

Itulah suatu bentuk keganasan yang kita semua kena pastikan supaya negara kita jangan dibawa ke arah kemungkinan berlakukanya huru hara dan ketegangan bersenjata. Justeru itu dalam berpolitik kita kena berpada-pada, kena utamakan kerasionalan an keprofesionalan, kena guna kepala berotak dan berakal, jangan guna kepala lutut.

Berbalik kepada Pas waktu dulu, waktu malam kalau berbual dan memolekkan Pas sambil duduk di atas bendul, alamat labu betis akan dicerut guna sadat.

Bila dilapor kepada polis, tidak ada sebarang tangkapan dibuat, kononnya tidak ada cukup bukti dan saksi untuk pendakwaan. Wakil rakyat Pas mati kena kapak, sampai sekarang pun pengapaknya tidak didakwa.

Pas dibina dan dimantapkan dalam segala macam kepayahan dan ancaman. Dalam serba kepayahan itulah Pas terus didewasakan sebagai sebuah parti politik sehingga boleh jadi macam sekarang. Kerana itu Pas kena dijaga dengan baik, jangan ada yang cuba jadi juara untuk pecah-belahkan Pas dengan apa tujuan dan maksud pun.

Orang Pas yang tidak terlibat dengan menghidupkan ranting-ranting Pas tidak akan alami pengalaman ngeri dan menakutkan. Kerana itulah orang Pas dulu akan menjadi orang Pas sengoti, tidak gila berebut balak atau harapkan apa-apa balasan.

Malah untuk dilantik sebagai ketua dan AJK ranting pun akan saling tolak menolak takut merasa diri sendiri lebih istimewa dari ahli yang lain, bukannya berebut macam sekarang sampai bertanding jawatan pun berkempen macam pilihanraya untuk dapatkan jawatan, sampai sanggup burukkan lawan dari parti sendiri.

Melihat kepada apa yang sedang melanda Pas sekarang, saya bertanya pada diri sendiri kenapa setelah berusia 55 tahun dan setelah Pas tidak lagi berimejkan parti dukungan dan sokong ustaz-ustaz sekolah agama rakyat dan sekolah pondok, maka tokoh-tokoh besar yang sakan ilmu boleh bertelagah sesama sengiri sehingga boleh dipasang kain rentang untuk isu yang sebenarnya boleh diselesaikan di meja rundingan.

Kenapa setelah ibarat kebun sayur yang pokok sayuran-sayurannya sudah pun cukup matang untuk dipetik, ianya tergamak diracun mengunakan racun yang boleh memampuskan segala macam pokok sayur-sayuran, hanya kerana barangkali ada seekor dua makhluk perosak.

Mungkin boleh dialasankan sekiranya perentangan kain rentang itu menyebabkan pelakunya tersepit oleh tindakan displin parti, maka akan dituduh Umno yang sengaja membuat dan merentang kain-kain rentang itu bagi pecah-belahkan Pas, sama seperti sering didakwa kononnya media salah lapor dan salah faham yang membabitkan tokoh-tokoh tertentu.

Apa yang sedang berlaku dalam Pas sekarang lazim berlaku dalam Umno. Tetapi setelah percakaran sesama sendiri sudah hampir tidak lagi berlaku lagi dalam Umno, ianya berlaku pula kepada Pas sebagaimana banyak yang Umno lakukan sebelumnya dan kini sudah dianggap tidak releven lagi oleh orang parti itu, kini dilakukan oleh Pas, menjadi trend kepada orang Pas berpolitik.

Terkenangkan kepayahan masa lalu jadi orang Pas serta betapa Pas sedang menghadapi masalah pertelagahan terbuka apabila kepimpinan dan keahlian parti kini terdiri dari bijak pandai, membuatkan air mata meleleh walapun saya kini menjadi orang tidak parti lagi(kerana saya rasa itulah yang terbaik buat saya).

Pada saya ada hikmahnya kenapa Pas dan rakan-rakan dalam PR tidak ditakdirkan berjaya menumbangngkan Umno/BN untuk mengambli alih pemerintahan negara selain hanya diuji dengan kemenangan hanya pada beberapa buah negeri sahaja dan rakyat Malaysia boleh nilai sendiri apa yang jadi kepada orang Pas/PR dengan ujian kemenangan yang dicapai itu seandainya berjaya menjadi kerajaan pusat.

Dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Sultanah Zainab, saya memandu kereta dalam keadaan fikiran serba kacau, malah pada satu lampu isyarat saya hanya sedar lampu hijau dah menyala apabila para pemandu di belakang membunyikan hon, tentu masing-masing marah kerana kelancaran pemanduan mereka tersangkut apabila saya belum bergerak walaupun lampu hijau dah agak lama menyala.

Pada kesempatan ini saya mengambil kesempatan memohon maaf kepada pemandu-pemandu terbabit kerana kealpaan saya yang melayan kekacaun fikiran saya sendiri.

2 comments:

Anonymous said...

Bukan kaum Nabi Noh tu.... sebetulnya Kaum Nabi Lut. Nama Nabi pun tak ingat. Macam mana ni.

Gu serumah sewa meli masa maktab adabi said...

Yang bertukar nabi Noh dengan Labi Lut tu penghantar komen (Anonymous) bukannya Meli. Setahu aku Meli masa sekolah dulu peminat sejarah, dia boleh hafal cerita-cerita sejarah, patutlah dia boleh jadi penulis.
Aku dengar orang dok bekecek Tok Guru marah ko mu boktan tulisanmu dalam Utusan Malaysia. Sampai nak saman. Mu tulih begapo Meli. Aku tau mu jenis hati berani. Mu kata sokmo masa sekolah, kalu bukan untuk jadi berani, mu tak akan dizahirkan ke dunia awal-awal lagi