Thursday, June 25, 2009

MUNCUL KEMBALI (240) - KEMASKINI

Tolak Umno terima DAP, tepat ke tidak tindakan Pas?

SAMA ada secara tergesa-gesa atau hasil timbang-sukat yang sangat teliti, keputusan telah pun dibuat oleh pimpinan Pas supaya dilupakan gagasan kerajaan perpaduan.

Maknanya sesiapa pun dimahukan agar jangan diungkit-ungkit lagi tentang perkara itu, pasti kerana keperluan politik, khususnya bagi keperluan parti politik Pas.

Tetapi adat mencari ilmu, apa yang tidak tahu tidak boleh dibiarkan dalam keadaan terus tidak tahu, yang meragukan tidak boleh terus dibiarkan begitu.

Sebaliknya kena ditanya, dikaji dan dicari sehingga diketemukan jawapan kepada apa yang diragukan walaupun memakan masa yang lama dan terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kesulitan.

Kerana itulah kita dituntut belajar dari buaian hingga ke liang lahad bagi ilmu-ilmu berkaitan dengan hukum hakam serta amal ibadat dan pembinaan iman dan taqwa secara langsung.

Kita juga disuruh mencari ilmu walaupun hingga ke negeri Cina untuk ilmu-ilmu yang berkaitan dan yang menjadi keperluan hidup sejahtera di dunia yang kena dipastikan pula selari dengan keperluan hidup sejahtera di akhirat.

Walaupun sudah berusia 53 tahun, mungkin kerana saya tidak berpeluang belajar hingga ke peringkat BA, apatah lagi MA, lebih-lebih lagi ke peringkat Ph D, saya masih ragu dan ingin tahu tentang apa yang saya tidak tahu dan yang saya ragu: kenapa Pas boleh menolak kerjasama dengan Umno uamg kononnya sekular tetapi boleh pula bekerjasama dengan DAP.

Saya yakin ramai di kalangan rakyat negara ini, termasuk pemimpin, ahli dan penyokong Pas juga (kecuali mereka yang banyak ilmu macam Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat) ingin tahu dan juga ragu berhubung perkara berkaitan dan perlu diberitahu atas nama tuntutan hukum hakam, bukannya menggunakan jaapan parti politik.

Ini adalah kerana walaupun Umno dianggap berparti politik dan berpolitik berpasakkan sekularisme, dalam kabinet ada menteri khas yang menjaga hal ehwal agama. Menteri yang dilantik pula tediri daripada tokoh yang ada ilmu dalam bidang keagamaan.

Jabatan dan agensi khas yang menjaga hal ehwal agama juga diwujudkan, malah siap dengan kompleks sendiri, bukannya menumpang di beranda, serambi atau kaki lima mana-mana bangunan jabatan atau agensi kerajaan yang lain bagi menunjukkan bahawa jabatan dan agensi yang menjaga hal ehwal Islam hamua pada tahap dan status asal ada sahaja.

Kerajaan Umno/BN tidak meletakkan jabatan dan agensi yang menjaga hal ehwal agama Islam pada tahap umpama melukut di tepi gantang di samping badan-badan seperti PERKIM diberi bantuan khusus untuk mengislamkan kalangan bukan Islam dan menjaga kebajikan mereka.

Di samping itu masjid dibina di mana-mana, membuktikan Umno tidak memisahkan diri dari agama, apatah lagi anti Islam. Orang Umno pun sembahyang dan mengadap ke arah kiblat yang sama dengan Pas serta membaca al-Quran dan Hadis yang serupa dengan yang dibaca oleh orang Pas.

Soal sembahyang dan segala macam amal ibadah orang Umno ditolak dan hanya sembahyang serta amal ibadat orang Pas sahaja diterima oleh Allah, bagi saya tidak ada manusia yang boleh tentukannya secara mutlak.

Kalau ada kepercaya itu, maka orang mempercayainya bagi saya tidak sempurna akidahnya, ianya dalam keadaan jahil dan menjadi tuntutan ke atas dirinya untuk belajar supaya dia ada ilmu mengenainya dan merdeka dari kejahilan.

MCA, MIC dan berbelas lagi parti-parti komponen BN yang berleaderkan Umno tidak pernah menunjukkan penentangan secara terbuka terhadap apa juga usaha untuk memelihara dan mengembangkan syiar Islam.

Sedangkan DAP berulangkali menegaskan apa jua usaha untuk mengislamisasikan pemerintahan negara ini akan ditentang. Jika Pas laksanakan pemerintahan Islam, DAP akan halang. Ada pemimpin besar DAP kata, kalau mahu laksanakan pemerintahan Islam, kena langkah mayat dia dulu.

Parti Keadilan Rakyat walaupun pemimpin utamanya orang Melayu beragama Islam tetapi keanggotaannya ibarat ketulan ayam yang disembelih secara halal digaul dengan ketulan daging ayam mampus dipulas tengkuk dan dimasak dalam satu periuk.

Yang saya mahu tahu kenapa Pas yang kononnya dipimpin, dianggotai dan disokong oleh mereka yang menjalani hidup berpandukan rujukan al-Quran dan Hadis serta sentiasa menggelongsori hidup bukan sahaja atas landasan Islam tetapi jugas atas rel iman dan taqwa, boleh menolak kerjasama dengan Umno/BN tetapi memilih kerjasama dengan DAP dan PKR.

Saya masih bertanya-tanya sendiri apakah bersekongkol dengan parti yang secara terang-terang menentang penubuhan negara dan pentadbiran Islam menumbangkan Kerajaan Pulau Pinang yang berleaderkan parti bukan orang Islam tetapi tidak menentang Islam secara terbuka lebih betul dengan tuntutan Islam dan dianggap lebih berpahala kepada Pas?

Saya menjadi tambah ragu sama ada tindakan Pas menolak gagasan kerajaan perpaduan bagi menjaga hati dan perasaan DAP + PKR itu memang tepat dan patut atau pimpinan parti itu secara di luar sedar telah terbabas serta tergelincir dari landasan dan rel yang sepatutnya apabila saya membaca tejemahan sebahagian dari ayat 28 Surah Ali 'Imran yang bermaksud: "Janganlah orang-orang mu'min mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mu'min. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah......."

Wali jamaknya adalah auliaa': bererti teman yang akrab (komponen dalam pakatan parti politik?), juga membawa maksud pemimpin, pelindung atau penolong.

Maknanya orang mu'min tidak boleh berketuakan orang kafir, tidak boleh dilindungi atau dibantu oleh orang kafir. Ertinya kalau dalam PR sama ada pada peringkat pakatan parti politik atau kerajaan yang dibentuk, orang mu'min tidak boleh berleader, berperdana-menterikan orang kafir.

Apakah Pas yakin bahawa dalam PR, parti itulah yang telah, sedang dan akan 'leader'kepada parti-parti dalam PR. Apabila impian menjadi kerajaan terealisasi nanti dengan izin-Nya, apakah pemimpin Pas boleh yakin yang tokoh dari parti itu yang akan jadi perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri kanan dan sebagainya di samping apakah anggota kabinet akan dimajoriti oleh tokoh Pas atau tokoh Melayu bergama Islam dari parti-parti komponen yang lain dalam PR atau pun sebaliknya?

Atau apakah langkah tolak Umno tetapi menerima DAP dan PKR itu kerana orang Pas merujuk kepada sambungan ayat 28 Surah Ali 'Imran yang bermaksud: "..........kecuali kerana(siasah) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka (orang kafir?).......".

Soalnya dalam Umno mampu untuk menjadikan umat Islam tidak kena takut kepada orang kafir, apa yang menakutkan Pas kalau tidak bekerjsama dengan DAP dan PKR sehingga boleh menolak kerjasama dengan Umno yang menyahut kerajaan perpaduan yang digagaskan pemimpin utama Pas yang kemudiannya ditolak oleh pemimpin Pas, termasuk penggagas sendiri.

Apakah tindakan Pas itu boleh terlepas dari amaran Allah pada penghujung ayat 28 surah Ali 'Imran yang bermaksud: "....Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)Nya. Dan hanya pada Allah kembali (mu)"

Saya masih mencari ayat al-Quran dan Hadis untuk mendapat tahu apa yang saya mahu tahu dan bagi mendapatkan jawapan kepada apa yang saya ragukan berhubung dengan apa yang telah, sedang dan akan Pas lakukan.

Sebagai orang atas pagar, penilaian saya terhadap Pas atau Umno tidak akan serupa dengan penilaian pemimpin, ahli dan penyokong Pas atau Umno terhadap kedua-dua parti.

Saya khuatir Pas akan termasuk dalam jumlah mereka yang menyangka mereka sedang melakukan perbuatan (boleh juga disebut berparti politik, berpolitik) ahli syurga sedangkan sebenarnya mereka sedang melakukan perbuatan ahli neraka manakala pihak lawan pula yang dianggap melakukan kerja-kerja ahli neraka, sebenarnya melakukan perbuatan ahli syurga.

5 comments:

Anonymous said...

Adakah anda mengatakan semua, saya ulangi, semua yang di lakukan olih UMNO selama 50 tahun lebih itu memurtabatkan Islam. Buang judi, buang ISA , perbetulkan perjalanan pengurusan negara, mungkin kami ahli akar umbi PAS akan bersedia mendekatkan diri dengan UMNO. MUNGKIN.
Saya sarankan kan saudara untuk membaca buku buku sejarah politik Malaysia. Tak perlu PHD untuk memahami sejarah cuma yang perlu ada ialah keikhlasan dan hati yang terbuka. Mahu menerima kebenaran.

pemudacakna said...

Tulisan Abe Meli amat mencuit hati saya.
Untuk memurtabatkan Islam bukannya mudah. Bukan sekadar melaung-laungkannya. Saya berpendapat UMNO memperjuangkan Islam dalam diam, tidak menguar-uarkan secara terbuka. Hanya orang yang terbuka hatinya dapat menilainya. Kita harus sedar bahawa kemajmukan penduduk negara kita. Kalaulah semuanya Islam, amat mudah bagi kita untuk melaksanakan segala hukum hakam Islam. Sekiranya pakatan tidak rasmi boleh memerintah, bolehkah PAS memurtabatkan Islam? Saya rasa amat mustahil kerana PAS bukan leader dalam pakatan. Apakah tak jadi nak berpadu sesama Islam itu merupakan memertabatkan Islam?
Dalam hati saya tertanya-tanya, adakah patut orang yang kuat agamanya dapat berkawan dengan orang yang terang-terang menentang agamanya itu dinamakan memurtabatkan Islam? Apakah hukumnya.... Kita berserah pada ALLAH yang menentukannya.
Teruskan tulisan Abe Meli. Saya sudi membacanya walaupun kadang-kadang tulisan Abe Meli menyakitkan hati orang lain yang "tidak sewaktu dengannya".
Wassalam.

serupasekala said...

ABE LI

NAK JAGA PERTUBUHAN POLITIK BUKAN SENANG ABE LI OOI.

KITA HANYA SEKADAR SEDAP MULUT SAJE.

AMO RASA ABE KENA SELIDIK SEJARAH UMNO DAN PAS BERMULA DARI IANYA DITUBUHKAN SAPA LO NI.


AMO RASA PAK NIK AZIZ TAKSIR ADO SEBAB YANG TERSENDIRI.

CUBA TENGOK ASRI . DIA MASUK UMNO BAKPO PAS JADI PECAH.

PAH TU LAGU MANA AKHIR ASRI.

ORE KATA SEJARAH MENENTUKAN KEADAAN.

ORE KATA AMO TAK KATA.

HOK MOLEK NYA ABE LI KENA TULIS SEJARAH UMNO KEBAIKAN DAN KKEBURUKAN YANGG BERLAKU DALAM UMNO BERMULA DARI IA DITUBUHKAN ( SEMASA KAPAL LAYAR LAGI )

LEPAS TULIS PULAK SEJARAH KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PAS BERMULA IA DITUBUHKAN SEHINGGA KINI.TERMASUK BANYAK TOK GURU PAS .PONDOK KENA ISA UMNO.

AMO TAK PEHE KALU ORE TU KUAT NGAJI AGAMA 90 PERATUS SOKONG PAS.

BAK PO EH JADI LAGU TUH.

AMO NASIHAT ABE LI MENULIS BOLEH TAPI JANGAN SESEKALI MENCERCA KEPADA INDIVIDU INDIVIDU . TAKUT ADO HAK ORE ORE MASIN MULUT JADI TAK MOLEK KO KITA.

AMO INGAT SIKIT SIKIT JAH.

AMO DOK TENGOK ORE DOK NGOMEN ATAS FIKIR DIO JAH . KALU BOLEH ATAS FAKTA BUI LAH NAS DAN HADIS.

CONTOHNYA KENAPA BERLAKU PEPERANGA DIANTARA MUAWIAH DAN ALI.DAN PULAK ISTARI NABI BOLEH SOKONG MAAWIAH.

PAH LAGU MANA NI MUAWIAH DOSA KO LAWAN ALI KERANA ALI ISLAM ATAU PUN ALI DOSA KO KERANA LAWAN MUAAWIAH KERANA MUAWIAH ISLAM.

CUBA RENUNG DAN AMBIL IKTIBAR SEBAIK MUNGKIN.

WAALLAH HUA'ALAM.

AMO ADO KETA BURUK NAK JUAL ABE LI BELI LAGU MANA .BERAPA PULUH RM SEKILO.

ADOKALA BERDIAM DIRI LEBIH BAIK DARIPADA BERSUARA.

Pak Nyah Kopiah Tajam said...

Faedah besar yang rakyat dapat kerana beri mandat pada PR bila di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dimenangi PR, semua pusat perjudian, bar dan segala pusat yang ada unsur maksiat dah bertukar jadi masjid, surau dan madrasah belaka.
Di Perak pun khabarnya masa Nizar jadi MB, pusat judi, pusat hiburan dan pusat-pusat maksiat bertukar jadi masjid, surau dan madrasah tetapi kembali kepada asal bila Zambry jadi MB.
Katanya, kaki-kaki TOTO dan 4 Nombor Ekor kena pergi ke negeri-negeri yang bekerajaan-erajaankan Umno/BN untuk lepaskan giat berjudi dan berbuat maksiat.
Itu yang saya diberi fahamlah oleh orang Pas. Betul ke tidak Meli kena tulis dan dalam blog ni. Saya pun akan pangkah PR kalau negeri-negeri yang diperintah PR tidak ada pusat-pusat perjudian dan pusat hiburan macam negeri-negeri yang diperintah Umno/BN.
Untunglah orang Pulau Pinang (dapat KM pun zuhud macam Umar bin Abdul Aziaz), Kedah dan Selangor: hidup tanpa maksiat judi dan hiburan. Baru ada kelayakan masuk syurga belaka.

Ahli Pas sejak 1956 said...

Saya setuju sangat dengan Pakmuda, nak memertabatkan Islam bukan mudah, bukan sekadar laung-laung, kalu Meli dia akan sebut retorik.
Sesuai dengan apa yang dilaung-laungkan oleh orang Pas tentang Pas itu sendiri, saya rasa orang Pas, terutama pemimpin utama kena jaga mulut.
Jangan samakan Umno dengan Ayah Pin, Komunis dan Cheng Peng. Nampak sangat cara main politik gaya budak-budak.
Jangan ingat bila orang sakitkan hati orang, maka orang akan berdosa tetapi bila kita sakitkan hati orang tak berdosa. jangan cakap seolah-olah kita dah ada senarai nama dalam syurga.
Maki-maki lepas tu minta maaf, guna sollu 'lah kononnya. Sama-sama Pas takpolah, muga masing-masing tengok tok guru suci dan cuci, kononnya kalau kata yang tak elok akan herok mulut, akan ditimpa bala dan sebagainya tanpa disedari kepercayaan begitu boleh punahkan akidah (kalau ikut kata Meli 'lah.
Anonymous yang tanya apakah semua yang di lakukan oleh UMNO selama 50 tahun lebih itu memurtabatkan Islam, hakikat bukan mudah. Di Arab Saudi pun tak boleh buat. Buat secara perlahan-perlahan, pastikan negara aman, umat Islam boleh sembahyang dan beriktikaf dalam masjid tanpa bimbang akan dibom macam di negara-negara lain.
Saya bersetuju dengan kata Meli, orang Melayu (Islam?) di negara ini hanya perlu dua parti sahaja, tak suka Pas mahu Umno, tak suka Umno masuk Pas, baru tidak cacamarba jadinya.
Dalam berpolitik kena sederhana, jangan terlalu celupar, sampai samakan lawan dengan benda-benda yang tidak sepatutnya. Kalau apa yang disamakan itu tidak sama, berdosa malah akan melantun dan menimpa kepala sendiri.
Kalau Pas leader PR, saya yakin orang Melayu akan solid sokong Pas. Kalau DAP atau PKR yang jadi leader, orang Melayu yang sokong Pas sekarang akan kembali sokong Umno pada pilihanraya umum ke-13 nanti. Mulut celupar Nik Aziz antara punca orang Melayu Islam akan fikir banyak kali sebelum sokong atau terus kekal sokong Pas.
ISA bukan urusan Umno tetapi urusan polis. Kebetulan kerajaan memerintah adalah Umno/BN, maka bila seseorang kena ISA, orang akan anggap kerja Umno. Bukankah orang Umno pun kena ISA juga. Polis tentu tahu apa perlunya seseorang itu diISAkan. Kalau Pas perintah pun, ISA kena diadakan juga walaupun mungkin ditukar nama lain tetapi fungsinya sama.
Serupasekala, saya tak berapa setuju bila tuan kata AMO TAK PEHE KALU ORE TU KUAT NGAJI AGAMA 90 PERATUS SOKONG PAS. Ahli Pas ada berapa, ahli Umno ada berapa jumlahnya. Peratus yang tuan berikan tu sangat tidak tepat.
Percaya pada orang mulut masin sebenarnya satu wabak dan warisan kepercayaan orang Melayu kuno yang percayakan keramat pusu jantan, pokok besar dan sebagainya. Bagi saya kepercayaan macam tu boleh rosakkan akidah. Orang yang ada kepercayaan macam tu bagi saya tak layak jadi orang Pas kalau Pas betuk-betul berpolitik selari dengan Islam.
Yang Pak Nyah Kopiah Tajam dapat maklumat tu tidak betul. Bukan sahaja kedai judi dan pusat hiburan tidak ada satu pun yang bertukar jadi masjid, surau dan madrasah, tetapi di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor benad-benda macam tu boleh ditemui dengan mudah. Saya pernah pergi ke neger-negeri berkenaan, saya juga pernah ke Perak masa Niza jadi MB, kedai toto dan 4 ekor ada merata-rata, di pekan sekecil Perkan Beruas pun ada kedai 4 ekor.
Terengganu sekarang ni di perintah Umno/BN, tak ada sebuah pun kedai TOTO dan 4 ekor sekarang ni.
Minta maaf Meli, ambil ruang agak panjang lebar untuk nyatakan pendirian saya. Bagi saya tulisan Meli boleh membuka fikiran, malah lambat laut akan dapat membasmi wabak dan sindrom taksub yang lebih menular dalam Pas berbanding dengan dalam Umno.