Manusia yang dilahirkan ke dunia bukan semuanya berotak se 'bisa' otak Tok Guru Nik Aziz belaka
UNTUK pertama kali dalam menghadapi keterkapitan dan ketersepitan kerana 'cakap lepas'nya, Mursyidul Am Pas, Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kali ini tidak menyalahkan media yang sering didakwa salah lapor atau sengaja memutar-belitkan kenyataan, apa yang diceramah, disyarah, dikuliah dan disidang-akhbarkannya.
Kali ini berkaitan dengan isu menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat Ayah Pin, juga Umno dianggap mempunyai ideologi sosialis kerana menolak agama dan prinsip ketuhanan.
Betul ke Umno menolak agama dan prinsip ketuhanan? Sebanyak mana alim ulamak yang telah dibunuh oleh Umno? Sebanyak mana masjid, surau, madrasah, sekolah agama, al-Quran dan kitab-kitab hadis yang telah Umno bakar?.
Orang Pas sendiri dah berapa ramai yang kena tembak dan dibom oleh Umno, yang terpaksa hidup di khemah-khemah pelarian kerana Umno, yang hidup merempat dan melarat?. Bukankah jumlah orang Pas yang lebih kaya dan senang linang dari orang Umno berlambak-lambak?.
Samad Gul kena kapak kalau itulah yang mahu dianggap kekejaman Umno, saya diberitahu wakil rakyat Pas itu dikapak bukan kerana percanggahan politik pun, tetapi kerana ada isu lain bersifat peribadi yang sengaja tidak dimaklumkan kepada umum berdasarkann surat-surat peribadinya yang ditemui.
Apakah para mufti dan tokoh-tokoh macam Tan Sri Harunsani Zakaria, Mahmud Zuhdi Abdul Majed, Mohd. Asri Zainalabidin, Noh Gadut dan ilmuan Islam yang berlambak-lambak yang menjadi pensyarah di pelbagai universiti, yang bertugas di JAKIM, IKIM dan yang menjadi kadi, ustaz, imam, bilal, siak masjid dan sebagainya di seluruh negara yang tidak berpihak kepada Pas sama dengan pengikut ajaran sesat Ayah Pin?
Apakah orang-orang yang berilmu macam mereka walaupun mungkin tidak setanding dengan ilmu Tok Guru Nik Aziz, terutama dari taanggapan dan timbang-sukat orang Pas, tidak tahu tentang halal haram menyokong dan menyertai parti politik selain dari Pas?.
Lagi pun atas alasan dan faktor apa maka Pas berani digezet sebagai parti Islam sehingga boleh dikatakan sokong/mengundi Pas boleh pahala, tolak Pas berdosa.
Mungkin alasan itu menjadi kepercayaan orang Pas tetapi tidak boleh mutlak dan orang lain boleh bahas dan boleh untuk tidak setuju. Bukankah Pas itu sendiri pendaftarannya diluluskan oleh seorang pegawai pertubuhan beragama Hindu?.
Maklumat mengenainya ada termuat dalam buku tulisan Allahyarham Cikgu Mohd. Amin (Bachok), bukan fakta yang saya gali dari musuh-musuh Pas.
Kalau tidak silap saya Allahyarham pernah menjadi speaker kerajaan Pas di Kelantan ketika Tan Sri Mohd Asri Muda atau Dato' Haji Muhammad Nasir atau pada era Tok Guru Nik Aziz jadi Menteri Besar. Saya kurang pasti tentangnya.
Dato' Haji Nik Aziz sering sebut dalam ceramahnya bahawa beliau menyertai Pas apabila ramai tok-tok guru dikenakan ISA. Betulkah dakwaan itu atau beliau cuba mencipta fakta.
Saya pernah diberitahu oleh seorang pemandu di SUK bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengajak Tok Guru Aziz masuk Pas atas suruhan Allahyarham Nik Abdullah Arshad, ayahnda Ustaz Mohd Amar, exco kerajaan negeri Kelantan sekarang.
Waktu itu Tok Guru Nik Aziz bertugas sebagai 'guru sekolah buta', mengajar orang dewasa membaca dan menulis di jajahan Bachok. Jabatan yang menaungi 'sekolah buta' itu kini adalah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), bawah Umno 'lah. Pada masa yang sama beliau mengajar di Ma'ahad Muhammdi.
Kononnya masa dipilih bertanding sebagai calon Pas bagi kawasan Kota Bharu Hilir (kini Pengkalan Chepa) pada tahun 1967 (saya berusia 11 tahun ketika itu), ekoran kematian Ahmad Prai selaku ahli parlimen kawasan berkenaan, Tok Guru Nik Aziz belum pun lagi jadi ahli Pas.
Betul ke tidak apa yang diberitahu kepada saya itu sukar untuk dipastikan tetapi saya mencatat segalanya dalam usaha saya untuk melahirkan pelbagai judul buku mengenai Tok Guru Nik Aziz pada suatu ketika.
Saya juga mendapatkan maklumat tentang Tok Guru Nik Aziz dari individu yang saya panggil Abang Man dan Encik Ariff. Juga dari Pok Yib, anak kepada Tok Khurasan yang mendakwa menjadi rakan setiduran sewaktu Tok Guru Nik Aziz menjadi murid Tok Khurasan dulu.
Pok Yib adalah merupakan sepupu kepada Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand yang beragama Islam dan pernah mengetuai rampasan kuasa menjatuhkan Thaksin sebagai Perdana Menteri negara gajah putih itu.
Sampai ke situ saya mendapatkan maklumat kerana ianya menjadi keperluan untuk saya sebagai penulis. Maknanya apa yang dicakap, disyarah, dikuliah dan disidang-akhbarkan oleh Tok Guru Nik Aziz saya ikuti dan catat sama ada dengar hadir sendiri atau memetiknya dari media cetak atau elektronik.
Maknanya kalau saya menulis mengenai Tok Guru Nik Aziz bukan dalam bentuk hentam kromo tetapi melalui rujukan kepada maklumat-maklumat yang ada dalam simpanan saya.
Kerana itu saya berani katakan, inilah kali pertama dalam menghadapi keterkapitan dan ketersepitan kerana 'cakap lepas' nya, Tok Guru Nik Aziz tidak menyalahkan media.
Beliau juga jarang membantu membetulkan salah faham para penyokongnya yang taksub untuk mengelak dari kemungkinan punah akidah.
Misalnya dalam kes kononnya tengok gambar beliau pun sudah dapat pahala, tidak ada kenyataan melarang agar kepercayaan sedemikian dikikis dari pemikiran para penyokong Pas.
Bagi saya kepercayaan melihat gambar Tok Guru Nik Aziz sudah boleh pahala adalah satu pemujaan berbentuk memberhalakan sesama manusia yang kena dibendung.
Ada juga kepercayaan kononnya kalau cakap bukan-bukan mengenainya akan menyebabkan yang bercakap itu akan ditimpa bala, kalau beliau sembahyang hajat minta turun hujan maka hujan pun turun dan sebagainya.
Walhal orang yang limpar bangkai dan lontar batu bagi mencederakan Rasulullah s.a.w. pun tidak ada disirahkan herok mulut atau jadi kerekok tangan dan kaki, kenapa pula Tok Guru Nik Aziz boleh jadi lebih keramat dari Nabi.
Kepercayaan tentang kekeramatan beliau yang menjadi kepercayaan para penyokong Pas seingat saya tidak pernah dibetulkan, tidak dibuat kenyataan bahawa kepercayaan tentang kekeramatannya adalah bercanggah dengan hukum hakam.
Nabi pernah kalah perang, pernah mengalami lapar dahaga, malah pernah terpaksa berpindah dari Mekah ke Madinah ekoran dari ada perancangan kaum kafir Quraisy untuk membunuh baginda.
Walhal kalau Nabi mahu dan berdoa kepada Allah, mereka yang terlibat merancang atau yang menyertai kumpulan yang mahu membunuh baginda itu boleh bertukar menjadi batu atau menjadi kibas untuk nantinya disembelih dan dimasak kari.
Berbalik kepada kes menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat Ayah Pin yang mana Tok Guru Nik Aziz kata ianya hanyalah dalam bentuk kiasan walaupun apa yang dikatakannya memang betul bersifat kiasan tetapi bila nak kata sesuatu sebagai pemimpin, kenalah diambil kira tahap keilmuan audien yang mendengarnya.
Tok Guru Nik Aziz kena ingat bahawa bukan semua manusia yang dilahirkan ke dunia ini berotak se 'bisa' otak beliau belaka yang boleh faham dan bezakan dengan mudah antara tuduhan totok dengan kiasan.
Saya yakin, ramai yang percaya bahawa Tok Guru Nik Aziz memang samakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat Ayah Pin sebelum beliau muncul mengatakan bahawa apa yang dikatakannya itu adalah kiasan.
Kalau apa yang dikatakan itu terlekat pada pemikiran dan kepercayaan ahli dan penyokong Pas dan mereka bukan menganggapnya sebagai kiasan, apakah ianya mendatangkan pahala atau dosa?
Saya sering dengar semasa bertugas dengan Urusetia Penerangan dulu ada kakitangan urusetia yang juga merupakan pimpinan Pas peringkat kawasan mengajak seseorang dengan kata: "mari masuk Islam" bersifat mengajak orang Umno masuk Pas.
Mungkin niat si pengajak orang Umno masuk Pas dengan menyebut "mari masuk Islam!" adalah untuk bergurau tetapi apakah gurauan seperti itu mendatangkan pahala atau dosa?
Apakah ajakan itu mendatangkan pahala atau membawa kepada dosa?
Friday, June 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
8 comments:
sekarang ni ajak pm berdebat lak...dulu marah kan hj hadi nak berbincang dengan pm.... tapi apa hal lak ajak debat... kalu nak larikan isu kata macam2 kat umno dengan ajak debat....orang da nampak....
MB KELATE NI BOLEH TERIMA LEE KWEN YU BERCAKAP...BERBINCANG....ANGKAT IBU TANGAN MAKNA BAGUSSS....BIKA BERJABAT TANGAN DGN LEE KWEN YU...TAPI APASAL DENGAN PM MALAYSIA AJAK BERDEBAT...BERBINCANG ELOK2 TOK LEH KO.
Kalu manggak sangat dengan kehebatan diri sampai nampak cula riak, tunggu la wei...nyo bertemu la tu rabu dengan khomis.
Sdr MKJ,
Tuan sering menyebut yang tuan ...."pernah kerja di Uruetia Penerangan Kerajaan Kelantan" dan "berlatar belakang pengajian Islam"; bila berhujjah nak canggah TGNA/PAS.
Apa maksud ayat2 ini diulang2 sebutnya ..... apakaah nak pamirkan kehebatan "keilmuan" tuan dan lebih berhak dari TGNA? atau lebih hebat dari dikalangan orang2 PAS yang bebal (pada pandangan tuan)?
TGNA menyebut dengan ayat2 yang jelas ...... mana2 pihak yang tolak agama itu seperti sosialis/ komunis. ..........................
UMNO terasa ke? ..... ..... jika UMNO tak pernah tolak satu huruf/ satu ayat dari Alqur'an? Apa nak dirisaukan ................................... rakyat pun semakin faham terhadap maksud sebenar Islam. .... mampu menilai secara maksudnya ............. mana satu betul, mana satu salah .............. doh guano gamok sdr MKJ?
Pak Meli,
Mula dengan Nizar, kat Perlimen dia kata tindakan dia spontan, penyokong dia percaya ....tapi kita tengok dia telah bersiap siap sedia dengan head band dan kita persoalkan ... penyokong wajib percaya pada Nizar.
Karpal Singh tuduh, Najib dalam Perlimen pasal hunis Keris,... bila orang debunked tuduhan tu palsu.. tup tup esok dia kata kalau tak de buat, tak payah lah nak panjang panjangkan cerita tu. Penyokong dia tetap percaya dan wajib percaya kat KARPAL
Lepas tu, Nik Ajis lah buat cakap lepas. Lepas tu dia kata khiasan.. kiasan ape kejadahnya.. tapi sebab dia TOK GURU, adalahlah penyokong dia yang kata ketinggian ilmu Nik Ajis menjadikan kata katanya macam ayat al quran... memerlukan kemahiran yang tinggi dari segi bahasa kelantan,untuk mendalami maksud yang terselit dan terkeluar dari dicelah celah ....
Terpulanglah. Kalau semua Allah jadikan dalam golongan yang berSYUKUR dan berFIKIR, tak adalak balasan syurga dan neraka ye Pak Meli!!
Astaghfirullah hal a'zim,
Setahu ambo, ULAMAK mengajak manusia memhambakan diri kepada ALLAH bukan memBERHALAkan dirinya. Kalau ada orang memBERHALAkan dirinya, wajib baginya memberitahu bahawa perbuatan itu adalah SYIRIK terhadap ALLAH.
Wallahua'lam.
Pakteh Adam, Pakmuda, MKJ ...
Anda terlalu sinis terhadap TGNA, Nizar, dll .. yang tak berapa "sefikrah & sejiwa" dengan anda... "budaya ampu dan tipu" inilah yang meranapkan UMNO selama ini!
Anda juga patut menilik kepada "gayalaku pemimpin2 UMNO sekarang" mengapa orang Melayu semakin juak & jelak,.... apakah mereka yang ada sekarang serupa tak dengan pemimpin UMNO dulu seperti Tun Ab Razak, Tun Dr Ismail, Datuk Harun Idris, Syed Nasir, Syed Jaafar Albar, ...... "korbankan diri untuk rakyat & negara"
Tetapi rakyat & Melayu semakin menjauhi UMNO sekarang, kerana para pemimpinnya ramai yang jenis "korbankan rakyat, agama & negara untuk diri sendiri" ......
Renungilah sejenak ............ wallahu 'alam bissawab.
Post a Comment