Thursday, July 9, 2009

MUNCUL KEMBALI (265)

Pas lahir dari inisitiaf mereka yang berpendidikan agama dalam Umno

APA yang Meli tahu tentang Pas untuk bercakap dan mengulas mengenainya? Meli menolak keras Pas sebagai parti Islam, malah menganggap akan rosak akidah jika mempercayai bahawa Pas itu Islam dan Islam itu Pas.

Itu antara lain pertanyaan yang diemailkan kepada saya oleh seorang yang mendakwa penjengok setia blog saya. Sebenarnya saya tidak mendapat tahu tentang apa itu Pas secara langsung kerana saya dilahirkan ke dunia ini selepas enam tahun Pas ditubuhkan.

Saya yakin kebanyakan wakil-wakil rakyat Pas dan pimpinan Pas yang ada sekarang sebahagian besarnya tidak mendapat maklum secara langsung tentang apa itu Pas, selain dari pembacaan atau cerita lisan.

Mursyidul Am Pas, Dato' Haji Nik Abdul Aziz sendiri baru menyertai Pas pada tahun 1967, yakni 16 tahun selepas kewujudan Pas. Saya yakin beliau juga banyak mendapat maklum tentang Pas melalui bacaan dan cerita lisan.

Orang yang terlibat secara langsung dalam penubuhan Pas, terutama di Kelantan seperti Tan Sri Mohd. Asri muda dan bonda serta ayahnda kepada Tengku Amran Shah (PTN yang dipecat oleh kerajaan Pas Kelantan ) telah pun pulang ke alam barzakh.

Sebagai peminat sejarah dan pengamal media, saya banyak membaca sejarah Pas. Kebetulan pada era Dato' Haji Muhammad Nasir sehingga tahun 2005, saya berada dalam Pas secara tidak langsung walaupun hanya pada kelas sebiji kelapa yang teroleng-oleng di tengah lautan luas sahaja.

Saya juga membaca sejarah penubuhan Umno, MIC. MCA, DAP, PKM, PSRM, (kini dibuar dan bergabung dengan PKR), S46, Gerakan, Hamim, Berjasa, Parti Negara, PBS, Parti Bumiputera Sarawak, Akim, PPP, IPF Parti Bansa Dayak, PKR dan sebagainya. S46, Hamim, Akim, Berjasa, PKR, IPF dan PPP ditubuhkan ketika saya sudah kenal apa itu politik.

Saya akui bahawa saya menolak keras Pas sebagai parti Islam, malah menganggap akan rosak akidah jika mempercayai bahawa Pas itu Islam dan Islam itu Pas. Kalau dikatakan perjuangan Pas ada kecenderungan kepada Islam, saya setuju kerana memang ke arah itu Pas diwujudkan.

Pas atau mana-mana parti politik sekali pun hanyalah suatu pertubuhan politik yang boleh suci dan kotor kerana orangnya, terutama pemimpinnya selaku pencorak dan pewarna parti. Parti politik adalah sesuatu yang tidak bernyawa, tidak berjisim, akan tercorak ikut orang yang mencoraknya.

Parti yang dipimpin, dianggotai dan disokong oleh orang Islam boleh mendatangkan pahala atau dosa jika memimpin, menggagotai atau menyokongnya berdasarkan kepda bagaimana ianya dicorakkan oleh pemimpinnya, ia tidak akan statik sifatnya.

Mengaku Pas lebih Islamik dari Umno atau sebaliknya tidak boleh statik, terpulang kepada siapa penerajunya. Sejauh mana jasa dan jujur dalam mengembangkan syiar Islam, maka Islamiklah parti itu.

Tengok pula kejahatan yang dilakukan terhadap Islam dan umat Islam oleh sesebuah politik, maka dapatlah diukur sejauh mana penolakkan sesebuah parti itu terhadap Islam. Kalau kerana tidak terima Pas, maka Umno dianggap tolak Islam, itu tidak betul, malah kesempurnaan akidah patut dibuat pemeriksaan.

Kalau masjid dibakar, umat Islam yang mahu beribadah dihadang, peluang untuk rakyat yang berkemampuan untuk ke Mekah dihadang, al-Quran, hadis, dan kitab-kitab karangan ulamak muktabar dibakar, maka tuduhan menolak Islam bolehlah diterima.

Kalau kerana atas beberapa faktor, maka hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan tetapi dalam masa sama tidak menganggap hukum Hudud itu ciptaan Pas, maka ketoidak-melaksanakan hukum hudud itu tidak sampai menjadi kafir selagi ianya masig bersyadat dan tidak menyekutukan Allah.

Ianya hanya sekadar berdosa. Itu pun kalau ada keupayaan dibuat tetapi sengaja tidak mahu dibuat. Seandainya kalau dibuat akan mendatangkan musakah dan memudharatkan, rasanya tidak berdosa kalau hudud tidak dilaksanakan lagi pada waktu ini seperti mana kita dalam keadaan kalau tidak makan daging babi kita akan mati kelaparan, maka daging babi yang haram itu jadi halal dimakan.

Umat Islam negara ini masih baru bebas dari kepercayaan kewujudan penunggu, hantu dan sebagainya, malah masih ada sekarang ini yang percaya kalau sakit kerana buatan orang, perniagaan rugi kerana ada orang dengki yang bomohkan dan macam-macam andaian yang sarat dengan prejudis.

Belum ada yang terima bahawa sakit atau sihat, kaya atau papa adalah ujian Allah yang mana kalau diterima dengan redha boleh pahala, kalau berdukacita kerananya, maka akan berdosa.

Rakan-rakan yang kuat Pas pada pemerhatian saya masih ada lagi yang mempercayai buatan orang, disampuk hantu dan sebagainya. Ada yang percaya Pas kalah kerana Umno guna pengundi hantu atau pun orang dah mati pun mengundi serta SPR tidak telus adalah warisan percayakan tahkol mahyol.

Belum ada yang terima hakikat bahawa kalah atau menang menang telak terskrip dalam suarat dan takdir-Nya dan manusia, termasuk orang Umno tidak mampu menggunakan apa juga cara, termasuk menggunakan pengundi hantu (jika benar) berlaku untuk ubah suratan dan takdir.

Tidak menerima hakikat kekalahan sebagai suatu hikmah untuk memuhasabah diri mencari punca kenapa Allah tidak mentakdirkan menang, adalah antara sebab kenapa minat saya terhadap Pas mula luntur kerana berdasarkan kepada apa saya belajar (bukan sampai ke Mesir), saya tidak boleh menyokong Pas dalam keadaan Pas seperti sekarang. Tambah-tambah bagi saya wabak retoriksme sedang menular dalam Pas

Saya juga tidak menyertai Umno. Kalau pun nama saya ada terdaftar sebagai ahli Umno di samping sebagai ahli Pas, ianya adalah ada pihak mendaftarkan nama saya tanpa memeinta keizinan dari saya. Ertinya kalau kerana saya buat teguran dan kritikan, maka saya kena dipecat dari parti, saya tak akan rasa apa-apa kerana saya tidak berparti politik mana-mana tetapi saya akan tetap berpolitik tanpa parti.

Bagi saya peruang Islam sejati tidak akan terlibat dengan keceluparan, mengkafirkan sesama Islam, menolak segala kebaikan yang dibuat oleh lawan (walaupun dari kalangan bukan Islam), menganggap kita serba betul, serba hebat, serba perfect dan orang lain tidak betul belaka.

Pejuang Islam tulen kena bersih dari sebarang prejudis, dari bermulut dan berperut busuk, dari mencaci cerca orang lain sesedap mulut. Pemain politik Islam kena berparti politik dan berpolitik secara suci, tidak boleh menghalalkan cara walaupun cara yang tidak suci lebih menjamin kemenangan pada perkiraan sesama manusia, sedangkan menang atau kalah ditentukan oleh Allah Yang Maha Kuasa.

Saya menolak Islam itu Pas dan Pas itu Islam (sekurang-kurangnya pada waktu ini) kerana ianya seolah-olah dijadikan tiket untuk kita secara tidak langsung menyenaraikan sebagai ahli neraka bagi sekalian mereka yang seagama dengan kita yang bukan pemimpin, ahli dan penyokong Pas.

Ini adalah kerana kita tidak dapat membuat kepastian sama ada Pas atau Umno yang perjuangannya lebih selari dari Umno. Yang mendakwa Pas berjuang untuk Islam dan Umno menolak Islam adalah orang Pas. Umum pula nampak Umno banyak buruk dari baik kerana Umno adalah penunjang kepada kerajaan negara ini.

Belum tentu jika Pas duduk pada tempat Umno sekarang, apa yang boleh Pas lakukan terhadap Islam akan lebih baik dari yang telah Umno buat kerana rakan bukan Islam bagi menggantikan tempat MCA dan MIC dalam kerajaan Pas adalah DAP.

Kalau pun betullah pembangkang akan jadi kerajaan dan kerajaan akan adi pembangkang, siapa sebenarnya yang jadi leader, Pas atau DAP atau paling tidak pun PKR. Apakah kalau salah satu dari keduana menjadi leader, kerajaan akan diperintah ikut apa yang Pas mahukan.

Apakah kerajaan Pulau Pinang dan Selamgor kini diperintah ikut apa yang Pas mahukan. Apakah pusat-pusat perjuang dan hiburan di kedua-dua negeri, termasuk di Kedah sudah tihapuskan. Roboh tempat kerat babi yang berperasi secara haram pun dah bawa kepada DAP bertindak keluar dari PR di Kedah.

Kelantan bolehlah dibanggakan tetapi yang pasti SBJ menjadi lebih kerajaan dari kerajaan, di Jalan Zainal Abidin boleh wujud sebuah restoran yang kalau Tok Guru Nik Aziz menyamar masuk sebagai pelanggan barangkali boleh berusung ke hospital dibuatnya kerana diserang sakit jantung.

Sesungguhnya menjadi sebuah kerajaan tidak semudah menjadi pembangkang. Izinkan saya mengambil contoh apabila saya cuba menjalankan perniagaan. Sewaktu saya buat sendiri, beroperasi di rumah, urusan pemsaran dibuat sendiri, perniagaan saya berjalan dengan baik dan pesat berkembang.

Bila saya guna pekerja yang semasa datang temuduga mampu memberikan teori-teori yang membuatkan saya terpukau dan menjadikan saya sedar betapa tidak kena cara dan tidak berilmu saya berniaga ketika segala-galanya dibuat sendiri.

Tetapi akhirnya saya lingkup kerana ubah cara perniagaan. Umpamanya dalam senarai, akhbar yang diterbitkan kononnya kena dicetak 100,000. Macam mana pun sebagai permulaan berdasarkan kepada kemampuan yang ada, saya kata cetaklah dulu 50,000. Kalau terjual separuh dari 50,000 seminggu pun dah dikira banyak hasilnya untuk sebulan.

Bila siap dicetak, yang mampu diedar tidak sampaikan 20,000. Sebanyak 30,000 lagi tinggal tidak terusik. Maknanya kalau dicetak 100,000 tentulah yang tidak diedar akan berjumlah 80,000 kerana dengan dicetak 50,000 pun yang tidak diedar sudah berjumlah 30,0000 naskah.

Bila ditanya kenapa tidak sampai target jualan seperti yang diteorikan, alasan yang diberikan harga akhbar dijual dengan harga yang mahal, rekabentuknya tidak molek dan tidak profesional, alasan yang diberikan sudah tidak sama dengan semasa temuduga yang mana sampai merayu-rayu agar diambil bekerja.

Semasa saya buat sendiri termasuk layoutnya yang tidak semolek mana dan harga akhbar jauh lebih mahal, perniagaan saya berjalan lancar. Boleh mengumpul sejumlah wang untuk menyewa bangunan dengan kadar sewa RM2,500 sebulan sebagai markas operasi.

Tidak sampai setahun operasi, susah lelah saya bertahun-tahun lesap macam mencampak sesudu gula ke laut untuk maniskan air selautan dan bagaikan mencampak sesenduk gukla ke sungai untuk maniskan air sebatang sungai.

Saya catatkan hal ini untuk membuktikan bahawa belum tentu apa-apa yang diharap, diangan-angan dan diteorikan akan lebih baik daripada yang telah sedia ada.

Sebelum PR jadi kerajaan mungkin ada yang percaya PR akan lebih baik dari Umno/BN. Allah takdirkan PR menang di beberapa buah negeri bagi saya adalah untuk dijadikan bahan uji kaji dan pertimbangan majoroti rakyat negara ini apa yang bakal terjadi kalau Allah takdirkan PR memerintah dan Umno/BN jadi pembangkang.

Maknanya kalau pun benarlah Pas mampu menguasai Malaysia dengan izin-Nya, belum tentu keupayaan mentadbir negara akan mampu menyamai rekod Umno, apatah lagi untuk mengatasinya kerana dalam membuat sesuatu perkara, pengalaman adalah sangat penting.

Lihat sahaja negara-negara yang sering bertukar kerajaan, apakah yang berlaku bertambah baik atau bertambah buruk oleh tindakan saling jatuh menjatuh, malah boleh membawa kepada perang saudara. Apakah kita di malaysia sekarang hidup susah macam negara-negara lain, termasuk dalam urusan beramal ibadat?

Tentang pertanyaan apa yang saya tahu tentang Pas, maka saya catatkan sebagaimana berikut;

Pas atau nama Parti Islam Se-Malaysia (asalnya Persatuan Islam SeMalaya) adalah sebuah parti yang mendakwa bergerak mengikut lunas-lunas Islam.

Tujuan Pas diwujudkan oleh pengasas-pengasasnya adalah bagi mengimbangi perjuangan nasionalisme UMNO sebagai sebuah parti yang mendokong Islam.

Dengan tidak menafikan bahawa semangat perjuangan yang berteraskan kepada Islam di negara ini telahpun wujud semenjak tahun 1906 lagi, yang telah dibawa dan diperjuangkan oleh golongan pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah.

Antaranya termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd. Taha yang berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

PAS yang muncul pada tahun 1951 adalah atas kesedaran masyarakat Melayu pada waktu itu untuk melihat Islam dapat ditegak dan didaulatkan di negara ini.

Mengikut satu fakta sejarah, PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 23 Ogos 1951. Bagaimanapun, ada fakta lain yang menyebut bahawa PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 (Warta Negara, 26 November 1951 dan Utusan Melayu 25 November 1951).

Walaupun terdapat dua tarikh yang berbeza, namun bagi ahli-ahli sejarah dan tokoh-tokoh lama dalam PAS bersepakat mengatakan fakta kedua (24 November 1951) adalah tarikh kepastian PAS ditubuhkan.

Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31hb. Mei 1955 dengan Nombor Pendaftaran. 733 (Pulau Pinang). Pegawai pendaftar pertubuhan yang melulusa pendaftaran Pas adalah seorang yang beragama Hindu.

PAS kononnya adalah satu-satunya pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948.

Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.

Dalam usaha mereka menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kembali semula kepada Islam, pada tahun 1906 mereka telah berjaya menerbitkan sebuah majalah di Singapura yang diberi nama al-lmam. Selanjutnya pada tahun 1925 terbit pula akhbar Edaran Zaman di Pulau Pinang, majalah al-Ikhwan pada tahun 1926 dan Suara pada tahun 1928.

Dengan terbitnya akhbar dan majalah tersebut, golongan berkenaan telah berjaya mencetuskan Revolusi lntelektual di kalangan masyarakat Melayu dan akhirnya bibit-bibit kesedaran yang ditanamkan itu telah mendorong masyarakat Melayu untuk menubuhkan beberapa kesatuan atau pertubuhan bagi memajukan bangsa Melayu dan umat Islam pada tahun-tahun berikutnya.

Persatuan Melayu pertama bercorak politik secara nyata ditubuhkan di negara ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan lbrahim Haji Yaakob. la ditubuhkan pada Mei 1937.

Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran mahu memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British.

Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana ia telah diharamkan oleh Jepun semasa Jepun menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941 - 1945.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, sebuah parti politik baru Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak.

Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya berpindah tangan kepada Dr. Burhanuddin al-Helmi - iaitu seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris disamping bahasa Melayu.

PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh. Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah.

PKMM telah berjaya memperluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya.


Selain Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA) juga merupakan antara sayap atau bahagian dalam struktur organisasi PKMM.

MATA merupakan bahagian agama parti berkenaan. Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Tujuan PKMM melahirkan Hizbul Muslimin sebagai sayapnya adalah bagi mengumpulkan tenaga para ulama.

Sebagai sebuah parti Islam pertama di negara ini, Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam serta mewujudkan sebuah negara Islam atau Darul Islam.

Dalam pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO. Bagaimanapun, riwayat hidup Hizbul Muslimin berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai tujuh orang pucuk pimpinannya, termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Baqir sendiri di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulations.

Sungguhpun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.

Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pemimpin MATA dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah menggarap sebahagian besar dari ground work bagi melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS.

Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih tertonjol lagi apabila sebahagian besar dari bekas pucuk pimpinan pusatnya turut menyertai PAS dan memainkan peranan secara aktif.

Mereka antaranya termasuklah Ustaz Othman Hamzah, Ustaz Baharuddin Abd. Latiff, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi.

Besar kemungkinan juga Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan turut diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini.

Tambahan lagi ramai pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa dengan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja perjudian (loteri).

Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan awal penubuhan PAS sebenarnya adalah ditimbulkan oleh sebahagian besar ahli-ahli agama di dalam UMNO semasa berlangsungnya Muktamar Ulama Ketiga di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth dengan penitia penajanya terdiri daripada:

1. Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi
2. Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha
3. Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah - Anggota
4. Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota
5. Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota
6. Tuan Haji Mansor J.P - Anggota
7. Dua tiga orang ulama yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.

Penitia penaja inilah yang berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu - iaitu dengan nama Pertubuhan Ulama Se-Malaya.

Penitia ini telah berusaha mengadakan persidangan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, ulama perseorangan, para kadhi dan juga mufti.

Walaupun perhimpunan ulama dan orang perseorangan yang dianjurkan oleh Bahagian Agama UMNO itu pada mulanya berjaya menubuhkan Pertubuhan Ulama, tetapi atas inisiatif Ustaz Othman Hamzah, bekas Ahli Jawatankuasa Hizbul Muslimin yang mewakili Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunong Semanggol berjaya melahirkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) bagi menggantikan Pertubuhan Ulama Se-Malaya yang dicadangkan pada mulanya.

Maka PAS telah ditubuhkan secara rasmi hasil dari perhimpunan atau muktamar tersebut, yang antaranya turut disertai oleh:
1. Persatuan guru-guru agama dari Perlis.
2. Persatuan ulama dari Kedah.
3. Persatuan anak-anak Kalimantan Malaya (PERKAM) Perak.
4. Kelab Darul Ehsan dari Selangor.
5. Kelab Melayu Bagan dari Seberang Perai.
6. Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunong Semanggol, Perak.
7. Perikatan Melayu Bersatu dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
8. Dan lain-lain badan kebajikan, kelab atau jamaah terutamanya dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Juga hadir sama beberapa orang Tuan Guru, wartawan, imam dan kadhi atas nama peribadi.

Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:

PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.
KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.

Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:
1. Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan - Yang Dipertua Agung
2. Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Timbalan Yang Dipertua Agung 3. Tuan haji Hussin Che Dol - Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
4. Fakir Muhammad Nor - Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
5. Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli - Naib Yang Dipertua Agung (Selatan)
6. Tuan Haji Ahmad Maliki - Setiausaha Agung
7. Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Bendahari Agung Ahli

Jawatankuasa Agung pula terdiri daripada:
1. Tuan Haji Yahya Joned
2. Tuan Haji Uthman Talib
3. Tuan Haji Mohammad Nor
4. Tuan Haji Zabidi Ali
5. Tuan Haji Abdul Wahab
6. Tuan Haji Assaiya
7. Muhammad Mahzub
8. Tuan Haji Ahmad Nadur.

Jika dilihat kepada persatuan, peribadi dan jumlah yang hadir semasa perhimpunan atau muktamar penubuhan PAS itu, yang kebanyakannya terdiri dari tokoh-tokoh agama, maka secara tidak langsung menunjukkan bahawa elemen dan semangat perjuangan Islam telah tersemai bersama PAS semenjak awal penubuhannya lagi.

Elemen Islam dalam PAS ini lebih terserlah lagi apabila usaha yang dibawa oleh Yang Dipertua Agung Pertamanya, Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan untuk menyetujui gagasan National Conference tajaan Dato’ Onn Jaafar.

Ramai yang berpendapat di sini bahawa Haji Ahmad Fuad mungkin terpengaruh dengan cara politik Dato’ Onn yang juga merupakan rakan karib beliau. Gagasan itu diterima oleh ahli dan penyokong-penyokong PAS.

Kegagalan Haji Ahmad Fuad mendapatkan sokongan ahli dan penyokong-penyokong PAS ini sekali lagi menunjukkan bahawa kesedaran mendalam mengenai politik Islam di kalangan ahli dan penyokongnya telah wujud walaupun PAS sendiri ketika itu masih berada pada tahap yang lemah.

Akhirnya, dalam satu Perhimpunan Khas pada September 1953, Haji Ahmad Fuad terpaksa mengambil jalan keluar dengan meninggalkan PAS bagi bersama-sama Dato’ Onn (menyertai Parti Negara).

Ertinya masuk dan keluar Pas adalah seperkara yang bukan luar biasa. Tan Sri Asri Muda yang merupakan antara Yang Dipertua/Preiden Pas keluar dari parti itu dan menyertai Umno.

Umar Khalid yang banyak membantu Pas dalam bentuk penyebaran maklumat dengan mengasaskan penerbitan kaset ceramah tokoh-tokoh Pas juga tinggalkan Pas. Apakah mereka boleh dianggap murtad kerana keluar Pas dan masuk Umno yang dikatakan tolak Islam?

Hakikatnya Pas itu sendiri asalnya sebahagian dari Umno kerana yang menubuhkannya adalah meupakan orang-orang Umno yang bependidikan agama yang menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya yang kini dikenali dengan Pas.

6 comments:

pemudacakna said...

Pada pemahaman saya, sesiapa yang mengatakan PAS itu ISLAM dan ISLAM itu PAS dan menganggap kalau tak masuk PAS maka tak Islamlah ia, maka itu adalah satu pandangan yang SALAH di sisi AQIDAH dalam ISLAM.
Islam adalah AGAMA dan PAS adalah PARTI POLITIK adalah satu ungkapan yang berbeza. ISLAM adalah AGAMA CIPTAAN ALLAH dan PAS adalah sebuah PERTUBUHAN POLITIK CIPTAAN MANUSIA. CIPTAAN ALLAH dan CIPTAAN MANUSIA adalah jauh berbeza. Hanya orang yang berfikir dengan AKAL dan IMAN tahu bezanya. Janganlah berfikir dengan kata hati yang TAKSUB kerana keputusannya mungkin tidak tepat kerana telah dipengaruhi oleh hasutan SYAITAN. SYAITAN boleh menggoda hati manusia, tetapi SYAITAN akan kalah dengan IMAN yang ada dalam hati manusia.
Maka bila memberi pandangan, gunakan AKAL yang dipengaruhi oleh IMAN dan bukannya dipengaruhi SYAITAN.
Tidak ada agama yang benar selain ISLAM dan tidak ada tuhan yang benar selain ALLAH.

Emang said...

Kalau masjid dibakar, umat Islam yang mahu beribadah dihadang, peluang untuk rakyat yang berkemampuan untuk ke Mekah dihadang, al-Quran, hadis, dan kitab-kitab karangan ulamak muktabar dibakar, maka tuduhan menolak Islam bolehlah diterima..

Salam..

ini satu pendapat yg agak jahil.. Kalau begitu boleh dikatakan majoriti dunia tidak menolak Islam, kerana mereka tidak melakukan perkara2 di atas.. Sila berkalam menggunakan akal, bukan nafsu.. Mereka menolak nas2 islam, dan tidak melaksanakan islam, maka nyatalah mereka menolak islam.. yang melaksanakan perkara2 yg anda sebut di atas bukan org2 yg menolak islam, melainkan musuh nyata bagi Islam.. Tolong bukakan minda yg sempit itu..

Wassalam

Ahli Pas Sejak Tahun 1968 said...

Itu pandangan anda yang melihat Pas sebagai parti Islam. Cuba beri peluang orang bukan ahli Pas (juga bukan orang Umno) tetapi alim ulamak, termasuk imam besar masjid Mekkah, apakah tindak tanduk tokoh Pas dilihat selari dengan Islam dan Umno berkadas dengan Islam.
Apakah Rasulullah s.a.w. caci cerca musuhnya dengan kata-kata kesat? Apakah kalau betullah Allah mencarut, maka kita sebagai pemnimpin berhak boleh mencarut dan memaki hamun hamba-hamba-Nya.
Bagi saya anda lebih berfikiran tertutup oleh karat ketaksuban melampau terhadap pimpian Pas. Parti Pas ungkin molek tapi orangnya berkarat dengan ketaksuban.

Abuzar said...

Jika melayu dalam parti UMNO sama saja dengan mukmin dalam perjuangan 'politik Islam' melalui PAS,
apa bezanya orang melayu yang duduk dalam DAP, PKR, Partai sosialis, dll. berbanding UMNO? Mereka sembahyang jugak, kiblat sama, mengaji tilawah alquran sama, makan petai, makan budu ....sama seperti melayu UMNO.

Apa mulianya melayu UMNO berbanding melayu DAP, melayu Gerakan, melayu PRM, melayu PPP, melayu Sosialis, ... jika dok lawan orang nak dakwah agama, sekat permit/ tauliah nak ceramah di Masjid, jika di WPKL nak lantik AJK Masjid/ Surau pun orang PAS dicegah,.. pelajar2 U nak buat program usrah, qiamulail pun asyik kena ganggu ,,, lebih senang nak adakan konsert hiburan dari program agama. Begitu jugak program TV banyak yang songsang/maksiat dari yang baik ..

Yang pasti UMNO banyak memakmurkan program2 yang unIslamic .... jahiliyyah.. melalui sistem pendidikan, media massa, pentadbiran, perundangan, sosial, ekonomi, polisia, spr, .....dll.

UMNO tak mampu keluar dari kotak sekular, feudal, dan korupsi.

Mungkin 'kesedaran politik Islam' dari majoriti rakyat saja akan menukar mereka secara total?.

Anti Al-Liwati Al-Jubur Taiki said...

Agaknya kerana kualiti keimanan dan ketaqwaan Melayu dalam DAP dan PKR lebih boleh angkat ibu jari, maka Pas boleh makan setalam dengan DAP dan PKR tapi bila ada Melayu Pas sokong kerajaan perpaduan, maka dianggap sebagai pembuat sampah dalam Pas dan boleh dihalau macam anjing kurap buruk kepala.
Kalau PR tumbangkan BN, apakah orang Pas yang akan jadi PM, TPM dan memajoriti anggota kabinet? Berapa kerusi Pas bertanding kerusi parlimen yang boleh 'berak besar' nak bentuk kerajaan berdasarkan hukum hakam?.
Di Kelantan, yang memerintah sebenar SBJ, yang buat bangunan sana sini adalah SBJ. Di Pulau Pinang apakah cara pemerintahannya sudah berubah berbanding dengan KM dari Gerakan. Bilangan exco Melayu mana paling ramai antara zaman KM dari Gerakan denan KM dari DAP sekarang.
Di Selangor macam mana? Allah baru mencuba dengan memberi kuasa di negeri-negeri yang sebenarnya Pas khususnya kena buktikan apakah kalau PR ganti Umno/BN, kerajaan yang dibina akan lebih baik dari kerajaan Umno/BN.
Bolehkah orang Pas kawal perilaku orang DAP? Roboh rumah kerat babi haram pun dah mengamuk sakan. Itulah agaknya maka di Kedah dan Selangor, kerajaan tak berani pun nak batalkan premis pusat-pusat hiburan dan perjudian kalau pun lesennya dikeluarkan oleh pusat. Tanpa premis macam mana pusat-pusat hiburan dan perjudian nak beroperasi. Di Kelantan dan Terengganu tidak ada premis jualan toto dan 4D. Macam mana pun di Kelantan dah mula wujud pub yang berselindung di sebalik restoran yang sepattnya kena cegak sebelum parah.
Untuk ada harapan pemerintahan berdasarkan hukum hakam sepenuh dapat dilaksanakan, Melayu selaku penganut Islam kena kuat. Haji Hadi dah cuba nak kuatkan Melayu, tapi Nik Aziz pula jadi penghalang, tidak mahu Melayu dan Islam kuat. Ini ulamak ke atau ULARRRRRRRRRRRmak! Jangan ingat bila pakai serba, pakai janggut, terjemah Quran dan hadis para-pra masuk syurga belaka. Alim ulamak zaman dulu ramai yang mati masuk neraka kerana sikap mereka. Kalau sayangkan Nik Aziz, kena pakat-pakat tegur bila dia ada unsur-unsur riak, angkuh, takbur, sombong dan bongkak, bukannya ppakat 'pong jijak' sehingga dia lupa untuk tidak jadi MANGGAK sampai TUBIK DARI MULUTNYA patah-patah perkataan yang tidak sepatutnya.

Abuzar said...

Anti Al-Liwati Al-Jubur Taiki said... 5.18 pm

..... Berjuang Islam, PAS ini untuk ..
...dakwah kepada semua manusia & tegakkan hukum hakam Allah ke?
ATAU ....perpaduan qaumiyyah assobiyyah melayu saja ke?
ATAU ... untuk jawatan PM, TPM, MENTRI ITU & INI?

Soal monopoli projek perumahan SBJ kat kelantan tu kena siasat, cari fakta, tanya proksi sapa?

Ulamak, Nik Aziz, yakin & tunduk dengan Allah. .. tiadalah takabur dengan Allah SWT. Mungkin beliau ada ucap kata2 kasar kepada mereka yang mungkin pada dia 'tak reti baso', 'tak pegang janji', 'tak lekat ikrar' ... dia tegur dengan kasar sikit setelah berkali2 dinasihatinya tak endah. Ketika panas ... bbalah anak beranak ... lepas tuu .. bbaik semula .....

Dlm surah baqarah: Iblis tak tunduk kepda perintah Allah kerna TAKABUR, maka dia jadi kafir. Sama seperti Fir'un, Namrud, Jalut, Qarun, Hammam, Samiri, Abu Lahab, Abu Jahal, Abdullah bin Ubai ... takabur mengingkari dakwah & perintah Allah.. maka tergolong dari mereka yang SESAT!

.... siapa sebenarnya yang TAKABUR DENGAN ALLAH TAALA .....