Monday, August 10, 2009

MUNCUL KEMBALI (320)

Islam tidak boleh dihina kerana ia diturun mulia untuk memuliakan manusia

SAYA bersetuju sangat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengarahkan pihak berkuasa menyiasat segera kenyataan berbentuk penghinaan terhadap agama Islam seperti yang disiarkan di sebuah laman blog baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, pihak yang berkaitan dalam bidang yang dikhususkan bagi menjaga kemuliaan dan kedaulatan Islam kena bertindak serta merta ke atas mereka atau individu yang menghina agama Allah.

Kata kunci dalam tindakan tegas bagi diambil terhadap penghina Islam ialah Islam tidak boleh dihina kerana ia diturun mulia, melalui pesuruh-Nya yang mulia untuk memuliakan manusia. Tanpa Islam, iman dan takwa, manusia hilang kedaulatan dan kemuliaan sebagai manusia, sekali gus tidak ada apa bezanya dengan haiwan yang berotak tetapi tidak berakal.

Jika didapati ada asas, pihak terlibat boleh didakwa atau paling mudah gunakan sahaja Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana sebarang kenyataan yang menghina Islam boleh mencetuskan kebangkitan penganutnya yang pasti sanggup syahid demi kemuliaan dan kedaulatan Islam.

Membiarkan Islam diinjak-injak adalah suatu bentuk kebaculan, kebahlolan dan kedayusan yang sangat keji di sisi Allah dan rasul-Nya. Justeru sebelum umat Islam bertindak sendiri, adalah lebih baik seandainya pihak berkuasa bertindak segera.

Pada saya tidak ada hukuman dan tindakan yang lebih cepat dan paling berkesan dalam menghadapi isu yang boleh menjadi wabak dan sindrom yang lebih sukar diselesaikan sekiranya ianya sudah merebak jika mahu dibandingkan dengan wabak selsema babi sekali pun selain dari penggunaan ISA yang kena digunakan bagi tujuan mencegah sebelum parah.

Saya yakin kalau ISA digunakan bagi mencegah dan membasmi penghinaan terhadap Islam yang bersifat bukan sahaja menginjak-injak kedaulatan Islam dan umatnya tetapi juga menghina kesucian Allah dan Rasul-Nya boleh membawa kepada semua umat Islam yang tulen keislamannya akan melihat ISA sebagai sesuatu yang releven untuk negara ini dan demonstrasi mendesak ISA dihapuskan adalah suatu kesilapan.

1 comment:

john said...

TUBIK SMULA- Ambo setuju. Islam adalah untuk memuliakan manusia tapi ingat manusia jugalah yang menghina Islam.Kalau kafir kita boleh kenal dan bertindak seadilnya...kalau yang islam sendiri yang menghinanya?...