Buka pemikiran untuk kebaikan
NAMPAKNYA posting MUNCUL KEMBALI (336) menimbulkan sedikit ketegangan di kalangan penjenguk. Saya sendiri merasa cukup terpanggil untuk mempostingkannya yang bererti mencampakkan isu berkenaan umpama mencampak bangkai ke kolam buaya.
Walaupun tidak banyak ilmu macam pemimpin, ahli dan penyokong Pas tetapi saya terdidik di sekolah agama, saya tidak akan tenang dan tidak akan boleh duduk dalam keadaan berselimut telanjang sambil gotel apa yang patut digotel begitu sahaja bila isu-isu yang boleh mengelirukan saya dan orang sekelas dengan saya, sampai ke pengetahuan saya.
Saya bersedia dimarahi, dibenci, dianggap jahil teropong, dimaki hamun dan dilabelkan dengan apa sahaja dalam memberikan pandangan, bertujuan untuk membuka pemikiran dengan isu-isu yang mengelirukan akan dibincang secara terbuka dan berlandaskan ilmu oleh para penjenguk.
Dengan cara itu saya yang cetek ilmu (saya yakin bilangan rakyat di negara ini lebih ramai yang cetek ilmu dari yang mendalam ilmu agamanya) boleh menumpang mendapat faedah. Mana yang baik diteladani, mana yang tidak baik sempadani.
Umpamanya kita teliti laporan berikut yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan laporan berkenaan datangnya dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA):
Ahli UMNO tak akan masuk syurga
BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.
Katanya, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.
"Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam di sini hari ini selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.
Pengundian ialah pada 25 Ogos ini. - BERNAMA
Sebagai seorang yang tidak sakan ilmu, apa yang boleh difahami dari laporan berkenaan?. Masing-masing pasti akan terfikir macam mana dengan nasib umat Islam sebelum wujudnya Pas. Macam mana dengan mereka yang mati sebagai pemimpin, ahli dan penyokong Umno.
Dalam masa yang sama mereka, malah saya sendiri bertanya dari mana Nik Aziz dapat tahu orang Umno tidak layak masuk syurga. Juga dari mana dia tahu orang Pas masuk syurga. Siapa yang melaporkannya atau menginformasikannya dari alam barzakh dan alam akhirat tentang siapa layak dan tidak layak masuk syurga.
Apakah kalau pun beriman dan bertaqwa, seseorang itu tetap tidak layak masuk syurga kerana menjadi pemimpin, ahli dan penyokong Umno. Kalau dah tahu tidak layak masuk syurga, macam mana kalangan yang sakan ilmu tentang Islam boleh berpihak kepada Umno?
Mahu tidak mahu puak-puak yang tidak sakan ilmu macam saya akan keliru, malah akan tolong bimbang dengan umat Islam yang sudah mati sebelum Pas wujud, apatah lagi antara mereka adalah datuk nenek kita.
Atas kebimbangan itu saya posting, campak isu melalui blog ini walaupun ianya barangkali umpama mencampak bangkai ke dalam kolam buaya.
Dalam pada itu kita teliti pula laporan berikut
Tiada nas sertai Pas masuk syurga
PUTRAJAYA 17 Ogos - Tiada nas dalam al-Quran dan hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesebuah parti sebelum dijanjikan masuk syurga.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan, syurga dijanjikan Allah hanya untuk mereka yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.
''Syurga itu hak Allah, malah belum tentu lagi mereka yang sembahyang diterima (pahalanya) sebab kena tengok dulu sembahyangnya betul atau tidak.
''Apatah lagi jika ada dakwaan kata masuk parti ini baru dijanjikan syurga, itu lagi tidak betul, jangan kita mendahului Tuhan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Kenyataan Nik Abdul Aziz itu dipercayai bermotif politik berikutan persaingan Pas dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir 25 Ogos ini.
Dulu orang Pas kagumi Tan Sri Harussani Zakaria, tentulah kerana beliau sakan ilmu amal tetapi bila pandangan dan pendiriannya tidak lagi melabakanPas, beliau dikecam, di sisi Pas beliau dianggap tidak cukup ilmu amal.
Betulkah Tan Sri Harussani Zakaria tidak cukup ilmu atau orang yang tidak sependapat dengannya yang cetek ilmu. Apakah apa yang dikatakannya tidak betul itu memnang betul. Orang kurang ilmu macam saya keliru dan mahu tahu.
Kemudian kita perhati laporan ini;
Jangan jadi penghukum - Jamil Khir
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Seorang pendakwah yang menyeru kepada kebaikan mesti menjaga adab dengan tidak menjadi penghukum terhadap umat Islam yang lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, perbezaan ideologi politik tidak menghalalkan perkara itu kerana Allah memerintahkan umat Islam supaya menjaga adab dengan semua hamba-Nya hatta dengan seekor binatang sekalipun.
Tegas beliau, Allah juga menegah hamba-Nya daripada memberi gelaran yang tidak baik kepada orang lain demi menjaga keharmonian hidup.
''Sebagai daie atau pendakwah, kita perlu menjaga batas-batas seorang daie dan tidak boleh menghukum orang itu betul atau salah.
''Sejauh mana seseorang itu mengakui dia Islam maka dia adalah hamba Tuhan, oleh sebab itu saya amat mengharapkan sama ada kita di dalam mana mana parti politik, batas akhlak sebagai orang Islam perlu dijaga," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program televisyen, Tijarah Ramadan musim ke-5 di sini hari ini.
Hadir sama ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Jamil Khir mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa ahli UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.
Kenyataan Senator Datuk Jamil Khir Baharom lenyataan orang jahil atau sebaliknya?. Beliau terlalu baru dalam dunia politik dan pasti untuk bercakap dengan melebihkan keutamaan politik dari keilmuan yang dimilik.
Perhatikan pula laporan ini;
Nik Aziz perjelas kenyataan ahli UMNO tak masuk syurga
KOTA BHARU 18 Ogos — Mursyudul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menjelaskan beliau tidak bermaksud anggota UMNO tidak boleh masuk syurga sebagaimana media memetiknya sebagai berkata semalam.
Menteri Besar Kelantan itu menafikan beliau menyebut anggota UMNO tidak dapat masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Palestin.
“Saya baca dua akhbar arus perdana, ada perkataan Palestin. Saya nafi sekeras-kerasnya. Tak ada. Saya tak biasa guna perkataan ahli UMNO. Ahli UMNO dan penyokong UMNO lain, dua perkataan berbeza,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Aziz berkata, mana-mana umat Islam yang mengasingkan iman dengan Islam tidak akan masuk syurga.
“Usaha UMNO nak sebut Islam saja tapi tak ada iman mustahil diterima Allah Taala,” katanya. - Bernama.
Antara tugas pegawai akhbar kepada Menteri Besar adalah untuk memantau laporan media cetak dan elektronik. Dalam konteks sekarang, akhbar on-line adalah antara yang kena dipantau.
Untuk pantau akhbar-akhbar online seperti Utusan, Berita Harian, NST, Harian Metro, Kosmo, The Star, Sinar Harian, apatah lagi akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Tamil adalah mustahil. Untuk mudahkan urusan pantau Bernama Online kerana agensi berita itu akan release setiap laporan dengan cepat.
Kalau dirasakan apa yang dilaporkan lain macam, maka pegawai akhbar kena rujuk kepada MB. Bila pasti laporan itu tidak tepat, maka boleh maklumkan kepada petugas negeri atau pun terus hubungi HQ (ketua pengarang, pengarang, ketua penyunting, pengarang berita, ketua pemberita) supaya minta ditarik balik dan stop release laporan yang tidak betul itu
Sama ada agensi berita BERNAMA mahu pun mana-mana akhbar, majalah, radio dan tv, masing-masing tidak akan siarkan laporan yang tidak betul demi kredibiliti. Berita yang tidak betul akan segera distop realease, apatah lagi jika atas permintaan sumber kepada laporan itu.
Kalau laporan kurang tepat itu datang dari BERNAMA, agensi berira itu akan memaklumkan kepada pihak akhbar sebagai pelanggan supaya tidak menyiarkan laporan berkenaan sekiranya laporan berkenaan sudah diedarkan kepada pelanggan.
Kalau semasa saya bertugas dengan BERNAMA dulu, penghantaran pemakluman supaya sesuatu berita/laporan yang ditarik balik akan dibellkan, loceng alat penerima laporan di pejabat akhbar atau radio/tv akan berbunyi dan petugas akan segera berlari dapatkan apa yang keluar pada mesin.
Melocengkan pemakluman adalah bagi menarik perhatian, sekaligus untuk memakalumkan bahawa ada berita penting yang perlu didahulukan dan diberi perhatian segera. Lazimnya kalau ada kes-kes sedemikian, jika akhbar sedang dicetak pun akan dihentikan percetakannya.
Adalah tidak wajar apabila setelah apa yang dilaporkan tersiar dan dirasakan tidak melabakan, baru nak buat penafian, sekaligus bagi tujuan melepas diri lalu melabelkan pihak media melakukan pengkhianatan. Harus disedari bahawa kerja-kerja kemediaan ada etikanya.
Hanya mereka yang tidak reti tentang tugas dan peranan media sahaja akan mudah buat tuduhan dan mempercayai tuduhan kononnya media memutar-belitkan sesuatu laporan.
tokok-tambah maklumat;
Masuk Syurga Atau Neraka Hak Mutlak Allah - Fatwa Kebangsaan
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti tertentu diperlukan sebelum seseorang itu layak masuk syurga atau akan ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam, kata Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin.
Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah menetapkan bahawa ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah s.w.t. berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu.
Katanya, keputusan itu telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Raja-Raja Kali ke-188 pada Mac 2001 dan menambah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun membincangkan isu itu sejak tahun 2000 lagi.
"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dua hari lepas bahawa penyokong atau anggota UMNO tidak akan masuk syurga.
"Sehubungan itu saya ingin menasihatkan umat Islam terutama kepada mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang Islam supaya berhati-hati dan tidak menimbulkan perkara yang tidak betul atau bida'ah yang boleh mengeliru dan memecahbelahkan umat Islam.
"Janganlah kita mudah terpengaruh dengan pandangan yang aneh, jauh daripada kebenaran dan boleh menyesatkan kita," katanya.-- BERNAMA.
Tidak mustahil selepas ini Prof. Datuk Abdul Shukor Husin pun akan mengalami nasib yang sama dengan Tan Sri Harunsani Zakaria.
Satu lagi laporan;
Dr Mahathir Anggap Nik Aziz "Lebih Daripada Manusia Biasa
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohammad menyifatkan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai "lebih daripada manusia biasa" kerana boleh menentukan kelayakan seseorang untuk masuk syurga atau neraka.
Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau juga "berbangga" dengan kebolehan Menteri Besar Kelantan itu untuk mengetahui perkara sedemikian."Jadi dia satu orang yang cukup lebih daripada manusia biasa.
Manusia biasa hanya bila mati boleh pergi syurga atau negara tetapi tidak akan dapat balik untuk cerita...kitapun tak tahu Nik Aziz akan ke syurga atau neraka, itu kita tidak boleh kata.
"Jadi saya berbangga dengan kebolehan Nik Aziz untuk menentukan siapa pergi syurga dan neraka. Sesiapa yang kenal baik beliau, pergilah tanya kepada beliau (sama ada akan ke syurga atau neraka)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz dua hari lepas bahawa penyokong Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu memisahkan Islam dan iman.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen International Medical University di sini hari ini, Dr Mahathir berkata, sebagai manusia biasa apa yang boleh dilakukan ialah untuk menjadi manusia yang baik.
Mengenai cadangan supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu, Dr Mahathir berkata ia tidak perlu kerana tidak ada manusia di dalam dunia ini yang boleh menentukan kelayakan seseorang untuk ke syurga atau neraka selepas meninggal dunia.
"Orang warak sekalipun jika ada niat yang tidak baik juga mungkin akan ke neraka," katanya.
Dalam isu lain, Dr Mahathir yang menerima Anugerah Kehormat Doktor Perubatan sempena majlis konvokesyen itu, bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menggugurkan ruangan 'kaum' pada borang dan dokumen rasmi kerajaan.
Beliau berkata perkara itu sepatutnya sudah lama dibuat kerana dalam konteks Malaysia, soal kaum boleh ditentukan berdasarkan nama individu.
"Kita boleh tahu kaum seseorang itu daripada namanya. Kalau dia nama Mohamad takkanlah dia Cina...ada juga Cina nama Mohamad kalau dia masuk Islam...tapi itu tidak apalah.
"Masalah dengan nama Cina ialah kita tidak tahu jantinanya...jika Melayu ada bin atau binti, India "anak lelaki atau anak perempuan".Jadi, daripada segi jantina, mungkin ita kena tulis tetapi untuk kaum, ianya soal mengenal pasti mereka daripada nama masing-masing," katanya.
Ditanya sama ada beliau menjangka wujud sebarang kesukaran untuk kerajaan melaksanakan cadangan itu, Dr Mahathir berkata kerajaan boleh melaksanakannya jika mahu kerana undang-undang boleh diubah dan dipinda.
Menyentuh mengenai penularan wabak Influenza A(H1N1) di negara ini, Dr Mahathir berpendapat kerajaan boleh melakukan lebih banyak lagi termasuk meningkatkan publisiti dan kesedaran orang ramai mengenai bahaya wabak itu.
Rakyat juga harus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan pemakaian penutup mulut dan hidung selain mengamalkan isolasi jika perlu, katanya.
Dr Mahathir juga berkata seseorang doktor perubatan harus lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas merawat pesakit daripada mengejar keuntungan semata-mata.
"Profesion doktor berbeza dengan profesion lain, berkhidmat bukan sahaja untuk gaji tetapi lebih kepada memulih dan merawat pesakit," katanya.
Ketika diminta mengulas sikap segelintir doktor yang cuai dan bersikap kasar dengan pesakit ketika memberi rawatan, Dr Mahathir berkata: "Dulu doktor tak ramai, aduan pun tak banyak. Sekarang kita ada berpuluh ribu doktor, tentulah ada antara mereka yang tidak tahu membawa diri.
Masyarakat semakin besar maka adalah yang besar kepala tetapi tak semestinya semua doktor macam tu," katanya.Dr Mahathir berkata terdapat juga doktor yang berkhidmat secara percuma dan melakukan kerja amal dengan membantu mereka yang sakit dan cedera di dalam dan luar negara.
"Seperti doktor Mercy (Malaysia), tak dapat duit apa-apa pun, begitu juga ada yang ke luar negeri yang menolong dan tinggal di tempat yang tidak selesa," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya ketika menerima anugerah itu, Dr Mahahthir berkata tugas sebagai seorang doktor bukan sahaja dapat mengajar mendisiplinkan diri malah ia mengajar seseorang doktor untuk banyak bersabar melayan karenah pesakit dan bersimpati dengan apa yang berlaku.
Katanya doktor di negara ini beruntung kerana tidak ramai yang berhadapan dengan tuntutan mahkamah dan saman daripada pesakit seperti doktor di luar negara.
Anugerah itu disampaikan kepada Dr Mahathir kerana pengorbanan beliau mentadbir negara hampir 22 tahun dan juga sebagai seorang doktor perubatan yang membuka klinik swasta pertama di negara ini iaitu Klinik Maha di Alor Setar, Kedah.
Anugerah disampaikan Canselor IMU, Tan Sri Dr Sulaiman Daud.Pada majlis itu seramai 95 graduan menerima ijazah Sarjana dan Sarjana Muda Sains Perubatan.-- BERNAMA.
Orang Pas tidak pernah iktiraf pandangan tun dr Mahathir tentang Islam.
Tuesday, August 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment