Pemimpin Islam: apakah Islam ikut cara kita atau ikut cara Islam tulen?
SEMUA orang mahu masuk syurga, malah kalau boleh mahu memimpin manusia pada hayatnya, ke syurga. Tidak kira apa pun agama yang dianuti, masing-masing menaruh harapan untuk ke syurga. Bagaimanapun hakikatnya hanya umat Islam yang beriman dan bertakwa sahaja akan layak masuk syurga.
Ramai, termasuk di kalangan tokoh-tokoh agama yang berebut-rebut mahu jadi pemimpin dengan menggunakan pelbagai cara, malah ada yang sanggup membeli peluang dan kerusi kepimpinan melalui sogokan, rasuah dan sebagainya atas keyakinan bahawa diri lebih layak dan lebih berkemampuan sebagai pemimpin.
Ada yang menggunakan Islam sebagai pendekatan bagi mendapatkan peluang menjadi pemimpin, malah sanggup menganggap pihak yang tidak sealiran dengan aliran yang dibawa tidak ada kelayakkan masuk syurga. Tentulah tokoh-tokoh agama yang memilih menjadi pemimpin itu yakin mampu mensyurgakan yang dipimpin di samping diri sendiri dan seisi keluarga.
Kalau tidak yakin diri sendiri sebagai pemimpin layak masuk syurga dan juga mampu memimpin yang dipimpin ke syurga, pasti mereka tidak akan berebut-rebut untuk menjadi pemimpin atau mendapatkan jawatan untuk memberi khidmat kepada orang ramai kerana jika tidak kena gayanya, di akhirat nanti ianya adalah suatu kehinaan dan penyesalan. yang amat sangat.
Ini terbukti berdasarkan penegas Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar yang meminta agar beliau dilantik ke sesuatu jawatan, lantas Rasulullah s.a.w menegaskan: "Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia di hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul" - hadis riwayat Imam Bukhari.
Apakah para pemimpin kita merasakan diri masing-masing tidak ada ciri-ciri Abu Zar dalam keghairahan mendapatkan kerusi kepimpinan atau pun dalam mendapatkan sesuatu jawatan sehingga dalam pertandingan merebut jawatan dalam pilihanraya, malah perebutan jawatan parti juga parti, sanggup berkempen secara menfitnah dan mengaibkan lawan?
Apakah pemimpin kita benar-benar menteladani kepimpinan khalifah-khalifah ar-Rasyidin. Apakah pemimpin kita menjadikan moral Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan sahabat-sabat Rasulullah s.a.w. yang lain sebagai teladan dalam membentuk identiti sebagai pemimpin.
Ibnu Saad menceritakan daripada Hamid bin Hilal, katanya apabila Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, para sahabat Rasulullah s.a.w. meminta beliau tentukan sara hidup yang mencukupi, antaranya diuntukkan dua pasang persalinan, bila buruk akan diganti dua persalinan yang baru, satu kenderaan untuk masa musafir dan sejumlah keperluan keluarga yang menyamai dengan keperluan Abu Bakar sebelum beliau menjadi khalifah. Abu Bakar mempertujuinya.
Diriwayatkan bahawa sewaktu Abu Bakar mula memeluk Islam, beliau memiliki harta sebanyak 50,000 dirham. Harta itu habis dibelanjakan untuk gerakan dakwah Islamiah dan membebaskan hamba abdi yang memeluk Islam dari kongkongan tuan kepada hamba-hmaba berkenaan yang terdiri dari kalangan kaum musyrikin sehinggakan Rasulullah s.a.w. bersabda; "Orang yang paling amanah (setia) dalam persahabatan ialah Abu Bakar. Kiranya aku memilih seseorang sebagai sahabat, maka aku jadikan Abu Bakar sebagai sahabat tetapi persahabatan dalam Islam".
Abu Bakar juga menyerahkan seluruh harta bendanya untuk pembiayaan perang Mu'tah sehingga Rasulullah s.a.w bertanya: "Apakah lagi yang engkau tinggal untuk keluarga engkau wahai Abu Bakar?". Jawab beliau: "Aku tinggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka".
Ketika mula dilantik sebagai khalifah, Abu Bakar tidak mengambil apa-apa perbelanjaan untuk keluarganya dari wang kerajaan, malah beliau terus ke pasar setiap hari menguruskan perniagaan seperti orang lain sehinggalah para sahabat mencadangkan sejumlah sara hidup untuknya dan keluarga yang tidak melebihi sara hidup rakyat biasa. Semasa matinya, Abu Bakar tidak meninggalkan sebarang pusaka, tanpa dirham, tanpa dinar.
Ketika Umar Al-Khattan r.a. dilantik sebagai khalifah, beberapa orang para sahabat menimbulkan dalam satu majlis semacam dialog tentang kadar sara hidup yang dihalalkan dari Baitulmal dan beliau berkata; "Kadar sara hidup yang halal untukku ialah dua pasang pakaian yakni sepasang pakaian musim sejuk dan sepasang lagi pakaian musim panas, satu kenderaan untuk digunakan bagi menunaikan haji dan umrah, keperluan keluarga yang menyamai dengan rakyat biasa, tidak terlalu kaya dan tidak terelalu miskin".
Selepas kejayaan membuka kota Al-Qadisiah dan kota Damsyik, Umar sebagai khalifah menghimpun orang ramai dan berkata; "Aku seorang ahli perniagaan, kamu telah menyebabkan aku sibuk dengan tigas sebagai khalifah. Apa pendapat kamu sekalian tentang sara hidup yang halal untukku daripada harta ini?.
Orang ramai memberikan pendapat masing-masing, hanya Ali bin Abu Talib Karromallahuwajhah sahaja yang membisu. Kepada Ali yang merupakan sepupu dan menantu Rasulullah s.a.w., Umar bertanya pendapatnya dan Ali menjawab yang halal untuk khalifah sekadar untuk keperluan diri khalifah dan keluarga tanpa jumlahnya melebihi umat Islam yang lain, mana yang selebihnya bukan hak khalifah.
Umar lantas berkata bahawa pendapat Ali adalah pendapat yang sangat benar. Mengenai sara hidupnya sebagai khalifah, Umar bekata dianggapnya harta Allah sebagai harta anak-anak yatim dan beliau tidak akan mengambilnya apabila tidak perlu dan apabila perlu akan digunakan sekadar yang perlu sahaja.
Dalam Perang Tabuk, Umar telah membelanjakan separuh dari hartanya untuk penyediaan kelengkapan perang. Setelah dilantik menjadi khalifah, beliau hanya mengambil sekadar perlu untuk menyara anak isteri. Ketika matinya, Umar hanya meninggalkan sedikit sahaja harta pusaka untuk anak-anaknya sedangkan beliau mewairi kekayaan kerajaan Rom dan Parsi.
Khalifah Usman Affan r.a. serta sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang lain termasuk Abdul Rahman bin Auf yang kaya raya sebelum Islam tetapi miskin selepas memeluk Islam dari sudut harta benda kerana membelanjakan kekayaan mereka untuk perjuangan Islam. Kopratnita terkemuka Mekkah, Siti Khadijah bin Khuwailid yang juga isteri pertama Rasulullah s.a.w. telah mewakafkan seluruh kekayaannya untuk Islam.
Umar bin Abdul Aziz dari keturunan Umar Al-Khattab yang semasa sebelum menjadi khalifah menjalani hidup penuh bergaya dengan pakaian dan bau-bauan yang dipakai dari jenis yang mahal dan mewah telah menetapkan perbelanjaan hariannya sebagai khalifah cuma sekadar dua dirham.
Setiap hari ditimbang untuknya daging, roto dan sayur pada kadar dua dirham pada tidak kira sama ada pada hari berkenaan murah atau mahal harganya. Sepanjang menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz dikatakan hanya mempunyai sehelai jubah. Beliau pernah lewat untuk berkhutbah dan mengimamkan sembahyang Jumaat kerana jubah yang dibasuh lambat kering.
Sehubungan dengan itu, dalam keghairahan kita pada zaman ini untuk jadi pemimpin dan menjawat sesuatu jawatan, apakah kita menjadi lebih miskin daripada sebelum menjadi ketua cawangan, ketua bahagian, ketua perhubungan, perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri, menteri besar, timbalan menteri besar, exco, ketua jabatan dan sebagainya atau pun sebaliknya.?
Apakah kita hitung setiap sen wang yang masuk sebagai punca pendapatan kita akan menjadi komponen jambatan ke syurga atau akan menjadi sebahagian dari kayu api neraka sama ada hasil dari elaun kita sebagai pemimpin, gaji kita sebagai penjawat awam atau apa-apa juga punca pendapatan kita?.
Apakah sebagai pemimpin politik mahu pun kerajaan, kita boleh terima seandainya anak kita yang pukul anak orang dari kelas marhaen dipukul depan kita bagaimana Amru bin Al-As menyaksikan anaknya bernama Muhammad yang memukul seorang pemuda Mesir dipukul kembali oleh pemuda berkenaan atas perintah Khalifah Umar Al-Khattab. Kalau anak kita ditahan polis kerana melakukan jenayah, apakah kita reda atau kita menggunakan kuasa dan pengaruh kita untuk ringankan hukuman atau pun gugur segala tuduhan?
Apakah dalam perlantikkan ke sesuatu jawatan berdaarkan kuasa yang kita ada dalam membuat pemilihan calon dan perlantikkan ke sesuatu jawatan, para pemimpin kita merujuk kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seseorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya" - Riwayat Imam Al-Hakam.
Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Apabila amanah itu disia-siakan, maka tunggulah akibatnya". Apabila ditanya bagaimana ia disia-sikan. Rasulullah menjawab: "Bila sesuatu urusan pekerjaan ditugaskan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah masanya" - riwayat Imam Bukhari.
Para pemimpin parti atau kerajaan juga kena merujuk kepada kata Umar Al-Ktatab: "Sesiapa yang melantik bagi sesuatu urusan kaum Muslim akan seseorang kerana ada hubungan persahabatan atau hubungan keluarga dengannya, maka ialah telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang-orang Islam seluruhnya".
Sambil menunggu masuknya waktu berbuka puasa, setiap pemimpin dan penjawat awam kena merenung dan memuhasabah diri, apakah masing-masing berada dalam keadaan halal atau haram pada kedudukan dan jawatan masing-masing, yakni apakah jawatan dan kedudukan yang disandang berdasarkan apa yang dianjurkan oleh Islam, Allah dan Rasul-Nya atau pun beradasrkan apa yang diharamkan.
Akhirnya, renungilah sabda Rasulullah s.a.w yang antara lain bermaksud: "Sesungguhnya kami demi Allah! tidak akan serah jawatan ini kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya". Tidak ada orang yang lebih tahu tentang cara jawatan dan kedudukan yang kita miliki sama ada halal atau haram, kecuali kita sendiri dan apa yang kita kena buat jika ianya haram kalau kita mahu masuk syurga dan memimpin orang yang dipimpin masuk syurga.
Saya yakin kalau berdasarkan hukum hakam tulen, tidak akan berlaku pertandingan dalam perebutan jawatan parti, apatah lagi sampai membina pasukan atau team khusus (apatah lagi dengan menggunakan wang kerajaan) untuk menang dan kalahkan lawan sehingga sanggup memburuk-buruk dan mengaibkan lawan walaupun sama-sama dalam satu jamaah.
Malah sebagai pemimpin Islam tulen, kita pasti akan bertanya apakah sebagai pemimpin kita menjadi semakin miskin sebagaimana khalifah-khalifah kerajaan Islam, khususnya khalifah Ar-Rasyidin atau pun kita menjadi sejuta kali lebih kaya dari semasa sebelum jadi pemimpin. Apakah kita makan lebih sedap dan hidup lebih bergaya serta lebih mewah dari rakyat biasa atau bagaimana?
Renung-renungkanlah!
Friday, August 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
TUBik Lagi..Tuan Guru John hok panadai lebih bakpo tak komen.komen la semua puok pas demo betul belaka.syurga puok Pas neraka untuk umno.
TERBIT SMULA-"syurga puok Pas neraka untuk umno"-kata anynomous-tahu tak pe..
ok pasal MK(358) ambo setuju..tapi...tapi..nok tanyo ko abe lie dalae dunio akhir zamae ni..tulong senaraikan pemimpin di M'si hok ado seperti hok dinyatakan?..ok tak po la tak pasti...cuba nyatakan pemimpin yang menjurus ke arah itu?..yg ni kalu nok tahu buleh buat perbandingan antara Pas nga Umno?..pasal jawatan pulok..setahu ambo dalam pas ni kebanyakan (90%) semua penjawat tu di calonkan oleh ahli2 mereka tiada yg menawar diri (kalu ado pun mgkin sore duo)..pasal ahli2 tahu ciri2 pemimpin hok layok (dalae umno sapo kayo dio paling layok..sapo banyok tabur dio paling layok..dok pun sapo ayoh dio ore kuat umno..layok..hok ambo pasti 99.9%)..sebab tu tok guru ore suruh tanding lagi dan dio tahu itu adalah tanggungjawab ke atas ore yg berilmu memimpin anak buah. dan ore umno jgn kecewo sebab tok guru kato doh 'dio akan lawan umno sapa dio mati!' hah guano?...demo tengoklah golongan UMNO kalu nok pemilihae..laporan rasuoh kat 1000! hok tandingnyo tok sapa 200 ore...hah buto lagi ko?..hok terae2 bersaloh pun buleh jd ketua menteri lagi!...sedar2 lah pembaca sekalian..pilihan hok baik ado..bakpo dok pertahan hok thorutnyo...insaflah di bulan ramadhan ini...di harap tulisae abe li ni di baco dengan minda terbuka dan berfikir mengenainyo....wassalam.
Sdr MKJ,
Artikel 258 sangat bagus bila bicara tentang Sains Politik Islam terutama politikus2 Melayu & Islam yang telah lama tersasar dari amalan polik berteraskan Al Quran & al hadist serta amalan salafussoleh.
Politikus2 Melayu & Islam yang tersesat kerana jahil & sekularisme. Mereka lebih yakin dengan isme-isme buatan manusia dari menerima hukum hakam Allah. Mereka mempersenda2kan Islam dan para pendakwah serta para pejuangnya. Mereka sanggup menindas & membunuh para ulamak, pendakwah dan mujahidin Islam demi ideologi sekular, zionis, kapatalisme, liberalisme, feudalisme, imperialisme, sosialisme, komunisme, dll.
Kita patut kembali kepada SISTEM POLITK ISLAM dan amalan budaya politik para ambiaya' & khulafa' arrashidin serta para imamul adil.
Masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia diberi peluang untuk membuat pilihan siapa yang layak dilantik menjadi pemimpin yang terbaik dikalangan mereka. Mereka diberi hak untuk baiah/undi siapa saja. Mereka berhak membubarkan daih mereka bila bercanggah dengan syarak. Amalan demokrasi & pilihanraya merupakan satu2 pilihan semasa dalam melantik pemimpin di Malaysia hari ini. Orang Melayu & Islam spaututna mengguna ruang ini sebaaik mungkin bagi menjadi kepentingan mereka. Jangan mudah diumpan dengan politk wang, rasuah, ugutan atau tipu muslihat yang merugikan diri sendiri, agama, bangsa dan tanah air!
Hadis riwayat Ibnu Umar RA:
Dari Nabi SAW. beliau bersabda: Kewajiban seorang muslim adalah mendengar dan taat dalam melakukan perintah yang disukai atau pun tidak disukai, kecuali bila diperintahkan melakukan maksiat. Bila dia diperintah melakukan maksiat, maka tidak ada kewajiban untuk mendengar serta taat. (Shahih Muslim No.3423)
Hadis riwayat Ali RA:
Bahwa Rasulullah SAW. pernah mengirim sepasukan tentara serta mengangkat seorang lelaki untuk memimpin mereka. Lalu pemimpin itu menyalakan api dan berkata: Masuklah kamu sekalian! Beberapa orang telah hendak memasuki api itu, namun yang lainnya berkata: Kami telah berhasil melarikan diri dari api itu. Lalu kejadian itu disampaikan kepada Rasulullah SAW. Kemudian kepada orang-orang yang ingin memasukinya beliau berkata: Jika kalian memasukinya, maka kalian akan tetap berada di dalamnya sampai hari kiamat. Kepada yang lain, Rasulullah SAW. bersabda dengan ucapan yang baik dan beliau bersabda: Tidak ada kewajiban taat dalam berbuat maksiat kepada Allah. Sesungguhnya taat itu hanya untuk kebajikan. (Shahih Muslim No.3424)
Pembetulan kesilapan ejaan & kesamaran maksud kepada post sebelum ini pada para 3 & 4: Ia dibaca sebagaimana berikut:
Kita patut kembali kepada SISTEM POLITK ISLAM dan amalan budaya politik para ambiya' & khulafa' arrashidin serta para imamul adil. Tinggalkan Sistem Politik Sekular & Jahiliyyah.
Masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia diberi peluang untuk membuat pilihan siapa yang layak dilantik menjadi pemimpin yang terbaik dikalangan mereka. Mereka diberi hak untuk baiah/undi siapa saja. Mereka berhak membubarkan baiah (ketaatan/undi/sokongan) kepada mereka bila bercanggah dengan syarak. Platform sistem demokrasi & pilihanraya merupakan satu2 pilihan semasa dalam melantik pemimpin di Malaysia hari ini. Orang Melayu & Islam sepatutnya mengguna ruang ini sebaik mungkin bagi menjaga kepentingan mereka. Jangan mudah diumpan dengan politk wang, rasuah, ugutan atau tipu muslihat yang merugikan diri sendiri, agama, bangsa dan tanah air!
Post a Comment