Tuesday, September 1, 2009

MUNCUL KEMBALI (367)

Mesra al-Quran
oleh
RAMLI ABDUL HALIM

AL-QURAN (untuk nabi dan umat Muhammad s.a.w.) adalah merupakan salah satu daripada empat kitab yang mengumpulkan kalamullah dan merupakan kitab utama dari empat kitab yang wajib dipercayai yang mana percayakan kitab itu pula merupakan satu daripada Rukun Iman yang enam.

Tiga lagi kitab ialah Zabur (untuk nabi dan umat Daud a.s.), Taurat (untuk nabi dan umat Musa a.s.) dan Injil (untuk nabi dan umat Isa a.s.). Kalau Nabi Muhammad adalah penghulu bagi sekalian para anbia, maka al-Quran pula bolehlah dilabelkan sebagai penghulu bagi segala kitab.

Selain dari namanya al-Quran yang bermaksud 'bacaan' bagi himpunan Kalalamullah, ada beberapa nama lagi bagi al-Quran. Nama 'al-Quran' bagi al-Quran terkandung antaranya dalam Surah Al-Israa':88, A-Baqarah:85, Al-Hijr:87, Thooha:2, An-Naml:6, Al-Waaqi'h:77, Al-Hasy1:21 daa Al-Insaan::23.

Nama-nama lain bagi al-Quran ialah;
1. Al-Kitab atau Kitaabullah sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Baqarah:2 dan Surakh Al-An'aam:114
2. Al-Furqaan yang bermaksud 'pembela' sebagai yang terkandung dalam Surah Al-Furqaan:1
3. Adz-Dzikir yang bermaksud 'peringatan' sebagaimana yang terkandung dalam Surah Al-Hijr:9 dan An-Nahl:44.

Bagaimanapun nama yang paling masyhur dan paling terlekat dalam ingatan setiap umat Islam adalah al-Quran dan kadang-kadang Al-Kitab/Kitabullah, Al-Furqaan dan Adz-Dizikir tidak diperasan pun bahawa ianya adalah antara nama al-Quran yang turut mempunyai beberapa nama lain lagi

Imam As-Suyuthy dalam kitabnya berjudul Itqan menyebut nama-nama al-Quran di antara al-Mubiin, Al-Kalam, Al-Karim dan An-Nuur yang semakin lebih tidak diperasanikagi oleh kebanyakan kita bahawa ianya adalah antara nama-nama al-Quran, kitab yang wajib diimani.

Untuk umat Nabi Muhammad s.a.w., hanya al-Quran yang boleh dijadikan rujukan mutlak di samping hadis Rasulullah s.a.w. Tiada lagi kitab selepas Al-Quran. Umat Jujungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. tidak boleh merujuk kepada Zabur, Taurat atau Injil untuk mendapat hukum hakam. Tolak al-Quran, kafir jadinya.

Demikialah betapa tingginya darjat dan mertabat Al-Quran. Setiap huruf yang dibaca akan diganjarkan dengan 10 kebajikan pada bulan biasa dan jumlahnya akan bertokok-tambah berganda-ganda pada bulan puasa. Allah s.w.t. sendiri mengikrarkan akan memelihara Al-Quran sebagaimana firman-Nya bermaksud;

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami tetap memeliharanya" - Al-Hijr:9.

Al-Quran mengandungi hal-hal yang berhubungan dengan keimanan, ilmu pengetahuan, sirah, falsafah, peraturan-peraturan yang mengatur tingkah laku sebagai makhluk individu atau pun sebagai makhluk sosial, juga tentang kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Dengan kata lain apa yang menjadi keperluan manusia di dunia, di alam barzakh dan di alam akhirat lengkap terkandung dalam al-Quran, malah jalan mana yang mesti dipilih untuk layak ke syurga dan jalan mana pula yang boleh menyebabkan kita akan dicampak songsang ke neraka, ada termuat dalam al-Quran.

Menolak al-Quran bermakna menolak jalan ke syurga dan menempah jalan ke neraka, juga menolak pengetahuan, sirah falsafah, peraturan-peraturan yang mengatur tingkah laku sebagai makhluk individu atau pun makhluk sosial dan juga tentang kebahagiaan di dunia dan akhirat yang pastinya akan membawa padah.

Menolak al-Quran juga bermakna menolak Islam, Allah, Rasul-Nya dan juga iman serta takwa. Tanpa Islam, tanpa iman dan takwa, manusia tidak akan ada apa bezanya dengan haiwan yang ada otak tetapi tidak berakal, kecuali yang berbezanya cuma dalam bentuk paras rupa sahaja.

Manusia yang tulenya Islamnya, yang beriman dan bertakwa adalah yang mesra al-Quran, yang akan sentiasa merapatkan diri dengan al-Quran, kecuali pada temat-tempat yang tidak suci seperti dalam tandas misalnya.

Selain dari itu al-Quran tidak akan dipisahkan dari diri umat Islam tulen serta kalangan yang beriman dan bertaswa sama ada swaktu jaga atau tidur, ketika sihat atau sakit, ketika miskin atau kaya, ketika dalam dukacita atau gembira!

No comments: