Wednesday, November 11, 2009

MUNCUL KEMBALI (495)

Eratkan hubungan: kunjung mengunjung antara pemimpin perlu dijadikan budaya

DALAM minggu ini negara menerima kunjungan negara dari Presiden China, Hu Jintao dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. Walaupun berlainan tujuan dan keperluan, khususnya dalam bentuk tersirat, namun matlamat induk kedua-duanya sama yang tersurat atau tersirat adalah untuk merapatkan hubungan.

Yang jelas kedua-dua pemimpin negara bekunjung ke negara ini sebagai kunjungan balas yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke kedua-dua negara sebelum ini.

Bagi saya amalan kunjungan rasmi ke setiap negara dan menerima kunjungan rasmi dari ana-mana pemimpin negara yang ada hubungan diplomatik atau tidak, kecuali Israel yang Allah sebut dalam al-Quran supaya jangan dijadikan sahabat, perlu dijadikan suatu budaya.

Kerapan kunjungan yang barangkali bermula dengan Yang Dipertuan Agong, disusuli Perdana Menteri, Timbalan Perdana Meneri, Menteri, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera patut dibuat ke negara-negara yang semacam ada ketegangan dalam hubungan walaupun ianya barangkali hanya sekadar pada peringkat rakyat, contohnya seperti antara Malaysia-Indonesia.

Bila kunjungan dilakukan, maka pasti media cetak dan elektronik dari negara-negara yang dilawati akan memberi tumpuan liputan dan pada waktu itulah peluang dapat diambil untuk menjelaskan keadaan sebenar dengan dibuka seluas-seluasnya peluang kepada wakil media untuk mengemukakan pertanyaan tentang apa yang mereka mahu tahu dan memerlukan penjelasan.

Demikian juga bila pemimpin dari negara yang dikunjungi membuat kunjungan balas, para petugas media kita boleh mendapatkan penjelasan secara langsung terhadap apa jua isu dari ketua negara dan pemimpin negara terbabit.

Dengan cara itu, maka hubungan boleh dieratkan dan akan wujud sikap saling hormat menghormati kerana bila bersemuka, masing-masing akan boleh melihat air muka dan dapat diselami hati budi masing-masing.

Justeru itu pada saya amalan kunjungan rasmi patut dibudayakan dan Malaysia patut mengunggulinya kerana selain dari hubungan antara negara dapat dieratkan, ianya juga akan memberi banyak laba,termasuk dalam hubungan dagang kerana kita mempunyai pelbagai barangan yang kebanyakannya menjadi keperluan penduduk dunia, termasuk produk makanan halal.

No comments: