Tuesday, November 24, 2009

MUNCUL KEMBALI (522)

Koleksi laporan mengenai Kelantan hari ini

APA pun yang berlaku di Kelantan sekarang menaik perhatan umum. Sehubungan dengan itu saya posting koleksi laporanengenai Kelantan yang disiarkan oleh media hari untuk renungan bersama, untuk dilihat tentang positif dan negatifnya serta apakah ada unsur-unsur pengagendaan oleh mana-mana pihak berkaitan dengan apa yang berlaku di Kelantan.

Andaianya koleksi laporan-laporan yang dipostingkan ini diteliti dengan fikiran yang tenang, dada yang lapang, tapa prejudis dan profesional, kita dapat meemukan roh di sebalik laporan-laporan berkaitan dan tidak mustahil kita akan dapat jawapan kepada pertanyaan kenapa apa yang melanda Kelantan boleh berlaku.

1. SPRM teruskan siasatan

KOTA BHARU 24 Nov. - Siasatan dakwaan penyalahgunaan dana di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) tetap diteruskan walaupun Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman telah meletakkan jawatan.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes yang membabitkan menantu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan disiasat sebagaimana lain-lain kes seumpamanya.

"SPRM akan meneruskan siasatan berhubung kes ini walaupun penjawat berkenaan telah meletakkan jawatan.

"Setelah selesai, kertas siasatan akan dihantar ke jabatan undang-undang bersama bahan bukti yang dikumpulkan sebagai rujukan.

"Kemudian barulah Bahagian Pendakwaan memutuskan sama ada untuk melakukan pendakwaan atau tidak," ujar sumber itu.

Difahamkan, SPRM telah menyiapkan kira-kira 60 peratus siasatan berhubung kes itu dan kini masih mengumpul bahan bukti termasuk dokumen yang diambil di pejabat PMBK.

Abdul Ariffahami dilanda kontroversi apabila SPRM mula menjalankan siasatan ke atasnya kira-kira dua minggu lalu.

Hari ini, media melaporkan beliau telah diarahkan oleh Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan setelah rombongan pimpinan Pas Pusat yang diketuai oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menemuinya semalam.

Mereka menasihatkan Nik Abdul Aziz agar menjaga nama baik kepimpinan Islam khasnya Pas dan langkah sewajarnya ialah agar Abdul Ariffahmi mengundur diri.

Abdul Ariffahmi yang bersedia berbuat demikian bagaimanapun masih belum memutuskan bila akan meletakkan jawatan.

Usaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada beliau gagal setelah Abdul Ariffahmi enggan menemui pihak media yang datang ke pejabatnya di sini hari ini. - UTUSAN

2. Fikiran saya kusut - Nik Aziz
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCANdan
ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 24 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui fikirannya kusut berikutan kemelut yang melibatkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Menurut Menteri Besar itu, keadaan tersebut menyebabkan beliau berdiam diri dan enggan mengulas perkara itu kepada pihak media sebelum ini kerana ingin mencari ketenangan.

Jelasnya, situasi yang sama pernah berlaku kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak berhubung dengan orang ramai lebih sebulan apabila isteri baginda, Siti Aisyah difitnah.

"Kita sebagai manusia ada masa terganggu. Nabi Muhammad SAW lebih dari sebulan tak berjumpa dengan orang ramai bila timbul fitnah terhadap isterinya, Siti Aisyah. Peristiwa Al-Ifki itu begitu sekali mendukacitakan, mengecewakan sampai sebulan Nabi tak berhubung dengan orang ramai.

''Teruk saya ini sebenarnya, tapi begitulah. Kita bergantung dengan Allah, minta doa, sebelum subuh kita bangun, kalau boleh menangis sebagai saksi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Harian Badan Perhubungan Pas Kelantan di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Nik Abdul Aziz, beliau berasa lega sekarang kerana isu itu dianggapnya sudah selesai berikutan arahannya kepada Abdul Ariffahmi supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK semalam.

Beliau menafikan keputusan yang dibuatnya itu kerana tekanan kepimpinan Pas Pusat.
"Ini yang dipanggil berpakat, tegur menegur, itu asas Islam. Saya tekan Pusat, Pusat tekan saya. Masa saya cadangkan EGM (mesyuarat agung luar biasa) baru-baru ini, ada orang setuju, sebab itu saya tekan dia (Pusat).

"(Saya) lega yang ini selesai. Ini satu, yang depan lagi Wallahu A'lam. Biasalah kita serang musuh, musuh serang kita. Kita jangan emosi," ujarnya.

Semalam, rombongan Pas Pusat terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli menemui Menteri Besar.

Mereka menasihatkan Nik Abdul Aziz agar mengarahkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan demi menjaga nama baik kepimpinan kerajaan negeri.

Ia berikutan pelbagai polemik dalam parti dan rakyat negeri ini yang mempertikai kewajaran menantu Menteri Besar itu dilantik ke jawatan tersebut yang boleh menjejaskan imej Pas dan kepimpinan negeri.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Mohd. Zaki Ibrahim berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Nik Abdul Aziz untuk menentukan tarikh sebenar peletakan jawatan Abdul Ariffahmi.

Katanya, ia adalah atas budi bicara Menteri Besar sebagai Pengerusi PMBK untuk menentukan perkara tersebut.

Dalam masa yang sama, Mohd. Zaki menolak dakwaan bahawa Pas Kelantan sudah tidak dapat memberi teguran kepada Nik Abdul Aziz sehingga memerlukan campur tangan Pas Pusat.

"Ini proses biasa dalam parti. Kita kena faham parti yang menguasai kerajaan, maknanya apa sahaja yang berlaku dalam negeri yang diperintah oleh Pas, kepimpinan Pusat berhak beri pandangan.

"Sebagaimana Tok Guru kata tadi, Pas Pusat berhak beri pandangan dan ada ketikanya Tok Guru sebagai Mursyidul Am berhak beri pandangan kepada presiden dan jawatankuasa Pas Pusat seperti isu EGM baru-baru ini,'' katanya.

Tambahnya, segala yang diputuskan dalam Pas berlaku secara kolektif dan semua pandangan dari setiap peringkat sama ada Pusat, negeri atau bawahan diambil kira. - UTUSAN.

3. Cermin ketidaktentuan Nik Aziz

PUTRAJAYA 24 Nov. - Peletakan jawatan Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mencerminkan ketidaktentuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam membuat keputusan dan pendirian.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mursyidul Am Pas itu juga sering bersikap memilih dalam membuat keputusan yang berhubung kait kepentingan peribadinya.

Keadaan itu, kata beliau, menyebabkan bukan sahaja rakyat Kelantan malah ahli-ahli Pas sendiri keliru dengan pendirian yang diambil Menteri Besar Kelantan itu.

''Macam soal tajaan haji ke Mekah, dia kata okey, selepas itu kata tidak akan pergi tetapi pula akan terima kalau ada tajaan pada tahun depan. ''Tak tahu dia pakai hukum apa, hukum dunia Nik Aziz sendiri. ''Inilah bukti kelemahan kepimpinan Pas," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-7 di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Perhutanan Negara (MPN) Ke-22.
Beliau mengulas peletakan jawatan menantu Nik Abdul Aziz semalam setelah diarahkan oleh Menteri Besar itu sendiri.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz selepas mengadakan pertemuan dengan rombongan kepimpinan tertinggi parti itu yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli di kediaman rasminya, JKR 10 di Kota Bharu semalam.

Masalah dalaman PMBK bermula apabila enam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyerbu pejabat perbadanan tersebut yang terletak di Jalan Kuala Krai 9 November lalu.

Pada masa sama, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan untuk menunaikan haji bernilai RM65,000 yang turut disertai ahli keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi.

Beberapa hari selepas itu, masalah dalaman PMBK menjadi bertambah parah apabila menantu Nik Abdul Aziz itu menamatkan kontrak Pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz minggu lalu.

Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya, 'Kickdefella', pula dilihat antara orang kanan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. - UTUSAN

4. Isu Nik Aziz, menantu selesai - Hadi

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menganggap isu berhubung kedudukan menantu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah selesai.

Beliau berkata, campur tangan Pas Pusat untuk menasihatkan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas bertujuan untuk menjaga nama baik parti dan juga kepimpinan parti.

"Menteri Besar dah buat keputusan supaya pegawai berkenaan (Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman) letak jawatan sebagaimana pandangan (yang diberikan) Pas Pusat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di bangunan Parlimen di sini.

Abdul Hadi juga berkata, keputusan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz adalah berdasarkan kehendak keseluruhan anggota parti dan bukannya berdasarkan kehendak individu.

Semalam, arahan untuk Abdul Ariffahmi meletak jawatan dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz selepas satu rombongan Pas Pusat bertemu dengan beliau selama sejam di kediaman rasminya di Kota Baharu, Kelantan. - BERNAMA

5. Ahli Parlimen Pas pertahan Nik Aziz

KUALA LUMPUR 24 Nov.
- Ahli-ahli Parlimen Pas hari ini 'berlumba-lumba' cuba menzahirkan tindakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman meletak jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebagai satu tindakan berintegriti.

Dengan tidak menyentuh langsung mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas PMBK melainkan ketika ditanya wartawan, beberapa Ahli Parlimen Pas berusaha memperlihatkan apa yang berlaku itu adalah satu pengorbanan.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Nik Abdul Aziz dan keluarga telah melakukan pengorbanan yang besar untuk parti dan memastikan perjuangan Pas dapat diteruskan.

"Tok Guru sanggup korbankan keluarga dan menantu sendiri, apa yang ditunjukkan menjadi contoh yang baik.

''Saya anggap apa yang ditunjukkan Menteri Besar Kelantan menjadi contoh dan peringatan kepada pemimpin-pemimpin Pas hari ini dan akan datang bahawa parti serta perjuangan adalah segala-galanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz meminta Abdul Ariffahmi meletak jawatan sebagai CEO PMBK selepas Pas Pusat diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihat Mursyidul Am Pas itu mengarahkan menantu beliau agar berbuat demikian.

Nik Aziz bagaimanapun menafikan arahan berkenaan dibuat ekoran siasatan SPRM terhadap menantunya dan sebaliknya menjelaskan tindakan itu bagi mengekang fitnah.

Bekas pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang juga penulis blog Kickdefella yang diarahkan berhenti dari PMBK serta-merta baru-baru ini berharap, peletakan jawatan Abdul Ariffahmi akan mengembalikan hak rakyat.

Salahuddin bagaimanapun ketika ditanya mengenai siasatan SPRM ke atas menantu Nik Abdul Aziz pula berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan pihak berkenaan.

"Apa yang berlaku dan yang sedang dalam siasatan kita serahkan kepada SPRM, saya tidak mahu masuk campur apa yang menjadi tugas SPRM," katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa turut cuba melaungkan sentimen yang sama dalam satu sidang akhbar berasingan dengan mengucapkan tahniah kepada Nik Aziz dan menantu beliau.

"Ahli Parlimen Pas mengalu-alukan apa yang dilakukan itu, ia adalah contoh kepada orang ramai," katanya.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd. Nasir Zakaria berkata, Nik Abdul Aziz telah mengambil satu langkah yang cukup proaktif dalam isu melibatkan menantunya itu. - UTUSAN

6. Namakan pengganti elak kekalutan

KOTA BHARU 24 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disaran agar menamakan penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan itu kelak.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (gambar) berpendapat, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti.

''Dengan cara ini, bakal pengganti yang dinamakan boleh dipersiapkan dari segi kepimpinan melalui bimbingan dan nasihat bagi mengukuhkan keyakinan ahli serta rakyat keseluruhannya.

''Pandangan peribadi saya ini tidak harus dilihat sebagai saya mempunyai pertimbangan lain," ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada Utusan Malaysia di sini hari ini berhubung beberapa isu yang tercetus kebelakangan ini yang menimbulkan polemik di kalangan ahli dan masyarakat.

Ini termasuk desas-desus mengenai wujudnya pergeseran di kalangan Exco dan kemelut dalam pentadbiran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang seolah-olah tidak begitu terarah kepada kepentingan rakyat.

Mohd. Amar berkata, berdasarkan pengalaman Pas, sesiapa sahaja yang diberi kepercayaan sebagai pemimpin akan diterima secara terbuka oleh ahli dan penyokong parti.

Beliau menegaskan, cadangan itu tidak harus disalahertikan sebagai satu gesaan.
''Cuma, saya tak ingin melihat beliau berhenti tanpa diketahui penggantinya lebih awal kerana proses itu tidak harus berlaku secara tiba-tiba.

''Bukan meminta beliau berundur, lebih baik menamakan pengganti dengan mengemukakan cadangan kepada pucuk pimpinan parti kerana itu pendekatan terbaik," ujarnya.

Mohd. Amar percaya dalam pemikiran Nik Abdul Aziz yang sudah hampir 20 tahun tahun menerajui negeri, sudah ada calon penggantinya tetapi keberatan untuk menamakannya kerana tidak mahu menjejaskan perasaan mana-mana pihak.

Beliau percaya sesiapa pun yang dinamakan oleh Nik Abdul Aziz dan kelak menerajui Pas atau kerajaan negeri, sokongan rakyat terhadap parti itu tidak akan terhakis.

"Beliau telah meletakkan Pas di landasan yang kukuh. Rakyat akan terus beri sokongan. Cuma mungkin kalau beliau berhenti sebelum masanya, rasa tidak puas hati atau reaksi berbeza mungkin wujud," katanya. - UTUSAN

7. Nik Aziz lega isu menantu ‘selesai’

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam melahirkan rasa leganya selepas kemelut yang melanda Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berjaya diselesaikannya.

Namun begitu, beliau akan lebih berhati-hati pada masa depan dengan pelbagai kemungkinan ‘ musuh’ akan sentiasa menyerang. “Selesai satu (lega), yang di depan, hanya Allah yang tahu.

Bergilirla, kita serang musuh, musuh serang kita, tapi kita jangan emosi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Pas negeri, di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, semalam.

KITA PERLU ADIL DAN TULUSKAN HATI DALAM MEMBUAT PENILAIAN!

1 comment:

Anonymous said...

isu perletakan jawatan ceo pmbk dah selesai...abe li tolong cari watak-watak di syarikat global media channel,dengar cerita syed azidi dan bini dia(bariah ishak)yang tak pakai tudung & tak pernah solat, kerja kat situ...nama-nama seperti tuan hj hashim,khir,mat pauh,redza,ustaz man,razak,cikgu nuri,hj zaidi,syed azidi,

selongkar kisah gmc pulak boss




anak buah ariffahmi pmbk