Sunday, December 13, 2009

MUNCUL KEMBALI (570)

Jangan sua karak kepada rakyat pelbagai kaum

KETOKOHAN, riwayat hidup tokoh-tokoh seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Petra Al-Haj dan rakan-rakan separti, mendiang Manikavasagam dan rakan-rakan separti serta mendiam Khoo Kai Boo dan rakan-rakan perlu didedahkan kepada warganegara muda supaya masing-masing sedar betapa sukarnya untuk membina kemakmuran dan keharmonian bagi negara merdeka dengan rakyat terdiri dari pelbagai kaum dan annutan agama.

Walaupun salsilah keturunan serta adat resam dan budaya sesuatu bangsa dan penganutan agama adalah teras dan identiti kepada kedaulatan sesuatu bangsa, namun rakyat Malaysia kena terima hakikat bahawa negara ini telah ditakdir dan disuratkan-Nya didiami oleh warga pelbagai kaum yang pelbagai anutan agama, adat resam dan budaya. Apa pun bangsa, warna kulit dan anutan agama, kita adalah bangsa Malaysia.

Apa yang dirancang, dirangka dan dikerangkakan untuk jangka pendek atau panjang, mahu tidak mahu kena mengambil kepentingan atas nama bangsa Malaysia supaya kemakmuran dan keharmonian hidup yang terjalin hasil pelan, rangka dan kerangka yang disediakan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, mendiang
Manikavasagam dan mendiang Khoo Kai Boo serta rakan separti masing-masing terus terpelihara.

Bukan mudah untuk memakmur, mengharmoni dan mewujudkan semangat berkasih sayang, semangat persaudaraan dan saling hormati menghormati di kalangan rakyat pelbagai kaum seperti di Malaysia kerana di negara-negara lain bukan sahaja satu bangsa tetrapi berlainan agama boleh bermusuhan dan perang tetapi satu bangsa dan satu agama pun boleh bergasak dan hanya kerana berlainan mazhab.

Tetapi kerana kebijaksanaan kepimpinan yang terdahulu, maka kita berjaya hidup dalam keadaan aman, makmur, harmoni, muhibbah dan saling hormati menghormati. Hanya akhir-akhir ini semacam ada kalangan tertentu yang membangkitkan semangat perkauman yang kalau dibiarkan boleh menyumbangkan kepada berlakunya huru-hara di negara tercinta ini.

Kalau dalam keadaan serba mundur yakni pada awal negara meredeka, pimpinan pada waktu itu boleh menformula, merangka dan mengkerangkakan pelan hidup bersatu padu dan penuh persefahaman di kalangan rakyat majmuk di negara ini, adalah sesuatu yang amat malang kalau pada zaman serba moden dan negara dibanjiri oleh cerdik pandai ini, ada pihak yang cuba menyumbang ke arah keosakan pelan perpaduan, keharmonian dan kemakmuran hidup di negara ini.

Sesungguhnya mencegah adalah lreebih baik dari apa jua usaha untuk menyelesaikan masalah. Justeru bagi saya amat wajar dan musanabah kalau mana-mana individu yang berperanan ke arah menimbulkan semangat perkauman diasingkan dari masyarakat terbanyak dengan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa kompromi.

Pihak berkuasa dan negara kena bersedia untuk kehilangan seseorang individu yang ketokohan boleh menyebabkan makhluk di langit dan di bumi sewmua angkat tabik kerana kehebatan ketokohannya demi memastikan kira-kira 27 juta rakyat pelbagai kaum dan pelbagai anutan agama di negara ini terus hidup dalam keadaan aman makmur, penuh persefahaman dan saling hormati menghormati serta sayang menyanyangi.

Sama ada orang politik, pendukung reformasi atau atas nama apa perjuangan sekali pun, dalam mengatur straegi bertujuan menarik sokongan, masing-masing boleh guna apa jua cara dan pendekatan tetapi jangan sesekali 'menjolok sarang tebuang' atau 'mengusik singa lapar tengah lena tidur' dengan mendorong kepada semangat polarisasi kaum kerana besar bahayanya jika api perkauman dihidupkan.

Jangan sua karak kepada rakyat pelbagai kaum semata-mata kerana kepentingan politik, kepentingan reformasi atau apa-apa perjuangan sekali pun, sebaliknya masing-masing kena ibarat menarik rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan rosak dalam perlumbaaan mendapat sokongan dan pengaruh di kalangan rakyat pelbagai kaum.

No comments: