Friday, December 25, 2009

MUNCUL KEMBALI (596)

Yang tersirat dan tersurat

OLEH kerana tidak ada perkara menarik yang rasanya perlu diulas hari ini, maka saya mahu mengajak pembaca meneliti apa yang tersurat dan tersirat di sebalik laporan-laporan berikut;

1. 'Saya tidak akan buat rayuan jika digantung keahlian'

SHAH ALAM 25 Dis. - Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad tidak akan mengemukakan rayuan sekiranya Jawatankuasa Disiplin parti itu mengenakan tindakan terhadapnya termasuk menggantung keahlian untuk tempoh tertentu.

Menurutnya, jika jawatankuasa itu mempunyai fakta atau bukti kukuh untuk mensabitkan beliau atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan peraturan parti, beliau sedia menerima apa jua tindakan.

''Kalau saya benar-benar didapati bersalah dan ada fakta-fakta yang jelas, saya sedia terima apa juga bentuk tindakan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin Pas. Saya tidak akan buat sebarang rayuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai keputusan kes berkenaan.

''Saya akan beri penjelasan kepada Jawatankuasa Disiplin Pas (pada 7 Januari). Terpulanglah kepada mereka untuk menentukan keputusannya.

''Namun, saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana saya tidak mahu kes melibatkan perbezaan pendapat (dalam Pas) ini menganggu tugas dengan rakyat," jelasnya.

Sebuah portal berita propembangkang Malaysian Insider menyiarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesahkan bahawa jawatan kuasa itu telah mengenal pasti wujudnya kes kukuh terhadap dua pemimpin Pas Selangor yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa menjejaskan imej parti.

Menurut portal berita propembangkang itu, Hasan menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan sekiranya jawatankuasa disiplin parti mahu beliau berbuat demikian .

Bagaimanapun, Hasan yang juga Exco kerajaan negeri Selangor tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan mengenai kenyataan tersebut.

2. Hasan, Khalid dipanggil lagi

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan bekas Timbalannya, Khalid Samad akan dipanggil Jawatankuasa Disiplin parti itu sekali lagi untuk memberi penjelasan lanjut pada 7 dan 9 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam pertemuan malam kelmarin, jawatankuasa itu berpuas hati dengan laporan bertulis yang telah dihantar kedua pemimpin tersebut tetapi memerlukan penjelasan lanjut daripada mereka.

''Kami berpuas hati dengan penjelasan bertulis itu tetapi memutuskan untuk memanggil mereka supaya memberi penjelasan lisan berhubung beberapa aspek.

''Ia merupakan prosedur di dalam Pas yang mana kita akan menerima laporan, selepas itu analisis laporan, hantar surat dan tertuduh diminta menjawab kembali surat itu.

''Kita akan teliti surat yang dijawab dan akan memanggil tertuduh sekiranya memerlukan maklumat tambahan. Selepas itu barulah tindakan akan diambil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan aspek yang memerlukan penjelasan lanjut itu.

Hasan dan Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa menjejaskan imej parti.

Antara bukti yang diserahkan ialah rakaman audio seorang pemimpin Pas yang didakwa memperlekeh kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang.

Tuan Ibrahim menjelaskan, bentuk hukuman bergantung pada penjelasan susulan mereka.

Katanya, menurut Perkara 75 perlembagaan parti, Jawatankuasa Disiplin mempunyai tiga pilihan hukuman iaitu memberi amaran bertulis, menggantung jawatan yang disandang ataupun memecat daripada parti.

''Bagaimanapun sekiranya disabit kesalahan mereka masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan kepada Jawatankuasa Pusat parti dan Majlis Syura Ulama," katanya.

Tambahnya, setakat ini belum ada keputusan untuk memanggil saksi-saksi lain.

Beliau juga menafikan khabar angin bahawa hukuman terhadap Hasan sudah diputuskan ketika pertemuan itu kelmarin.

''Kami masih di peringkat mengkaji penjelasan mereka, jadi hukuman belum diputuskan," katanya.

3. AS terus dilanda salji buruk


Kenderaan bergerak perlahan berikutan jalan licin akibat ribut dan salji tebal yang melitupi Lebuh Dodge, Omaha menjelang sambutan Krismas, kelmarin. – AP

MINNEAPOLIS 25 Dis. – Ribut kencang menyebabkan seluruh bahagian tengah Amerika Syarikat (AS) diliputi salji dan ais, mengakibatkan penerbangan tergendala, pengguna lebuh raya terkandas dan majlis perayaan menjelang Krismas dibatalkan.

Di sesetengah kawasan, salji dilaporkan setebal antara dua hingga tiga meter menjelang sambutan Krismas hari ini.

Amaran ribut salji dikeluarkan di Iowa, Kansas, Minnesota, Missouri, Nebraska, North Dakota, Oklahoma, South Dakota, Texas dan Wisconsin.

Para pemandu turut digalakkan membawa kit kecemasan ketika melakukan perjalanan semasa musim perayaan ini, yang biasanya menjadi musim percutian yang paling sibuk setiap tahun.

Ribut turut dijangka menyebabkan lebuh raya di timur AS diliputi ais, hari ini.

Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh pada minggu ini akibat keadaan jalan raya yang licin, ketika ribut salji bergerak perlahan merentasi negara ini dari barat daya.

Antara lebuh raya yang ditutup ialah di negeri Oklahoma, South Dakota dan Texas.

Gabenor Texas, Rick Perry telah mengarahkan anggota tentera membantu para pemandu.

Gabenor North Dakota, John Hoeven pula meletakkan tentera tambahan dan Pengawal Kebangsaan dalam keadaan berjaga-jaga.

Sementara itu, Gabenor Oklahoma, Brad Henry mengisytiharkan darurat di seluruh negeri itu ekoran ribut salji yang disifatkan yang ‘terburuk’ kali ini.

Menurut jurucakap Lapangan Terbang Will Rogers World di bandar Oklahoma, ribut telah menyebabkan lapangan terbang terbesar di Oklahoma ditutup mengakibatkan kira-kira 100 penumpang dan beberapa kakitangan mereka terkandas.

Hampir 100 penerbangan dari Minneapolis ke St. Paul turut dibatalkan menjelang tengah malam tadi. – AP

4. Emel saluran dakwah Sarah


SARAH Joseph (kiri) menghadiahkan naskhah emel isu Eco-Jihad kepada Putera Charles (kanan).


PADA usia 13 tahun, abang kandungnya telah memeluk Islam. Alasannya mudah, kerana perkahwinan. Pada masa itu, Sarah Joseph, antara penganut kuat fahaman Roman Katolik sangat membenci keputusan abangnya itu, sekali gus menuduhnya sanggup menjual keyakinan hanya kerana seorang wanita.

Tambahan pula, Islam adalah sesuatu yang asing dan sangat menakutkan. Ini kerana pada masa itu beliau sekadar mengetahui sisi negatif Islam menerusi pembacaannya di media massa.

"Hakikatnya, prasangka buruk tentang Islam sukar untuk hilang. Saya tahu perasaan takut itu wujud kerana saya belum tahu Islam yang sebenarnya. Lantas, saya putuskan untuk mencari informasi tentang Islam kerana perasaan ingin tahu yang membuak-buak ketika itu.

"Tak berapa lama selepas itu, saya mengambil keputusan meninggalkan ajaran Katolik. Ia bukan kerana saya tertarik dengan Islam tetapi kecewa dengan aturan paderi besar yang berpusat di Rom.

"Keputusan itu juga tidak bermakna saya memilih Islam. Waktu itu saya "kosong". Saya masih berusaha mencari Tuhan. Dalam pencarian itulah, Islam hadir dalam hati ini. Islam menjawab semua pertanyaan saya, terutama tentang konsep Triniti. Seperkara lagi, al-Quran tidak mengalami perubahan sama sekali, berbeza dengan Injil," akui Sarah yang akhirnya mengucap dua kalimah syahadah pada usia 16 tahun.

Kata Sarah lagi, ibadah solat turut menjadi faktor kepada pengislaman beliau. Acap kali melihat perbuatan duduk antara dua sujud serta menundukkan kepala ke sejadah, saat itulah terserlah dan terbuktinya kepatuhan seorang hamba kepada Penciptanya.

Sarah mengakui pada peringkat awal, agak sukar baginya untuk merealisasikan Islam di dalam diri dan kehidupan. Terutama dalam usaha menjelmakan ajaran Islam ke dalam keluarga dan lingkungan sosial.

"Ibu bapa saya tidak bersetuju dengan rancangan saya untuk masuk Islam. Malah penolakan keras mereka semakin terserlah bila saya membuat pilihan mengenakan jilbab (bertudung kepala).

"Saya faham keluarga menentang keras kerana takut saya menjadi seorang yang lain. Saya tidak salahkan mereka, kerana fahaman mereka yang liberal. Boleh dikatakan proses penerimaan itu mengambil masa bertahun lamanya. Alhamdulillah, kini mereka sangat bahagia dan mereka senang dengan jalan hidup yang saya pilih dan ternyata ia pilihan yang betul dan benar," jelas Sarah sentiasa berdoa agar ibu bapanya juga menerima cahaya Islam.

Wanita kelahiran kota London itu menempuh pintu lain dalam menterjemahkan Islam untuk dunia Barat. Lantas, Sarah, 37 tahun, telah menerbitkan majalah emel, sebuah majalah khas yang mengupas gaya hidup Muslim dengan sasaran bukan Islam.

Majalah ini pertama kali diterbitkan pada 2003 dan hanya dijual di kedai-kedai buku Islam. Namun lama-kelamaan, ia telah berjaya menarik pembaca bukan Islam sehinggalah bermula September 2005, edarannya mula diperluaskan. Kini emel beroperasi di Whitechapel, timur London, memiliki edaran di 30 buah negara. Ia juga boleh diakses di Internet (www.emelmagazine.com)

Dalam sebuah wawancara dengan akhbar harian The Guardian terbitan di London, wartawan produktif ini ada menjangkakan bahawa Islam mempunyai peranan besar dalam menyelesaikan permasalahan dunia pada masa hadapan. Malah, beliau juga banyak menekankan bagaimana seharusnya seorang Muslim yang bermukim di negara Barat berperilaku dan ia tidak mustahil direalisasikan sungguhpun imej Islam sering dicalar dengan pelbagai kecaman dan tohmahan yang negatif.

menjelaskan Islam

"Saya rasa Muslim di Barat memiliki tanggungjawab untuk menjelaskan Islam pada kalangan Barat. Saya melihat Islam mempunyai keupayaan memberikan yang terbaik. Syaratnya, mereka harus terlebih dahulu melihat Islam sebagai sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada masalah yang harus dijauhi.

"Islamophobia dan anggapan Islam agama keganasan adalah satu fenomena yang sedang menular di dalam masyarakat Barat, tetapi kita sedang mencari jalan untuk membetulkannya. Menerusi emel yang menampilkan gaya hidup Islam merangkumi fesyen, hiasan dalaman, kewangan, keusahawanan, kesihatan, makanan hingga kisah kemasyarakatan, hobi dan penemuan ilmuwan Islam di masa lampau, diharap Islam lebih difahami.

"Kami ingin tampilkan sesuatu yang lain. Hal-hal normal yang berlaku dalam Islam, yang tak banyak diketengahkan, cuba ditonjolkan. Ia supaya bukan Islam jelas bagaimana agama Islam itu sebagai satu cara hidup. Kami menawarkan jendela masuk ke komuniti Islam, jauh daripada sekadar ungkapan-ungkapan berbau klise," kata Sarah yang pernah mendapat undangan mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Pun begitu, Sarah menyimpan sedikit kerisauan apabila melihat kerakusan beberapa media yang sewenang-wenangnya menokok-tambah berita-berita tentang Islam.

"Jika orang ramai dimomokkan dengan kisah-kisah tidak benar tentang Islam, lambat laun ia akan memburukkan lagi imej Islam yang sudah sedia dilabel negatif, sekali gus menimbulkan ketakutan bukan Islam untuk mengenali Islam. Maka ini tidak sihat bagi masyarakat kami," kata beliau.

Akui Sarah lagi, perilaku segelintir Muslim yang tidak Islamik, juga tidak membantu merubah imej Islam di Barat. Satu keji selidik yang dibuat pada 2002, mendapati 70 peratus masyarakat Britain tidak mengetahui apa-apa, bahkan tidak peduli sama sekali apa itu Islam. Mereka fahami Islam hanya berdasarkan informasi daripada media sahaja. Sayangnya, media pula tidak menunjukkan Islam atau memberi gambaran Islam yang sebenar.

Oleh itu, saran Sarah, adalah terletak di bahu setiap Muslim di Britain untuk bersikap proaktif dalam mempamerkan perkara-perkara positif dalam Islam. Malah beliau berkeyakinan padu bahawa Allah SWT telah menciptakan dunia ini, jadi, di Barat juga adalah sesuai untuk seorang Muslim mempraktikkan kepercayaannya.

No comments: