Monday, January 4, 2010

MUNCUL KEMBALI (615)

Cegah dan basmi rasuah boleh jadi payah dan boleh jadi mudah

SELAIN dari pertukaran status dari Biro Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawalah kepada penukaran penerajunya, agensi berkenaan tetap juga berdepan dengan jumlah kes yang makin bertambah ekoran dari pertambahnya jumlah manusia, terutama menokoknya bilangan mereka yang cerdik.

Kita patut mengucapkan selamat bersara dan bebas dari tekanan tugas yang tidak pernah berkurangan kepada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said dan ucapan selamat bertugas kepada penggantinya, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Bagi saya Ketua Pesuruhjaya dan seluruh kakitangan SPRM memikul tuntutan 'fardu kfayah'. Masing-masing menjalankan kerja yang sangat mulia dan menjadi kebanggaan pembenci rasuah dengan pada masa yang sama akan menjadi musuh kepada pengamal rasuah sama ada penerima mahu pun pemberi.

Cuma barangkali sebagai sebahagiani dari tuntutan 'fadu kifayah' dalam bentuk memberi pandangan, teguran, kritikan dan juga cadangan, tidak salah rasanya kalau saya mencadangkan agar pendekatan keagamaan digunakan dalam kerja-kerja pencegahan dan pembasmiah rasuah sebagai agenda dan juga taktik serta teknik terbaru SPRM memerangi rasuah.

Hakikat yang kena dperakukan ialah untuk mengesan, apatah mencegah dan membasmi rasuah bukan kerja mudah. Ini adalah kerana bilangan mereka yang boleh terlibat dalam amalan menerima dan memberi rasuah jauh lebih ramai dari bilangan kakitangan SPRM.

Di samping itu pelbagai lubang, ruang dan peluang untuk amalan menerima dan memberi rasuah terlalu banyak dan sukar untuk dihidu oleh SPRM yang memerlukan aduan untuk membuka siasatan sebelum tangkapan dan pendakwaan dapat dibuat.

Bagaimanapun kepayahan untuk mencegah dan membasmi amalan menerima dan memberi rasuah akan menjadi mudah sekiranya pendekatan Islam digunakan. Caranya ialah dengan mengadakan program memberi kesedaran bahawa menerima dan memberi rasuah adalah haram. Ianya perlu diadakan secara berkesimbangungan.

Ramai di kalangan mereka yang patut menerima dan memberi rasuah atas kepentingan dan keperluan tertentu kini tidak melakukannya bukan kerana mereka takut berdosa tetapi kerana mereka takut dicekup oleh SPRM. Maknanya bila sudah hilang rasa takut dan bertemu 'lubang molek', lambat atau bangat mereka akan lakukannya.

Tetapi kepada yang takut kepada dosa, walaupun seluas mana lubang yang ada untuk melakukannya dan tidak memungkiknan sama sekali pihak SPRM mengesaninya pun, mereka tidak akan melakukannya kerana mereka sedar para malaikat dan Allah melihat apa yang mereka lakukan sama ada di tempat terang atau sembunyi.

Dengan itu mereka akan takut untuk makan dan minum apa-apa jua makanan dan minuman yang dibeli dari hasil amalan rasuah. Mereka tidak akan berani duduk dalam rumah, memiliki kereta, memakai pakaian, malah membeli rokok sekali pun dengan wang hasil amalan rasuah.

Ini adalah kerana apa-apa jua yang halal bila dibeli menggunakan wang hasil dari rasuah, ianya akan menjadi haram, malah perkahwinan yang menggunakan mas kahwin dan hantaran dari wang rasuah juga menjadi haram walaupun perkahwinannya sah.

Sejahil mana pun seseorang itu, ianya tidak akan berani bangun, tidur, makan, minum, berpakaian, berumahtangga, memiliki/memandu kereta, memiliki/menduduki rumah, memiliki isteri/isteri-isteri/anak/cucu/cicit, menarik dan menghembus nafas dan sebagainya dalam keadaan haram dan berdosa kerana mereka tahu akhirnya mereka akan mati.

Justeru pada saya SPRM perlu untuk tidak berlengah-lengah lagi menggunakan pendekatan Islam, misalnya mengambil masa sejam dalam seminggu untuk mengadakan kuliah agama wajib hadir oleh setiap kakitangan peringkat kementerian hinggalah ke peringkat negeri dan daerah.

Tokoh-tokoh berkelayakkan yang dibiayai oleh SPRM yang dipilih memberi kuliah hendaklah disyarat-wajibkan memberi tumpuan khusus tentang kenapa amalan rasuah itu haram dan apa jadahnya kepada penerima dan pemberi rasuah, macam mana daging lembu yang disembeli dan halal dimakan menjadi haram sama dengan daging babi kalau daging lembu itu dibeli menggunakan wang yang diperolehi secara haram.

Rasanya ambil masa satu jam seminggu tidak akan sampai menjejaskan perkhidmatan mana-mana kementerian, jabatan atau agensi kerajaan. Saya yakin bila masing-masing sedar tentang buruknya amalan rasuah dan jijik lagi haram jadahnya punca perolehan yang tidak halal, maka mereka akan takutkan untuk berdosa, sekali gus akan mengelak dari melakukan dosa, termasuk dosa rasuah.

Malah tidak mustahil bukan sahaja amalan rasuah akan takut dilakukan, ponteng kerja, datang lewat dan balik awal dari tempat kerja, salah guna harta benda pejabat termasuk sehelai kertas atau sebatang pen, menggunakan kenderaan jabatan untuk kepentinan peribadi seperti ambil anak sekolah, bawa bini ke pasar dan sebagainya juga tidak akan berlaku.

Masing-masing akan sedar walaupun mungkin perlakuan mereka tidak akan mampu dihidu oleh PSRM atau oleh pihak pengurusa jabatan masing-masing tetapi mereka tidak akan dapat sembunyi dari Pengetahuan Allah dan para malaikat-Nya. Mati dalam keadaan berdosa, tempatnya adalah neraka yang mana neraka itu ada suatu tempat penyiksaan!.

No comments: