PKR akan ulangi nasib S46
SEMALAM saya kunjungi Haji Shukri Abdul Kadir @ Shukri Ikan Linang yang kini hilang penglihatan selepas menjalani pembedahan mata dan beliau mendakwa amat bersyukur dengan keadaannya sekarang yang menjadikannya lebih dekat dengan Allah.
Sebelum menjadi umpama sampah sarap kepada orang politik seperti sekarang, beliau adalah seorang yang aktif bergiat dalam politik Umno selama 30 tahun dan menjawat jawatan-jawatan penting dalam bahagian Pengkalan Chepa.
Semasa bertaraf jutawan kerana perusahaan penghasilan ubat berkomponen-utamakan ikan linang, beliau menjadi rebutan untuk didekati oleh banyak pihak. Beliau jelas terkilan kerana sepanjang beliau dalam keadaan serba sukar sekarang, hanya Ketua Bahagian Umno Pengkalan Chepa sekarang, Dali Hussin sahaja yang pernah menziarahinya. Yang lain tanya khabar pun tidak.
Mertuanya yang katanya pernah bertetak bertikam mempertahankan Umno di Cawangan Pulau Melaka yang merupkan kubu kuat Pas, juga kini terlantar sakit dan tidak ada mana-mana pimpinan parti yang pecah lior menziarahi dan bertanya khabar.
Insyaallah kisah lanjut mengenai beliau yang akan lengkap dengan gambarnya sekali, akan saya paparkan dalam posting khas mengenainya nanti di samping saya akan cuba pastikan ianya akan disiarkan dalam Siasah milik Sdra Haji Mohd. Sayuti Omar yang katanya telah berubah pengurusan dan dijangka akan berada di pasaran pada 25 haribulan ini nanti.
Haji Shukri nampaknya masih mengikuti perkembangan politik semasa sependapat dengan saya bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengulangi sejarah Parti Melayu Semangat 46 (S46) kerana parti itu tidak ada roh perjuangan. Kalau S46 wujud kerana Ku Li dan kepentingan anak raja berjiwa rakyat itu, PKR pula dilahirkan kerana kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Rohnya bersifat indivdisme.
Sebagaimana S46, PKR tidak ada roh sebagaimana Umno dan Pas sebagai parti milik orang Melayu. Warna dan semangat reformasinya mudah luntur, leweh, lecas dan dawas. Bibit-bibit kemusnahan dan kehancuran PKR kian menyerlah. Pas yang merupakan parti politik yang telah matang walaupun kjematangannya terkemudian dari Umno melakukan kesilapan besar kerana jadikan PKR sebagai rakan kerjasama.
Padahnya Pas terpaksa menjadi umpama ayam yang disembelih dimasak bercampur dengan ayam mampus pulas tengkok dalam satu kawah apabila memilih bekerjasama dengan PKR menjadikan Pas terpaksa bekerjasama juga dengan DAP yang anti Islam, yang mana dasar Pas dan DAP sangat berbeza pangkalannya dan juga kunci warnanya.
Padahnya kes orang bukan Islam baca al-Quran, pemimpin bukan Islam bagi kuliah di surau, wang hasil judi diagihkan kepada golongan miskin secara terbuka, tokoh beragama Hindu memberikan lembu untuk dikorbankanm bagi pihak dirinya pada hari raya haji nanti serta pelbagai perkara yang sensitif bagi umat Islam berlaku secara runtin dalam PR dan Pas terpaksa restu dan akur, malah menpertahankannya demi kerana setiakawan.
Pas juga masih buka bual untuk tumbangkan kerajaan dan digantikan dengan kerajaan PR walaupun hakikat dan natijahnya jika memang benar kerajaan yang ada sekarang mampu ditumbangkan, bukan Pas yang akan mendominasi kerajaan kerana jumlah kerusi yang ditandingu parti itu tidak pernah cukup untuk melayakkannya membentuk kerajaan kalau pun semua kerusi yang ditandingi dimenangi seratus peratus.
Yang akan mendominasi kerajaan nanti adalah DAP. PKR tidak mungkin mampu mendominasi kerajaan kerana wakil-wakil rakyat PKR bukan Melayu kesemuanya, mereka terdiri dari pelbagai bangsa dan anutan agama. Mungkin Anwar akan jadi Perdana Menteri dan Haji Hadi akan jadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi berapa lama?
Apakah wakil-wakil rakyat bukan Melayu dan bukan Islam boleh setia dengan PKR kalau peluang yang lebih baik dibuka oleh DAP kepada mereka? Kemarahan Gobala kepada Azmin Ali umpamanya boleh menyumbangkan kepada wakil-wakil rakyat PKR berketurunan India akan mufarakah dari PKR dan akan memilih DAP kerana walaupun tidak sebangsa tetapi barangkali seanutan agama.
Justeru pada saya, malah pada Haji Shukri yang walaupun marahkan orang-orang Umno dan puji pimpinan Pas tetapi mendakwa masih sayangkan Umno, Pas kena berhenti mencipta angan-angan dan retorik untuk tumbangkan kerajaan kalau masih terus bertanding dengan jumlah kerusi yang tidak memungkinkannya mendominasi kerajaan jika kerajaan sekarang dapat ditumbangkan.
PKR akan hancur, akan lebur dan akan berantakkan dalam tempoh yang tidak akan panjang. Parti itu akan ulangi nasib S46. Suara pembangkang Melayu akan tenggelam dalam suara-suara sumbang pembangkang bukan Melayu
Justeru, biarlah Umno mendominasi kerajaan yang ada dan Pas terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa. Sesungguhnya menjadi kerajaan tidak semudah menjadi pembangkang. Lihat sahaja pada negerinegeri yang diperintah oleh PKR, apakah penapaian yang boleh rakyat pemberi mandat banggakan?
Antara Umno dengan Pas tidak boleh saling bunuh membunuh, hancur menghancur dan apa-apa juga tindakan yang boleh menjahanamkan kedua0duanya kerana masing-masing kena terus menjadi pendomin kerajaan dan juga pendominasi kepada suara pembangkang.
Kerajaan akan kuat jika pembangkang kuat dan kerajaan akan lemah jika pembangkang tidak bermaya. Sama ada kerajaan atau pembangkang, kedua-duanya penting kepada negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
Thursday, October 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Mungkin jugak PKR akan jadi senasib dengan S46... jika kepentingan peribadi menjadi agenda utama....
Dulu PKR dilihat sebagai pejuang rakyat & keadilan... semua berpaksikan prinsip kebenaran & keadilan ... berteraskan perlembagaan dan amalan demokrasi.. bermatlamat kesejahteraan & kemakmuran bersama ...
PKR dilihat gagal membentuk satu "pasukan pejuang rakyat yang jitu" dan "budaya politik baru" ... ciri2 budaya parti rasis & kebendaan UMNO, MCA, MIC atau komponen BN yang lain amat ketara dalam proses pemilihannya kali ini ...
PKR perlu buktikan mentaliti dan budaya politik mereka yang patriotik, demokratik dan progresif. PKR perlu post-mortem kelemahannya secepat mungkin. PKR perlu pamerkan kemantapan dan kematangan organisasinya segera. PKR perlu pulih & pertahan keyakinan rakyat sebelum PRU13.
Jika tidak bertindak segera... segala telahan en. meli & mereka2 yang merisauinya akan benar2 berlaku. PKR berkubur selepas PRU13.
PAS & DAP pun perlu mengambil iktibar & muhasabah sama. Jika tidak impian PR memimpin perubahan politik hanyanya angan2 mat jenin. Natijahnya rakyat malaysia akan berada dalam genggaman rejim feudo-rasis UMNO/BN untuk tempoh yang panjang lagi.........
dah agak dah ada org akn sama fikir dgn aku, kpr takkan lama usianya krn ditubuh atas hasrat peribadi lg keji. s46 yg bersemangatkan seorg pejuang itupun boleh jatuh sekejap je inikan pula krn faktor sifat keji pemimpin mereka. tak lamalah tu....yg rugi dan berdosanya ialah pas....fikir2lah penyokong pas sebelum allah beri tsunami..... nanti malu sendiri.
Post a Comment