Wednesday, November 10, 2010

MUNCUL KEMBALI (847)

Peluang Umno/BN menang boleh terhadang gara-gara wang ehsan

SUSU sebelanga boleh rosak oleh angkara setitik nila. Sebuah kerajaan, sebuah parti politik, gabungan parti-parti politik dan sebagainya akan punah prestasi dan reputasi seandainya orang ramai cuba dipersenda, dipermain dan diperbodohkan.

Kelantan yang pada dasarnya akan bertukar kerajaan dari Pas/PR kepada Umno/BN pada pilihanraya umum ke-13 tidak akan menjadi realiti seandainya pengagihan wang ehsan untuk para pelajar terus tergantung kerana ibubapa menganggap mereka telah dipermainkan kerananya.

Beberapa bulan lepas para pelajar di Kelantan pulang ke rumah menekan ibubapa supaya membuka akaun dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) segera kerana cikgu mahukan buku akaun cepat untuk masukkan wang ehsan. Tempoh yang diberikan kira-kira tiga hari sahaja. Akaun amanah tidak diterima.

Yang tidak berwang terpaksa meminjam dengan rakan-rakan atau jiran untuk membuka akaun. Walaupun akaun boleh dibuka hanya dengan RM10 tetapi masakan ibubapa tergamak membukanya dengan jumlah permulaan masuk akaun sebanyak itu. Paling tidak pun RM50. Jumlah itu agak besar bagi kalangan yang tidak berkemampuan.

Tetapi setelah berbulan-bulan menunggu, buku akaun masih juga belum dikembalikan walaupun jumlah sumbangan wang ehsan yang bakal diterima setiap murid bukan besar mana pun. Penggal persekolahan sessi 2010 akan tamat beberapa hari sahaja lagi. Urusan pengembalian buku akaun tidak mungkin berlaku, apatah lagi selesai tahun ini.

Saya difahamkan, pada penghujung bulan lepas dan awal bulan ini, ibubapa dipanggil kononnya untuk menerima wang ehsan tetapi yang diberikan hanyalah sampul putih yang berisi kertas yang mencatatkan jumlah sumbangan sebanyak RM200 tetapi buku akaun masih juga belum dipulangkan.

Dengan upacara penyerahan sampul berisi kertas yang tidak ada nilai apa-apa itu menyebabkan ibubapa menganggap mereka dipermain, dipersenda dan diperbodohkan serta membuang masa datang ke upacara penyerahan dan pengagihan wang ehsan dianggap palsu.

Bahananya rasa ragu ditokok dengan rasa marah. Masing-masing merancang akan mengajar pihak yang mempermainkan mereka pada pilihanraya umum akan datang dan dengan itu peluang untuk Umno/BN merampas Kelantan akan menjadi sesuatu yang mustahil walupun Kerajaan Pas/PR dalam keadaan ibarat dahan mumut dan rapuh untuk rakyat bergantung.

Pihak yang merancang penagihan wang ehsan kepada para pelajar secara langsung dan tidak langsung telah menjadi ibarat setitik nila yang telah merosakkan susu sebelanga dan imej molek Umno/BN yang mencapai kemenangan cemerlang dalam Pilihanraya Kecil Kawasan Dewan Undangan Galas tercemar gara-gara isu pengagihan wang ehsan untuk para pelajar.

Pada pendapat saya, seandainya hal ini tidak segera diselesaikan, bah air mata Pas/PR di Galas akan ditenggelamkan oleh banjir besar air mata Umno/BN pada pilihanraya umum ke-13 nanti kerana kecewa gara-gara peluang menang terhadang oleh bahana agihan wang ehsan yang dilihat suatu bentuk kepalsuan dan mimpi yang tidak mungkin menjadi realiti.

1 comment:

Anonymous said...

betul n tepat kato abe li..lg pun hok bulih kbanyokan orang hok sokong dio..