Tuesday, October 14, 2008

MUNCUL KEMBALI (101)

Tamak punca skim cepat kaya terus berleluasa

BUKAN perniagaan namanya kalau hanya ada untung dan tidak ada rugi, apatah lagi kalau untungnya berganda-ganda kerana keuntungan atau laba dalam perniagaan ada hadnya.
Adat berniaga mesti ada ketikanya untung dan adakalanya rugi, samalah juga seperti perlawanan bolasepak, ada ketikanya menang dan ada ketikanya pula kalah. Kerana itulah tidak ramai yang berani mengambil risiko berniaga dan bukan semua yang berniaga boleh berjaya dengan mudah dan pantas.
Hanya skim cepat kaya yang menawarkan untung berganda dan diberi jaminan oleh pengusahanya bahawa setiap pelaburan tidak akan rugi di samping untungnya pula berganda-ganda manakala perniagaan-perniagaan lain, mesti ada untung dan ruginya, terutama bagi perniagaan yang bukan bersifat monopoli.
Gara-gara sering disubsidikan dan terlalu dimanjakan dengan pelbagai kemudahan, termasuk saham-saham amanah, hak keistimewaan dan sebagainya menjadi rakyat negara ini merasakan bahawa untuk menjadi senang, untuk menjadi banyak wang adalah cukup dan amat mudah menjadikan mereka mahu sentiasa mudah untuk itu.
Mereka yang kreatif dalam kerja tipu menipu dan yang tidak mengambil kira soal halal haram dalam memperolehi punca pendapatan, akan mengambil kesempatan mengekspolitasi dan memanipulasikan tanggapan dan kepercayaan untuk menjadi senang serta untuk dapatkan wang dan kesenangan adalah sangat mudah, melalui penganjuran skim-skim cepat kaya.
Bila Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui internet umpamanya sebagaimananya yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik, para pelabur yang tertipu dengan syarikat-syarikat berkenaan bukannya berterima kasih kepada BNM, sebaliknya tindakan BNM itu dianggap sebagai suatu bentuk pengkhianatan terhadap syarikat-syarikat terbabit dan tindakan itu sengaja menyekat peluang puluhan ribu rakyat negara ini untuk menjadi jutawan mudah.
Kononnya kerana pegawai BNM tidak kreatif dan kerana dengki dengan perancangan berkesan syarikat-syraikat terbabit dalam melahirkan ribuan jutawan, maka bagi menutup kelemahan dan ketidak-kreatifan kakitangan BNM, serbuan terhadap syarikat-syarikat yang mampu menjutawankan pelaburnya dibuat dan disita.
Tidak banyak pelabur yang insaf atau serik, apatah lagi berpihak kepada tindakan BNM, sebaliknya lebih ramai yang bersimpati kepada syarikat skim cepat kaya diserbu dan disita, kerugian yang dialami kerana jangankan untung dan laba berganda, tetapi pelaburan pokok pun lesap, kononnya bukan salah syarikat sebaliknya kerana tindakan BNM.
Para petugas syarikat-syarikat skkim cepat kaya atau agennya lazimnya berjaya meyakinkan pelabur masing-masing bahawa serbuaan dan penyitaan adalah berpunca dari salah faham kerana yang menaungi syarikat-syarikat berkenaan adalah menteri dan pelabur-pelabur awalnya terdiri daripada para menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Kononnya masalah akan selesai dan menteri-menteri tertentu sedang selesaikan, malah ada juga yang mendakwa kononnya Gabenor Bank Negara pun memainkan peranan di belakang syarikat-syarikat skim cepat kaya tertentu, terutama syarikat-syarikat yang kononnya khusus untuk pelabur Bumiputera beragama Islam sahaja dengan kakitangan dan agen syarikat rata-rata bergelar 'ustaz' dan penampilannya pun adalah dalam wajah macam orang pakar hukum hakam.
Kerana itu walaupun banyak syarikat skim cepat kaya hilang bersama ratusan juta wang pendeposit, bila ada syarikat baru yang diwujudkan, maka ianya tetap akan jadi tumpuan ramai untuk membuat pelaburan. Lazimnya individu dan kumpulan yang sama mewujudkan syarikat skim cepat raya dengan menggunakan nama baru dan nama peneraju baru.
Gara-gara sudah berpengalaman, maka mereka mampu untuk mengelirukan bakal pelabur yang nantinya bila syarikat ditutup, apatah lagi jika kerana diserbu oleh BNM kerana atas kesalahan mengambil deposit tanpa lesen, yang akan dipersalahkan oleh pelabur adalah BMN.
Bagi saya kewujudan syarikat cepat kaya dan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen hanya dapat dicegah jika mereka yang terlibat sebagai ahli lembaga pengarah syarikat dan agen-agen mereka dikenakan hukuman yang paling tidak digemari oleh rakyat negara ini, yakni ISA.

1 comment:

Anonymous said...

Pok MEli .. boleh tolong space kan sket antara paragraph tak?

Pening la kepala Ana baca blog Pak Meli ni macam terus jer tak de stop ...

Sekian ...