Respon Ketuanan
Sunday, 18 May, 2008 6:21 AM
From:
This sender is DomainKeys verified
"ghfgh fghfghf"
To:
meli_industry@yahoo.co.uk
Assalamualaikum.. . .Saya telah membaca cerpen hasil tulisan anda yang berjudul Ketuanan yang telah diterbitkan oleh Mingguan Malaysia 11 Mei 2008. Padapendapat saya, cerpen tulisan anda adalah amat memalukan dan memualkan. Cerpen anda juga banyak dicemari unsur perkauman, dan banyak 'statement' yang seakan menafikan hak bangsa lain.Tatkala anda menyentuh hal ketuanan Melayu, anda juga menyentuh hal projek penternakan babi. Relevankah subjek sebegini? Adakah hanya kerana PKR berhasrat untuk memodenkan sektor penternakan babi di Selangor, maruah ketuanan Melayu sekaliannya langsung ternoda? Bagaimana pula dengan kewujudan kilang arak rasaksa yang telah sekian lama bertapak megah di Selangor? Disko, pub, kedai nombor, pelacuran, yang banyak bertaburan di seluruh tanah Melayu di bawah pemerintahan Umno dan telah berkurun lama mencabul ketuanan Melayu, kenapa tidak disebutkan sekali? Anda sebenarnya adalah penulis murahan yang tiada maruah diri. Anda tidak layak memperkatakan hal Ketuanan Melayu.
hasEML = false;
Sebenarnya selain dari terdapat banyak salah eja, cerpen berkenaan yang digunakan oleh pengelola ruangan adalah naskah terawal yang saya hantar, agaknya beliau tidak perasaan naskah ulangan yang dihantar dengan pembetulan ejaan dan yang dikemas-kini.
Khusus untuk mereka yang marah-marah dengan cerpen saya itu dan terima kasih kepada yang memuji, saya gunakan blog saya ini menyiarkan cerpen berkenaan sepenuhnya sebagaimana berikut;
KETUANAN
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk
“SEJARAH tetap akan berulang kembali, tetap akan tercipta dan dicipta sama ada secara sengaja atau pun secara tidak sengaja kerana sejarah itu sendiri adalah antara rencah kehidupan, pelengkap ketamadunan dan suatu keperluan bagi mencerminkan identiti sesuatu bangsa” Deroman Dollah yang lebih terkenal dengan Deroman Botak berhujah.
Suaranya keras.
Pelanggan warung milik Mamak Punjab memusatkan perhatian pada Deroman yang memang mereka kenali.
Deroman suka berhujah, selain dari banyak membaca, kepalanya yang botak membuktikan dia tergolong dalam bilangan orang yang cerdik dan berpandangan luas.
Setiap pagi selepas membaca halaman-halaman dua suratkhabar berbahasa Melayu dan satu suratkhabar berbahasa Inggeris, dia akan bercakap dan mengulas tentang isu-isu paling semasa, termasuklah isu pemeliharaan babi secara besar-besaran yang sangat ditentanginya.
Ulasan panjang lebar, malah bila digambarkannya tentang macam mana jantung, hati, kepala dan daging babi yang dipaparkan pada lamanweb bagi tujuan dagangan menggunakan teknologi maklumat, ada pelanggan warung Mamak Punjab yang termuntah, seolah-olah haiwan muncung gelebek yang Allah sebut dalam al-Quran larangan memakannya itu sedang dilapah di depan mata.
Dia juga mengulas dengan panjang lebar dan hujah-hujahnya pula munasabah dan masuk akal kerana kononnya gara-gara terjebak dengan permainan politik ikut perasaan, permainan politik ikut trend, nak seronok dan terpengaruh dengan retoriksme, ketuanan bangsa telah terhakis di beberapa negeri, malah ada tokoh ketuanan yang dibonekakan: ada kerusi ketuanan tetapi tidak ada kuasa ketuanan, tidak ada bezanya dengan pimpinan utama Palestin, Iraq dan Afghanistan yang lebih bersifat perkakas yang diperkakas.
Kerana hanya ada jawatan, hanya ada ketuanan tetapi tidak benar-benar ada kuasa dan tidak ada power ketunanan, maka pemeliharaan babi yang namanya bila disebut pun boleh menjengkelkan bangsa ketuanan telah menjadi keutamaan pelaksaan, gara-gara ketuanan itu sendiri telah berjaya diperbabikan, salahnya kerana bangsa pertuanan sendiri cuba bermain api, menyebabkan tangan sendiri terbakar, sekaligus bangsa ketuanan tidak mampu untuk tidak diperbabikan.
Hujah-hujah Deroman boleh menyebabkan mereka yang mendengarnya menanah telinga, boleh terbakar hati dan hangus rentung perasaan.
Yang ada penyakit jantung boleh jatuh tersungkur dan menggelumpur macam ayam kena sembelih, kalau lambat dibawa ke hospital, boleh padam dibuatnya.
“Bagi aku, bangsa yang hilang ketuanan, apatah lagi yang telah berjaya diperbabikan, kalau padam depan akulah, aku tak akan namakannya mati, tapi aku akan kata mampus, kelasnya sama saja dengan mampusnya seekor babi” berbanding dengan pagi-pagi sebelumnya, pada pagi kali ini bahasa yang Deroman gunakan jauh lebih kasar kesat.
Semail Samat atau dikenali dengan Semail Ikan Kenye mencebikan bibir menjadikan mukanya yang tak berapa lawa semakin huduh dan sangat tidak sedap-kelih.
Ada yang kata ngongek-ngongek mulutnya macam Wak Long yakni antara watak jookerisme dalam persembahan wayang kulit.
Dia digelar Semail Ikan Kenye kerana bila bercakap mulutnya ngongek-ngongek sebiji macam ikan kenye kena kail.
Dia adalah kawan paling akrab Deroman.
“Mu buta......”
“Tak buta lagi, baru keceng, jah. Itu pun cuma sebelah mata” belum sempat Deroman habiskan cakapnya, cepat benar Semail memintas. Nadanya keras,
Deroman tergamam.
Mulutnya terlopong dan tergohong.
Semail sendiri kata kalau bukan kerana Jimah Tonggek yang sanggup jadi bininya, mungkin dia tidak akan terasa berbini sampai ke hujung nyawa kerana dia tak lawa macam orang lain, jalannya rencak anjing ekoran kakinya pandak sebelah dengan sebelah matanya pula keceng.
Zaman dia muda dulu selain dari calon menantu kena khatam al-Quran dan kena tak tinggal sembahyang-bang sebagai syarat utama, syarat lain lain ialah kena ada rupa, kena comel bagi menantu perempuan dan kena lawa bagi menantu lelaki.
Kononnya bini yang comel atau laki yang lawa akan melahirkan anak-anak yang sedap-kelih, anak-anak yang nantinya bila besar mudah nak berlaki bagi yang perempuan dan mudah pula nak berbini bagi yang lelaki.
Sekarang keadaan dah berubah, cara pemilihan menantu juga dah berubah, asalkan ada banyak harta benda, asalkan kaya raya, ada pangkat dan darjat, tepak tempang atau buta-ngo pun tak apa, malah kalau tak reti baca Quran dan tak sembahyang-bang, kalau sembahyang jenazah pun ada ruku’ sujudnya kerana teramat jahilnya, asal kaya, berpangkat dan berdarjat tetap akan jadi pilihan utama sebagai calon menantu.
Hasil perkahwinannya dengan Jimah, dia dapat dua belas anak, enam lelaki dan enam lagi perempuan.
Anak perempuanya ikut macam emak mereka, tonggek-tonggek belaka.
Pun begitu, cuma tinggal yang masih bersekolah, lima anak perempuannya yang dah besar lebar, sudah pun berlaki belaka.
Walaupun muka tak comel tapi otak bergeliga, semuanya kelua ‘U’ dan menjawat jawatan bergaji lumayan di sektor awam dan swasta, menjadikan tonggek-tonggek anaknya dijadikan tempat bertenggek,
Ada suami anak perempuannya lawa macam bintang filem tetapi tak ada kerja, bini yang tanggung, hidup penuh bergaya sebagai bini seorang pensyarah sebuah universiti terkemuka.
Keenam-enam anak lelakinya yang semuanya sudah besar panjang, termasuk yang jalan rencak anjing, yang mata keceng sebelah dan mulutnya juga macam ikan kenye sepertinya, juga semuanya dah berbini.
Bini anak-anak lelakinya sedap kelih belaka kerana semua anak-anak lelakinya lepasan universiti dan kerja berpangkat besar semuanya.
Anak buah masing-masing panggil tuan, maknanya anak-anaknya itu jadi bosslah di tempat kerja masing-masing.
Bila dah bertali leher dan berkot, jalan rencak anjing yang tak molek dikelih pun jadi nampak molek, kononnya itu gayanya jalan orang besar-besar, ada gaya tersendiri, tidak streotype, tidak klise dalam bergaya dan pembentukan personaliti.
“Aku tak bermaksud mengata kau, Semail. Apa pun paras rupa kau, itu adalah yang telah ditakdirkan pada kau. Tidak ada siapa pun berhak untuk mempersenda dan mempersoalkannya. Siapa kau, malah siapa aku dan segala makhluk yang ada di bumi dan di langit untuk mempersoalkan takdir dan ciptan-Nya yang pasti ada hikmahnya. Mempersoal, mempersenda atau tidak bersyukur dengan takdir, ketentuan dan ciptaan-Nya, berdosa”
“Aku salah sangka rupanya. Aku ingat kau tuding pada aku tadi”
“Kerana itu dalam berhujah, kau kena benar-benar tahu bahan dan isu yang sedang dihujahkan. Jangan mudah cebik bibir atau terlalu mudah salah sangka”
“Aku minta maaf”
“Kalau memang ada salah kau pada aku, maka aku maafkan. Macam mana pun aku rasa kau tak ada salah apa-apa dengan aku untuk aku maafkan”
Semail tersengih dan ngongek-ngongek mulutnya semakin jilah menyerlah.
“Kalau aku pula ada bersalah pada kau, sama ada secara sengaja atau tak sengaja, aku minta maaf”
“Insyaallah, akan aku maafkan”
“Tadinya aku mahu bercakap tentang sejarah ketuanan bangsa kita. Sebenarnya kalau nak kenal bangsa pertuanan kita, untuk merasa lebih sayang kepada ketuanan kita, bangsa kita kena tinggal di Pattani dan kena kenali masyarakatnya. Aku dah ada pengalaman tinggal di sana, di Krisik yang menjadi pusat keagungan pemerintahan kerajaan ketuanan kita. Aku mencari-gali sejarah kehebatan bangsa kita di sana”
Semakin ramai yang memberi tumpuan kepada Deroman yang pernah berkesempatan tinggal bersama anggota komunis Melayu di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha untuk mencari dan mengenali ketuanan bangsanya.
“Aku berani katakan kebangkitan kehebatan bangsa ketuanan kita dalam membina tamaddun, seiring dengan kehebatan kebangkitan Islam yang menjadi agama anutan bangsa ketuanan kita. Sebenarnya kehancuran Pattani itu adalah antara kehancuran bangsa pertuanan kita.
“Meskipun kini antara kita dengan Pattani berada di dalam suasana politik yang berbeza, namun antara kita dengan Pattani tetap bersama dan ada persamaan ke arah wawasan penyatuan ummah, juga selamanya akan seiringan dalam mengembangkan keagungan Islam di Nusantara.
“Berdasarkan penghisaban dan perkiraan Hassan al Banna, tokoh Ikhwanul Muslimin di Mesir, suasana dunia hari ini meletakan barat pada kedudukan sedang menuju kepada kehancuran dan timurlah yang akan mengambil alih kekuasaan dunia darinya nanti.
Profesor Dr.Hamka mengatakan di dalam bukunya 'Sejarah Islam di Indonesia' bahawa kebangkitan Islam di timur tidak diragukan lagi iaitu manakala konflik dan peperangan sudah merata hampir di semua negara-negara umat Islam terutama di kawasan Asia Barat.
“Pemikir Islam terkemuka dari Algeria, Malik Bennabi ketika membincangkan tentang Islamic Commonwealth memberi pandangannya bahawa selepas Perang Dunia II, Islam akan berpusat di Asia Tenggara bukan lagi berpusat di Mekah, Mesir, Baghdad, Turki dan Yaman Selatan.
“Penulis Amerika, Judith Nagata yang membuat kajian ilmiah tentang Islam di sebelah sini memberi gambaran tentang masa depan kebangkitannya Islam yang akan muncul memegang kuasa ‘Politik’. Andaian Judith Nagata hampir senada dengan kata-kata Goerge Bernard, seorang pemikir Barat yang terkemuka yang berkata The future religion for the eucated, cultured and enlightened people will be Islam.
“Lee Kuan Yew bekas Perdana Menteri Singapura yang begitu prihatin terhadap ‘the rising tide of Islam’ menyatakan kebangkitan yang melanda ini tidak mungkin dibendung lagi.
“E.J.Brill's First Encyclopaedia (1913-1936), di halaman 115 menyebut bahawa umat Islam akan mendatangi seorang ‘pemuda’ yang datang dari sebelah timur sebagai penyelamat di akhir zaman.
“Arus kebangkitan Islam nampaknya akan bermula dari sebelah sini. Patani dan Kelantan sebenarnya sudah pun menyediakan tapaknya. Kebanjiran gerakan-gerakan Islam dan wujudnya institusi-institusi pengajian agama mula melanda di merata-rata tempat seperti tumbuhnya cendawan di musim hujan sejak lama di bumi yang mana kita adalah bangsa ketuanannya.
“Dua negeri kembar ini adalah yang paling menonjol di timur dan bersungguh untuk megembelingkan kegemilangan Islam di Nusantara. Kiranya ini menjadi satu kenyataan maka benarlah sepertimana sabda Nabi s.a.w.: Akan berlaku di akhir zaman Islam muncul dari bumi sebelah Timur.
“Bukanlah satu perkara yang mustahil bila tiga buah negeri yakni Patani, Kelantan dan Acheh yang dideklerasikan sebagai negeri SERAMBI MEKAH mampu berperanan kembali dalam kebangkitan Islam ini dan mengulangi lagi detik-detik sejarahnya. Kerana itu akan menjadi pengkhianat besarlah kita kalau membiarkan ketuanan kita diinjak-injak, kalau tokoh-tokoh yang sepatutnya mempertahankan ketuanan sanggup diperbabikan.
“Perjuanagn Tok Kenali di Kelantan, Haji Sulung di Pattani dan Teungku Tjhik Muhammad Dawud di Beureueh adalah sebagai pembuka jalan dan kita yang terkemudian dari merekalah yang kena mengorak langkah supaya tepat sasarannya sebagimana dalam perancangan orang-orang yang terdahulu.
“Di bumi Nusantara yang sudah lahir baka-baka Bani Jawi atau Al-Jawiyun dari nabi Allah Ibrahim a.s. melalui isterinya Siti Qhatura dari pergunungan Himalaya yang kemudiannya bercantum dengan keturunan Syed Husein Jamadil Kubra, zuriat dari Rasulullah s.a.w., pasti akan muncul warisan-warisan yang akan mengibarkan panji-panji Islam disebelah sini, yang akan sanggup berputih tulang dari berputih mata dalam mempertahan dan memeliha kejatian ketuanan.
“Ini yang kita kena perjuangkan, yang kita kena jaga, yang kita kena pelihara dan julang serta yang kita kena dipastikan sentiasa terjulang. Segala-galanya tidak akan bermakna apa-apa kalau identiti ketuanan kita hilang di sebalik retoriksme, kalau kekemarukkan dan ketaksuban kita kepada kebenaran Islam pupus dan lupus. Kita kena kembali kepada sejarah ketuanan dan kena terus mencipta sejarah ketuanan”
Deroman berhenti berhujjah bila hujjahnya tidak disanggah.
“Sejam aku bercakap dan berhujjah, sepatah pun tak ada celahan?”
“Aku rasa mereka tak faham apa yang kau hujjahkan, macam aku juga yang tak faham dengan apa yang kau hujjahkan” sahut Semail.
“Aku sedang bercakap tentang ketuanan”
“Apa itu ketuanan?”
“Rasa berhak, rasa kitalah tuan kepada bumi warisan nenek moyang ini dan kita kena terus jadi tuan, bukannya jadi perkakas yang diperkakaskan”
“Perkakas yang diperkakaskan?”
“Hm”
“Kau buat aku jadi semakin tak faham”
“Apa yang kau tak faham?”
“Perkakas yang diperkakaskan”
“Maknanya, kita jangan jadi alat. Kalau jadi ketua, kita kena pastikan kita ada kuasa pemutus. bukan hanya jadi ketua tetapi kata putusnya orang lain yang buat. Kalau macam tu jadinya, kalau jadi ketua tanpa berpasak dan bertiang-serikan ketuanan, bangsa kita yang jadi ketua akan ibarat mengkorang parut nyior saja. Nothing”
“Kau fikir itu akan berlaku?”
“Bukan akan lagi tapi telah dan sedang berlaku”
“Contohnya?”
“Pemeliharaan babi besar-besaran menjadi projek yang disegerakan untuk nantinya bumi warisan pertiwi ini jadi pengeskport babi terkemuka sedangkan haiwan itu bukan sahaja diharamkan memakan dagingnya tetapi memperdagangangkan dalam bentuk hidup atau yang sudah siap dilapah juga adalah haram dimakan hasil urusniaganya. Pengharaman memakan dagingnya disebut dalam al-Quran”
“Jadinya?”
“Ada negeri warrisan pertiwi yang mahu menjadikan ternakan haiwan itu sebagai suatu perusahaan”
“Kenapa pula utamakan yang haram sedangkan yang halal masih banyak untuk diperusahaankan?”
“Kerana semangat ketuanan kita mula terkikis dan terhakis. Kerana ada bangsa kita yang jadi ketua tanpa ketuanan. Faktor lain kerana kita gagal menguasai ekonomi dan segala milik kita boleh dibeli”
“Termasuk kuasa?”
Deroman segera memeluk Semail membuat Semail tergamam dan tersentak. Belum pernah ada orang memperlakukannya begitu.
Isterinya sendiri dirasakan tidak pernah ikhlas memeluknya sebagai suami kerana barangkali fizikal yang sangat tidak menarik kurang merangsangkan isterinya yang padanya tidak pernah berbangga pun menjadi isteri kepadanya, seorang lelaki yang serba tidak sempurna.
Pun begitu dalam pelukan yang tidak pernah erat kerana pelukan isterinya baginya tidak ikhlas, terhasilnya juga dua belas orang anak. Agaknya kalaulah isterinya memneluknya sebagaimana eratnya Deroman memeluknya, dia akan dapat lebih ramai anak.
“Apa ni?” soal Semail. Pelukan Deroman yang terlalu erat menyebabkan dia terasa susah nak bernafas.
Dia mula teringat pada dialog yang baginya amat melucu dalam sebuah drama tv apabila pemandu teksi berbangsa India merungut pada seorang perempuan seksi penumpang teksinya berbunyi, cis! mulut ada bau lembu punya taik. Padanya mulur Deroman juga ada bau semacam dan meloyakan.
“Aku terharu, Semail”
“Terharu?”
“Ya. Sangat terharu”
“Banyak mana pun terharu kau tu, tolong lepaskan aku dulu. Aku kena bernafas”
“Kau dah mula diresapi dan tersuntik semangat ketuanan bila kau sanggup berkata benar bahawa antara milik kita yang boleh dibeli adalah kuasa” luah Deroman yang melepaskan pelukannya.
“Aku tak tak faham”
“Jangan berdalih. Aku yakin kau faham dengan apa yang kau cakapkan. Demi kepetingan ketuanan, kita kena berani berkata benar, Semail”
“Apa kata benar yang telah aku ucapkan?”
“Kuasa ketuanan kita kini boleh dibeli”
“Tak kena tangkap aku nanti cakap macam tu?”
“Kenapa pulak nak kena tangkap”
“Tak ke apa yang aku terlepas cakap tadi tu ada unsur-unsur perkauman?”
“Bangsa yang memiliki semangat ketuanan tulen tidak akan pernah rasa takut untuk bercakap tentang ketuanan. Bukan saja kalau ditangkap tetapi kalau dibunuh pun demi ketuanan, namamu akan harum semerbak sebagai wira ketuanan. Kalau kau hidup mewah tetapi tanpa ketuanan, nilai kau akan lebih rendah dari seekor babi dari sudut nilai ketuanannya, Semail”
“Kkkauuuu....”
“Minta maaf. Demi ketuanan, aku kena berkata benar walaupun pahit untuk ditelan, kata-kataku bagi sesetengah orang barangkali dilihat tajamnya macam seligi batang nibung meradak telinga”
Semail membisu, hanya mulut seakan mulut ikan kenyenya sahaja yang ngongek-ngongek
Deroman terus bercakap tentang ketuanan walaupun ketika itu yang ada di warung Mamak Punjab hanya dia dan Semail sahaja lagi.
Mamak Punjab pula nampak kurang ceria, nampak sangat warga benua kecil India itu tidak senang dengan keberadaan Deroman yang agak lama di warung itu dan sepanjang keberadaannya pula, tidak pernah berhenti bercakap.
Dari wajah Mamak Punjab, Deroman tidak nampak langsung bibit-bibit ketuanan. Bila bercakap, pada Mamak Punjab India sana juga banyak baik, tapi dalam India banyak baik, Malaysia juga dia banyak duduk!
---- Tamat
1 comment:
Cerpen adalah karya berbentuk kreatif yang tercipta hasil dari imaginasi penulisnya. Bagi saya cerpen KETUANAN sangat bagus dari sudut tujuan dan falsafahnya.
Saya yang sangat tertarik dengan cerpen-cerpen karya Ramli Abdul Halim melihat Ramli mempunyai kelainan dalam menghasilkan cerpen. Cerpen-cerpennya ada tujuan dan maksud untuk direnungi.
Kalau cerpen ini tidak menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil, saya rasa tidak kerana lain kecuali kerana penilainya tidak tahu menilai dan kesan sebuah cerpen kepada pembaca.
Kepada Ramli, diharap terus menghasilkan cerpen-cerpen sebegini. Persetankan dengan apa tanggapan orang yang tidak tahu menyelami apa yang tersirat di sebalik yang tersirat, apatah lagi gara-gara terlalu fanatik dalam politik kepartian (pinjam kata-kata yang sering Ramli garapkan: berpolitik kepartian yang tidak serupa dngan berpolitik)
Post a Comment