Isu beli wakil rakyat akan bantu mantapkan Umno/BN
PERBUATAN menawarkan pembelian wakil rakyat bukan sahaja secara terang-terangan bercanggah dengan amalan demokrasi tetapi perbuatan keji dan jijik itu juga di sisi rakyat akan dilihat sebagai suatu bentuk ‘pelacuran’ maruah dan reputasi di samping pihak yang menawarkan pembelian akan dilihat senagai ‘pelahap’, ‘kemaruk’ dan ‘gila’ kuasa.
Sama ada yang membuat pernawaran atau penerima tawaran pembelian, kedua-duanya akan menjadi jijik dan kotor lagi ‘bernajis mughalazoh’ pada mata rakyat, terutama kepada para pengundi yang memberikan undi kemenangan kepada seseorang wakil rakyat.
Tindakan bermaruah Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali tidak menerima tawaran PKR menyertai parti itu adalah suatu tindakan dan pendirian yang sangat mahal harganya kepada para pengundi yang memberikannya kemenangan pada pilihanraya umum ke-12 yang baru lepas, malah ianya juga dilihat telah memulihara kesucian amalan demokrasi di negara init
Sayugia diingat, kemenangan seseorang calon wakil rakyat dalam pilihanraya bukan kemenangan peribadi sebenarnya, tetapi adalah kemenangan penyokong dan kemenangan yang diraih itu pula secara hakiktnya adalah hakmilik para penyokong/pengundi. Apa-apa yang mahu dilakukan oleh seseorang wakil rakyat kena dengan restu dan kerelaan para pengundi.
Jika seseorang wakil rakyat sanggup dibeli walaupun nilai pembeliannya cukup untuk hidup senang lenang sehingga tiga generasi sekalipun sebagaimana yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan tentang tawaran lompat parti yang diterimanya, secara tidak langsung ianya memberi makna bahawa seseorang wakil rakyat itu menjual hakmilik orang ramai, yakni menjual hakmilik pengundi majoriti.
Pihak yang membuat pernawaran pula pasti akan dilihat sebagai pencabar kepada majoriti rakyat dan pada pilihanraya berikutnya, bukan sahaja parti pembeli wakil rakyat akan kalah teruk di kawasan yang wakil rakyat ‘pecah amanah’ yang berjaya dibeli tetapi juga pasti kekalahan akan turut merebak sama ke kawasan-kawasan lain, termasuk kawasan yang dimenangi dengan dimajoriti mewah oleh parti pembeli wakil rakyat.
Mana-mana wakil rakyat yang merasakan mereka tersalah memilih parti dan tidak cukup selesa menjadi wakil rakyat atas nama parti yang diwakili, mereka tidak sepatutnya ambil jalan yang tidak bermaruah menjual diri, sebaliknya mereka patut meletakan jawatan supaya diadakan semula pilihanraya agar wakil rakyat yang sanggup dibeli itu bertanding atas tiket parti yang menawarkan pembelian dengan nilai belian yang tinggi supaya ianya tidak dilihat sebagai membawa lari tanpa rela hak pengundi.
Dengan berbuat demikian bermakna seseorang wakil rakyat yang menerima tawaran pembelian hanya akan menjual dirinya dan keluarganya sahaja, bukannya menjual maruah, harga dan jati diri para pengundi yang memberikan kemenangan kepadanya. Wakil rakyat terbabit juga tidak akan dilihat menjual kemenangan yang bukan menjadi hak peribadinya.
Secara peribadi saya melihat sindrom penawaran pembelian wakil-wakil rakyat kalau benar-benar berlaku ianya secara tidak langsung akan memberi suntikan kekuatan dan pemulihan kemantapan sokongan terhadap Umno/BN yang sudah berpengalaman sebagai kerajaan dan telah membuktikan kemampuan mengatasi pelbagai masalah negara yang memerlukan pengalaman.
Umno/BN pasti akan kembali mendapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum akan datang jika pihak pembangkang yang ada harapan untuk tumbangkan kerajaan menggunakan cara dan jalan suci pada pilihanraya umum akan datang memilih jalan pintas untuk tujuan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Jika ada wakil-wakil rakyat yang tergoda dengan tawaran dan sanggup diri mereka dibeli yang secara tidak langsung bersikap bukan sahaja menjual yang bukan hak mereka, tetapi juga kerananya negara akan diperintah oleh sebuah kerajaan yang baru menjadi kerajaan dan akan memakan masa berbelas dan berpuluh tahun untuk menimba pengalaman.
Hakikatnya menjadi kerajaan tidak semuda menjadi pembangkang, apatah lagi dalam suasana serba cemas yang sedang dialami oleh dunia sekarang. Untuk menjalin kerjasama dengan negara-negara lain satu hal, untuk mendapatkan formula kenaikan harga minyak dan beras juga satu hal yang tentunya sangat rumit dan tidak mudah untuk diselesaikan kalau tidak cukup pengalaman.
Tengok saja apa yang sedang berlaku di Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor yang masih dalam proses pembinaan dan penimbaan pengalaman. Jika dilihat dari sudut luar kepentingan politik kepartian, apakah ianya lebih baik dari kerajaan sebelumnya atau sebaliknya? - RH/kj
Sunday, May 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment