Monday, June 30, 2008

MUNCUL KEMBALI (26)

Wakil rakyat kena pastikan mereka membanggakan pemberi mandat

TUGAS wakil rakyat sebenarnya tidak semudah menjadi wakil rakyat. Apabila dipilih oleh parti untuk bertanding dalam pilihanraya dan menang, maka jadilah seseorang itu wakil rakyat. Tetapi tanggungjawab, amanah dan tugas yang kena dilaksanakan bukannya mudah. Kalau pun dianggap mudah menjadi wakil barangkali adalah di kalangan wakil rakyat yang tidak berkualiti.
Menyerang peribadi lawan, membangkang dalam semua perkara, melihat puak sendiri sahaja yang betul, tunjuk hebat, tunjuk bengis, tunjuk tidak hairan kepada sesiapa, enggan tunduk kepada peraturan dan perlakuan-perlakuan yang seerti dengannya adalah merupakan amalan, sikap dan sifat wakil rakyat yang tidak ada kualiti.
Sama ada dewan rakyat atau dewan undangan negeri, ianya adalah gelanggang perbahasan secara sihat, profesional, jujur, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara untuk nantinya dibuat pindaan mana yang patut dan dibetulkan mana yang tidak betul oleh pihak kerajaan atau hasil perbahasan akan dirumuskan sebagai suatu keputusan yang akan diwartakan.
Sama ada wakil rakyat yang mewakili parti pemerintah mahu pun yang mewakili pembangkang, mereka berada dalam dewan rakyat atau dewan undangan bukan atas nama peribadi tetapi adalah atas nama wakil rakyat yang mewakili suara rakyat di kawasan yang diwakili. Kerana itu bila merujuk kepada seseorang wakil rakyat, lazimnya speaker atau yang dipertua dewan akan menyebut kawasan yang duwakili, bukannya menyebut nama seseorang wakil rakyat.
Justeru itu apa pun yang dibahas, dibangkang, diberi teguran mahu pun diberi cadangan, yang kena diutamakan adalah kepentingan rakyat dan negara walaupun barangkali apa yang disuarakan di parlimen atau di dewan undangan negeri tidak akan melabakan diri sendiri, keluarga, pendukung dan penyokong parti yang diwakili atau pun tidak akan menguntungkan parti dan politik kepartian.
Kesopanan cara berbahas dan membangkang, membalas hujah, menegur, menasihat, membuat cadangan atau mengemukakan usul akan menjadi ukuran di mata rakyat terbanyak, apatah lagi para pemberi mandat dan rakyat di kawasan yang diwakili tentang sama ada berkualaiu dan profesional atau tidaknya berkualiti dan tidak profesionalnya seseorang wakil rakyat.
Perbuatan keluar meninggal dan memulaukan dewan sebagai suatu bentuk protes misalnya tentulah bukannya menjadi sesuatu yang diharapkan, apatah lagi untuk dibanggakan oleh pemberi mandat terhadap wakil rakyat yang diberi undi dan mandat dalam pilihanraya, sebaliknya ianya akan dilihat sebagai suatu tindakan, sikap dan sifat dayus dan pengecut seseorang wakil rakyat serta memalukan rakyat di kawasan yang diwakili.
Sepatutnya sebagai seorang yang mewakili suara rakyat, setiap wakil rakyat kena berlawan dengan lawan dalam bentuk hujah yang membanggakan pemberi mandat dan rakyat di kawasan yang diwakili dan apa pun disuarakan juga mesti selari dengan apaya majoriti rakyat di kawasan yang diwakili mahu suarakan. Tidak boleh berlaku percanggahan suara atantara wakil rakyat dengan rakyat di kawasan yang diwakili.
Kalau dewan rakyat atau dewan negara dijadikan medan untuk kepentingan peribadi, untuk menyerang peribadi seseorang atau bila berhujah diutamakan kepentingan parti dan politik kepartian, maka secara tidak langsung peranan yang dimainkan oleh seseorang wakil rakyat sudah tergelincir dari landasan yang sepatutnya.
Wakil-wakil rakyat yang sedemikian sifatnya secara tersurat dan tersiratnya sangat tidak berkualiti dan patut ditolak oleh rakyat. Wakil-wakil rakyat sedemikian sifat dan sikapnya tidak patut diberikan mandat lanjutan bila tibanya pilihanraya.

No comments: