Wednesday, August 6, 2008

MUNCUL KEMBALI (55)

Wujudkan skim pinjaman lebih mudah bagi banteras ah long

MENONTON slot 360 siaran TV3 yang menfokuskan tentang kegiatan Ah Long, secara umumnya dapatlah dibuat kesimpulan bahawa mereka yang membuat pinjaman dengan Ah Long sebenarnya dalam keadaan sangat terdesak dan sudah hilang ikhtiar serta tidak ada tempat untuk mengadu masalah bagi merungakai masalah kewangan yang dihadapi.
Mana-mana parti politik yang boleh memberi jaminan akan menyediakan pinjaman lebih mudah dari sistem pinjaman yang disediakan oleh Ah Long pada kempen pilihanraya keci kawasan Parlimen Permatang Pauh pasti akan menang dengan mudah, malah isu untuk banteras kegiatan Ah Llong patut diperdebatkan dalam dewan rakyat, dewan negara dan dewan-dewan undangan negeri.
Sebagai seorang peniaga walaupun hanya berstatus peniaga kecil sahaja, saya cuba membuat tinjauan rambang tentang kemunculan Ah Long dan kenapa walaupun sering dilaporkan oleh media tentang keganasan Ah Long terhadap pelanggan yang mungkir janji, namun kegiatan ceti haram itu nampaknya terus wujud dan Ah Long terus menerima langganan. Kalau tak ada langgan, kegiatan Ah Long tidak akan berfungsi dengan sendirinya.
Dalam tinjauan rambang saya itu mendapati rupa-rupanya pinjaman dengan Ah Long cukup mudah dan akan selesai dalam tempoh kurang dari 10 minit sahaja dengan pemberi pinjaman 9Ah Long) akan datang membawa wang yang dipinjam kepada peminjam. Peminjam pula hanya perlu memberikan salinan kad pengenalan, salinan daftar perniagaan bagi peniaga di samping sekeping cek tanpa tarikh dan tanpa nama yang siap ditandatangai dengan jumlah pinjaman dicampur faedah pinjaman.
Bayaran balik pnjaman dengan kenaan bunga sebanyak 30 peratus dan yang paling rendah 1% boleh dibuat setiap hari atau boleh juga dibuat dalam tempoh seminggu sekali atau pun sebulan sekali, bergantung kepada rundingan peminjam dengan pemberi pinjaman. Kalau tidak dapat jelaskan bayaran pokok dan bunga, peminjam, boleh bayar bunga sahaja. Ah Long lebih cenderung memberi pinjaman kepada pengusaha kedai makan kerana pungutan bayaran boleh dibuat setiap hari.
Berdasarkan pada kad perniagaan yang diselitkan di tangga pejabat, saya, sesuai dengan perniagaan saya dalam bidang penyebaran maklumat, bagi kepentingan mendapatkan maklumat untuk dikongsi bersama, maka saya cuba buat panggilan dan memberitahu yang saya memerlukan pinjaman RM500,000. Jawapan yang diterima ‘boleh’ yakni saya boleh mendapatkan pinjaman sebanyak itu.
Bila diberitahu lokasi pejabat, rupanya maklumat tentang syarikat saya sudah dalam pengetahuan mereka, malah mereka seronok bila saya kata saya mahu pinjam. Ditanya berapa lama prosesnya, penjawab telefon kata "sekalang pun kita olang boleh mali you punya office bawa itu wang. Kita olang manyak tolong olang susah ooo. Kita nanti boleh jadi kawan. Lu tolong kita olang, kita olang tolong you. Kita sama-sama bisnes, sama-sama cali makan".
Ditanya berapa faedah yang dikenakan, katanya 30 peratus. Bila saya kata macam mana saya nak bayar bunga 30 peratus sedangkan saya hanya akan dapat untung 20 peratus sahaja dari. Katanya bunga boleh dikurangkan ke 15 peratus, malah dia sanggup turunkan bunga ke 8 peratus bila saya kata saya tak akan mampu bayar 15 peratus.
Macam mana pun saya diberi tempoh untuk kononnya dirujuk kepada ibupejabat terlebih bila saya kata saya hanya berani ambil pinjaman kalau kadar faedahnya cuma 1% sebulan. Selepas itu ada panggilan dibuat oleh syarikat berkenaan tetapi saya tidak menjawabnya walaupun panggilan dibuat lebih dari 10 kali, malah saya telah pun menukar nombor kad prabayar telefon saya.
Sebenarnya saya ada membuat permohonan pinjaman bejumlah RM500,000 dengan sebuah bank dan borang permohonan serta kertaskerja yang telah diminta oleh pihak bank agar dibaiki telah pun dihantar kira-kira empat bulan lepas. Dua syarikat saya ada akaun semasa di bank berkenaan dan perjalanan kedua-dua akaun berkenaan agak aktif.
Bila ditelefon bertanyakan status pinjaman saya, jawapan yang diberikan oleh pihak bank ialah seandainya saya ada cagaran dalam bentuk hartanah atau bangunan, harapan untuk lulus sangat cerah. Nilai hartanah atau bangunan kena lebih tinggi dari jumlah pinjaman. Bagi saya pula, kalau ada hartanah dan bangunan yang nilainya lebih tinggi dari keperluan kewangan yang menterpaksakan saya memohon pinjaman, lebih baik saya jual sahaja hartanah atau bangunan berkenaan, tak payah buat pohon pinjaman pun.
Saya juga buat permohonan pinjaman RM100,000 tanpa cagaran atau penjamin dengan sebuah institusi kewangan yang dibayangi oleh kerajaan. Syaratnya pula kena tandantangan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau pun oleh JKKK bagi pemohon yang tinggal di kawasan yang tidak diwakili oleh wakil rakyat daripada pihakl kerajaan. Prosesnya untuk mendapat jawapan diluluiskan atau tidak pula mengambil masa berbulan.
Turut menyediakan pinjaman yang kononnya mudah ialah TEKUN yang menyediakan pinjaman tanpa cagaran dan penjamin pada jumlah RM30,000 ke bawah. Walaupun tujuan kewujudan TEKUN untuk memastikan para peniaga tidak akan meminjam dengan Ah Long tetapi proses kelulusan memakan masa yang panjang, kena melalui proses dan prosedur berbanding dengan Ah Long yang tidak perlu disediakan kertaskerja pun. Kalau diupah buat kertaskerja bayarannya beratus, malah boleh cecah ribuan ringgit. Maknanya membuat permohonan pinjaman pun sudah kena buat bayaran.
Untuk pinjaman RM30,000 yang cek pinjaman alan dibayar pada jumlah RM29,593 dan dengan bayaran balik sebanyak RM950 sebulan untuk tempoh 60 bulan, jumlah yang kena dibayar ialah RM57,000, ditolak simpanan sebanyak RM15,000 yang boleh diambil oleh peminjam bila bayaran balik pinjaman selesai, maka jumlah yang kena dibayar balik adalah RM42,000.
Maknanya faedah yang dikenakan adalah RM12,000 atau pada kadar RM200 daripada putaran putaran modal RM500 sebulan apabila RM30,000 itu dibahagi dengan 60 bulan. Jumlah kenaan faedah itu bukan sahaja menyamai kadar faedah yang dikenakan oleh Ah Long, malah lebih tinggi lagi.
Justerus itu, berdasarkan kajian dan penyelidikan rambang saya, kesimpulan rambang yang boleh saya buat ialah kegiatan Ah Long hanya boleh dihapuskan sekiranya institusi kewangan, terutama yang dibayangi kerajaan mampu menyediakan pinjaman yang lebih mudah dan lebih cepat lulus dari dari Ah Long tanpa dikenakan pelbagai syarat dan prosedur.
Sistem pinjaman TEKUN perlu dipinda supaya ianya lebih bersifat membantu, bukannya bersifat mencekik darah sama seperti Ah Long, cuma bezanya cekikkan TEKUN dihalalkan oleh undang-undang, kalau tidak bayar balik peminjam akan dikenakan tindakan undang-undang berbanding dengan kalau gagal bayar balik pinjaman Ah Long, peminjam terdedah kepada perlakuan ganas dan kejam.
Hanya pinjaman yang benar-benar mudah dan tanpa memerlukan banyak prosedur termasuk cagaran dan jaminan sahaja akan membantu membanteras kegiatan Ah Long. Yang kena diutamakan oleh agensi dan institusi kewangan yang dibayangi kerajaan adalah kecenderungan, kepakaran dan pengalaman peminjam sebagai faktor utama kelulusan pinjaman. Yang pernah bankrap adalah yang paling patut diberi pinjaman mudah kerana pengalaman bankrap yang pernah dialami boleh membantu mereka untuk mengelak dari bankrap lagi, sekaligus akan berpeluang membina jaya dalam apa juga yang diusahakan.

1 comment:

Anonymous said...

Hi, saya Mrs.Chloe, pemberi pinjaman pinjaman swasta yang memberikan pinjaman peluang seumur hidup. Memerlukan pinjaman segera untuk membayar hutang anda atau memerlukan pinjaman untuk meningkatkan perniagaan anda? Anda telah ditolak oleh bank-bank dan institusi kewangan lain? Memerlukan pinjaman penyatuan atau gadai janji? mencari lebih banyak, kerana kita berada di sini untuk membuat semua masalah kewangan anda satu perkara yang telah lalu. Wang pinjaman untuk orang-orang yang memerlukan bantuan kewangan, yang mempunyai kredit yang buruk atau memerlukan wang untuk membayar bil-bil, untuk melabur pada perniagaan pada kadar 2%. Saya ingin menggunakan medium ini untuk memberitahu anda bahawa kami menawarkan bantuan benefisiari yang boleh dipercayai dan akan bersedia untuk menawarkan pinjaman. Kemudian hubungi kami hari ini melalui e-mel di: chloemorrisloan@gmail.com atau chloemorrisloanfirm@financier.com