Tutur kata yang baik juga adalah sedekah
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
SEMUA orang tahu sedekah besar pahalanya, malah sedekah boleh menjadi pendinding kita dari api neraka. Walaupun bersedekah boleh dibuat pada bila-bila masa namun sepanjang bulan Ramadhan, kencenderungan dan keghairan memberi sedekah lebih tinggi.
Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud;
Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera)". - Hadis nombor 972 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV.
Satu lagi hadis baginda bermaksud;
Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata: bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali. Kemudian baginda bersabda "Peliharalah dirimu dari api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik". - Hadis nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV.
Ertinya amalan bersedekah itu amat dituntut termasuk di kalangan mereka yang miskin. Penerima sedekah barangkali boleh sedekahkan sebahagian dari sedekah yang diterimanya kepada orang lain yang memerlukan sedekah.
Bila dengan hanya sebelah buah kurma pun digalakan bersedekah atau paling tidak pun bersedekah dalam bentuk menggunakan tutur kata yang baik, maknanya dalam konteks kita di Malaysia, tidak ada sebab untuk kita tidak bersedekah walaupun barangkali kita adalah merupakan orang sering diberi dan menerima sedekah.
Orang Malaysia tidak akan beli hanya sebiji buah kurma untuk berbuka puasa, sebaliknya akan beli sekotak dan akan dipilih dari jenis yang baik, malah akan dipilih pula kurma yang diimport dari negara mana.
Tok fakir pun pilih kurma yang ada tangkai atau kurma segar untuk berbuka puasa. Macam mana pun masih ramai umat Islam di negara kita yang memilih untuk menjadi penerima daripada memilih menjadi pemberi sedekah.
Ada yang sanggup sewa kereta berpemandu sehari suntuk untuk membawa satu keluarga meminta sedekah bermula pada minggua ketiga Ramadhan dan jumlahnya akan bertambah bila 1 Syawal semakin dekat.
Dari setiap tangan yang menghulur diharap paling kurang pun RM10, paling diharapkan benar adalah RM50. Kalau sekadar hulur RM5 atau RM1, apatah kalau 50 sen atau jumlahnya lebih kecil, pasti penerima sedekah akan tarik muka masam, malah siap dengan seranah lagi.
Kalau pemberi sedekah bertindak balas dengan kata-kata kesat juga, maka hilanglah pahala bersedekah. Anggap saja muka masam dan seranah penerima sedekah kita itu sebagai suatu bentuk ujian, malah ianya akan mendatangkan bonus pahala kepada kita kalau kita mampu bersabar.
Penerima sedekah yang mencerca pemberi sedekah atau tidak berpuashati dengan jumlah sedekah yang diberikan akan menerima siksa yang pedih. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud;
"Orang munafik, yakni mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka dengan siksaan yang pedih" - At-Taubah:79.
Rasulullah s.a.w. pula bersabda yang bermaksud;
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda: "Hai, wanita muslimat!. Janganlah kamu meremehkan pemberian tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing" - Hadis nombor 988 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV.
Di samping itu pemberi sedekah pula dilarang menghitung-hitung sedekah yang diberi dan bakal diberi. Larangan itu terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud;
Dari Asmai binti Abu Bakar r.a,, katanta Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersedekahlah kamu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan mengitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu, dan jangan kikir kerana Allah akan kikir pula kepadamu" - Hadis nombor 987 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV.
Sedekah yang paling besar pahalanya menurut Rasulullah s.a.w. ialah sedekah ketika kita sihat, ketika kita ada rasa kedekut, ketika kita rasa takut miskin, ketika kita mengharapkan akan menjadi seorang hartawan dan kaya raya, ketika-ketika sebegitulah kita kena segera bersedekah dan pahalanya sangat besar.
Dalam pada itu kita tidak digalakan meminta sedekah tetapi digalakan memberi sedekah kerana tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah, yakni pemberi sedekah lebih mulia dari penerima sedekah.
Mereka yang sengaja meminta-minta, terutama dalam keadaan diri sebenarnya ltidak lagi memerlukan sedekah, sebalik patut bersedekah tetapi masih juga meminta sedekah, dua hadis berikut patut menjadikan mereka insaf dan segera berhenti memintah sedekah yakni;
Dari Hamzah bi 'Abdullah (bin 'Umar) r.a. dari bapaknya, katanya Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya orang peminta-minta, kelak di hari kiamat dia akan datang menemui Allah dengan muka tanpa daging" Hadis nombor 1000 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV.
Sebuah lagi hadi bermaksud;
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Siapa yang meminta-minta kepada orang ramai untuk mengumpul harta kekayaan, bererti dia meminta-minta bara api, sama saja halnya apakah yang diterimanya sedikit atau banyak" - Hadis nombor 1001 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV.
Tuesday, September 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment