Bila Katak Gomok Senak Perut
Oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk
DALAM pelbagai spesis katak, dia anggap, malah dia dengan segala syok sendirinya mewawarkan ke empat penjuru alam dan ke tujuh petala langit tujuh petala bumi bahawa dialah katak paling besar, paling kuat, paling hebat dan geru-geriknya boleh mennggegarkan dunia.
Kerana syok sendiri dengan keistimewaan diri yang sebenarnya tidak ada apa-apa keistimewaan pun kecuali di kalangan 'kawan katak', dia sering tunjuk lagak, tunjuk besar, kuat dan hebat, malah paling kerap menukarkan warna baju menutup kerapu.
Dia pernah melompat pada jarak empat puluh enam jakah lompatan dan berteduh di bawah empat puluh enam daun rumput yang tercalit warna kuning, lalu diikrarkan sumpah, hidup matinya adalah untuk jarak empat puluh enam jakah lompatan dan tempat berlindungnya hanyalah di bawah empat puluh enam helaian rumput tercalit warna kuning sampai bila-bila.
Sebelumnya dia yang dah melompat dari tempat tumpangannya berbentuk bintang berwarna putih yang berada dalam kawasan serba hijau telah melompat ke dalam longgokan 1946 bilah keris.
Kerana menyangkakan longgokan 1946 bilah keris sudah tumpul gelebek dan hanya sekadar lut tikam taik sahaja lagi, itu pun taik yang tidak bercampur dengan butir rambutan telan, butir langsat, butir rambai dan butir buah kerian, dia melompat pada jarak empat puluh enam jakah lompatan dan berlindung di sebalik empat puluh enam daun rumput bercalit warna kuning.
Sumpah dan ikrarnya adalah walau apa pun yang terjadi, dia tidak akan melompat keluar dari tempat berlindungnya di bawah empat puluh enam helain daun tercalit warna kuning, apatah lagi untuk melompat semula ke dalam longgokan 1946 bilah keris.
Dia bersumpah akan jilat punggung katak puru jika diluar sedar dia melompat ke tempat asal takkala mula. Kononnya kalau dalam keadaan yang waras, dalam keadaan tidak babuk dan tidak mabuk, tidak gila dan tidak mereng, dalam keadaan tidak sasau dan tidak sasan, godam empat puluh enam kali pengsan empat puluh enam kali sedar, disua empat puluh enam karak di punggut atau diradak dengan 1946 bilah keris pun, dia tidak akan melompat kelik semula.
Yang jelas dia dari spesis tak lekat unjat. Apa yang mulut busuknya sebut tak pernah sama dengan perutnya yang juga busuk.
Sabut belum kering dan ketika inai masih belum tanggal dijari raja sehari, dia telah pun melanggar sumpah dan ikrar sendiri, dia melompat dari bawah tempat dia berlindung di bawah empat puluh enam helaian daun rumput bercalit kuning, ke dalam longgokan 1946 bilah keris semula.
Entah dijilat atau tidak punggung katak puru kerana kesalahan melanggar sumpahnya, tidak dapat dipastikan. Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu tentang sumpahnya itu. Ikut hukumnya, sumpah, ikrar dan nazar kena segera disempurnakan.
Tetpi kepada yang spesis makhluk Allah yang boleh mempersendakan dengan berkata ‘Allah pun boleh pening dan sakit kepala’ kerana banyak sangat yang sembahyang hajat minta macam-macam’, mungkin soal dosa pahala tidak masuk dalam hitung kiranya.
Tanpa disedari kifarah yang menimpa, hanya kerana mulut celupar dan ketidak-istiqomahannya, malah gara-gara suka tambah musuh dari tambah kawan bila berteduh dan sering dijadikan tempat makan sebagai tempat beraknya, dia dilihat cuba menumpulkan 1946 bilah keris yang dia tinggal di dalam longgokannya menyebabkan dia telah diperlompatkan dan perberambuskan dari longgokan 1946 bilah keris, menjadikan dia hilang tempat bergayut.
Maka terlompat-lompatlah dia dalam keadaan ayam tak patuk itik tak sudu, geru-geriknya tidak ada apa-apa spesis pun yang ambil peduli, termasuk di kalangan para spesis katak sendiri, malah ada yang melihatnya 1951 kali lebih jijik dari babi yang cuba mahu dilunakkan dengan ditukar nama panggilan kepada khinzir tetapi muka babi tetap macam babi bermucung gelebek dan hukum haram makan babi tetap kekal walaupun namanya bertukar kepada khinzir.
Dalam keadaan terbiar dan menyendiri dengan lalat langau pun tak sudi hinggap dan tak pecah lior hurungi mulut dan perut busuknya dengan dirinya pula lembik berjelepek hilang kekuatan dan putus harapan, tiba-tiba ada pantulan cahaya bulan purnama terpancar ke dahinya. Kesempatan itu diambil untuk bergeru-gerik di bawah sinaran bulan purnama.
Bila dilihat puluhan ribu makhluk pelbagai spesis bercerokoh-aroh di bawah sinaran bulan purnama semuanya berbaju hijau berkopiah putih, dia juga cuba berbaju hijau yang dicat lebih hijau dari segala yang hijau. Penutup kepala yang diperbuat dari kelotong nyior yang sepatutnya putih pun dicat hijau.
Selepas lama terkurung di bawah tempurung dan ada sedikit tenaga oleh pancaran sinaran rang bulan penuh purnama, geru-geriknya mula bertukar nada, rasa besar diri dan serba hebat mula kembali beraja di mata bersultan di hatinya.
Dia mula mahu digezetkan bahawa suara geru-geriknya bukan sahaja paling sedap, tetapi juga paling keramat dan sangat tinggi nilainya.
Atas nama Katak Gomok yang dia sendiri mengaku spesisnya itu tanpa dia sendiri tahu dengan erti kata sebenar asal usul spesinya yang sebenar, dia menganggap dirinya spesis paling besar, paling boleh lompat sana lompat sini melelong dan memperpajak-gadaikan maruah dan harga diri.
Bila makan kena bersuap dan suapan ke mulutnya tidak boleh hanya pakai sudu lagi. Kononnya sekadar dicedok dengan sudu samalah seperti anak rengit jantan tidur dibirai alat sulit anak dara gajah dengan kaki bersilang sambil bergedit dengan tangan kanannya di letak atas dahi sambil berkhayal dan membina seribu satu macam mimpi yang belum pernah pun jadi realiti.
Gara-gara merasa mulutnya sangat besar, maka suapan ke mulutnya kena guna siko ganti sudu. Adakalanya disuruh sewa jengkaut untuk digunakan bagi menggantikan sudu dan siko untuk menyuap makan ke mulutnya. Isitilah makan sudah ditukar dengan istilah ‘tankedarah’, ‘ranggah’ dan ‘bahbatu’ manakala suap ditukar kepada istilah ‘sumbat-padat’., kenyang ditukar istilah kepada'betak-pedal'.
Istilah kentut ditukar kepada ‘pecah pedal’, berak kepada ‘mmedal’. Tak mahu ditukar kepada ‘tak pelahap’ atau ‘tak putus perut eh’. Sejajar dengan sikap dan perut pedalnya, istilah-istilah yang digunakan banyak yang melanggar batas-batas kesopanan dan kesantunan yang baginya itulah kehebatan, kesamsengan dan gedebenya dia.
Kalau sekadar sebuku dua daging lembu bakar atau goreng, baginya tak payah suaplah. Kononnya dua buku daging goreng hanya sama besar dengan taik matanya sahaja. Kalau nak suap daging lembu juga, kena terus suap seekor lembu yang masih sempurna sifatnya, kalau nak suap daging kambing, sekadar sebuku dua tak payah, kena suap bukan sahaja sekawan kambing tetapi kena suap dengan gok-gok kambing sekali.
Ketika dahaga, kononnya dahaganya tidak akan hilang kalau sekadar segelas, seceton, sejug, sebaldi atau setempayan air.
Paling kurang pun kena empat puluh enam tangki, kalau seribu sembilan ratus empat puluh enam tangki baru sedang molek, macam kata si anak lelaki yang tak berapa cerdik yang dipilihkan bini oleh bapanya memuji bapanya kerana pilihan bapanya 'sedan-molek', macam ukur-ukur, cukup sendat. Kalau sesiapa nak berbini, dicadangkan supaya disuruh bapanya yang pilih.
“Bajunya dah berubah warna. Nampak jelas warna hijaunya bukan asli. Catnya dah mula luntur” ngomel salah satu spesis di bawah sinaran bulan purnama ketika menghadiri satu majlis yang membabitkan sama geru-gerik Katak Gomok.
“Dekpon pelik bedo’oh. Masa pakai baju hijau bukan setakat baju baju sahaja yang hijau, kopiah pun hijau. Orang pakai kopiah warna putih, dia pakai yang warna hijau. Mujur rambut pun tidak dicat hijau sama. Nampak sangat nak tunjuk dia lebih hijau dari spesis yang telah sedia hijau” bebel spesis yang lain.
“Separuhnya dah nampak bayangan biru ketu. Mula-mula hanya samar-samar. Koho lama kohor jelas. Tuiiiiiiiii!!!!!” sambut spesis di sebelahnya sambil meludah penuh kejengkelan.
Cula perubahan warna dan nada geru-gerik Katak Gomok mula menjadi bahan bualan dan sosek-sosek para spesis di bawah sinaran bulan purnama.
“Adat musang…..”
“Dia spesis katak, bukannya musang”
“Aku berbidalan”
“Ooooo!”
“Musang ni walaupun berbulu ayam, musangnya tetap musang dan memang tak boleh dimasukan dalam gok ayam”\
“Kalau dimasukan juga?”
“Samalah macam bini di suruh tidur sebantal dengan gu rapat dalam kelambu gu yang sempurna kejantannya. Berkuca cadar sudahnya”
“Jadinya?”
“Percaya kepada pertukaran warna spesis apa pun kena berpada-pada. Jangan kerana bila ada yang seluruh tubuhnya dicat hijau yang kelihatannya lebih hijau dari yang dah sedia hijau, maka perut pedalnya dilihat hijau juga. Kena ingat banyak yang mulut manis tapi jubur masam”
******
Entah kerana terlalu banyak sangat yang menyumpah dan bercakap tentang perut pedalnya atau ada kerana lain lagi, tiba-tiba sahaja Katak Gomok senak perut.
Banyak pakar-pakar perubatan, termasuk yang pakar khusus dalam penyakit senak perut bertaraf dunia cuba mengubatinya tetapi tidak juga sembuh-sembuh, malah sakitnya bertambah melarat.
Atas cadangan spesis yang percayakan bomoh, maka bomoh dari Kampung Rong Chenak, sebuah kampong terpencil dan penduduknya sering dipencilkan dijemput berbomoh.
Khabarnya kalau kes penyakit batu karang atau uluran, telan atau mamah ubat yang dijampi serapah lebih kurang, penyakit-penyakit itu akan hilang, macam ambik-tahok-buang. Kurang pastilah pula dengan penyakit senak perut, boleh dibomohi ke tidak.
Belum sempat penjemput yang diperintah menjemput Tok Bomoh memberi salam, Tok Bomoh terlompat-lompat, sebiji macam katak, sesekali macam kera, macam lutung, macam beruk, macam kakoh, macam siamang dan kembali macam katak semula keluar-tubik ke muka pintu rumahnya.
"Apa hajat?" soal Tok Bomoh yang terus melompat dan terloncat-loncat.
"Nak padoh Tok Bomoh" sahut tukang jemput yang menjunjung perintah menjemput Tok Bomoh bagi mengubati bossnya yang sudah habis sekelian pakar seentero dunia memberi rawatan, tetapi jangakan nak sembuh, reda sikit pun tidak, malah tambah melarat.
"Nak berubat Katak Gomok senak perut?" tanya Tok Bomoh.
"Ai, tak dan ghoyat lagi Tok Bomoh tau dah?" balas tukang jemput. Baginya apa yang diucap oleh Tok Bomoh benar-benar kena atas butir, betul macam tetak dengan golok.
"Aku Nampak kelih melalui firasat dan gamakkan"
"Apa yang Tok Bomoh nampak?"
"Katak Gomok mengidap penyakit senak perut kronik"
"Betul"
"Apa yang betulnya"
"Boss saya….."
"Katak Gomok?"
"Ha ah"
"Apa yang betulnya?"
"Memang betullah boss saya senak perut kronik. Bergerabak keretapi dah ubat penahan sakit ditelan, tapi sakitnya tak reda pun. Tambah sakit adalah”
"Kes dia perut tak betul"
"Maksud Tok Bomoh?"
"Jenis tak lekat unjat"
"Siapa?"
"Bossmu 'lah. Siapa lagi"
"Tak lekat unjat lagu mana maksud Tok Bomoh?"
"Suka lompat-lompat. Banyak geru-gerik"
"Yang Tok Bomoh sendiri terlompat-lompat macam katak ni, kenapa?"
"Kerana kau datang nak padoh aku berbomoh, penyakit boss kau tu dan meresap masuk dalam diri aku”
"Bukan temberang ni?"
"Kalau ada pun sikit-sikit"
:Ada jugalah"
"Biasalah. Nak hidup"
"Ya tak ya juga"
"Lompat lebih pengerasnya lebihi sikit"
"Yak ke?
“Kalau mu nak tau”
“Apanya?”
“Kerana bossmu tu lompat untuk cari makan, malah sanggup berpura-pura tukar warna baju dan nada geru-gerik, apa yang ditankedarahkannya dah protes, masing-masing tak mau keluar tubik sebagai taik bossmu. Itu yang buat celaru dalam perut. Masing-masing nak keluar macam bentuknya yang asal. Makanan dan minuman yang ditelan tidak setuju dengan cara hidup bossmu yang melompat kerana nak hidup biarpun orang lain mampus kerananya. Bila ada yang persoalkan sikapnya itu, dia akan kata kalau tak mau mampus kena ikut lompat sama melelong prinsip dan memperpajak-gadaikan maruah serta harga diri”
"Jadinya?”
"Penyakitnya payah nak berubat"
"Tapi dia sakit sangat-sangat?"
"Kena tanggunglah. Penyakit tu dia yang cari sendiri”
“Sampai bila?”
“Sampai bila-bila”
“Kalau dibiarkan begitu dia akan mati”
“Bagi aku spesis macam bossmu tu kalau habis nyawa aku tak panggil mati”
“Dah tu?”
“Aku panggil mampus”
“Parak sangat”
“Aku ni jenis terus terang. Malah aku ramalkan….”
“Apa yang Tok Bomoh ramalkan”
“Umur bossmu tak panjang”
“Betul ke?”
“Lepas senak dia akan mengalami penyakit kembung dan bengkak perut pula”
“Lepas tu?”
“Mampuslah. Apa lagi”
“Daripada hidup tersiksa, baik dia mam….”
“Mampus. Kenapa tak habiskan sebutannya?”
“Tak sampai hati”
“Takut?”
“Sikit-skit”
“Takut, malu mata, bodek dan ampu punca dia jadi macam apa yang dia jadi sekarang, tak lekat unjat, suka lompat dan sanggup melelong dan memperpajak-gadaikan prinsip, maruah dan harga diri. Lagi pula jangan ingat lebih baik mati dari tersiksa hidup kerana siksa semasa hidup abadi di akhirat jauh lebih siksa lagi dan kekal sifatnya, kecuali jika ada bawa bekal amal yang banyak”
Tukang padoh Tok Bomoh terkedu.
Bisu.
Malu.
Tiba-tiba telefom genggamnya berbunyi. Dari dalam telefon genggamnya ada suara memaklumkan, penyakit Katak Gomok sudah bertukar dari senak kepada kembung, malah kini sedang mengelembong dengan seluruh tubuh Katak Gomok biru ketu, kalau bergerak pun boleh meletup, apatah lagi kalau melompat.
Pada firasatnya mahu tidak mahu Katak Gomok kena mampus!
Sunday, October 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment