Monday, October 6, 2008

MUNCUL KEMBALI (87)

Rakyat perlu bina sikap beli keperluan bahan makanan sebagai pilihan terakhir

SEORANG rakan yang tanah lapang miliknya di belakang rumah dan di sebelah kanan rumahnya pula ada tiga kolam terbiar serta di halaman rumahnya berlambak kelapa yang gugur dari lima pokok nyaris-nyaris membenjolkan dahi saya dengan penumbuknya bila saya kata dia patut merasa malu pada dirinya kerana dia ikut sama merungut dan mengeluh ekoran kenaikan harga barangan basah.
Bagi saya yang patut merungut dan mengeluh hanyalah penghuni rumah pangsa yang kalau pun memiliki tanah, hanyalah dalam pasu-pasu bunga sahaja, sedangkan dia memiliki tanah berhektar-hektar luasnya yang hanya ditumbuhi semak samun manakala kolamnya pula terbiar dan dijadikan tempat membuang sampah dan pastinya menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Mujurlah bininya segera menghalang dan menyedarkannya bahawa saya dijemput datang berhari raya di rumahnya. Dia juga dajarkan mengucap. Bininya mememinta suaminya yang mudah pongoh itu minta saya perjelaskan apa sebenarnya yang saya maksudkan kerana kononnya cakap saya lazimnya ada maksud dan tujuan berlapis. Saya sendiri pun tidak sedar bahawa cakap-cakap saya ada maksud dan tujuan berlapis.
Bila diminta membuat penjelasan, saya katakan santan kelapa, cili segar, kacang panjang, lobak, kangkung, tomato, sawi, keladi, terung dan halia yang tersenarai sebagai barangan basah dan barangan keperluan yang naik harga sepatutnnya tidak menjadi punca rungutan dan keluhan oleh sebilangan besar rakyat negara ini, apatah lagi mereka yang tinggal di luar kota metropolitan.
Kenaikan harga daging lembu, kambing dan ayam juga tidak patut menjadi punca rungutan dan keluhan. Demikian juga dengan kenaikan harga ikan, kecuali sotong dan kerang, seandainya sebagai pengguna masing-masing membina sikap dan prinsip untuk tidak membeli apa-apa barangan keperluan yang boleh dihasilkan sendiri dengan mudah dan tidak pula memerlukan peruntukkan masa khusus.
Bayangkan kalau tanah miliknya itu ditanam cili, kacang panjang, lobak, kangkung, tomato, sawi, keladi, terung, halia dan macam-macam jenis sayur-sayuran lagi, bukan sahaja keperluan sendiri dapat dipenuhi tetapi jika diagih-agihkan, seisi kampung pun dapat merasakannya dan dia yang mengagihkan secara percuma akan dapat ganjaran pahala. Kalau dijual pula, untuk setiap musim nilai jualanya boleh mencecah ribuan ringgit.
Kenapa buah-buah kelapa dibiarkan kering berlambak-lambak di halaman rumah, sesetengah sampai cambah. Kenapa tidak disedekahkan kepada kalangan yang tidak ada pokok kelapa supaya mereka tidak perlu membeli santan segera. Bukankah kalau ada sedikit kerajinan, santan kelapa boleh dijadikan minyak masak. Kelapa atau minyak yang dihasilkan itu pula kalau dijual akan mendatangkan wang, kalau disedekahkan mendapat pahala.
Kenapa kolam yang dibiarkan tinggal terbiar mesti dijadikan tempat pembuangan sampah. Bukankah lebih bijak dan berfaedah kalau dilepaskan benih ikan keli, haruan, tumang bunga, patin, belut, kaloi, talapia, udang air tawar dan pelbagai jenis ikan air tawar lagi yang mana nanti seisi keluarga akan dapat dinikmati ikan yang benar-benar segar berbanding dengan ikan kembung, tenggiri, bawal putih dan kerapu yang mengalami kenaikan harga yang melambung yang entah berapa bulan jarak masa mula ditangkap sebelum dipasarkan.
Di tebing kolam boleh dipacak batang pokok ubi kayu atau ditanam pokok ubi keledek, malah dalam kolam boleh ditanam kangkung jalar. Selain dari pucuk ubi kayu, pucuk keledek dan kangtkung boleh dijadikan sayur, ianya juga boleh dijadikan makanan ikan yang dipelihara. Isi ubi kayu dan keledek boleh dijadikan komponen pembuatan kueh manakala kangkung yang ditanam kolam selain dari boleh dijadikan sayur, ia juga boleh dijadikan makan ikan peliharaan, khususnya kaloi, ianya juga boleh menjadi tempat ikan pelihraan bersantai.
Bagi penggemar daging ayam, ternaklah ayam kampung yang tidak perlukan reban pun dan hanya perlu dilepas bebas. Ayam kampung boleh cari makanan sendiri, malah hampas kelapa, ubi kayu atau ubi keledek yang mungkin rosak boleh dijadikan makan ayam, malah kalau diberak di luar tandas pun, bahan buangan perut juga merupakan antara sumber makan yang paling digemari ayam kampung.
Demikian juga dengan lembu dan kambing. Sekadar untuk keperluan daging seisi kampung, cukuplah kalau dipelihara dua hingga lima ekor lembu atau sekitar 10 ekor kambing. Selain dari makannya adalah rumput yang sentiasa tumbuh, sisa sayur-sayuran juga boleh dijadikan bahan makanan lembu dan kambing. Lagi pun untuk pemeliharaannya tidak memerlukan penjagaan khusus pun.
Bagi saya seandainya penduduk di luar kota metropolitan berlumba-lumba menfaatkan tanah terbiar dan bina sikap hanya akan membeli keperluan bahan makanan sebagai pilihan terakhir, mahu tidak mahu harga barangan basah dan bahan keperluan akan merudum di pasaran kerana lazimnya sesuatu barangan akan melonjak apabila permintaan melebih bekalan yang ada.
Penduduk luar kota metropolitan sepatutnya merasa malu kalau di rumah mereka tidak ada pengukur kelapa kerana dianggap sudah tidak perlu dan merasakan ketinggalan zaman kalau masih menggunakannya gara-gara kemunculan santan segera di pasaran. Amat ganjil seandainya ada pemilik kebun kelapa yang tidak reti hasilkan minyak masak dari kelapa gara-gara pelbagai jenama minyak masak boleh diperolehi dipasaran.
Kalau semua penduduk di luar kota metropolitan boleh displinkan diri yang mengutamakan rasa bangga menikmati sumber makanan hasil dari titik peluh sendiri, maka soal kenaikan barangan basah dan barang keperluan tidak akan menjadi punca rungutan dan keluhan. Biarlah kalau pun dirasakan mahu makan ikan kembung, tenggiri, kerang, bawal, kerapu, sotong dan hasil-hasil laut yang lain, ianya dibeli dengan wang hasil pejualan ikan air tawar yang diternak, bukannya menggunakan wang hasil dari pekerjaan utama.
Bagi saya adalah amat-amat memalukan kalau di tepi rumah di luar kota metropolitan tidak ada sepohon betik pun, malah untuk dapatkan buah yang kaya dengan vitamin C terpaksa dibeli kerana lazimnya butir betik kalau dicapak pada tanah yang lembab, terutama di kawasan berhampiran dengan dapur ia akan tumbuh subur dan tidak perlukan penjgaan dan pembajaan pun. Betik pula lazimnya akan berbuah sepanjang masa. Buah betik muda boleh dibuat sayur dan sebagainya.
Penghuni kota-kota metropolitan juga sebenarnya boleh turut sama penduduk luar kota metropolitan melawan kenaikan harga barangan basah dan barangan keperluan. Langkah dan tindakan yang perluk dilakukan ialah dengan menukarkan pasu-pasu bunga-bungaan untuk hiasan dengan tanaman bunga kepada tanaman pelbagai jenis sayur-sayuran dan akuarium yang dijadikan tempat pemeliharaan ikan hiasan diganti dengan jenis ikan yang dipelihara untuk dimakan.
Mari sama-sama kita mulakan lancar perang terhadap kenaikan harga barang dengan membina sikap, prinsip, semangat dan amalan hanya akan beli keperluan bahan makanan sebagai pilihan terakhir dan merasa bangga menikmati hasil titik peluh sendiri. Dalam tempoh enam bulan akan datang kita boleh nampak kesannya kepada pasaran barangan basah dan barangan keperluan.
Percayalah rungutan, keluhan dan rintihan pengguna akan membuat peniaga akan ketawa terbahak-bahak kerana yang kita rungut, rintih dan keluhkan adalah sikap, amalan hidup dan kebodohan kita sendiri, kerana kita tidak mengekspolitasi kuasa yang kita ada supaya kita tidak dicekik oleh peniaga yang haloba.

No comments: