Monday, October 6, 2008

MUNCUL KEMBALI (88)

Perdana Menteri berlatarbelakang seperti Pak Lah bagi negara ini mungkin hanya akan muncul dalam tempoh 1,000 tahun akan datang

SAMA ada Presiden Umno merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan bertanding mempertahankan kerusi Presiden Umno atau sama ada beliau akan lepaskan jawatan Perdana Menteri atau tidak sebelum 2010, ianya tidak penting.
Pemimpin boleh datang dan pergi kerana datang dan pergi itu sendiri adalah suatu kemestian dan lumrah. Bila saat dan ketikanya bergantung kepada apa yang telah tersurat dan ditakdirkan-Nya.
Sama ada Datuk Seri Abdullah bersedia atau tidak untuk tidak lagi menjadi Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri, tiba masanya beliau terpaksa juga kena terima hakikat untuk beliau tidak akan lagi menjadi Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri.
Persoalannya apakah sebagaimana beliau diangkat ke jawatan-jawatan itu dengan penuh penghormatan, maka beliau juga akan tinggalkannya dengan penuh penghormatan atau beliau cuba diperhinakan dengan desakan dan sebaotaj semata-mata kerana rekod perkhidmatannya tidak setara dengan penyandang-penyandang sebelumnya.
Ketidak-setaraan itu pula diukur dari sudut dan timbang tara mana. Adilkah tempoh perkhidmatan lima tahun dituntut kesetaraan perkhdimatannya dengan penyandang sebelumnya yang mengambil masa lebih dari 22 tahun.
Apakah penyandang yang lepas meninggalkan laluan mudah untuknya supaya dalam tempoh lima tahun perkhidmatan, beliau kelihatan bersih dari palitan-palitan pelbagai masalah gara-gara angkara sikap lebih lajak dari laju penyandang sebelumnya.
Cuba perhatian apa yang sedang berlaku sekarang dalam usaha kalangan tertentu yang mahukan beliau berundur. Apakah Umno khususnya dan BN amnya sedang menghala ke arah menambah-baikan prestasi dan reputasi atau sebaliknya.
Pelbagai pihak, termasuk tokoh-tokoh yang tidak munasabah untuk bertanding jawatan-jawatan tertentu dalam Umno telah tampil menawarkan diri. Apakah perkembangan yang sedang berlaku dalam Umno sekarang menjadikan Umno boleh dimegahkan atau Umno sebenarnya sedang diperlekeh oleh orang Umno sendiri.
Saya nampak Umno sedang diperlekehkan. Walaupun matlamatnya apa yang sedang berlaku bertujuan untuk memperlekehkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi yang menerima padahnya adalah Umno sendiri, yang akan rosak dan binasa bukan Datuk Seri Abdullah, tetapi Umno.
Pada saya, oleh kerana beliau semacam tidak diperlukan oleh Umno walaupun majoriti rakyat masih memberi sokongan kepada kepimpinan dan ini terbukti apabila dalam menghadapi pelbagai sabotaj dan pengkhinatan dari dalam Umno/BN kerajaan terajuan masih menerima mandat, Datuk Seri Abdullah akan berundur.
Sisa usianya yang masih ada, beliau kini berusia 68 tahun dan hidup dengan usia subsidi selama lima tahun berbanding dengan jangka hayat Rasulullah s.a.w., pasti akan dihgunakan untuk beramal ibadat tanpa gangguan oleh bebanan tugas sebagai Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri lagi.
Sama ada Umno/BN terus kekal menjadi kerajaan atau sebaliknya, namanya sudah tercatat dalam sejarah tanahair sebagai Perdana Menteri Kelima. Soal sama ada tempoh keperdana-menteriannya bernilai emas, intan, suasa, perak, tembakau atau gerek, generasi akan datanglah yang akan menilainya.
Semasa hayatnya Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri Ketiga Tun Hussein Onn dikecam dan sering diungkit-ungkit kelemahan tetapi jarang disebut kebaikannya. Setelah mereka mati barulah jasa mereka dinilai dan dihargai.
Ketika menjadi Perdana Menteri, bekas Perdana Menteri Keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dikecam, malah disamakan dengan firaun, tetapi apabila beliau bersara, kalangan yang memfiraunkannya kini menilainya sebagai insan suci.
Demikian juga dengan Datuk Seri Abdullah, apabila beliau berundur, kebaikannya akan menjadi sebutan dan penggantinya pulah yang akan menjadi sasaran cacian dan pelbagai tohmahan. Saya nampak Datuk Seri Abddulah boleh menerima hakikat itu dengan tenang, antara faktornya tentulah kerana beliau sering mengamalkan membaca al-Quran.
Tidak mustahil dalam tempoh sepuluh tahun selepas kebersaraannya, beliau akan diberi gelaran 'Bapa Ketenangan' sebagaimana Tunku Abdul Rahman diberi gelaran 'Bapa Kemerdekaan', Tun Razak diberi gelaran "Bapa Pembangunan' dan Tun Hussein diberi gelaran 'Bapa Perpaduan'.
Datuk Seri Abdullah juga akan tercatat dalam sejarah sebagai Perdana Menteri pertama dari titih ulamak dan pemegang ijazah dalam pengajian Islam dan pusingan untuk muncul lagi Perdana Menteri sepertinya di negara mungkin akan mengambil masa 100, 200, 500 atau 1000 tahun akan datang kerana tidak ada tokoh yang berlatarbelakang sepertinya diberi laluan ke jawatan itu pada waktu ini.

No comments: