Monday, November 3, 2008

MUNCUL KEMBALI (110)

Politik wang bercanggah dengan sunnah


ORANG Umno atau mana-mana pemain politik beragama Islam dan parti politik yang didukung dan disokong bermatlamat memperjuangkan nasib umat Islam kena menolak politik wang tanpa sebarang kompromi.
Ini adalah kerana politik wang atau calon-calon yang bertanding sanggup membeli undi untuk memastikan kemenangan bererti mereka melakukan tindakan dan amalan yang bercanggah dengan sunnah.
Oleh kerana saya tidak berautoriti untuk berfatwa, maka saya harap alim ulamak, khususnya para mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan jangan mengambil sikap membisu dalam soal ini, terutama pada era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri yang mengamalkan sikap amat dan sangat terbuka.
Melalui semakan saya terhadap hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dalam Kitab Terjemahan Hadis Sahih Muslim Jilid I,II,III dan IV serta Kitan Terjemahan Hadis Shahih Bukhari Jilid I,II, III dan IV berhubung dengan pemerintahan dan kepimpinan, pada pemahaman saya amalan politik wang adalah bercanggah dengan sunnah.
Rasulullah s.a.w. tidak akan melantik mana-mana individu yang berhajat, apatah lagi yang meminta-minta atau melobi untuk menjadi pemimpin atau bekerja dengan jabatan pemerintahan. Kalau sampai merasuah untuk menang dalam pertandingan, tentulah lebih terlarang lagi.
Alasan baginda ialah bila orang yang berhajat, apatah lagi yang meminta-minta atau melobi untuk dapatkan sesuatu jawatan kalau dilantik juga akan menimbulkan banyak masalah, bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga kepada diri orang yang dilantik itu sendiri.
Sebaliknya jika dipilih dari kalangan mereka yang tidak berhajat, tidak meminta-minta dan tidak melobi, ianya bukan sahaja akan mendatangkan kebaikan kepada orang ramai tetapi juga kepada diri mereka yang dilantik itu sendiri.
Sebagai nabi dan rasul yang maksum sifatnya, Rasulullah s.a.w. tidak akan menyuruh atau melarang tentang sesuatu perkara melainkan perkara yang disuruh dan dilarang itu benar dan membawa rahmat kepada seluruh isi alam ini.
Orang yang melengah-lengahkan waktu sembahyang, yakni yang mengamalkan sembahyang pada hujung waktu juga tidak akan dipilih sebagai pemimpin atau petugas jabatan pemerintah oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru itu pada pendapat saya, sama ada Umno atau mana-mana parti yang didukung dan disokong oleh umat Islam dan tujuan diwujudkan demi kepentingan Islam dan umatnya akan merdeka dari segala masalah jika ianya bersih dari politik wang dan lobi melobi.
Selagi prosedur yang selaras dengan sunnah tidak dipraktikkan, maka segala masalah tidak akan mampu diselesaikan, malah pasti ia akan tambah bermasalah lagi.
Prosedur yang selaras dengan sunnah bukan sahaja akan disenangi oleh sekalian manusia tetapi juga oleh sekalian makhluk di langit dan di bumi.

No comments: