Sunday, December 14, 2008

MUNCUL KEMBALI (121)

Isu yang berkepentingan rakyat patut lebih diutamakan dari isu kereta rasmi

SECARA peribadi, malah saya yakin majoriti rakyat negara ini sukar untuk menyimpul-matikan jawapan pada pertanyaan dan persoalan yang bermain dalam kepala, kenapa soal kereta sebagai kenderaan rasmi anggota exco digembur-gemburkan.
Pada saya sama ada kereta yang dihasilkan dalam negara mahu pun yang diimport, ianya tetap akan berdepan dengan masalah penyelengaraan di samping yang pasti setiap kenderaan tidak akan perfect, akan ada kelebihan dan kekurangannya kerana yang menciptanya adalah manusia.
Pun begitu seburuk mana dan sebesar mana pun masalah yang terpaksa dihadapi dengan menjadikan kereta hasil keluaran Negara ia sepatutnya diutamakan sebagai kereta rasmi sebagai tanda bahawa kita berbangga dengan hasil keluaran Negara.
Kalau pun kos penyelenggaraan kereta keluaran dalam negara yang digunakan sebagai kereta rasmi agak tinggi, namun wang negara yang merupakan wang rakyat yang dibelanjakan itu akhirnya akan datng kepada rakyat kerana setiap sen yang dibelanjakan akan mengalir dan cair dalam negara.
Tetapi jika ditukar daripada kereta keluaran tempatan kepada kereta import walaupun harga keretanya dan kos penyelenggarannya lebih murah, namun wang negara yang merupakan wang rakyat akan mengalir keluar dan rakyat serta negara tidak mendapat faedah.
Dari sudut moralnya, apabila kita ada kereta sendiri tetapi kita rasmi yang digunakan adalah yang diimport, mahu-mahu kerja dan usaha bagi memasarkan kereta keluaran Negara ke pasaran global tentulah akan menghadapi kesukaran dan akan berdepan dengan masalah krisis keyakinan bakal pembeli di pasaran global, juga pasaran dalam negara.
Macam mana kita boleh jual ubat kurap yang kita hasillan yang kononnya sangat mustajab kalau untuk mengubati kurap kita sendiri kita terpaksa membeli ubat yang dihasilkan oleh lain. Demikian jugalah halnya dengan kereta keluaran dalam negara, macam mana orang akan beli kereta keluaran negara kita kalau kereta-kereta rasmi yang digunakan di negara ini adalah kereta import.
Kepada saya, sebarang cadangan, keputusan atau tindakan untuk menukarkan kereta rasmi dari Proton Perdana V6 Executitive kepada kereta import tanpa mengira apa jenamanya lebih bersifat sabotaj dan suatu tindakan bertujuan secara langsung dan tidak langsung memperlekeh serta mengaibkan keupayaan penghasilan kereta negara.
Di samping itu apabila soal kereta rasmi anggota exco diperisukan, rakyat akan melihat bahawa keselesaan kepada exco dan pegawai kanan kerajaan lebih dipentingkan dari isu-isu yang memasalahkan rakyat dan memerlukan respon, tindakan, pembelaan serta tindakan segera dan berkesan.
Kalau soal penyelengaraan kereta menjadi masalah besar dan cadangan menukarkan kereta keluaran dalam negara kepada kereta import kononnya mahu kurangkan penggunaan wang kerajaan, kenapa anggota exco tidak berkorban dengan membuat pemotongan gaji RM1,000 sebulan umpamanya untuk diisi dalam tabung penyelenggaraan kenderaan.
Elaun exco dan menteri besar sendiri bukannya kecil, malah sebilangan besar exco sebelum jadi exco tidak pernah memperolehi pendapatan sebesar elaun exco. Dengan membuat potongan RM1,000 daripada elaun exco tentulah tidak akan menjejaskan perbelanjaan dapur kalau gaya hidup kekal pada takuk lama. Rakyat pun akan bangga kalau ada exco yang berbuat demikian.
Dalam pada itu pada saya, menteri-menteri besar sepatutnya lebih utamakan isu-isu yang berkepentingan rakyat, bukannya insu-isu yang berkepentingan untuk keselesaan exco yang menikmati takuk dan takah hidup yang seribu kali lebih baik dari sebelum menjadi exco. Harus diingat bahawa sama ada exco atau wakil-wakil rakyat akan sentiasa dalam perhatian, penilaian dan penghakiman rakyat yang akan menjatuhkan hukuman dalam tempoh lima tahun sekali
Misalnya masalah kawasan yang sebelumnya tidak pernah banjir, kini menjadi mudah banjir, kesempurnaan bekalan air, pengurangan bebanan pembayaran cukai dan hal-hal lain yang membabitkan rakyat secara langsung yang mana ianya melalui pelbagai proses mesyuarat, pelan cadangan dan sebagainya tetapi tidak pernah selesai kena diberi perhatian dan diselesaikan dengan cepat dan berkesan.
Sebenarnya yang rakyat mahu tahu, malah yang diharapkan ialah kerajaan yang terbentuk hasil mandat yang diberikan sentiasa bertambah baik dan menjadi lebih baik dari masa-masa lalu, terutama di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan juga Kelantan.
Rakyat mahu lihat dan menikmati realitinya ialah apa lebihnya, apa istimewanya, apa labanya, apa hebatnya dan seribu satu macam faedah yang rakyat dapat berbanding dengan tindakan mereka member mandate kepada kerajaan sebelumnya.
Perdana menteri, menteri besar/ketua menteri, timbalan menteri, exco, pegawai kerajaan naik guna kereta keluaran dalam Negara mahu pun yang diimport mereka tidak pernah ambil peduli, lebih-lebih lagi jika perkhidmatan yang dinikmati menjadikan mereka berpuashati
.

No comments: