Wednesday, December 17, 2008

MUNCUL KEMBALI (122)



Redakan ketegangan kaum, Pak Lah mampu tanganinya

HARIMAU mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa untuk dikenang, malah akan ditintakan sebagai rekod sejarah dan replika bakti abadi.
Harimau dikatan mati meninggalkan belang sebagai tanda kegarangannya, gajah mati meninggalkan timbunan tulang bukti kegagahan dan kekuatannya manakala manusia meninggalkan nama dan jasa bakti bukan sahaja untuk dinilai oleh sesama manusia tetapi akan dibayar dengan ganjaran oleh Allah Maha Pencipta.
Atas kesedaran dan paksi itulah agaknya, maka Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berjanji tidak akan lari dari tanggungjawab bagi jawatan yang disandang hingga ke saat-saat akhir keberundurannya menegaskan misi terakhirnya adalah untuk meredakan ketegangan kaum dan agama di negara pelbagai etnik ini.
Hanya tinggal sekitar kira-kira tiga bulan sahaja lagi untuknya menyempurnakan misinya itu kerana beliau sendiri menegaskan akan bersara pada penghujung bulan Mac tahun depan, selang beberapa hari setelah selesainya Perhimpunan Agung Umno.
Walaupun masanya agak singkat, namun saya yakin, malah saya percaya majoriti rakyat negara ini yakin Pak Lah yang mengajak semua pihak bekerja bersamanya dan bukan bekerja untuknya sebagai teras perkhidmatannya, mampu merealitikan apa yang diimpikannya itu yang pasti menjadi antara agendanya seawal beliau menduduki kerusi perdana menteri.
Keyakinan terhadap keupayaannya itu adalah bersandarkan kepada ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara dalam keadaan celaru pada waktu itu, terutama suasana dalam Umno sebagai parti teras kepada Barisan Nasional (BN) dan parti-parti dalam BN agak goyah sehingga harapan untuk mengekalkan kerajaan dikatakan sangat tipis.
Namun terbukti beliau mampu mengembalikan kekuatan dengan meraih kejayaan cemerlang, gemilang dan terbilang pada pilihanraya umum ke-11, menjadikan kerajaan, Umno dan BN kembali ke zon selesa dengan pihak pembangkang pula seakan kehilangan punca.
Beliau juga masih mampu bertahan miskin pun gagal mengekalkan majoriti 2/3 pada pilihanraua umum ke-12 sedangkan beliau menghadapi pilihanraya itu dengan menerima tekanan dan sabotaj dari dalam, termasuk dalam Umno sendiri dengan agak kronik.
Kejayaan terbaru beliau ialah melepasi halangan dalam mendapatkan kelulusan parlimen bagi pembentangan Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah (SPRM) 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya (SPK) 2008.
Keraguan tentang kemustahilan untuk mendapatkan kelulusan bagi kedua-dua rang undang-undang itu bukan sahaja datang dari pihak pembangkang yang mempunyai kekuatan 70 anggota di parlimen tetapi juga datang dari kalangan pemimpin BN sendiri.
Terbukti Abdullah mampu melepasi halangan dan menolak tanggapan, andaian dan persepsi negatif yang disifatkannya sebagai suatu yang agak mengecewakannya kerana banyak pihak lebih melihat pembaharuan yang mahu dibuatnya dari sudut negatif berbanding dengan sudut positif tentang apa yang tersirat dan terhasrat.
Sehubungan dengan itu. bagi saya, bukan seperkara yang mustahil atau bersifat mimpi yang tidak mungkin menjadi realiti atau angan-angan mat jenin dengan misi Pak Lah untuk menjayakan agenda terakhirnya sebelum bersara yakni meredakan ketegangan kaum dan agama di negara ini yang jika tidak dileraikan kekusutannya boleh mendatangkan bencana dan petaka kepada rakyat dan negara.
Sebagai menghormati kesediaannya untuk bersara awal kerana ada pihak yang mahu, malah semacam mendesak beliau berbuat demikian walaupun beliau masih gagah dan timbalannya pun masih boleh terus bergandingan dengannya, Pak Lah patut diberi keyakinan, dipermudah-cara dan patut diberi sokongan moral dalam menjayakan misinya itu.
Dengan itu mungkin beliau nantinya sebagai pesara perdana menteri kelima bagi negara ini akan turut mendapat gelaran sebagaimana Almahrum Tunku Abdul Rahman Petra Alhaj mendapat gelaran 'Bapa Kemerdekaan'., Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (Bapak Pembangunan), Allahyarham Tun Hussein Onn (Bapak Perpaduan) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Bapa Kemajuan/Komdenan).
Pak Lah barangkali nanti akan diberi gelaran BAPA KEHARMONIAN ETNIK apabila misi meredakan ketegangan kaum dan agama di negara ini menjadi berjaya direalitikannya

No comments: