Friday, April 17, 2009

MUNCUL KEMBALI (145)

Orang politik kena berpolitik secara terbuka dan professional

ADA orang yang mendakwa orang kuat Umno Kelantan telefon saya dan bertanya betul ke orang Pas anggap Pas itu Islam dan Islam itu Pas dan menentang Pas dianggap menentang Islam. Katanya sukar untuk dipercayai kerana dalam Pas kebanyakan pimpinannya berimejkan ulamak, paling tidak pun rata-rata menonjolkan watak ustaz.
Pertanyaan itu diajukan kononnya selepas membaca posting blog saya item MUNCUL KEMBALI (142)dibawah judul 'Pas jangan bermain api'. Baginya pimpinan tak 'kanlah tidak boleh bezakan antara nilai Pas dan Islam, malah umur kelahiran Pas dengan Islam itu sendiri tentu mereka boleh bezakan.
Saya bertanya pernahkah beliau pergi ke majlis-majlis ceramah Pas, atau paling tidak pun ke kuliah Dato' Haji Nik Aziz Nik Mat di Jalan dato' Pati setiap pagi Jumaat?
Jawabnya 'tak pernah'.
Maka tak hairanlah kalau beliau ragui dan susah nak percaya dengan apa yang saya tuliskan. Saya mencadangkan supaya beliau hadiri majlis ceramah Pas untuk kenal dengan erti kata sebenar apa itu Pas dan saya rasa orang Pas juga jangan takut untuk hadiri ceramah-ceramah politik Umno untuk memberi peluang mereka kenali apa itu Umno.
Pada saya sekarang apa yang berlaku sama di kalangan orang Pas atau orang Umno masing-masig takutkan lawan macam takutkan hantu walhal mereka tidak pernah tengok pun wajah hatu tu macam mana-mana selain dari mengkhayalkannya kerana ada pihak yang membuat khayalan tentang buruk dan menakutaknnya wajah hantu, mambang, pocong, polong, hantu raya, hala dan macam-macam lagi.
Mereka patut bebaskan pemikiran dari ditawan dan dijajah khayalan. masing-masing kena dekati lawan masing-masing untuk kenali sendiri, bukannya berdasarkan apa yang disyarah dan diceramah tentang apa itu Pas atau apa itu Umno oleh kalangan pemimpin yang pasti ada kepentingan sebagai pimpinan yang memerlukan pertambahan bilangan penyokong supaya parti kekal mantap dan menjadi lebih mantap.
Dengan cara itu orang politik akan lebih terbuka pemikiran dan tidak akan anggap hanya parti sendiri sahaja yang molek, parti lain tak molek belaka. Dengan cara itu juga tidak akan timbul kebencian melampau orang Pas terhadap Umno dan orang Umno terhadap Pas. Saya hanya sebut dua parti ini kerana bagi saya hanya Pas dan Umno sahaja yang boleh dijadikan tempat pergantungan orang Melayu beragama Islam. PKR lebih bersifat parti caca marba.
Sebagai pengamal media saya barangkali benasib baik kerana berpeluang hadiri pada semua majlis ceramah politik., sama ada parti politik orang Melayu, parti politi orang Cina, India dan sebagainya menjadikan saya tidak mudah digula-gulakan supaya mudah terpedaya dengan dakwaan kehebatan mana-mana parti politik pun.
Bukan sahaja terhadap parti-parti politik tetapi tanggapan saya terhadap orang PKM (Parti Komunis Malaya) misalnya berbeza dengan tanggapan semua orang kerana saya acap kali berjumpa dan menggauli mereka serta melihat sendiri realiti kehidupan mereka.
Saya berkesempatan berjumpa secara berdepan dan mendengar sendiri buah fikiran Pengerusi PKM, Haji Abdullah CD dan Ahli Majlis Kerja Pusat PKM seperti Haji Rashid Maidin (kini Allahyarham), Haji Abu Samah Mohd. Kassim, Hajah Suriani (atau nama asalnya Eng Min, isteri Haji Abdullah CD) dan lain-lain, menjadikan tanggapan awal saya terhadap PKM sebelumnya, yakni sebelum rapati mereka. kini jauh berubah selepas saya rapati mereka.
Ramai yang beranggapan anggota PKM menganut fahaman tidak bertuhan tetapi saya sendiri dengar dan lihat macam mana Haji Abdullah CD atau pun Haji Rashid Maidin memberi kuliah agama di masjid tempat penempatan mereka di Selatan Thai sama ada di Shukhirin mahu pun di Yala, Selatan Thai. Di perkampungan penempatan mereka ada masjid dan bahasa pertuturan utamna mereka adalah Melayu walaupun perkampungan mereka di sebelah Thailand,
Hakikatnya Abdullah CD dan Rashid Maidin selaku pimpinan PKM beristerikan wanita Cina yang memeluk Islam. Kita yang di luar hutan ni dah berapa orang bukan Islam yang telah kita Islamkan? Malah para pengkuliah agama dan pendakwah sepenuh masa yang mampu hidup mewah kerana bayaran saguhati ceramah, dah berjaya Islamkan berapa ramai orang bukan Islam sepanjang menajalankan kerja-kerja dakwah mereka?
Kerana kita tidak pernah jumpa dan bercakap secara terus dengan anggota PKM berbangsa Melayu beragama Islam yang menganggotai Rejimen Ke-10 PKM, maka kita anggap semua anggota PKM adalah menganut fahaman tidak bertuhan walhal rata-rata keanggotaannya terdiri dari kalangan ustaz dan ustazah yang sebenarnya terpaksa masuk hutan kerana diburu oleh British gara-gara mereka terlibat dalam kepimpinan gerakan menuntut kemerdekaan negara.
Hakikatnya juga keganasan dan kekejaman anggota PKM yang tercatat dalam buku sejarah mahu pun apa yang difilem dan didramakan sebenarnya berdasarkan versi sejarah penjajah yang mana penulis skrip filem atau drama sebenarnya tidak pernah mendapatkan cerita sebenar dari tokoh-tokoh seperti Haji Abdullah CD, Haji Rashid Maidin, Haji Abu Samah Mohd. Kasim, Hajah Suriani mahu pun dengan Setiausaha Agung PKM, Cheng Ping atau di Temerloh beliau pernah dikenali dengan nama Haji Ali dan boleh menulis dan membaca jawi dengan baik.
Justeru itu, untuk mengelak dari berkesinambungan berpolitik secara fanatik dan mengelak dari berterusannyn permusuhan macam anjing dengan kucing di kalangan pendukung dan penyokong parti-parti politik, maka ada eloknya jika amalan orang Pas ikut sama dalam ceramah-ceramah pimpinan Umno dan orang Umno pula ikut sama dalam ceramah-ceramah pimpinan Pas patut jadi amalan lazim supaya masing-masing lebih berfikiran terbuka dan profesional dalam berpolitik, malah ketahanan anutan parti politik akan lebih kental.
Percayalah orang yang tidak pernah miskin tidak ada akan dapat memberi penilaian dengan tepat tentang erti kemiskinan, orang yang tidak pernah sakit tidak akan tahu tentang derita kesakitan kalau tidak pernah rasa sakit atau mendampingi orang sakit. Orang Umno tidak akan kenal dengan erti kata sebenar apa itu Pas dan orang Pas tidak akan tahu dengan erti kata sebenar apa itu Umno kalau tidak dampingi sendiri.
Saya sendiri tidak akan kenal apa itu Pas, apatah itu kerajaan Pas Kelantan kalau tidak berada di dalamnya kira-kira lapan tahun, juga kalau saya masuk ke dalamnya tanpa biasa terdedah dengan apa itu Umno dan parti-parti lain yang digauli dan didampingi sebelumnya.

1 comment:

Pengikut Setia Tulisan Meli said...

Nada tulisan Meli sekitar tahun 1990-an, ketika itu beliau belum lagi bekerja dengan Urusetia Penerangan Keajaan Negeri Kelantan

Tulisan ini dipetik dari website Detikdaily


MENGAPA SAUDARA AHMAD LUTFI DIPILIH MEMACU AL-WASILAH?


Oleh
RAMLI ABDUL HALIM
Ketua Pengarang Kumpulan MELI INFOMEDIA

SEBENARNYA ramai rakan yang marah-marahkan saya bila saya memilih Sdra Ahmad Lutfi Othman sebagai Pengarang bagi memacu AL-WASILAH, majalah remaja berlandaskan bayangan Islam yang permitnya dikeluarkan atas nama syarikat milik saya, Meli Infomedia.

Pelbagai ramalan dan andaian dibuat tentang nasib AL-WASILAH bila ianya ditangani oleh Sdra Ahmad Lutfi yang ditangannya majalah DETIK menemui ajal: bukan kerana masalah pasaran sebagaimana yang dihadapi oleh kebanyakan majalah yang diterbitkan oleh pelbagai syarikat dengan pelbagai tujuan tetapi kerana DETIK dibunuh oleh kalangan yang 'over-bodek' Mahathir, Dollah Badawi dan spesis-spesis yang serupa dengannya di Unit Penerbitan KDN.

Tetapi saya anggap segala ramalan dan andaian tentang masa depan AL-WASILAH akan kelam dan gelap bila ditangani Saudara Ahmad Lutfi sebagai tidak relevan memandangkan pada hemat saya beliau seorang yang ada nilai komersial di samping Unit Penerbitan KDN tentulah tidak akan sewenang-wenang membatalkan permit yang bererti membunuh sesebuah perniagaan jika isi kandungan majalah yang diterbitkan tidak melanggar peraturan. Antaranya tidak menyiarkan gambar-gambar lucah, tidak menyiarkan laporan berunsur fitnah dan sebagainya.

Tetapi anggapan saya ternyata meleset dan andaian demi andaian yang dibuat oleh rakan-rakan yang benar, AL-WASILAH yang pasarannya agak menyeronokkan dengan isi kandungannya langsung tidak melanggar peraturan masih menghadapi masa depan yang tidak menentu apabila pihak Unitb Kawalan Penerbitan KDN tidak memberi sebarang response terhadap permohonan permitnya yang tamat pada 30hb Ogos, 2000 lepas. Mulanya seorang pegawai unit berkenaan menelefon saya kononnya seorang pegawai meminta saya menelefon beliau dan mahu saya ke Unit Kawalan Penerbitan KDN bagi berbincang tentang AL-WASILAH.

Bila saya panggil (untuk dapat bercakap dengan pegawai berkenaan bukan main susah kerana telefon tidak diangkat ) dan berpeluang bercakap, dengan nada keras pegawai berkenaan menafikan yang beliau mahu berjumpa dengan saya dan menganggap pegawai seorang lagi itu sengaja mahu mencemarkan imejnya. Kononnya masalah permit AL-WASILAH masih dalam pertimbangan Menteri Dalam Negeri di samping menjelaskan bahawa isi kandungannya tidak ada masalah.

Oleh kerana saya pun orang tua (barangkali lebih tua usia dan pengalaman kerana saya bertemu dengan pelbagai jenis orang kira-kira 20 tahun sebagai orang media) , saya sedar saya cuba diperbudak-budakkan oleh pegawai-pegawai Unit Kawalan Penerbitan KDN, mereka cuba bermain susup punca dengan saya, barangkali kerana saya berada ratusan kilometer dari Kuala Lumpur dan kemampuan akal saya untuk memahami selok-belok sandiwara orang Kuala Lumpur tidak sebangat orang Kuala Lumpur memahaminya.

Sebaik sahaja surat penyambungan permit ANEKA PERISTIWA yang sama tarikh matinya dengan AL-WASILAH saya terima, maka saya mula menggambarkan betapa penyakit dan penganiayaan yang diterima oleh DETIK akan berulang kepada AL-WASILAH, bererti unit Kawalan Penerbitan KDN sekali lagi cuba menambah bilangan pembaca majalah yang membenci kerajaan kerana sikap Unit Kawalan Penerbitan itu mencerminkan sikap kerajaan walaupun barangkali Mahathir selaku ketua kerajaan yang dibenci oleh sebilangan besar rakyat Malaysia tidak pun mengarahkan Unit Kwalan Penerbitan KDN berbuat demikian.

Ratusan ribu pembaca DETIK menyimpan kebencian kepada kerajaan (barangkali bukan kerana kesalahan kerajaan atau kesalahan Mahathir sebagai Perdana Menteri) tetapi kerana sikap 'over-bodek' pegawai-pegawai di Unit Kawalan Penerbitan KDN (tidak mustahil tujuannya untuk mensabotaj kerajaan dan Mahathir secara tidak langsung) dan bahananya UMNO mengalami kemerosotan undi paling buruk dalam sejarah politik negara pada pilihanraya umum lepas. Kini pembaca AL-WASILAH pula menyimpan benci kepada kerajaan dan sudah pasti pada pilihanraya akan datang mereka bukan sahaja tidak akan mengundi Umno tetapi melihat lambang Umno/BN pun mereka akan naik dugal.

Apakah berbaloi bagi Umno dan kerajaan pimpinan Mahathir membiarkan pegawai-pegawai di Unit Kawalan Penerbitan KDN (yang mungkin dengan restu menterinya yang tidak mustahil ada matlamat dan perancangannya tersendiri) mematikan permit penerbitan sebuah majalah seperti DETIK dan AL-WASILAH yang sekaligus bererti menutup periuk nasi penerbit dan kakitangan yang terbabit dalam penerbitannya.

Kalau pegawai-pegawai Unit Kawalan Penerbitan KDN mengamalkan sikap rasional dalam menyempurnakan tugasnya, barangkali dalam benci-benci pun terhadap kerajaan akan ada juga sayang dan rasa hormat sekali-sekala, akan ada rasa terhutang budinya. Oleh kerana Unit Kawalan Penerbitan KDN adalah sebahagian dari organ kerajaan, maka segala tindak-tanduk dan sikapnya akan turut mempaliti sama imej kerajaan, sekaligus imej Mahathir sebagai Perdana Menteri, apatah lagi Dollah Badawi sebagai Menteri dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri. Saya yakin dengan sikap Unit Kawalan Penerbitan sekarang, celaka demi celaka dalam jangka pendek dan jangka panjang akan menimpa kalangan yang mengAJALkan DETIK dan AL-WASILAH (AL-WASILAH kini statusnya belum pasti kerana belum ada hitam putih diterima dari Unit Kawalan Penerbitan KDN) serta majalah-majalah yang serupa dengannya dengan majalah-majalah yang isi kandungannya terang-terang bercanggah dengan moral Islam dan budaya Timur terus diberi nafas dan membanjiri pasaran, sekaligus membantu melekakan pembaca dari mengingati Allah.

Malaysia kini sebenarnya sedang mula ditimpa celaka apabila berlaku kes-kes yang tidak pernah difikirkan akan menimpa negara ini oleh rakyat (samada yang beriman atau yang mungkar) akan berlaku seperti ribut lumpur di Sabah, kes kondoominium runtuh, krisis ekonomi, kemeruduman nilai ringgit, kes penculikan di pulau-pulau di Sabah, kes rompakan senjata di Sauk dan macam-macam kes lagi.

Kes-kes itu berlaku jika dilihat dengan mata iman merupakan antara amaran Allah S.W.T. kepada manusia yang diberikan kuasa dan kedudukan supaya tidak terus menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang sudah pasti tidak akan berupaya melawan kekuasaan Allah.

Kalau kondominium di Ulu Kelang boleh ranap, tidak mustahil kerana terlalu kejam, kerana titisan airmata dan kerana kehancuran hati dan perasaan pembaca DETIK dan AL-WASILAH serta majalah-majalah seumpamanya yang 'dimampuskan' oleh Unit Kawalan Penerbitan KDN, bangunan AMDB tempat Unit Kawalan Penerbitan KDN menempatkan pegawai-pegawai yang sengaja membunuh majalah-majalah yang isi kandungannya lebih terfokus kepada unsur-unsur keIslaman dan membiarkan majalah-majalah yang sarat dengan unsur-unsur mungkar tidak diusik, akan runtuh dan lebuh dengan izin Allah.

Malah, jika Allah S.W.T. cuba dicabar dan segala bentuk usaha untuk mengembangkan syiar Islam cuba digugat dan dikhianati, hanya dengan tiupan angin yang perlahan pun, bangunan-bangunan di Putra Jaya boleh berterbangan seperti kapas sebgaimana Firaun menemui ajal hanya kerana seekor nyamuk masuk ke lubang hidungnya.

Rakan saya yang pro-Umno menganggap response awal saya terhadap marah-marahnya terhadap saya sebagai luahan rasa seorang yang kecewa dan seakan mahu meletakkan kesalahan sendiri ke atas pundak orang lain apabila saya berhujjah bahawa setiap niat dan tindakan jahat akan dilaknati Allah, termasuklah niat dan pengkhianatan terhadap AL-WASILAH.

Bagi rakan saya itu, yang bersalah dalam kes AL-WASILAH ialah saya sendiri kerana memilih Sdra.Ahmad Lutfi sebagai pengarang walhal masih ramai lagi tenaga yang boleh digunakan selain dari Sdra Ahmad Lutfi untuk memacu AL-WASILAH, sebuah nama yang cukup sedap disebut, manis didengar.

Kenapa rakan saya itu begitu memandang negatif terhadap Sdra Ahmad Lutfi saya pun tidak tahu. Malah ketika paling akhir saya menghubungi pegawai berkenaan di Unit Kawalan Penerbitan KDN pun, faktor AL-WASILAH belum ditentukan statusnya hingga ke saat tulisan ini ditulis pun adalah kerana Sdra Ahmad Lutfi menjadi pengarangnya.

Ketika awal-awal dulu, saya diberitahu AL-WASILAH mengahadapi masalah kerana dalam terbitan sulung mass-head bagi AL-WASILAH hanya ditulis WASILAH sahaja sedangkan sepatutnya ia ditulis AL-WASILAH sebagaimana yang tercatat dalam permit. Surat jawapan sudah dibuat tentang kesilapan teknikal itu dan permohonan maaf terbuka dibuat melalui AL-WASILAH.

Saya juga cuba merujuk kepada temuramah majalah TAMADUN dengan Ketua Unit Penerbitan KDN, Tengku Mahmood tengku Ismail yang menegaskan pengharaman DETIK bukan kerana Sdra Ahmad Lutfi, malah Sdra Ahmad Lutfi tidak disenaraihitamkan pun. Beliau boleh mohon permit jika berminat dan pihaknya akan mempertimbangkan. Kalau permit boleh dipohon tentulah tidak salah jika saya menggunakan khidmatnya sebagai Pengarang dan saya bertindak sebagai Ketua Pengarang.

Bagaimanapun saya diberitahu, permohonan Sdra Ahmad Lutfi untuk dapatkan permit telah ditolak dan bila saya bertanya seorang pegawai di Unit Penerbitan KDN tentang masalah sebenar yang dihadapi AL-WASILAH, pegawai berkenaan menjelaskan pihak Unit Kwalan Penerbitan KDN 'tak leh gi dengan Lutfi', yakni Ahmad Lutfi merupakan individu yang sangat tidak disenangi oleh pegawai-pegawai di Unit Penerbitan KDN, malah oleh Menteri Dalam Negeri iaitu Dollah Badawi.

Saya ketawa dalam hati kerana alangkah aibnya dan'gon'nya sebuah jabatan dan juga seorang Menteri merangkap Timbalan Perdana Menteri yang sanggup berbalah dengan seorang individu. Bagi saya pegawai-pegawai, Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sedemikian tidak ada kelayakan langsung untuk berada ditempat masing-masing seperti sekarang kerana sanggup menyalahgunakan jabatan, kedudukan dan kuasa untuk bermusuhan dengan seorang manusia bernama Sdra Ahmad Lutfi Othman.

Kalau mereka terus berada di tempat masing-masing, imej kerajaan yang sudah tercemar akan dilihat sudahlah tercemar tetapi turut bersalut najis kerana sikap dan tindak-tanduk mereka akan dilihat mewakili kerajaan dan umum akan melihat ianya adalah pendirian kerajaan. Akhirnya imej ketua kerajaan yakni Dr Mahathir selaku Perdana Menteri akan tercemar dan dibenci umum.

Jika pada masa ini dan pada masa-masa akan datang jumlah rakyat negara ini yang melihat imej Dr mahathir dan kerajaan pimpinannya cemar serta jumlah kalangan yang membenci dan enggan memberi sokongan kepada kerajaan yang ada bilangannya makin bertambah, maka yang mesti dipertanggungjawabkan adalah jabatan dan pegawai-pegawai di Unit Penerbitan KDN dan menteri seperti Dollah Badawi kerana ekoran dari tindak-tanduk mereka menyebabkan timbul rasa benci dan meluat rakyat.

Soal dan tanda tanya yang sukar untuk saya jawab ialah kenapa Sdra Ahmad Lutfi menjadi musuh yang sangat diseterui oleh Unit Kawalan PenerbitanKDN dan Dollah Badawi? Sedangkan untuk tujuan komersial Sdra Ahmad Lutfi Othman 'sangat boleh gi', beliau antara aset yang mampu mengetatkan kocek mana-mana penerbit majalah yang menggunakan khidmatnya. Kalau disamakan dengan artis di Malaysia, Sdra Ahmad Lutfi sekarang ini dari segi nilai komersialnya samalah seperti Siti Nurhaliza, semua sentuhannya menjadi.

Selain dari mengunakan Sdra Ahmad Lutfi sebagai pengarang AL-WASILAH, saya gunakan pengarang lain untuk sebuah lagi majalah saya iaitu ANEKA PERISTIWA. Walaupun kertas yang digunakan elok dan kebanyakan mukasuratnya dalam bentuk full colour serta pengarangnya pula seorang tokoh wartawan besar, namun aneka peristiwa tidak mampu pikat hati pembaca, malah keadaannya sangat nazak, setakat ini belum lagi diketemui ubat mustajab bagi memulihkannya.

Sebagai seorang peniaga, saya juga sama dengan peniaga-peniaga lain termasuk Mirzan Mahathir dan sebagainya; keuntungan sangat perlu. Tanpa untung dengan apa mahu digerakkan perniagaan. Untuk dapat untung, barang yang dijual mesti laku. Untuk laku pula, barangan yang hendak dijual mestilah memenuhi selera pembeli dan Sdra Ahmad Lutfi adalah antara daya penarik yang sangat melabakan.

Gila babilah kalau saya menjual kasut atau selipar kepada mereka yang kudung kaki dan empaty puluh kali 'gon'lah saya sebagai penerbit kalau melepaskan peluang untuk mengeksploitasi kesediaan seorang yang dikenalpasti mampu menarik minat pembaca untuk menjadi pengarang kepada AL-WASILAH kerana kalau guna khidmat individu yang tidak mampu menarik minat pembaca, sudah pasti andainya saya seorang penternak babi, bukan hanya babi yang kena jual tetapi dengan kandang-kandangnya sekali terpaksa dilelong bagi menanggung kos operasi.

Akhirnya nama saya pun tercatat dalam senarai usahawan Bumiputera yang gagal walhal yang menggagalkannya adalah pihak yang mendendami seseorang yang hidupnya sangat berprinsip dan tidadk rela hidungnya dicucuk. Kerana dendam kesumat, maka banyak periuk nasi ditabur pasir. Di Kelantan orang jenis ini dikategorikan sebagai ' BASO CIS!'.

Response saya selanjutnya terhadap kemarahan rakan saya itu ialah dengan menjelaskan bahawa saya sebenarnya amat bersyukur, berbangga, bergembira dan berbesar hati kerana Ahmad Lutfi sanggup memberi khidmat kepada AL-WASILAH, malah saya juga merasa banggabila satu ketika Suria Janib digembar-gemburkan akan memberi khidmat kepada ANEKA PERISTIWA.

Secara tulus saya memperakukan bahawa AL-WASILAH dan ANEKA PERISTIWA terlalu amat kecil jika dibandingkan dengan sdra Ahmad Lutfi dan Suria janib (Suria akhirnya tidak jadi menyertai ANEKA PERISTIWA) yang merupakan nama-nama besar dalam bidang kepengarangan/keeditoran dan penerbitan majalah pro-reformasi dan pro-evolusi, majalah yang sanggup membenarkan yang benar dan menidakkan yang bohong secara terus terang walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko dan kerenah. 'Kepada rakan saya itu saya menegaskan saya barangkali terlalu over advance dalam berfikir (barangkali lebih layak kalu dinamakan BERANGAN, dalam merancang dan melakukan sesuatu kerja. Kepada rakan saya itu juga saya jelaskan bahawa kalau sejak tahun 1982 lagi saya sudah kenali dan berpeluang berkongsi idea dan keringat dengan penulis/pengarang/wartawan macam Sdra Ahmad Lutfi dan Suria, sudahtentu suasana negara khususnya suasana politik dan ekonomi tidak akan seperti sekarang, tidak akan karut marut, kacau bilau dan tunggang langgang'. S

Saya sememamngnya dari awal-awal lagi membina identiti sebagai penulis/wartawan/pengarang/penerbit kecil yang menongkah arus, bencikan bodek dan ampu. Bagi saya media jenis menentang arus sama pentingnya dengan peranan pembangkang di Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri.

Peranannya bukan untuk mencari dan menonjolkan kelemahan pihak pemerintah atau mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan menegur, memberi pandangan bdan peringatan yang sangat dituntut oleh Islam sebenarnya supaya pimpinan kerajaan tidak hanyut di lautan bodek dan ampu media.

Saya mula menceburi bidang penulisan kreatif sejak tahun 1973, mula terjun dalam bidang kewartawanan sejak 1979 dan terbabit dalam bidang penerbitan sejak tahun 1982. Sdra Sayuti Omar antara penulis yang sangat tahu sejarah hidup dan pendirian hidup saya.

Pada saya, di Malaysia tidak ramai mereka yang dikurniakan bakat kepengarangan oleh Allah selepas merdeka yang sanggup mengenepikan soal jaminan periuk nasi demi mengamalkan kebebasan menulis yang bersih dari kepompong bodek dan ampu.

Saya yang sering melompat dari satu media ke media yang lain dan akhirnya mengambil keputusan bersara dari dunia kewartawanan pada tahun 1996 sebenarnya amat kesunyian dan terasing kerana kekurangan rakan sealiran sejak tahun 1979 lagi dalam memperjuangkan kebebasan menulis, kebebasan untuk berkata benar bagi yang benar dan menyanggah segala pembohongan walaupun kerananya peluang untuk hidup dalam keadaan serba mudah menjadi amat payah.

Semasa menjadi Ketua biro di Kelantan bagi sebuah akhbar harian umpamanya, saya tidak pernah akur kepada kehendak HQ yang mahu disediakan laporan bodek dan ampu. Sehingga ada seorang Setiausaha Akhbar kepada seorang Menteri sanggup bertumah diHQ pada sebelah petang bertujuan menyemak laporan-laporan dari Kelantan bagi menentukan supaya laporan dari Kelantan yang tidak menguntungkan bossnya tidak akan disiarkan. Kerananya berlaku pergeseran pendapat dan pendirian antara saya dan pihak HQ termasuk dalam bentuk pertengkaran dan maki-memaki melalui telefon dan memo. Saya tetap dengan pendirian supaya setiap laporan yang dihantar ke HQ daripada biro Kelantan mestilah disiarkan dalam bentuk asalnya.

Jika ada suntingan yang menyebabkan bentuk sebenar laporan yang dihantar hilang maksudnya atau sesuatu laporan yang dihantar sengaja tidak disiarkan kerana dibimbangi menyinggung pihak yang patut dibodek dan diampu, maka pihak HQ bolehlah memilih orang lain serta merta untuk mengetuai biro di Kelantan dan saya tidak berminat untuk menjadi tukang bodek dan tukang ampu mana-mana pihak pun. Dari jadi pembodek dan pengampu, saya lebih rela jadi penganggur.

Entah kerana rekod penjualan yang baik di Kelantan atau kerana sebab-sebab lain, akhbar berkenaan mengambil langkah ikut apa yang saya syaratkan dan jumlah jualan akhbar berkenaan di Kelantan menduduki tempat kedua banyaknya selepas Lembah Klang.

Oleh kerana rentak biro Kelantan digunapakai, akibatnya momo sering dihantar oleh Umno-Umno bahagian di Kelantan ke HQ supaya saya dipecat dan nama-nama bahgian yang menghantar memo semuanya dimaklumkan oleh pihak HQ kepada saya.

Dalam tempoh kurang dari dua tahun berkhidmat dengan akhbar berkenaan, tidak kurang dari lapan saman dibuat terhadap saya dan akhbar berkenaan termasuk oleh Ibrahim Ali, Kelantan Waters sdn Bhd dan beberapa pihak lagi yang mana sampai sekarang pun kes-kes berkenaan belum selesai.

Bagaimanapun prinsip saya tetap tidak berubah sehingga sekarang dan Insya Allah tidakakan berubah sehingga akhir hayat. Rakan-rakan menganggap saya sengaja mencari susah dan padah.


Kepada anak isteri saya sering katakan bahawa menangislah puas-puas untuk menanggung derita dan sengsara kerana suami dan abah tidak ada kerja di dunia yang sementara sifatnya ini untuk nanti kita semua akan riang dan selesa di akhirat yang abadi sifatnya.

Semasa saya mengambil keputusan meletak jawatan sebagai ketua biro kerana enggan ditukarkan ke HQ pada tahun 1996, ada keluarga terdekat menganggap saya sudah gila kerana menolak kesenangan dan keselesaan hidup.

Maklumlah dari berkereta saya terpaksa berjalan kaki atas nama penganggur tua, dari mudah menghulur pinjaman duit kepada yang memerlu, saya akhirnya menjadi peminjam yang sukar membayar balik pinjaman untuk beli barang keperluan harian keluarga tetapi segala-segalanya bersifat sementara apabila ada pihak yang datang tawarkan kerja.

Perjalanan hidup saya memang begitu sifatnya. Dulu ketika saya mengambil keputusan berhenti dari Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) dan membuka syarikat penerbitan (MELI MEDIAPLUS & PUBLISHING) yang mengendalikan penerbitan dan pengedaran majalah bulanan SARI PERISTIWA, DEWI JELITA dan MEDIA PELAJAR serta MINGGUAN SRI TIMUR (permitnya tidak boleh disambung) bersama Sdra Ahmad Abdul Latiff (kini wakil Majalah GATRA bagi malaysia dan pada waktu itu adalah wakil Majalah TEMPO) dan beberapa orang lain termasuk Sdra Ali Sulong (kini Allahyarham), saya ditawarkan jawatan sebagai ketua biro kepada sebuah akhbar harian dan didesak oleh ketua pengarangnya supaya permintaannya serta harapannya jangan dihampakan demi atas nama persahabatan.

Akibatnya operasi majalah-majalah berkenaan dihentikan kerana tidak ada tenaga kerja yang sanggup mengambil risiko kerana saya mahukan majalah-majalah berkenaan diteruskan dengan konsep mesti berkata benar walaupun pahit, jangan jadi tukang bodek dan tukang ampu.

Semasa menerbitkan majalah-majalah berkenaan kerjanya bukan mudah kerana dari pengumpulan bahan, penyuntingan dan layout serta edarannya ke seluruh negara dibuat sendiri. Dalam van semasa dalam perjalanan mengedar nmajalah akan di ambil masa menulis dan menyunting isi kandungan majalah dan akan dihantar ke pejabat melalui telefon awam untuk di type setting.

Pada bulan pertama operasi yang modalnya cuma RM28 (Ringgit Dua Puluh Lapan sahaja), sarapan pagi, makan tengahari dan malam (kami jabatan pengarang kerja 24 jam) adalah yang dimasak oleh isteri dan dibawa dari rumah.

Kami bekerja dalam keadaan segala kemudahan yang sangat minima. Bilik pejabat pula sempit tanpa alat penghawa dingin dan kami terpaksa bekerja dalam keadaan tidak berbaju, malah bila kerani wanita sudah pulang kerana sudah lepas waktu pejabat, kami bertiga (sidang pengarang) hanya berseluar dalam kerana tidak tahan panas.

Segala rasa kecewa kerana kegagalan masa lalu (atas kematian SARI PERISTIWA, DEWI JELITA dan MEDIA PELAJAR) kini digantung sepenuhnya kepada AL-WASILAH dan ANEKA PERISTIWA sebagai penawar.

Saya juga rasa cukup bangga dan megah ekoran kemunculan Sdra Ahmad Lutfi dan suria janib serta geng mereka disekitar tahun 1990an walaupun akhir-akhir ini pelbagai ancaman dan tekanan diterima , mereka nampaknya tidak pernah berganjak dari prinsip yang dipegang.

Sdra Ahmad Lutfi kini sedang dan akan terus memberi nafas kepada AL-WASILAH ( jika permitnya disambung), mudah-mudahan uria janib pula akan memberi nafas kepada ANEKA PERISTIWA atau salah satu daripada majalah-majalah yang kelulusan permitnya dari Unit Penerbitan KDN sedang saya tunggu..

Saya angkat tabik kepada Sdra Ahmad Lutfi dan Suria Janib kerana mereka berdua cukup berani dan menulis dengan nama sebenar sedangkan saya dulu terpaksa berselindung di sebalik lebih lapan nama samaransebelum muncul dengan nama sebenar seperti sekarang.

Sayangnya ketika bahan-bahan bacaan pro-reformasi mendapat pasaran yang baik, saya sudah keletihan kerana asyik menulis setiap hari sejak tahun 1973 lagi samada tulisan kreatif atau non-kreatif, saya tidak mampu lagi menggarangkan diriseperti sdra Ahmad Lutfi, Suria, Sayuti, Tarmizi, Nasir Awang dan rakan-rakan mereka dalam menulis.

Selain dari kepentingan pasaran, bakat semulajadi anugerah Allah dalam membuat teguran, memberi pandangan dan kritikan sebagaimana yang dimiliki oleh Sdra Ahmad Lutfi dan Suria sebenarnya sangat besar faedahnya kepada negara walaupun adakalanya tulisan mereka sangat menyengat dan menghiris pedih.

Sdra Ahmad Lutfi diberi kebebasan sepenuhnya dalam menyatakan kebenaran melalui AL-WASILAH. Semua orang samada pemimpin Umno, Pas, KeAdilan, MIC, MCA, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri,Menteri Besar, tok guru, tok jahil dan lain-lain boleh ditegur dan dikritik selagi ianya bertujuan membantu percambahan ilmu para pembaca selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam.

Yang tidak boleh ditegur hanyalah Allah dan RasulNya walau untuk apa tujuan sekalipun, yang lain semuanya boleh ditegur dan dikritik. Itulah yang saya tegaskan kepada Sdra Ahmad Lutfi bagi panduannya dalam memacu AL-WASILAH.

Bagaimanapun Ahmad Lutfi tidak terbuai dengan kebebasan yang diberi, sebaliknya beliau lebih menumpukan kepada pengisian bahan-bahan pembentukan akhlak remajaberteraskan nilai-nilai Islam sebagai pengarang AL-WASILAH dan tidak ada pembalunan dibuat kepada mana-mana pihak. Tetapi permit AL-WASILAH tetap juga menghadapi masalah penyambungan.

Bila rakan saya bertanya 'setara mana' marahnya saya terhadap apa yang berlaku ke atas AL-WASILAH, kepadanya saya tegaskan kalaulah doa saya mustajab, saya akan doakan pegawai-pegawai yang terlibat dalam menimbulkan masalah kepada pernafasan di Unit Penerbitan KDN mati kerana hidungnya dimasuki seekor nyamuk sebagaimana matinya seorang Firaun supaya rakan-rakannya yang lain sedar bahawa kuasa yang mereka ada tidak akan mampu menghalang seekor nyamuk untuk menjadi penyebab kepada kematian. ''agaimanapun, sebagai seorang Islam, saya tetap mendoakan supaya yang salahguna kuasa dan kedudukan supaya insaf di atas kebodohannya mewujudkan permusuhan sebuah jabatan kerajaan dengan seorang hamba Allah bernama Sdra Ahmad Lutfi kerana akhirnya orang ramai akan melihat yang bodoh dan 'gon' adalah Unit Kawalan Penerbitan KDN itu sendiri.

Kalaupun AL-WASILAH dimatikan, ianya akan terus hidup sebagaimana DETIK yang masih terus hidup di ingatan umum dan setiap kali teringatkan DETIK masing-masing akan kutuk pihak yang mematikannya dan demikian jugalah dengan AL-WASILAH, setiap kali namanya disebut, orang pasti akan mengutuk kalangan yang menyebabkan kemampusannya.

Yang pasti selepas kematian DETIK dan diekori dengan AL-WASILAH, pasti akan lahir ribuan DETIK dan AL-WASILAH lagi. Jika saya atau sdra ahmad lutfi Othman disekat dari meneruskan perjuangan, pasti akan lahir ribuan saya dan sdra Ahmad lutfi lagi sebagai terpenjaranya dato' Seri Anwar Ibrahim tetapi di luar penjara kini, akan datang dan untuk selamanya akan lahir ribuan Anwar Ibrahim, InsyaAllah!