Sunday, April 26, 2009

MUNCUL KEMBALI (158)

Pas tidak layak jadi saluran perpaduan Melayu

BILA Pas mengambil keputusan membatalkan/menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), sebarang usaha untuk mempertikai atau memujuk, apatah lagi merayu parti itu supaya mengubah keputusannya tidak patut dilakukan oleh mana-mana pemimpin Umno.
Sebarang usaha untuk mendesak, memujuk atau merayu akan dilihat bagaikan hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong, sekaligus Umno akan dilihat sebagai bacul dan dayus serta terdesak, pelahap dan kemarukan simpati Pas.
Malah pimpinan Pas yang pada saya rata-rata sedang dilanda wabak, sindrom dan fenomena 'perasan' berpengaruh, hebat, berhemah, berprestasi dan bereputasi tinngi merasakan dan parti mereka bernilai tinggi.
Secara tidak langsung mereka mermperlekeh Umno walaupun parti itu sebagai parti terbesar orang Melayu dan menjadi tunjang BN telah mencatat rekod dunia sebagai parti paling lama menjadi kerajaan di bawah sistem amalan demokrasi.
Selain dari memikirkan keghairahan, pelahap dan kemaruk mahu menjadi kerajaan, standard pemikiran, pendekatan dan perhitungan politik pimpinan Pas demi kepentingan negara masih pada takah kemetot, apatah lagi para penyokongnya yang rata-rata masih berada dalam lingkaran berpolitik ala 'katak bawah tempurung'.
Ekoran dari kekemetotan pemikiran itu menjadikan pemimpin dan penyokongnya mudah dilanda wabak, sindrom dan fenomena 'perasan' berpengaruh, hebat, berhemah, berprestasi dan bereputasi tinggi walaupun kualiti pemikiran dan pendekatan politik mereka sebenarnya terlalu sempit dan jumud.
Tidak hairanlah kalau cadangan peluang kerajaan perpaduan yang dibuat sendiri akhirnya ditarik balik/dibatalkan kerana rata-rata dasar atau gagasan yang dibuat kebanyakannya hanya dalam bentuk retoriksme pengucapnya sahaja kerana Pas sendiri tidak yakin mampu membentuk kerajaan di negara ini sebagaimana yang menjadi matlamat penubuhan parti itu.
Lagi pun harus diingat bahawa Pas pada era kepimpinan mutakhir ini perjuangan tidak memasuk kira kepentingan Melayu. Keutamaannya adalah Islam dan menentang keBANGSAan atau sekularisme.
Sehubungan dengan itu bagi saya kalau Umno mahu kerjasama dengan Pas demi kepentingan Melayu, parti itu membuat satu kesilapan besar kerana Pas tidak layak menjadi saluran perpaduan perpaduan Melayu kerana matlamat dan pendekatan parti itu tidak memasukkan kepentingan Melayu sebagai antara matlamat perjuangannya.
Umno patut menerima pembatalan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan oleh Pas yang mencadangkan kerajaan seumpama itu kerana jika ianya menjadi kenyataan pasti akan menimbulkan banyak masalah apabila sebuah kapal mempunyai lebih satu nakhoda.

No comments: