Benteng protokol patut diroboh
SELAIN dari gagasan 'Satu Malaysia'nya, saya yakin semua pihak akan angkat serban, kopiah, songkok dan topi kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak apabila beliau mengajak pemimpin Barisan Nasional (BN) mengurangkan protokol yang sebenarnya ciptaan kolonialisme.
Pada masa yang sama pemimpin BN disaran memberi lebih komited dalam menyelesaikan masalah rakyat dengan mengamalkan sikap mesra rakyat dan segera turun padang tanpa menunggu jemputan dan sambutan berbunga manggar bagi menyelami keluh kesah rakyat secara terus.
Walaupun tidak tidak menjunjung slogan Islamik, namun para ilmuan Islam barangkali boleh sependapat dengan saya bahawa ajakan dan saranan perdana menteri itu selari dengan apa yang dimahukan oleh Islam, oleh Allah dan Rasul-Nya.
Protokol secara tidak langsung boleh menjarak, mendinding dan menghadang antara pemimpin dengan rakyat, sekaligus tidak memungkinkan pemimpin akan tahu dan akan mendapat maklumat sebenar tentang masalah dan kemahuan rakyat yang tidak serupa antara satu negeri dengan satu negeri yang lain, serta antara satu jajahan, satu daerah, satu mukim dan satu kampung yang berlainan.
Manakala rakyat pula tidak akan ada peluang, laluan dan saluran untuk menyampaikan pemasalahan dan kemahuan mereka dalam bentuk, wajah dan warna sebenar kerana terbenteng, terdinding dan terhadang oleh protokol.
Kebanyakan maklumat yang sampai kepada pemimpin, apatah lagi perdana menteri, ianya telah melalui proses tapisan orang tengah yang lazimnya akan hanya menyampaikan yang baik-baik sahaja, manakala yang kurang baik, apatah lagi yang buruk dan menjejaskan imej, prestasi dan reputasi sesebuah jabatan, akan disembunyikan.
Inilah antara faktor kenapa kerajaan yang telah mencipta rekod kejayaan yang sangat luarbiasa dalam merencana dan melaksanakan pembangunan bagi negara dan rakyat, akhir-akhir ini ditentang dan ditolak, dilihat dan dinilai seolah-olah kerajaan yang ada semacam tidak berbuat apa-apa bagi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Kemajuan IT dan kebanjiran blog (satu lagi buktik kejayaan cemerlang kemajuan negara) oleh bloggers yang tidak pernah mahu bersyukur dengan apa yang dinikmati telah berjaya meracuni fikiran rakyat terbanyak yang sejak sekian lama tebuku kalbu oleh 'protocol gate'.
Para pemimpin, terutama wakil-wakil rakyat dan anggota kabinet kena sentiasa ingat bahawa mereka berada pada kerusi dan kedudukan masing-masing pun dalah kerana undi rakyat. Ertinya mereka menerima budi rakyat, bukannya mereka yang memberi budi kepada rakyat. Di tangan pengundi ada kuasa yang akan tentukan sama ada mereka akan ters di beri budi atau sebaliknya.
Sebagai penerima budi, saranan perdana menteri supaya para pemimpin BN mengurangkan protokol, sebaliknya kena lebih komited menyelesaikan masalah rakyat, kena mesra rakyat dan segera turun padang tanpa menunggu tunggu jemputan rasmi bagi menyelami keluh kesah rakyat secara terus adalah amat wajar dan tepat.
Kalau boleh saya peringat dan sarankan, perdana menteri juga patut memansuhkan amalan mengutamakan orang kenamaan dan bangsawan dalam penerimaan tamu kerana amalan sedemikian oleh hamba-Nya yang berstatus pemimpin pada hakikatnya tidak disenangi oleh Allah.
Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. sendiri ditegur oleh Allah melalui Surah 'Abasa (bermaksud "Dia bermuka masam") yang mengandungi 42 ayat dan tersenarai sebagai antara surah-surah Makkiyyah yang merupakan sebahagian dari 6,236 keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 114 surat, 30 juzuk dan kira-kira 1.2 juta huruf.
Teguran Allah itu dibuat apabila Rasulullah s.a.w. telah mengutamakan tamu dari kalangan bangsawan dan lambat mempedulikan seorang sahabat bukan bangsawan yang buta pula matanya bernama Ibnu Ummi Maktum yang datang bertamu.
Perdana menteri juga patut mengambil iktibar dari peristitiwa seorang yang tempang kakinya telah merapatkan hujung mata pedangnya ke leher Umar Ibnu al-Khattab yang terkenal dengan bengisnya sehingga iblis pun mengelak dari bersilih jalan dengannya.
Lelaki tempang itu berbuat demikian pada hari perlantikkan Umar sebagai khalifah apabila Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua itu meminta rakyat jelata menegurnya jika baginda membuat kesilapan dan kemungkaran sebagai khalifah.
Sambil hujung mata pedangnya diletak pada leher Umar, lelaki itu dengan tegas dan gagah berkata jika khalifah melakukan kemungkaran dan memerintah yang tidak selari dengan Islam tulen, maka pedang itulah yang akan memenggal lehernya.
Para panglima perang yang menganggap tindakan lelaki itu kurang ajar, melanggar protokol dan cuba mengaibkan khalifah. cuba mengambil tindakan untuk menamatkan riwayat si lelaki pincang tetapi dengan pantas dihalang oleh Umar.
Bagi baginda rakyat yang berani berterus terang seperti lelaki tempang itulah yang amat diperlukan supaya baginda akan sentiasa beringat untuk menjadi khalifah yang sentiasa memenuhi kemahuan rakyat dan menjadikan baginda akan memuhasabah diri agar tidak akan terlibat dengan apa-apa pun kemungkaran.
Takdir dan suratan kenapa lelaki tempang yang menegur dan memberi amaran kepada khalifah itu wajar diiktibarkan oleh dato' Seri Najib bahawa teguran, kritikan, saranan, resolusi, proposal, buah fikiran dan memorandum rakyat kelas marhaen juga jangan mudah dipandang lekeh, pada masa yang sama jangan hanya mengutamakan buah fikiran kalangan Ph D atau yang bergelar profesional dan pakar semata-mata.
Tuesday, May 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment