Bida'ah atau BEDO'OH?
GARA-GARA dianggap boleh terlewat untuk sampai pada masa paling sesuai untuk memancing, seorang rakan yang akhir-akhir ini kopiah di kepala jarang ditanggalkan dan dan hampir setiap minggu saya terserempak dengannya pada Kuliah Jumaat Tok Guru Nik Aziz di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan Pas Kelantan, Jalan Dato' Pati, mengamuk sakan kerana seorang lagi rakan hanya turun dari masjid yang kami singgah dan sembahyang fardhu 'Asar, selepas imam selesai berdoa setelah wirid agak panjang.
Kawan yang mengamuk itu kata rakan yang menyertai imam wirid bersama jemaah yang lain sengaja menggegam bara api. Saya tidak pasti tahap keilmuannya tetapi saya yakin tahap pengajiannya tidaklah tinggi sangat, rasanya 'sih-polih jah' dengan saya kerana cara dia berhujah sarat dengan emosi yang jarang berlaku di kalangan para ilmuan.
Yang saya tahu abangnya seorang imam dan kini sudah menjawat jawatan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan kerajaan negeri. Yang saya pasti juga kawan saya ni jenis 'aloh ko bini', depan bini akan 'moyok' dan 'berjurus', depan bini cakapnya lebih lembut gigi dari lidah.
"Genggam bara api bakpo?" tanya saya. "Moleklah gu kita tu boleh bertahan lama bersama imam. Gu kita tu tentu kaki masjid. Kan ko semakin lama duduk atas masjid semakin banyak pahala" tokok saya. Selamba.
"Nabi tak wirid dan berdoa selepas imamkan sembahyang"
"Mana demo tau?"
"Aku tau la. Mu tak rtengok atas ppalo ada begapo namo?"
Saya diamkan diri bila nada suaranya semakin tinggi dan penuh emosional
"Kalau kita buat apa yang nabi tak buat, bida'ah namanya. Melakukan bida'ah sama seperti genggam bara api, kalu mu nak tau gatu. Reti?" tegasnya.
Baginya tahlil aruah, berkunut dalam sembahyang Subuh, berwirid dan berdoa selepas sembahyang berjemaah, sembahyang sunat hajat berjemaah, memberi salam kepada ahli kubur sewaktu melintasi kawasan perkuburan, membaca Ya-Sin beramai-ramai pada malam Jumaat, baca al-Quran termasuk Ya-Sin atas pusara, apatah lagi bertalqin adalah bida'ah belaka, semuanya nabi tak pernah buat.
Bila saya kata sebagai orang awam (bukan ulamak) kita kena ikut apa yang menjadi amalan imam mazhab dan kalangan yang lebih alim termasuk para imam masjid, dia kata mazhab-mazhabnya juga adalah bida'ah. Tok alim dan imam masjid yang mlakukan perkara bida'ah akan masuk neraka. Yang patut dirujukhanya al-Quran dan Hadis, bukannya mazhab dan imam mazhab. Kononnya mazhab dan iman mazhab tak patut ada pun.
Saya yakin kawan saya yang baru kemaruk jadi orang kuat beribadah itu telah terlalu BEDO'OH membuat pengukuran tentang BIDA'AH dan TIDAK BIDA'AH kerana terpengaruh dengan kuliah-kuliah Maghrib, bukannya belajar/mengaji secara khusus.
Kerana itu pada sara para pengkuliah kena lebih hati-hati dalam memberikan kuliah supaya nantinya tidak ada yang mendengar kuliah boleh salah faham sehingga ikut mazhab dan iman mazhab pun boleh dianggap bida'ah.
Bukankah bida'ah atau orang Kelantan membahasakannya dengan BEDO'OH dan yang lebih bedo'oh dari bedo'oh itu pula dibahasakan dengan BEDO'OHAN, ada yang diboleh di samping yang tidak dibolehkan?
Misalnya dalam soal kenderaan, nabi berkenderaan unta dan baginda tidak pernah berkereta sebagai kenderaan. Ertinya berkereta adalah juga suatu bida'ah kerana nabi tidak pernah naik kereta. Pada zaman nabi tidak ada pembesar suara yang dipasang pada masjid, sekarang pada semua masjid, malah pada suaru dan madrasah pun dipasang alat pembesar suara. Berkereta atau menggunakan pembesar suara bagi melaungkan azan adalah bida'ah tetapi bida'ah yang dibolehkan. Tak 'kanlah kalau dulu Bilal azan pada tempat yang tunggi untuk memastikan azan yang dikumandangkan latas pada jarak sejauh mungkin, maka bilal sekarng pun kena berbuat begitu juga. Kereta pada zaman sekarang barangkali bolehlah diandaikan sebagai unta pada era hayat Nabi manakala pembesar suara untuk azan pula bila diandaikan tempat tinggi dijadikan tempat azan pada era hayat Nabi.
Samalah juga dengan wirid dan doa selepas sembahyang berjemaah, kalau pun nabi tidak pernah buat tetapi tidak ada salahnya kerana berwirid itu sendiri adalah kerja ibadah, malah berdoa juga suatu kerja ibadah dan ini terbukti apabila antara rukun khutbah Jumaat misalnya, kena ada doa. Ertinya berdoa, yakni meminta sesuatu dari Allah adalah dituntut sama ada minta secara sendirian atau beramai-ramai.
Dalam sembahyang juga kita digalakan berwirid selain dari bacaan wirid dan berdoa diluar sembahyang kerana ketika sembahyang itulah sebenarnya seolah-olah kita sedang berkomunikasi, sedang bertelefon atau ceting dan berdialog dengan Allah. Bacaan dalam ruku', sujud dan duduk antara dua sujud adalah merupakan antara wirid dan doa.
Cuma barangkali wirid dan berdoa selepas sembahyang berjemaah tidak oleh dianggap amalan wajib, ianya hanya amalan sunat, yang ada tugasan yang lebih perlu boleh untuk tidak berwirid dan berdoa kerana ianya bukannya wajib. Lagi pun kita diminta mengisi masa dengan sentiasa berwirid.
Membaca Ya-Sin beramai-ramai juga kalau pun bida'ah kerana nabi tak pernah buat, rasanya bida'ah yang dibolehkan kerana masing-masing boleh perhatikan ketepatan bacaan, yakni boleh tadarus secara tidak lamgsung.
Saya rasa (kalau saya silap mohon mereka yang alim betulkan saya), asal saja apa yang dilakukan bertujuan ibadah, apatah lagi wirid-wirid yang memuji dan bersifat mengingati Allah serta bacaan-bacaan yang menandakan ingatan dan kecintaan kita terhadap Rasulullah s.a.w. tidak salah diamalkan walaupun nabi tidak melakukannya semasa hayat baginda, termasuk jika membaca al-Quran di kawasan perkuburan atau di pusara ibubapa misalnya.
Yang tidak boleh dibaca al-Quran atau wirid dan berdoa adalah dalam tandas atau tempat-tempat yang tidak suci. Tahlil atau pun berselawat maulud rasanya tidak salah dan tidak berdosa walaupun nabi tidak pernah lakukannya. Kalau pun wirid dalam tahlil tidak akan sampai kepada si mati pahalanya (kecuali yang dilakukan oleh anak yang soleh) namun kita yang berwirid tetap akan dapat pahala kalau dilakukan dengan ikhlas dan tidak pula merungut dalam menikmati apa-apa yang dihidangkan selepas tahlil walaupun ianya tidak serasi dengan selera kita.
Dalam soal selawat maulud, dari segi lojiknya tak 'kanlah nabi nak adakan upacara memuja muji diri sendiri yang mana kalau dibuat ianya akan bersifat mengisi bakul junjung sendiri. Tetapi kita umatnya patut dan wajar melakukannya kerana baginda memang patut dipuja dan dipuji serta disayangi kerana jasa besar baginga menyediakan formula untuk kita umatnya ke syurga. Yang tidak boleh barangkali kalau nabi itu dipuja-puja hingga ke peringkat memberhalakannya.
"Demo hafal Quran?" tanya saya membuatkan kawan saya yang mengamuk tadi agak tergamam. Saya sering dengar dia membaca al-Fatihah, Qulhusallah dan beberapa surah lain sambil memandu untuk ke destinasi memancing atau mencerit burung yang nadanya macam muaalaf yang baru beberapa bulan masuk islam. Sebagai seorang yang belajar tajwid ala kadar yang mana belajar tajwid, tafsir, fardhu ain, fardu kifayah dan sebagainya tentang hukum hakam menjadi antara matapelajaran yang kena dipeelajari sebagai pelajar sekolah agama, saya dapati bacaannya tidak berapa tepat, terutama sebutan hurufnya, apatah lagi tajwidnya.
"Ya-Sin pun tak hafal" akuinya. Jujur.
"Tapi demo baca Quran?"
"Baca. Kena letak Quran di depan"
"Demo bacalah, bukannya hafal atau hafiz"
"Bakponyo?"
"Kalau berwirid dan berdoa selepas sembahyang tu demo kata bidaa'ah, macam mana dengan Quran?"
"Mu nak putar kot mano pula ni tok lebai kkorang?" rengusnya yang saya yakin dia tidak tahu bahawa saya adalah lepasan sekolah agama dan saya sendiri jarang menampakkan imej bahawa saya lepasan sekolah agama walaupun saya memang berjanggut.
"Pada hayat Nabi, Quran bukan ada dalam bentuk buku macam sekarang, malah kertas pun tidak ada pada hayat baginda. Mencetak dan membukukan al-Quran bukankah bida'ah?. Menterjemah al-Quran bukankah bida'ah kerana nabi tak pernah buat semuanya tu" hujah saya.
"Yat nyo main putar cat loret-loret pula mugo ni" rungutnya.
Saya katakan kepadanya bahawa yang cadangkan pembukuan al-Quran adalah Sayydidin Umar. Baginda cadangkan kepada Sayyidina Abu Bakar selaku khalifah tetapi Abu Bakar pada awalnya menolak kerana dianggap apa yang dicadangkan oleh Umar itu tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Umar terus memberi hujah tentang kenapa perlunya al-Quran dikumpulkan dalam bentuk bertulis dan bukannya hanya dalam bentuk hafalan semata-mata.
Perdebatan yang melibatkan para sahabat telah dibuat berhubung dengan cadangan Umar itu dan akhirnya dipersetujui oleh Abu Bakar sebagai khalifah dengan Zaid bin Thabit sebagai antara penulis wahyu diminta melakukan keja-kerja pengumpulan al-Quran dalam bentuk tulisan tetapi Zaid sangat keberatan, malah menganggap tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu kalau dipilih dengan disuruh memindah bukit dan gunung, beliau akan memilih memindahkan bukit dan gunung dari mengumpulkan al-Quran dalam bentuk tulisan.
Hanya ketika Usman Affan yang merupakan antara penulis wahyu (dan bertaraf cendekiawan ketika itu) menjadi khalifah, barulah pembukuan al-Quran menjadi kenyataan apabila baginda mewujudkan satu jawatankuasa khas, diketuai Zaid bin Thabit melakukan kerja itu. Tiga lagi yang terbabit dengan kerja-kerja itu adalah Abdullah bin Zubair, Said bi 'Asy dan Abdur Rahman bin Haris bin Hisyam yang merupakan antara penulis wahyu.
Hasilnya terbentuklah susunan al-Quran yang mengandungi 6,236 ayat, kira-kira 1.2 juta huruf, disusun dalam bentuk 114 surah dan 30 juzuk. Sususunanya pula tidak semestinya ayat paling awal diturunkan disusun sebagai surah pertama dan ayat terakhir sebagai surah terakhir.
"Buat Quran dalam bentuk buku tak ke bida'ah namanya kerana masa hayat Nabi dulu, Quran tidak dibukukan, apatah lagi diterjemahkan ke dalam banyak bahasa maca lloni" tanya saya, membuatkan kawan saya yang tadinya lagaknya macam semua imam-imam masjid di negara ini melakukan bida'ah, mula terkebil-kebil.
"Sapo royat ko mu?" soalnya
"Royat ggapo?" tanya saya
"Hakmu sebut tadi"
"Pembukuan Quran?"
"Hon la. Bukan ke ayat Quran 6,666 ayat. Mu kata berapo tadi?"
"6, 236 ayat"
"Jumlah huruf pun mu tau"
"Zaman komputer. Jumlah ayat dan huruf boleh dikira dengan tepat, bukan pakai agak-agak"
"Dok eh mu tau mmano?"
"Aku sekolah Arab. Aku banyak baca macam-macam buku dan kitab. Aku ada terjemahan Kitab Terjemahan Hadis Sohih Muslim Jilid I,II,III dan IV . Aku juga ada Kitab Terjemahan Hadis Sohih Bukhari Jilid I,II,III dan IV"
"Bisomu"
"Hadis-hadis Nabi pun baru dibukukan pada zaman Umar Ibnu Aziz jadi khalifah dan atas arah Umar Ibnu Aziz sebagai khalifah. Nabi tak pernah bukukan hadis-hadis baginda sebelum itu. Kalau ikut demo gat, tentulah membukukan hadis-hadis tu bida'ah kerana nabi tak pernah buat. Gat antara Umar Ibnu Aziz dengan pemberi kuliah hak mudah membida'ahkan apa yang telah menjadi amalan umat Islam selama kenin, sapo lebih alim?. Nak atok dengan Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, koho tak padan kederat" hujah saya.
"Menatangmu" seranahnya.
"Dalam nak membida'ah pun jangan sampai BEDO'OH. Imam-imam mazhab bukannya macam tok alim jaman lloni. Sebelum memazhabkan sesuatu, imam-imam mazhab dah rujuk al-Quran dan Hadis yang dihafali, bukannya kerana baca terjemahan atau kitab tafsir macam kita lloni" balas saya dan kawan tadi kemudiannya minta supaya perbahasan tentang bida'ah yang dia mulakan tadi dihentikan, kononnya takut hilang tumpuannya untuk memancing.
Mohon para ilmuan Islam betulkan saya jika hujah saya tidak kena dari segi hukum hakam kerana ilmu amal saya yang terlalu cetek!.
Thursday, May 21, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment