Tuesday, June 30, 2009

CERPEN TERBARU 06/09 - DIKEMASKINI DENGAN PEMBETULAN EJAAN

Cerpen ini dihantar ke sebuah akhbar mingguan arus perdana untuk pertimbangan siaran

Debat
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk

DARI sirit-alas belukar yang muda hingga ke padang luas sejauna mata memandang Negeri Serban Putih Jubah Labuh penuh pepak bukan sahaja dengan ‘kawan manusia’ tetapi juga dengan ‘kawan menatang’ sama ada yang berkaki empat mahu pun yang kaki dua.

Sesetengahnya pakai serban, paling tidak pun pakai kopiah bagi yang berjanggut panjang, ada yang janggutnya labuh hingga nyaris-nyaris mencecah pusat, malah ada yang sampai menyapu kepala lutut, buah tasbih yang setiap biji ada sebesar buah sentol putik dibilang, tambah-tambah bila ada yang perhati pada apa yang sedang dibuat, peluang tunjuk warak.

Manakala sesetengahnya pula pakai songkok dan berbaju teluk belanga dengan misai melintang tanpa janggut. Adan juga yang tidak berserban, berkopiah atau bersongkok, tanpa misai tanpa janggut, hanya memakai kemeja biasa atau kemeja ‘T’ penuh santai.

Yang tempang datang berpapah, yang buta datang berpimpin, yang tepak datang berketpong, yang sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan uluran datang berbekalkan berguni ubat, yang banyak harta kerana acap dapat kawasan balak datang siap dengan doktor peribadinya sekali.

Susah untuk bezakan antara lelaki dengan wanita yang hadir kerana jumlahnya tidak ubah seperti ulat sedang nyunyak-nyunyak membaham bangkai gajah yang sudah mampus lebih dari sebulan. Masing-masing tidak mahu terlepas mengikuti debat dari dua tokoh hebat.

Kalau bukan kerana lebih sejuta corong pembesar suara yang setiap satunya sebesar Gunung Setong dipasang pada empat penjuru alam, barang butir yang dihebah melalui pembesar suara tidak mungkin latas ke telinga hadirin yang belum tentu selesai dalam tempoh sebulan kalau dikutip kira satu persatu oleh sejuta orang pengira yang bijak matematik macam adik Adi Putera.

Kopiah dan serban sahaja kalau dilonggok dan mahu dipunggah dengan seratus buah trellar, mungkin seratus ribu hari seratus ribu malam punggah pun belum tentu habis. Pun begitu dengan songkok. Jumlahmya sali dengan jumlah serban dan kopiah.

Kamera milik wakil stesen televisyen serta kamera jurugambar media cetak dari dalam dan luar negara jika diperipung, boleh terbentuk menjadi sebuah gunung setinggi Gunung Kinabalu dibuatnya.

Jumlah kehadiran besar kerana isu yang akan diperdebatkan digembar gemburkan sebagai besar, membabitkan dua tokoh besar mewakili dua buah parti politik besar, sekurang-kurangnya mahu dianggap besar walaupun hakikatnya hanya bukan saja kecil, tetapi lebih kecil dari kecil yakni halus.

Yang besarnya cuma bual, rasa dan syok sendiri, angan-angan mat jenin serta mimpi di siang hari.

"Wahai sekalian makhluk di langit dan di bumi. Kedua-dua tokoh yang akan berdebat pada kali ini sudah pun berada di atas pentas" moderator memulakan tugasnya selepas berdehem untuk membetulkan tone suaranya yang dirasakan parau kerana agak parak makan budu dalam sehari dua ini.

Kalau nak kira dia tidak suka sangat makan budu tapi apa nak dibuat, kemampuannya hanya setakat hanya mampu makan nasi dingin gaul budu dan ketit lada cengik supaya ada rasa pedas, selera akan sedikit terbukalah.

Dia hidup susah kerana berpegang kepada prinsip, biar mati kebulur namun kalau yang tidak halal, jangankan berjuta, sesuku sen dibelah sejuta pun bukan sahaja tidak akan disentuh, malah tidak akan dipandang pun.

Kerana itu dia dilabel sebagai makhluk hijau sekerat biru sekerat, dia diaggap memilih hidup yang bila dia susah tidak ada yang pecah lior nak bantu, kalau masa dia lega, ramai yang berebut-rebut hulur kepala mahu diperakukan sebagai rakan akrabnya.

Baginya segala-gala dunia belaka yang tidak akan abadi. Dia tidak akan tertipu dengan kekayaan kalau kekayaan itu akan menjadi roket membawanya ke neraka.

"Yang sedang lurut janggut tu tentu sekalian makhluk sudah kenal. Kalau tak kenal pun kena kata kenallah, orangnya bengkeng. Kalau ada makhluk yang tidak kenal, jangan terkejut kalau dia akan kata menatang ni tak kenal aku" tokok moderator yabg memulakan majlis dengan mengajak hadirin membaca al-Fatihah bersamanya.

"Yang di sebelahnya tentu sekalian makhluk sudah kenal. Orangnya masih muda. Kalau dibuang songkoknya akan nampak ada kilatan dan pantulan cahaya. Bukan botak lagi, tapi baru bubus saja. Maklumlah banyak yang kena difikirkan setiap saat, tunjang rambut pun jadi reput" bebel moderator, cuba buat jooke menjadikan ada semacam gegaran pada bumi yang dipijak, langit yang dijunjung oleh deraian dan dekahan ketawa sekalian makhluk di langit dan di bumi.

"Debat kali ini adalah tentang itu, yang tergolek depan kedua tokoh yang akan mula berdebat sekejap lagi. Sekalian makhluk tentu boleh nampak dengan jelas kerana pihak penganjur ada pasang layer putih di empat penjuru alam dan saiz huruf yang ditulis pula tidak lebih dan tidak kurang dari sebesar batang nyior. Kalau tak nampak juga maknanya makhluk yang tak nampak tu bole kalau pun tak buta kepek" tokok moderator lagi.

Seorang lelaki berambut berpintal-pintal, berpakaian cumpang camping dan berkaki ayam tiba-tiba melompat naik ke pentas dan merampas corong pembesar suara yang bakal digunakan oleh kedua-dua pendebat.

Moderator tergamam. Kedua-dua pendebat juga tergamam.

"Awak Jusoh?"
"Yes, I am"
"Yang selalu kata oi mari seghial kalu nak buwi gat dari pelanggan Kedai Kopi Rais, kedai kopi tunggeng mamak?"
"You right"
"Cakap orang putih?"
"Bolehlah sikit-sikit. Sebagai persediaan kalau-kalau nanti ada anak bangsaku sudah tidak reti cakap Melayu nanti, bahasa yang tidak layak jadi bahasa ilmu"
"Mana awak tau?"
"Tau apanya?"
"Bahasa Melayu tak layak jadi bahasa ilmu"
"Sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris, malah lulus bahasa Inggeris mungkin dijadikan syarat lulus SPM"
"Jadinya?"
"Itulah aku berlatih guna bahasa Inggeris. Takut nanti bila aku kata oi mari seghial kalu nak buwi gat, tak ada yang faham pula. Takut kena sebut give me one dollar, please!"
"Sempat juga dalam keadaan rambut berjiban, baju dan kain yang dipakai cumpang camping begini awak bagi sindiran pedas"
"Ada peluang dan ruang, kena isilah, kena redas"
"Redah ke redas?"
"Redas"
"Macam mana pun bukan soal bahasa yang mahu diperdebatkan kali ni"
"Tauuuu"
"Dah tau pasal apa lompat naik ke mari?"
"Pasal tu"
"Pasal yang tergolek tu?"
"Ha ah"
"Sebatang kayu"
"Yang sudah ditarah jadi perahu"
"Hm"
"Ahli panel yang sedang lurut janggut tu yang buat?"
"Ya"
"Dia yang cabar lawannya tu berdebat 'kan?"
"Gamaknyalah"
"Berdebat tentang sebatang kayu yang sudah ditarah jadi perahu supaya lawannya kata perahu tu bukan perahu?"
"Begitulah yang dimaklumkan kepada saya sebagai moderator"
"Lawannya tu pula bukan pakar buat perahu?"
"Jangankan nak pakar buat perahu, tak pernah tengok pun macam mana perahu diperbuat dari sebatang kayu"
"Kepakarannya?"
"Tukang emas"
"Kenapa disahut cabaran berdebat untuk isu dan perkara yang telah ditetapkan untuk diperdebatkan oleh pencabar?"
"Katanya ular tidak akan hilang bisanya kerana menyusuri akar berduri"
"Bagi aku cabaran itu satu perangkap"
"Maksud awak?"
"Pencabar mahu mengaibkan tokoh yang dicabar. Dia mahu dilihat sebagai pemenang dalam perdebatan untuk isu yang awal-awal lagi diketahui kemenangan berpihak kepadanya"
"Kalau saya kata awak prejudis?"
"Itu hak mutlak awak"
"Awak tak marah?"
"Kenapa mesti marah"
"Kerana membuat tuduhan awak prejudis"
"Bagi saya, itu bukan tuduhan"
"Dah tu?"
"Tanggapan atau andaian. Dalam amalan demokrasi, sesiapa pun boleh membuat andaian, tanggapan, memberi pandangan, memberi teguran. Pihak yang ditegur, yang diberi pandangan, tidak boleh menyentak, tidak boleh melenting"
"Kalau melenting?"
"Tak cukup masaklah"
"Apanya yang tak cukup masaknya?"
"Pengamal demokrasi yang mudah marah, mudah menyentak, mudah melenting bila ditegur dan dikritik"
"Jadi awak tetap dengan pandangan awak?"
"Tentang tokoh yang bakal berdebat dan isu yang akan diperdebatkan?"
"Hm"
"Tentulah kerana pencabar umpama orang dewasa ajak budak di pra-sekolah bergocoh"
"Saya tak faham"
"Tukang emas tak ada kelayakan untuk bercakap tentang perahu dan pembuatan perahu"
"Saya masih belum faham?"
"Pencabar yang mencabar lawan debatnya untuk berdebat mengenai isu yang dirancang awal untuk kemenangan dan menonjolkan kehebatannya umpama memandu lawan ke arah jalan mati, digunakan muslihat jahat untuk tunjuk kehebatan sendiri dengan mengaibkan lawan"
"Awak boleh nampak yang tersirat di sebalik yang tersirat ekoran cabaran debat tu?"
"Patutnya orang lain, orang yang tidak berambut berpintal-pintal dan berjiban, yang tidak berpakaian cumpang camping dan tidak bersepatu macam aku ni kena lebih awal nampak sebelum orang macam aku nampak"
"Jadinya?"
"Lebih baik jangan diteruskan debat. Suruh makhluk di langit dan di bumi balik ke tempat masing-masing. Yang asal dari langit balik ke langit yang asal dari bumi balik ke bumi. Jangan biarkan mereka terus dikecong. Aku pun nak gi dah, marilah seghial kalu nak buwi gat"

Jusoh melompat turun dari pentas khas, sekalian makhluk di langit dan di bumi yang mengikuti perdebatan moderator dengan Jusoh mula meninggalkan majlis, masing-masing tidak pecah lior untuk menyaksikan temberang pencabar yang mencabar lawannya berdebat.

Moderator juga hilang mood dan telah melangkah meninggalkan pentas khas tanpa mengambil upah yang dijanjikan sebanyak samas.

Yang tinggal hanya pencabar yang yang mencabar lawannya berdebat bagi isu yang telah sedia dirangka dan dikerangkakan untuk kemenangannya terpaku di kerusi seorang diri dengan mulut terlopong lagi tergohong. Pun begitu dia tidak berhenti melurut janggut.

Perangai mudah marahnya mula berapi pada Jusoh yang telah menyebabkan makhluk di langit dan di bumi tidak sempat dan tidak berpeluang dikecong melalui debat yang isunya sengaja dirangka dan dikerangkakan untuk kemenangannya!

1 comment:

pemudacakna said...

Berasa jelira baca cerpen hok Abe Meli tulis ni. Nok serupo dengan real doh.
Ayat-ayat hok Abe Meli tulis tu ayat-ayat takel belako. Sesuai doh dengan nama kapakjangak.
Takel abe Meli takel. Tak salah kalau dapat menyedarkan ramai orang yang KELIRU dek kenyataan yang HARU-BIRU serupo dengan ambo ni.