Tuesday, June 30, 2009

MUNCUL KEMBALI (250)

Semuga Ekuinas berupaya mempercepat pencapaian DEB

WALAUPUN bukan semua memperakukannya, apatah pihak pembangkang, namun hakikat yang kena diterima sebagai suatu hakikat ialah pihak kerajaan yang menerima majoriti mandat rakyat tidak akan memprogram, merangka, mekerangka dan menggezetkan sesuatu pelan atau dasar kalau ianya bukan untuk memberi faedah kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam pada itu sesuatu pelan, perencanaan, rangka dan kerangka untuk melaksanakan sesuatu dasar atau program demi faedah dan kepentingan agama, bangsa dan negara tentulah melalui proses perbincangan dan kajian yang lama dan lengkap oleh mereka yang berkepakaran sebelum digezetkan.

Demikian halnya dengan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), institusi pelaburan baru dengan modal permulaan RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion (RM10,000 juta) dengan matlamat dan tujuannya adalah memastikan matlmat untuk membina, mengawal-selia dan memelihara kestabilan ekonomi negara terlaksana di samping matlamat induknya bagi menyokong model ekonomi baru tercapai.

Sehubungan dengan itu garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang mewajibkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi Tawaran Awal Permuklaan (IPO) yang diguna-pakai sejak 36 tahun yang lampau dimansuhkan mulai 30 Jun 2009, ekoran penubuhan Ekuinas.

Dalam pada itu had kepentingan asing dalam syarikat-syarikat pembrokeran saham ditingakatkan daripada 49 peratus sekarang kepada 70 peratus dalam usaha mahu meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan penyenaraian serta memperbaiki persaingan dalam industri pembrokeran saham, termasuk rangkaian global dalam pasaran modal Malaysia.

Kaum Bumiputera pasti tidak akan gundah gulana dengan pemansuhan 30 peratus ekuiti wajib Bumiputera sebelum ini ekoran penubuhan Ekuinas apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa matlamat 30 peratus penyertaan Bumiputera dalam pertumbuhan dan pengagihan ekonomi negra masih kekal walaupun syarat pegangan ekuiti dalam syarikat tersenarai oleh FIC dimansuhkan.

Penyertaan 30 peratus Bumiputera dalam pertumbuhan dan pengagihan ekonomi negara adalah sebagai sasaran mikro dan kerajaan masih komited mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan keadilan sosial, paling penting tidak akan ada sesiapa pun merasa dipingirkan atau tidak diberi perhatian sebagai warganegara.

Yang pasti ibanggakan oleh rakyat negara ini, terutama kaum Bumiputera apabila Perdana Menteri menekankan bahawa tumpuan negara kini adalah penyertaan menyeluruh Bumiputera dalam semua aspek dan tidak terhad kepada pegangan ekuiti semata-mata seperti mana sebelum penubuhan Ekuinas.

Mudah-mudahan dengan penubuhan Ekuinas yang rangka dan kerangkanya tentu lebih sesuai dan lebih releven dengan keadaan semasa, akan dapat membantu mempercepatkan kejayaan matlamat penguasaan Bumiputera dalam pertumbuhan dan penagihan ekonomi negara yang telah tidak berganjak pada paras 19 peratus sejak 19 tahun yang lampau.

Bagi maksud itu, maka semua pihak, termasuk pihak pembangkang kenalah memastikan perjalanan Ekuinas lancar tanpa gangguan dan gugatan yang boleh membantutkan usaha bagi mencapai matlamat penubuhannya.

No comments: