Saturday, June 6, 2009

MUNCUL KEMBALI (206)

Tidak mustahil Umno/BN tawan Manek Urai

KALAU ikut lojik akal, bukan mudah untuk Barisan Nasional (BN) yang bertulang-belakangkan Umno merampas kerusi N41 Manek Urai, kerana berdasarkan kepada rekod Pilihanraya Umum Ke-7, 8, 9,10 dan 12, kerusi berkenaan telah dimenangi oleh Pas.

Itu hujah saya bila lawan bercakap dengan beberapa orang pengunjung kedai kopi mamak dengan rumah. Entah kenapa bila berjumpa dengan saya, banyak hal ehwal semasa terutama yang berkaitan dengan politik ditanya pada saya.

Saya juga kata hanya pada Pilihanraya Umum Ke-11 Umno/BN menang di kasawan berkenaan apabila calonnya Mohamed Zulkifli Omar berjaya mengalahkan calon Pas, Zamzuri Mat Lazim dengan majoriti tipis, 21 undi.

Mohamed Zulkifli gagal mempertahankan kerusi yang diwakilinya pada Pilihanraya Umum Ke-12.

Pas memenangi Pilihanraya Umum Ke-7,8,9,10 dan 12 apabila parti itu mempertaruhkan Ismail Yaacob yang lebih dikenali dengan Paksu Weil sebagai calonnya.

Manakala Pas gagal mempertahankan kerusi berkenaan apabila calon lain mengambil alih tempat Paksu Meil.

Kerusi di kawasan terbabit kini kosong ekoran kematian Paksu Weil pada 22 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil kawasan berkenaan pada 6 Julai nanti manakala hari mengundinya pula ditetapkan pada 14 Julai.

Berdasarkan kepada rekod kemenangan Pas, para pengundi akan memberi undi bergantung kepada calon yang bertanding, bukannya parti memilih parti. Ini terbukti apabila Paksu Weil bertanding Pas menang tetapi apabila calon lain yang bertanding, Pas kalah.

Ertinya tidak mustahil bagi Umno/BN untuk mengulangi kejayaan Pilihanraya Umum Ke-11 bagi merampas N41 seandainya calon yang dipilih bertanding lebih diyakini mampu memberi khidmat terbaik dan memiliki ciri-ciri sebagaimana yang dimiliki Allahyarham Paksu Weil.

Seramai 12,292 dengan 99.25% daripada Melayu, 0.44% (Cina), 26% (india) dan 0.02% (lain-lain bangsa) yang akan tentukan sama akan memberi majoriti kepada calon yang mewakili Umno/BN atau Pas.

Seandainya Umno/BN membawa isu apa yang berlaku kepada bandar Kota Bharu apabila banyak tanah-tanah milik Melayu telah bertukar status dan ianya disenaraikan dalam bentuk bercetak dan diedarkan sebagai bahan kempen, Pas boleh jadi umpama orang lekat tulang lakunya.

Isu Lembah Sireh, isu penduduk pesisir pantai yang bakal kehilangan tempat tinggal apabila penempatan mereka terlibat dalam pengambil-alihan oleh sebuah syarikat yang dikatakan bertindak bagaikan bangsa Yahudi di Palastine, Umno/BN mampu menang.

Kenaikan premium bagi permohonan hakmilik tanah yang dikatakan melonjak dengan tingginya adalah antara senjata yang boleh membawa kepada Pas akan terkorban di Manek Urai. Dengan kata lain jika Umno/BN bijak memainkan perang saraf, parti itu boleh berjaya.

Pengundi Manek Urai tidak sesuai dihidangkan dengan isu-isu nasional dan global, calon yang dipilih mestilah sanggup sama-sama melapah lembu bila ada kenduri kendara, akan menjadi orang pertama sampai ke rumah mana-mana penduduk yang ditimpa musakah dan tidak akan sesak nafas oleh bau 'pot getah'.

Individu dari kelas atas dan yang membawa gaya bandar tidak sesuai untuk menjadi wakil rakyat Manek Urai walaupun calon yang dipertaruhkan lebih alim dan lebih berilmu dari Imam Masjid Mekkah.

Ertinya kalah menang Umno/BN di Manek Urai bergantung kepada tepat atau tidak tepat pemilihan calon dobuat.

Yang pasti, bukan seperkara yang mustahil untuk Umno/BN menang di Manek Urai!

No comments: