Friday, June 5, 2009

MUNCUL KEMBALI (205)

Terpedaya dengan 'pong jijok' boleh bikin jatuh celabok

KEKEMARUKKAN, keketagihan dan kekehusukkan menunggu ikan kutis umpan kail awal pagi ini sedikit terganggu apabila telefon bimbit saya asyik mengumandangkan azan (saya guna azan sebagai tone untuk SMS telefon saya) memaklumkan tentang keputusan pemilihan pimpinan Pas bagi sessi 2009-2011.

Kadang-kadang saya ketawa sendiri teringatkan rungutan rakan kononnya ikan sekarang sudah masuk universiti, pandai pilih umpan nak makan kail, tak macam dulu lagi, bubuhlah umpan apa pun, sambar belaka.

Sekarang kalau nak ikan gelama kena pakai umpan udang hidup. Harga seekor udang hidup boleh cecah harga 2 ghial, kalau dapat ikan harganya belum tentu laku dijual dengan harga 2 ghial.

Setiap kali mengail saya tak pernah guna umpan khusus. Pernah saya hanya guna umpan ikan duri kering yang bini saya beli di Kuala Pertang ketika beliau menyertai kerja-kerja mengempen masa pilihanraya kecil Bukit Gantang, saya dapat dua ekor ikan siakap.

Bagi saya dapat ke tidak ikan bila memnacing bukan bergantung kepada umpan yang digunakan tetapi banyak bergantung kepada nasib/rezeki. Ikan tidak akan memilih umpan apa yang nak di makan, apa yang ditemui akan disapu belaka.

Ikan tak makan umpan barang kerana umpam tak ditemui atau pun kerana ajal mampusnya belum sampai lagi. Kalau sampai dekat mulutnya, taik manusia pun dimakan, malah perut sesama sebangsa ikan pun boleh disambar.

Ustaz Nasa berjaya mempertahankan jawatannya. Begitu catatan SMS yang dihantar menjelang tengahari, menjadikan tumpuan kepada mengail mula beralih kepada isi kandungan SMS yang diterima dan lengkap disenaraikan keputusan;

Timbalan Presiden:
1. Nasharudin Mat Isa - 480 undi
2. Husam Musa - 281
3. Mohamad Sabu - 261 undi.

Naib Presiden:
1. Tuan Man Tuan Ibrahim - 871 undi
2. Sallahudin Ayob - 824 undi
3. Mahfuz Omar - 663 undi

18 Jawantankuasa Kerja Pusat:
1. Mohamad Nizar Jamaluddin - 854 undi.
2. Idris Ahmad - 799 undi.
3. Kamaruddin Jaafar - 769 undi
4. Azizan Razak - 653 undi.
5. Hassan Ali - 642 undi.
6. Dr Mohd Hatta Ramli - 638 undi.
7. Abdul Ghani Shamsuddin - 637 undi.
8. Abu Bakar Chik - 622 undi.
9. Hanifa Maidin - 619 undi.
10. Amiruddin Hamzah - 606 undi.
11. Dr Lo Lo Ghazali - 598 undi.
12. Ghani Abdul Rahman - 584 undi.
13. Zulkefli Mohamad - 576 undi.
14. Syed Azman Syed Mohamad - 530 undi.
15. Hashim Jasin - 522 undi.
16. Mazlan Aliman - 513 undi.
17. Taib Azmuddin Mohamad Taib - 504 undi.
18. Mujahid Yusuf Rawa - 448 undi.

Walaupun orang lain pun kalah dalam perebutan jawatan-jawatan tertentu, tetapi saya diminta komen tentang kekalahan Husam yang sebelumnya diyakini oleh banyak pihak akan menang dalam perebutan jawatan kedua terpenting dalam kepimpinan Pas itu.

Saya juga diminta memberi pandangan tentang undi yang diperolehi Mat Sabu yang bergerak sendirian (tanpa sebarang jentera) tidak 'bertikas' jauh dengan jumlah undi yang diperolehi Husam yang kononnya menggunakan paling banyak jentera dan perkakas dalam usaha untuk merebut jawatan yang ditandingi.

Sebenarnya tidak mudah untuk saya beri pandangan yang boleh diterima umum, apatah lagi oleh Husam dan koncu-koncunya kerana beliau mempunyai barisan think-tank yang cukup hebat dan berwibawa dalam semua perkara. Pandangan saya boleh buat penyokong dan peminat tegarnya marah dan meluat.

Pada saya, Husam terlalu gelojoh sebagaimana gelojohnya Tengku Razaleigh dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya membawa padah. Dalam Pas terlalu mahu menjadi tokoh utama barangkali dianggap sesuatu yang mencarik adat dan tindakan yang tidak wajar.

Ini adalah kerana Pas mengaku ianya sebagai sebuah parti politik Islam dan dasarnya berteraskan Islam, rujukan induknya adalah al-Quran dan Hadis. Nabi sendiri menolak tokoh-tokoh yang menawarkan diri untuk menjawat sesuatu jawatan.

Para perwakilan barangkali teringatkan hadis-hadis nabi semasa mengundi yang mana kalau dipilih pemimpin di kalangan yang berkehendak/gilakan sesuatu jawatan, ianya akan membawa masalah kepada pemimpin itu sendiri dan juga kepada yang dipimpin.

Pemimpin yang paling baik adalah yang tidak menawarkan diri untuk menjadi pemimpin kerana merasakan dia lebih hebat dari orang lain, tidak merasa diri lebih layak dan lebih berkemampuan serta lebih berilmu dari orang lain, apatah lagi bagi yang ada unsur-unsur keangkuhan dan ketakburan, tidak boleh ditegur, dikritik atau diberi pandangan.

Bagi saya Husam ada kebolehan, ada keistimewaan, ada prestasi dan reputasi serta talent sebagai pemimpin, malah masa depannya bukan sahaja cerah tetapi sangat 'jilah' jika beliau tidak gelojoh untuk terlalu cepat mahu kekemuncak kepemimpinan.

Malangnya sebagaimana Tengku Razaleigh dan Datuk Seri Anwar, Husam juga telah termakan 'pong jijok' menyebabkan dia jatuh celabok, mungkin dia boleh bertukar-takir antara titian dengan gertak.

Kerana 'makan pong', beliau lupa bahawa dari segi ilmunya, Ustaz Nasaruddin lebih berilmu, beliau bekas seorang pensyarah, Husam hanya bekas wartawan Harakah sebelum menyertai perkhidmatan negeri (perlantikan politik?) apabila Pas membentuk kerajaan di Kelantan bersama Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Mungkin kepada sesetengah orang Kelantan, Husam cukup bijak dan serba sempurna, tetapi pada ukuran nasional, belum tentuk beliau memenuhi piawan ketokohan yang terhebat dari yang hebat.

Kerana itulah beliau boleh kalah walaupun menggunakan pelbagai jentera, termasuk media untuk dapatkan jawatan Timbalan Presiden, termasuk sampai mengumumkan keputusan bertanding dalam sidang akhbar, juga kenyataan yang dibuatnya pada dalam edah muktamar, menyongsang dari apa yang dikatakan oleh presiden.

Mudah-mudahan dengan kekalahan yang dihadapi akan membuka selera beliau untuk memuhasabah diri, mencari kelemahan dan salah silap. Kalau dirasakan ada yang terasa hati dengan sikapnya, maka teladanilah kegentlemanan YB Nozula dan YB Adhan untuk meminta maaf.

Post-mortem ke atas think-tank dan anak-anak seluang di sekelilingnya perlu dibuat untuk memastikan sama ada apa yang disumbangkan mereka semua sama ada dalam bentuk idea atau pun gerak kerja/saraf, memberi kesan positif atau negatif.

Manakala Mat Sabu pula yang mendapat jumlah undi yang kurang hanya 20 undi sahaja berbanding dengan apa yang diraih Husam walaupun beliau (Mat Sabu) bergerak bersendirian tanpa jentera, pada saya ia membuktikan bahawa beliau adalah antara tokoh kepimpinan Pas yang tidak boleh diletakkan pada tahap/takah melukut di tepi gantang dalam kepemimpinan parti itu.

Dengan kata lain, beliau ada peminat, malah 261 perwakilan yang memberikan undi untuk beliau semacam memberi signal bahawa Mat Sabu perlu terus diberi peranan untuk menggerakkan parti pada peringkat nasional.

Hanya itu yang mampu saya berikan pandangan. Mudah-mudahan para pengirim SMS berbuas hati walaupun barangkali terdapat kelemahan di sana sini kerana kekurang ilmu saya!

No comments: