Perlantikkan Husam bukti Presiden Pas mengamalkan sikap rasional
SELAMA ini saya adalah antara individu yang tidak berapa berminat dengan Dato' Seri Haji Hadi Awang kerana bila berucap lazimnya beliau lebih banyak mengetengahkan perihal luar negara yang tidak ada kaitan dengan kepentingan negara pun, termasuk ketika berucap di depan orang kampung pedalaman.
Beliau juga dikatakan (saya diberi faham) yang bertanggungjawab memecah kongsi regu paling serasi Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato' Haji Abdul Halim sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan dengan memindahkan tokoh yang mula bekerja untuk Pas ketika masih berusia belasan tahun itu, ke parlimen bermula pada pilihanraya umum ke-11.
Padahnya, Dato' Haji Nik Abdul Aziz menghadapi masalah untuk memilih penggantinya kerana tokoh yang paling layak berbekalkan pengalaman dalam pentadbiran parti dan kerajaan telah 'dinyah'kan ke pusat. Dato' Haji Nik Abdul Aziz terpaksa terus 'bertaha' sebagai MB dalam keadaan sering uzur dan usia yang sudah lanjut.
Bagaimanapun apabila Dato' Seri Haji Hadi melantik Husam Musa yang kalah dalam percubaan merampas kerusi Timbalan Presiden dari Ustaz Nasaruddin Mat Isa, saya nampak bahawa beliau seorang yang rasional dan bukan jenis pencatas orangnya, beliau bukan pendendam dan bukannya seorang individu yang suka berpuak-puak.
Setidak-tidaknya saya nampak Dato' Seri Haji Hadi semakin matang dan bertoleran dalam berpolitik. Sebelumnya beliau agak agresif. Barangkali faktor usia dan pertambahan pengalaman menjadikan beliau berubah dan mula mengikis imej asalnya.
Bagi saya apabila Husam turut tersenarai sebagai salah seorang daripada lima ahli jawatankuasa tambahan bersama Haji Mat Sabu, Annuar Tahir (minta maaf kerana tersalah fakta dengan mencatat Annuar Tan Abdullah dalam posting asal), Dr Mariah Mahmud dan Wan Ubaidah Omar, ianya adalah suatu praktik politik yang sangat berhikmah.
Mahu tidak mahu serangan anak-anak seluang Husam melalui blog atau caci maki kedai kopi kerana kekalahan kepala puak mereka itu akan reda kalau pun tidak akan dihentikan terus ekoran Husam yang dilihat mula dawas kerana kalah dalam percubaan merebut jawatan nombor dua paling tinggi dalam Pas pada muktamar ke-55, telah diberi nilai, peluang bergayut dan bernafas dalam saf kepimpinan dengan perlantikan itu.
Perlantikan Haji Mat Sabu tentulah berdasarkan kepada undi yang diperolehinya agak tinggi walaupun beliau tidak guna pasukan berkempen dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden. Sokongan terhadap Haji Mat Sabu tidak boleh dipandang rendah, mengkesampingkan beliau tanpa diberi peranan dalam parti boleh membawa padah.
Dr Mariah dan Wan Ubaidah dilantik tentulah kerana kepentingan muslimah, termasuklagi bagi menjadi saluran suara muslimah dalam parti. Saya tidak ada maklumat tentang siapa Anuar Tahir. (Sekali saya minta maaf kerana dalam posting terawal saya tersalah fakta tentang Anuar dengan menyebut Anuar Tan. Saya amat kesal atas kesilapan yang berlaku).
Perlantikan Dato' Abdul Halim sebagai Pengarah Pilihanraya menggantikan Dato' Mustapha Ali yang dilantik sebagai Setiausaha Agung menggantikan Dato' Kamaruddin Jaafar juga menampakkan praktik politik berhikmah Dato' Seri Haji Hadi.
Rasanya tidak mustahil pada pilihanraya umum ke-13 nanti, Dato' Abdul Halim akan dikembalikan ke kawasan dewan undangan negeri bagi membolehkannya dilantik sebagai MB, menggantikan Dato' Haji Nik Abdul Aziz berdasarkan pengalaman dan kualiti perkhidmatannya sebagai regu mantap Dato' Haji Nik Abdul Aziz.
Seandainya Dato' Haji Abdul Halim pulang ke ganggan, fenomena puak Husam, puak Nik Amar, puak Takiyuddin dan sebagainya yang mentaufankan Kelantan tidak akan timbul untuk menjulang kepala puak masing-masing sebagai MB. Bila adanya puak-puak atau rakit merakit, maka mahu tidak mahu Pas dan Kerajaan Kelantan akan lemah dan berdepan dengan kepunah-ranahan.
Bagi saya tidak ada tokoh yang paling layak untuk ganti tempat Dato' Haji Nik Abdul Aziz selain dari Dato' Abdul Halim yang akan menjadi lebih hebat jika beliau dibantu oleh Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Dato' Haji Mohamaed Daud Iraqi dan Haji Abdul Fatah Haron dalam barisan exco tang sepatutnya seimbang antara kalangan sudah berumur dan kalangan yang masih muda.
Kalau pun yang tua ada berkurangan dari sudut pemilikan ilmu dalam bentuk golongan ijazah, namun mereka ada pengalaman yang telah membentuk dan menjadikan mereka lebih dewasa dalam berpolitik.
Bila ilmu digabungkan dengan pengalaman, maka apa yang hebat akan menjadi tambah hebat, minyak pelincir terpakai yang menjadi barang terbuang pun bila dicampur dengan getah cair ia akan berguna untuk kerja-kerja mencerit (menggetah burung) atau menangkap tikus!
Thursday, June 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
stahu ambo anuar tahir yg dilantik bukan anuar tan,ambo baca banyak blog tulis anuar tahir,mungkin demo salah maklumat ni,demo dgn MSO jah tulis anuar tan,malaysiakini,tranungkite,harakah semua tulis anuar tahir,klu betul la anuar tahir yg dilantik dan bukan anuar tan...masalah3,ambo pelik la bakpo set2 tu tak lantik anuar tan,anuar tan tu ramai pengikut cina,klu betul la dia tak di lantik semula,ambo rasa mesti akan bermasalah nanti dengan pengundi cina.
Post a Comment