Friday, June 12, 2009

MUNCUL KEMBALI (215) - KEMASKINI

Selepas Nabi Muhammad s.a.w. tidak ada manusia maksum

KHALIFAH zuhud, khalifah yang menjalani hidup papa (sengaja mepapakan diri) sebagai pemimpin utama umat Islam, ada diriwayatkan berkata bahawa beliau tidak pernah bimbangkan kekuatan musuh dalam menghancurkan umat Islam tetapi lebih bimbangkan kepada tidak bersatunya umat Islam yang menyumbangkan kepada kehancuran ummah.

Ertinya jika umat Islam mahu jadi kuat dan hebat, yang perlu dilakukan oleh pimpinan negara-negara Islam, termasuk oleh pemimpin negara ini tanpa mengira anutan parti politik masing-masing, adalah mereka kena bersatu padu, mewujudkan semangat satu bangsa satu negara untuk sepakat dan kuat melawan musuh Islam.

Masing-masing kena menyumbang kepada perpaduan dan mengelak daripada tersekongkol dengan apa-apa juga pernyataan, perlakuan, strategi, taktik dan teknik memecah-belahkan ummah, sebaliknya kena berusaha keras merapatkan saf silatur-rahim dengan tulus ikhlas.

Kena ditanya selalu apakah yang menjadi kebimbangan Umar Ibnu Aziz itu bukan sedang berlaku di negara ini?. Apakah kepercayaan bahawa hanya bila jadi orang Pas sahaja baru tulennya Islam seseorang itu, bukan suatu bentuk dan ciri-ciri pemecah-belahan umat Islam?

Atas alasan apa, maka orang Pas boleh yakin hanya perjuangan Pas sahaja selari dengan Islam manakala yang lain menyimpang dan songsang belaka walaupun barisan kepimpinannya terdiri dari orang Islam, termasuk di kalangan yang berkelas cendekiawan Islam. Atas alasan apa hanya dengan menjadi orang Pas sahaja baru layak mimpikan syurga?

Apakah menentang gagasan kerajaan perpaduan itu selari dengan Islam yang menuntut umatnya menjadi sebatang tubuh tanpa dihadang oleh kelainan bangsa, warna kulit, bahasa pertuturan dan batas sempadan negara.

Tidakkah menentang gagasan perpaduan itu menyongsang dari matlamat manusia dijadikan dengan pelbagai bangsa dan adat resam serta berbeza budaya dan iklim dengan tujuan supaya manusia saling berkenalan dan saling berkasih sayang?.

Menolak kerajaan perpaduan itu apakah memenuhi ciri-ciri untuk mewujudkan silatur-rahim dan berkasihan sesama manusia atau ianya lebih bersifat mencipta dan mempertahankansiri kebermusuhan sesama manusia, apatah lagi sesama sebangsa dan seanutan agama?.

Orang Pas kena berhenti menjadi takbur, sombong, angkuh, riak dan apa-apa juga sifat dan sikap yang seerti dengannya dengan menganggap diri sendiri dan puak sendiri sahaja yang paling alim, warak, bertaqwa dan apa yang dibuat diterima Allah belaka, yang orang lain buat kalau selari dengan tuntutan Islam pun diprejudisi sebagai tidak ikhlas sebagaimana ikhlas dan selarinya orang Pas dalam berilmu amal dan bertaqwa.

Orang Pas kena ada rasa takut akan menjadi angkuh, sombong, bongkak dan riak macam alim ulamak zaman dahulu yang dikatakan akan segera melumurkan muka dengan lumpur bila menerima pujian kerana bimbang akan termakan puji dan terlintas rasa serta menganggap diri istimewa dari yang istimewa.

Maknanya pujian sangat ditakuti oleh kalangan mereka yang benar-benar, yang cukup sengoti kealimannya kerana pujian boleh menjadikan orang dipuji merasa diri cukup hebat dan apa yang dibuat tidak ada yang tidak kena kecuali kena belaka, macamlah juga kebanyakan benda yang manis boleh menyumbang kepada kemungkinan menjadi punca kepada pelbagai penyakit kronik.

Dalam menentang gagasan kerajaan perpaduan, orang Pas tanpa mengira siapa orangnya jangan terlalu yakin bahawa mereka berada pada kedudukan dan pihak yang betul manakala pihak yang menyokong gagasan itu berada di jalan yang sesat lagi menyesatkan dan sebaliknya.

Kena dibimbangi dan ditakuti kalau-kalau penentangan yang dibuat itu dan dirasakan selari dengan amalan dan perlakuan ahli syurga sebenarnya adalah perlakuan ahli neraka kerana menghadang dan menentang seruan dan usaha perpaduan, muhibbah dan pemantapan silatur-rahim.

Eloklah al-Quran dan hadis dijadikan rujukan mutlak untuk mencari kejituan kebenaran dan bukannya ditolak atau dipersetujukan gagasan kerajaan perpaduan atas nama kerana ketaksuban sehingga membawa kepada seakan diberHALAkan seseorang tokoh yang dianggap suci sehingga kita merasakan apa yang dinyatakan dan menjadi pendiriannya betul dan suci belaka tanpa perlu merujuk al-Quran dan hadis lagi untuk mendapat kesengotian.

Ingatlah selepas Nabi Muhammad s.a.w. sudah tidak ada lagi nabi dan rasul, ertinya selepas baginda sudah tidak ada manusia yang maksum untuk ditaksubi dan menganggap apa yang dicakap dan dilakukan suci belaka, apatah lagi kalau ulamak yang membabitkan diri dengan parti politik yang mahu tidak mahu akan menyatakan sesuatu dan akan bependirian yang pastinya akan dipastikan sentiasa selari dengan parti politik yang dianuti.

6 comments:

Anonymous said...

Artikel yang menarik dan kritis.

Yang benar, kebenaran terserlah.

Anonymous said...

Takpandai said:...nitik air mata dengan ketulusan dan keberanian Meli demi memperbetulkan apa yang tak molek..ramai orang yang mungkin nak berkata seperti yang dikatakan tapi mungkin tak di kurniakan Allah kebolehan seperti Meli dan ada yang dikurniakan kebolehan sepertinya tapi takut dan kecut untuk menegak kebenaran...insya Allah teruskan dengan usaha mu Meli..

Abuzar said...

Sdr MKJ

Saranan jangan memBERHALAkan makhluk saya amat setuju. Amalan syirik. Samada berbentuk parti atau tuan guru atau pemimpin atau lain yang selain dari Allah SWT.

Tapi memihak kepada mereka / golongan/ puak / parti mempertahankan kebenaran, keadilan dan Islam adalah tidaklah menjadikan ianya berhala. Menyokong tokoh yang lebih benar berbanding tokoh yang kurang benar, tidak berhala.

Yang boleh jadi "memperberhalakan makhluk" adalah bila mengagungkan sesuatu yang "tidak syariee" (ideologi, ilmu, perlembagaan, kuasa, keturunan, harta, parti, kebendaan, dll) melebihi dari HAK KEMULIAAN ALLAH SWT.

Contoh yang nyata, syirik dalam memperberhalakan: scularism, capitalism, liberalism, zionism, socialism, communism, nationalism, racism, materialism, dll.

Begitu juga bersubahah dalam kemungkaran, kemaksiatan dan kezaliman seperti cronism, nepotism, corruption, power abuse, exploitation, monopoly, conspiracy, manipulation, tyrancy, authocracy, dictatorship, etc .....


Bermain istilah dan bahasa, memang nampak bagus tapi perlu tahu bezakan antara "YANG HAK DENGAN YANG BATIL".

Anonymous said...

Takpandai kata..itulah kita sbg manusia yang lemah dari tipu daya syaitan ni nampak barang yang berbagai..ism tu saja tok molek sedangkan kelakuan hati kita yang memang susah kita sendiri nok tengok nilai kecuali orang lain yang arif yang bukan kita yang menilainya..hati-hati.

Warga Pondok Guar Cempedak said...

Saya nampak Meli berpendapat/berpendirian menganggap tokoh/individu seperti Tok Guru Nik Aziz serba betul dan tidak layak ditegur adalah bersifat memBERHALAkan sesama manusia.
Saya yakin Tok Guru pun tak mahu beliau dianggap serba betul, keramat dan mulut masin. Beliau juga perlukan orang yang berani menegur dan memperingatkannya jika beliau melakukan kesikapan, terutama kesilapan luar sedar.
Orang Pas patut seronok kerana ada manusia seperti Meli yang berani ambil risiko melakukan sesuatu yang tidak berani dilakukan oleh orang lain, termasuk kalangan yang membawa pulang golongan dilpoma dan ijazah dari universiti di negra-negara timur tengah.

Orang Tanjung Dawai said...

Warga Pondok Guar Cempedak buat apa nak angkat-angkat Meli, dia ada tulis kata tidak perlukan sokongan dan penyokong kerana dia bukan orang parti politik. Kalau sokong dia pun dia tak boleh beri apa-apa, tak boleh beri kawasan balak dan sebagainya.
Tapi seingat saya bila ada saudara bau-bau bacang dengan saya yang belajar di Darul Ulum, (anak Md Isa, etah Meli ingat ke tidak) hantar banyak surat, termasuk kepada MB Kelantan minta derma untuk membolehkan pengajian peringkat diplomanya tamat kerana keluarganya tidak mampu apabila ayahnya sakit dan tidak boleh buat kerja, Meli ada beri sumbangan tetap untuk beberapa bulan.
Masa tu dia banyak terbit buku. Hasil tanya khabar saya terhadap rakan-rakan di Kota Bharu, macam mana orangnya Meli ni, ada yang kata seorang yang tidak pernah kaya tetapi kuat berusaha dan tegar dengan prinsip. Kalau minta derma, sebanyak mana yang ada dalam koceknya ketika itu, akan diberi habis kerana kononnya Allah telah memberi penghormatan kepadanya kerana ada yang sudi meminta derma daripadanya yang bermakna Allah akan membayar balik dengan pahala. Kalau dia tak bagi maknanya koceknya ketika kosong ketika itu. Kononnya bagi dia antara pitih dengan pahala, dia akan memilih pahala, malah dia selalu memastikan agar dia tidak akan menyimpan cita-cita untuk menikmati hidup yang lebih kaya raya dari Rasulullah s.a.w.
Kerana itu dia tidak pernah takut untuk tulis apa sahaja kerana dia tidak pernah takutkan kesusahan atau kemerempaan, apatah lagi krtikan atau sumpah seranah sesama manusia, yang dia takut hanya kepada Allah.
Mudah-mudahan maklumat yang saya terima tentang Meli betul belaka dan suatu ketika bila ke Kelantan saya bercadang mahu bertemu, mahu bersemuka dengannya dan mahu bertukar-tukar fikiran dengannya.