Monday, June 15, 2009

MUNCUL KEMBALI (220)

Wabak tidak heran menular ke parlimen?

PAK Had Ceton Tembus dianggap gon (rosak saraf otak) kerana sering cedok air guna ceton tembus, tapi Pak Had hanya mencedok air dalam baldi, dia tidak mencedok air dalam mangkok tandas atau air ca (air limbah).

Maknanya dalam gon-gon Pak Had pun dia tetap boleh bezakan antara apa yang patut dengan yang tak patut, antara yang boleh dengan yang tidak boleh, antara yang cuci dengan yang cemar.

Malah, kalau mahu berkentut pun Pak had akan minta diberi laluan supaya dia dapat berada pada tempat yang jauh dari orang ramai agar angin yang ditendang keluar oleh organ dan saraf bahagian dalamnya tidak akan menyebabkan orang ramai akan menonye menahan loya, mual dan dugal oleh bau yang kurang menselesakan, apatah lagi dia peminat setia ikan perkasam.

Demikian juga bila mahu sendawa, dia akan pastikan dia tidak berada di tengah-tengah orang ramai kerana ikut adat resam bangsanya, sendawa di depan orang ramai adalah suatu perlakuan yang tidak sopan dan tidak senonoh.

Gon-gon Pak Had, beliau masih hormati peraturan, beliau boleh bezakan antara yang senonoh dengan yang tidak senonoh, beliau masih ada rasa hormat terhadap orang lain, mungkin kerana dalam gonnya, dia dididik dengan cara yang betul oleh ibubapanya.

Bila seorang ahli parlimen yang namanya bermula dengan Ir yang membawa maksud ada ilmu dan kepakaran sanggup buah kecoh pada hari angkat sumpahnya sebagai ahli parlimen, saya agak sukar untuk bezakan siapa sebenarnya yang lebih gon antara Pak Had Cetus Tembus dengan ahli parlimen berkenaan.

Sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen, bekas Menteri Besar PR Perak, Ir Muhammad Nizar Jamaluddin atas nama Ahli Parlimen Bukit Gantang dilaporkan melaungkan perkataan “bubar Dewan” sambil mengenakan lilitan di kepalanya bertulis “Bubar DUN”.

Tindakannya itu jelas menunjukkan beliau seolah-olah murai berkicau salah masa, ayam jantan berkokok salah waktu dan harimau mengaum tidak kena puyan (musim), malah umpama melepas kentut serta sendawa di khalayak ramai dan melabuhkan kapal tidak kena pelabuhan.
Maka tidak hairanlah kalau gelagatnya itu tidak disenangi oleh Speaker Pendikar Amin Mulia kerana ianya secara terang melanggari kod etika berpakaian ahli Dewan.

Kalau tidak silap saya, membawa lambang parti yang terpamer secara terbuka ke dalam dewan pun tidak dibolehkan, apatah lagi laungan dan memakai lilitan bertulisan demikian, kecuali dengan izin dan budi bicara Speaker.

Padahnya Nizar dihalau keluar membawa 'perasan hero'nya sebelum sempat melabuhkan punggung di kerusinya. Siapa yang rugi? Kalau ianya merupakan suatu catatan sejarah, maka apa faedahnya kepada agama, bangsa dan negara oleh catatan sejarah itu?

Speaker terpaksa akur kepada peraturan Dewan.

Masalah di Perak kenapa pula mahu dibawa hingga ke Parlimen. Tak kanlah kerana naik bisul di paha, maka seluruh bahagian badan dari aras pusat ke bawah mahu dikerat buang belaka.

Harus diingat bahawa belum tentu kalau di Perak Nizar dianggap hero, di Parlimen pun beliau akan menerima tanggapan, pengiktirafan dan pelabelan yang serupa.

Lembu tidak boleh bawa resam lembunya bila sudah masuk kandang kerbau kerana itulah bila masuk kandang kambing kena mengembik, masuk kandang kerbau kena menguak.

Nizar harus ingat, kejayaannya memperolehi undi terbanyak sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Pas dalam Muktamar Pas Ke-55 juga boleh laku untuk turut dilihat hebat di Parlimen. Hebat di bawah tempurung tidak akan hebat juga berada di sebuah stadium.

Yang peliknya ahli-ahli parlimen lain yang lebih awal menjadi anggota parlimen dan pastinya lebih berpengalaman, bukan sahaja tidak menasihati Nizar sebagai pendatang baru dan rusa masuk kampung di parlimen, sebaliknya mereka pula yang ikut Nizar melanggar peraturan.

Maka sebagaimana Niza, ahli-ahli parlimen Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Bruas), N Gobalakrishnan (Padang Serai), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai) dan Zulkfeli Ahmad (Kuala Selangor) turut dihalau keluar dewan dan digantung selama dua hari dari menyertai persidangan.

Mungkin kepada ahli-ahli parlimen terbabit mereka merasa hebat dan hero, tetapi kepada para pengundi di kawasan masing-masing, apatah lagi pendukung dan penyokong parti-parti yang diwakili, belum tentu mereka akan menganggap dan melabelkan ahli parlimen mereka hero dan hebat, sebaliknya tidak mustahil mereka akan meluat.

Bagi saya apa yang belaku itu membuktikan bahawa wabak 'TIDAK HERAN' mula menular di kalangan wakil rakyat pembangkang apabila virus berkenaan dimulakan oleh pimpinan tertinggi parti dan mahu tidak mahu wabak itu akan terus menular.

Kuman, virus dan simton merasa diri disanjungi, dipuja dan dikagumi ramai telah melarat dan membarah membentuk wabak ego, sombong, bongkak, takbur dan riak sehingga apa yang tidak sanggup dilakukan oleh Pak Had Ceton Tembus pun tergamak dilakukan oleh ahli parlimen walaupun pelakunya itu dalam sudut ilmunya ada berkandaran banyaknya.

Kerana ada kedudukan saraf dalam hati dan kepalanya sudah tidak berapa betul stesen, maka antara parlimen dengan kedai kopi, pasar ikan, pentas ceramah dan bangsal dikir barat jadi tidak ada apa-apa beza.

Dalam parlimen pun boleh dilaungkan apa yang mahu dilaungkan, boleh pakai apa yang mahu dipakai dan boleh berbuat apa sahaja walaupun apa yang dilakukan sama seperti apa yang dilakukan oleh beruk sarkas!

1 comment:

Arif Bukit Gantang said...

Rakyat undi wakil rakyat untuk bawa suara mereka ke parlimen, bukannya untuk membolehkan wakil rakyat tunjuk hero dan hebat, tunjuk gon di parlimen.
Kalau mahu glamor, jadi aris, jangan jadi wakil rakyat. Aku menyesal mengundi Nizar masa pilihanraya kecil Bukit Gantang.