Destinasi Tok Guru Nik Aziz mula menampakkan bibit-bibit kesongsangan
KENYATAAN terbaru Mursyidul Am Pas, Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) -- berdasarkan apa yang saya dapat tangkap dengan membaca posting terbaru Haji Mohd. Sayuti Omar atau MSO melalui blognya ---, nampak sangat betapa Menteri Besar Kelantan yang mungkin sekarang ini disayangi dan dihormati akan menjadi sebaliknya kerana sikapnya yang saya lihat bersifat SANGAT BUANG TABIAT, sebenarnya saya sukar untuk percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tok Guru benar-benar keluar dari mulutnya.
MSO yang memetik laporan satu portal berita dipetik sebagai berkata: sebagai Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa perlu letak jawatan sebagai timbalan presiden Pas dan ahli parlimen Bachok sekiranya Nasharudin masih berhasrat meneruskan rundingan dengan Umno.
Nampak sangat Tok Guru tidak tahu atau sengaja mahu mengepi dan membelakangi peraturan berorganisasi. Yang pilih Ustaz Nasaruddin Mat Isa adalah para perwakilan, bukannya beliau sebagai Mursyidul Am yang pilih. Jawatan Mursyidul Am itu jawatan yang dilantik, bukannya melalui proses pengundian.
Mana boleh seorang yang dilantik menyuruh orang yang menang jawatan atas pilihan perwakilan berhenti. Nasaruddin dipilih oleh majoriti perwakilan. Itu sudah songsang jadinya. Sepatutnya orang yang dilantik tanpa proses pemilihan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan terkini parti yang kena berhenti.
Bagi saya Ustaz Nasaruddin berindak betul dan ikut prosedur. Oleh kerana kerajaan perpaduan adalah gagasan Presiden, maka Timbalan Presiden kena bersetuju, barulah kepimpinan parti tidak akan menjadi sebuah kapal mempunyai dua kemudi yang mahu ke destinasi yang berbeza.
Ustaz Nasaruddin akan dilihat sebagai ayam berkokok salah puyan, murai berkicau salah musim dan kapal dilabuh salah pelabuhan kalau menongkah dan menyongsang Presiden, malah tidak mustahil ia akan menjadi umpama kucing dengan anjing diletak dalam satu sangkar.
"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan,"
Saya yakin Ustaz Nasaruddin profesional orangnya. Beliau tidak akan termakan provokasi yang dituding kepadanya. Sebenci mana pun Tok Guru kepadanya, bukan menggambarkan kebencian majoriti orang Pas terhadapnya, kalau tidak masakan beliau menang dan lawannya yang membawa keramat Tok Guru boleh kalah dengan majoriti yang besar.
Ustaz Nasaruddin pasti akan merujuk kepada Presiden sebagai bossnya dulu bagi mempertimbangkan kedudukannya di Kelantan setelah beliau dihina sedemikian rupa. Beliau ada ilmu, bekas pensyarah. Kalau tak menjadi Ahli Parlimen di Kelantan beliau mampu meraih hidup mewah dengan ilmmunya.
Mungkin beliau akan letak jawatan senagai Ahli Parlimen Bachok kalau orang Pas Kelantan dan Tok Guru anggap segala kerusi parlimen dan dewan undangan pusaka makbapak sendiri tetapi masalah tidak akan selesai, sebaliknya akan bertambah berlipat ganda kerana sebagaimana Tok Guru, Ustaz Nasaruddin juga ada pengikutnya, malah saya yakin pengikut Presiden akan membelanya.
Dari sudut majoritinya, orang Pas lebih memilih Presiden yang ada sekarang, mereka lebih yakin kepada kepemimpinan Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang sehingga beliau menang jawatan tanpa tandingan apabila Tok Guru sendiri hanya dapat satu pencalonan bagi merebut jawatan itu.
Macam mana seorang yang menang jawatan tanpa tentangan dan orangnya yang menang dalam pertandingan mahu dinyahkan dari parti dan kerusi Ahli Parlimen oleh orang yang hanya dapat satu pencalonan untuk menentang presiden dan calon-calon yang pronya semuanya kalah boleh mahu jadi lebih berkuasa.
Teori dan undang-undang rimba mana yang mahu dipakai. Nak pongoh, nak bengken bukan tak boleh, nak tunjuk ek'oh pun bukan tak boleh tetapi biarlah pongoh, bengkeng dan ek'oh sakan hanelah kita biar profesional dan bersesuaian dengan keadaan dan ketika.
Agaknya Mohamad Nizar Jamaluddin yang menampakkan ciri-ciri kurang bertamadun pun kerana menteladani tokoh dari Kelantan yang disangka 'BEGHES BELAKA' kerana lebih berpengalaman dalam membentuk kerajaan dan memulihara kemenangan tetapi hakikatnya adalah 'REBEH' dan kualitinya semakin EXPIRED.
Bermula dengan ALLAH PUN MENCARUT, TUHAN PUN SAMSENG, SANGGUP BEKERJSAMA DENGAN SYAITAN membawa kepada isu KERAJAAN PERPADUAN, nampak ada bibit-bibit kesongsangan bagi destinasi politik Tok Guru sehingga boleh berlaku percanggahan secara terbuka antara beliau dan Presiden dan kalangan yang sealiran pemikiran politiknya.
Saya tidak dapat meramalkan KUASA KERAMAT apa yang beliau ada bagi memulihkan kembali retak menunggu belas Pas gara-gara penentangan dan prejudis mengkkhizir butanya terhadap gagasan kerajaan perpaduan yang seolah-olah kerajaan perpaduan itu lebih bahaya dari peluru berpandu atau bom pintar berangkai.
Sungguh memeranjatkan apabila kumpulan pro gagasan kerajaan perpaduan mendominan kepimpinan Pas, Tok Guru dan kumpulannya tiba-tiba jadi macam Siam mabuk tuak masam, macam tok bageh tak dengar kata tok minduk dalam bercakap dan menyatakan pendirian dan pandangan, menjadikan pretasi dan reputasi ketokohannya mula nampak ada birat dan berpetit lalat.
Lagak dan gaya berpolitik dan bertingkah laku zaman pontong berasap nampaknya dihidupkan kembali oleh Tok Guru yang sepatutnya lebih diprofesional dan dimatangkan oleh pengalaman tetapi nampaknya sikap dan cara bercakapnya sudah mundur lebih dari 50 tahun ke belakang, mungkin kesan dari menerima nasihat dan pandangan para penasihat otak kementut yang pernah ditulis oleh Ustaz Nik Abduh dalam blognya.
Agaknya Ustaz Nik Abduh sudah nampak apa yang akan berlaku dan boleh merosakkan pretasi dan retupasi parti seperti sekarang akan berlaku sehingga beliau sanggup mengambil risiko membuat teguran dan padah dari risiko yang diambil, beliau tumpas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, malah rentetan dari itu Dato' Haji Mohamed Daud Iraqi telah turut menerima tempias.
Sebagaimana MSO, saya berharap apa yang kekesatan kata-kata Tok Guru terhadap Nasarudin bersifat salah lapor dan salah faham pihak media yang telah menyebabkan Tok Guru dilihat membuat suatu kenyataan yang sangat tidak manis, tidak bijaksana dan tidak berhemah bagi seorang tokoh seperti beliau.
Pada hari tulisan saya menegur Tok Guru yang bersifat memutlakkan kemahuannya tersiar di ruangan pendapat akhbar Utusan Malaysiaa, saya ada berjumpa secara tidak langsung dengan Ustaz Saiba (Pegawai Akhbar MB) di masjid dekar Bank Muamalat. Beliau kata laporan akhbar yang mendorong saya menulis pendapat itu tidak benar. Kononnya Tok Guru tak kata begitu.
Tapi saya membaca tiga akhbar harian berbahasa Melayu setiap hari dan dua akhbar berbahasa Inggeris. Pada pemerhatian saya laporan mengenainya sama sahaja bagi semua akhbar. Apakah tiga akhbar harian berbahasa Melayu dan dua akhbar berbahasa Inggeris boleh buat kesilapan yang serupa?
Sebagai pengamal media sejak tahun 1973, soal silap lapor, sengaja merancang bentuk laporan untuk burukkan Pas misalnya adalah yang sering dijadikan alasan untuk menidakkan apa yang telah dinyatakan tetapi boleh menjadi senjata makan tuan merupakan andaian yang dibuat oleh kalangan yang tidak ada pengalaman dan tidak tahu tentang etika kewartawan dan kemediaan.
Pada saya apa yang sedang berlaku sekarang adalah berpunca dari Tok Guru yang terlalu terburu-buru dan mengenepikan profesionalisme dalam berpolitik kerana tersalah terima pandangan dan nasihat. Jika teguran Ustaz Nik Abduh diambil-pakai, saya percaya percanggahan terbuka Presiden + Timbalan Presiden + Setiausaha Agung + Jawatankuasa Kerja Pusat dengan Tok Guru + puak yang kalah merebut jawatan pada muktamar ke-55 yang baru lepas tidak akan berlaku.
Wednesday, June 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Kisah "Presiden PAS & Kumpulan UG" hari ini hampir menyamai peristiwa 1977, dimana Presiden PAS, Datok ASRI MUDA dan KUMPULAN 20 terus mengasak MB PAS Kelantan Datok Hj. MOHAMMAD NASIR yang jujur & disenangi/ pro-rakyat. ... yang pro rakyat selalunya benar.
Pergeseran timbul, bila PAS disempitkan pula dengan idea "kerajaan perpaduan - qaumiyyah Melayu"(UG) yang selama ini disanggah dengan "falsafah Islam syumul yang terbuka tanpa amalan jahiliyyah & semangat qaumiyyah".
'Ingatlah "Gelombang Perubahan Rakyat" semakin membesar. PAS perlu menjiwai aspirasi rakyat. PAS tak boleh bersikap eksklusif dan elit "ulamak" yang terpisah dari rakyat. PAS pimpinan Asri & Kumpulan 20 dulu pernah melawan arus perdana rakyat yang ingin perubahan. Asri & K20 mengikut gerak tari UMNO. Akhirnya PAS hanyut. Yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran. Mengapa kemaruk "kerajaan perpaduan - qaumiyyah Melayu" menjadi-jadi. Terutama selepas Muktamar PAS ke55 baru2 ini. Apakah masih lagi saki baki generasi Kumpulan 20 dulu dalam pimpinan terpilih PAS sekarang?'
Post a Comment