Saya yakin tidak akan dilahirkan sebagai saya kalau untuk jadi penakut
"MAMPUSMU Meli kali ni, Tok Guru nak saman", "Mu akan ditimpa kecelakaan kerana berlawan dengan Tok Guru", "Hidupmu akan papa boktan bbaloh dengan Tok Guru", "Mu akan muntah kedaroh kena anak panah malam Tok Guru", "Mulutmu, tanganmu, kakimu akan reyok, Tok Guru semayang ajat".
Itu antara SMS dan email yang diterima ekoran dari hasrat Tok Guru mahu menyaman Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan kononnya Tok Gu Nik Aziz kata nasihatnya mesti didengar dan saya ulas melalui ruangan pendapat bahawa 'mesti' pada saya adalah 'memutlakkan'.
Walaupun dalam laporan yang menyebut Tok Guru nak saman Utusan Malaysia itu tidak disebut nama saya, tetapi tidak ada orang lain lagi yang membuat ulasan mengenai perkara itu yang disiarkan pada 16 Jun selain dari saya. Kerana itu ada yang SMS dan email kepada saya.
Oleh kerana saya rasa saya tidak cukup ilmu, sebagai rumusan kepada ulsan saya, maka saya meminta alim ulamak, termasuk para mufti memberi pandangan dengan maksud supaya kalau penafsiran saya silap terhadap makna 'mesti dengar nasihat saya' itu, saya boleh betulkan diri sendiri, malah masyarakat seluruhnya boleh faedah sama ada dari sudut ilmu mahu pun maklumat.
Rupanya ulasan saya itu telah menimbulkan kemarahan Tok Guru yang membuat ulasan dan penafsiran susulan yang langsung tidak selari dengan niat dan tujuan saya yang hanya Allah Yang Maha Tahu tujuan dan niat sebenar saya.
Bini saya sendiri bising dan mengamuk kononnya saya berkurang ajar dengan Tok Guru tanpa disedarinya bahawa walaupun bergiat sebagai muslimat Pas sehingga kewajipan terhadap rumahtangga dan anak-anak sering terabai, dia sebenarnya sedang berkurang ajar dengan suami sendiri.
Barangkali dia lupa bahawa setaksub mana pun dia pada Tok Guru, kalau derhakakan suami, dia tetap tidak akan tercium bau syurga, malah pada saya pimpinan Pas, termasuk Tok Guru juga akan menerima tempias dosa jika kewujudkan muslimat Pas yang derhakakan suami kerana taksub kepada parti dan Tok Guru terus menular dan tidak dibetulkan.
(Kerana membiarkan hal-hal sebeginilah pada pendapat saya, Pas kini sedang bergelut dengan fenomena ketegangan sesama sendiri yang mana jika segera diambil tindakan bagi membetulkan keadaan, tidak mustahil keadaan akan kembali pulih separti asal don takkala mula.
Ustaz saya kata dulu ramai orang lebai besar (alim ulamak agaknya) buat silap, masing-masing utamakan hukum-hukum yang besar sahaja dan di ketepikan yang dianggap kecil, sedangkan kalau kita berjalan dalam semak tanpa sepatu, jarang kita mengaduh sakit kerana melanggar pokok besar dan tinggi tetapi kita akan kesakitan kerana terpijak tunggul-tunggul yang kecil dan boleh tembus tapak kaki kita dibuatnya).
Bahasa kasarnya (bini saya) pada saya yang mungkin lanjutan dari rungutan dan komplen orang Pas atas sifatnya sebagai aktivis Pas dan Penghulu Wanita sedangkan saya sebagai suami dilihat menyongsang arus itu kalau bagi suami yang jenis panas baran dan mengutamakan bebengkengan serta nafsu amarah dari akal dan kerasionalan, boleh bercerai berai dibuatnya.
Tapi oleh kerana saya sedar dan sentiasa sedarkan diri saya dia bukan dididik di sekolah agama, saya sentiasa memaafkan dia, malah saya masih teringat lagi macam mana susahnya saya untuk memastikan dia berjiwa muslimat Pas seperti sekarang sewaktu dia masih jadi 'nde' orang tertentu dalam Parti Melayu Semangat 46 dulu.
Saya mengambil masa yang panjang untuk memberi kefahaman bahawa menutup kepala (antara aurat) adalah wajib dan tidak boleh main-main apatah lagi dianggap remeh dan menganggap soal iman dan taqwa adalah dalam hati, bukannya pada labuhnya tudung yang dipakai.
Sepanjang dia dalam keadaan tidak menutup kepala dulu dengan anggapan bahawa tutup kepala bukan cermin iman dan taqwa, sebagai lepasan sekolah agama yang tidak tinggi mana ilmu amal yang saya miliki, saya merasa saya sedang diasak dengan himpunan dosa demi dosa sebagai suami. Syukurlah doa saya dimakbulkan-Nya, kecederungan dia kini kepada muslimat Pas.
Kerana itu walaupun dilihat masanya lebih banyak kepada 'bergila kepada kegiatan parti' dengan saya sendiri tidak lagi tertarik untuk berparti politik, saya sentiasa memaaf dan mengampunkan segala salah silapnya terhadap saya sebagai suami, malah sentiasa berdoa supaya Allah ampunkan dia dan juga dosa saya (yang mungkin masih belum menunaikan tanggungjawab untuk membentuk bini menjadi bini yang benar-benar betul stesen dengan kehendak Islam).
Cuma saya rasa yang saya kena ingatkan kepada pimpinan Pas walaupun mungkin saya dianggap cuba mengajar itik pandai berenang ialah bahawa dalam usaha untuk mengerah tenaga sekalian makhluk menyumbang tenaga kepada parti itu, kena juga sering diperingatkan bahawa bagi isteri-isteri yang tingkah laku atau tutur katanya mengguris hati suami, jangankan bila matinya dikapan dengan bendera Pas, kalau dikapan dengan kelambu penutup Ka'abah sekalipun pasti tidak akan ada peluang masuk syurga, samalah seperti kalau mengutamakan kebajikan ahli parti melebihi kebajikan suami/isteri, anak-anak, ibubapa atau pun mertua, tidak mudah untuk ke syurga.
Berbalik kepada SMS dan email yang dihantar, satu daripadanya bertanya apa yang saya ada untuk bayar saman Tok Guru? Saya yakin walaupun indentiti penghantarnya disembunyikan, dianya seorang yang tahu bahawa saya sentiasa hidup dalam keadaan papa tetapi saya tidak pernah menyesal dengan kehidupan saya dan kerana saya ditakdirkan jadi saya.
Saya balas emailmya dengan mengatakan saya ada Allah yang cukup tahu dengan apa yang saya tulis, saya niat dan saya buat sama ada secara terang atau tersembunyi. Walaupun ramai yang menganggap saya menulis secara hentam kromo tetapi sebenarnya saya akan fikirkan dulu buruk baiknya bila menulis sesuatu.
Saya akan berdoa kepada Allah kalau apa yang ditulis mendatangkan faedah, maka bukakanlah pintu hati pengendali ruangan atau pengarang akhbar/majalah siarkan tulisan saya. Kalau ianya tidak memberi faedah, jangan wujudkan rasa keinginan pengendali/pengarang bukan sahaja menyiarkan tetapi juga membacanya. Saya lemah untuk agak sama ada apa yang ditulis memberi faedah atau padah kepada umum.
Acap kali berlaku bila saya siap tulis sesuatu tulisan dan selepas berdoa, tulisan yang sudah dibaca berulangkali, dibetulkan ejaan dan dirasakan cukup bertenaga tiba-tiba terdelete secara tidak sengaja sama ada untuk diemailkan kepada pengarang majalah atau akhbar mahu pun untuk diposting di blog saya atau pun disiarkan di majalah dan akhbar terbitan syarikat saya. Bila keadaan itu berlaku saya menyimpulkan bahawa tulisan sedemikian akan membawa padah jika diposting atau disiarkan.
Bila tulisan yang hantar ke mana-mana majalah disiarkan, atau hasrat untuk posting dalam blog saya tidak ada halangan, maka pada saya apa yang saya tulis akan ada faedahnya kepada pembaca dari sudut ilmu dan maklumat kerana peranan seseorang penulis adalah mengilmu dan maklumatkan pembaca di samping penulis kena sentiasa tambah ilmu dan maklumat melalui apa jua cara, sama ada caranya mudah atau payah.
Soal macam mana seseorang itu menilai tulisan saya, terpulang kepada kemampuan akal, ilmu dan kerasionalan, ketulusan dan ketidak-prejudesian yang dimiliki. Ada orang kata Mee Udang Lemal sedap dan sangat membuka selera tetapi ada yang kata Mee Pok San lebih berjelira, membuktikan bahawa selera setiap orang berbeza, demikiannya juga dalam bentuk santapan minda.
Sesungguhnya Allah yang menilai apa yang Tok Guru kata dan buat adalah Allah yang sama yang menilai apa yang saya tulis dan buat. Allah tidak akan silap dalam membuat penilaian, malah tidak ada yang paling saksama dalam membuat penilaian selain dari-Nya.
Soal saya takut atau tidak dengan kemungkinan disaman (sebenarnya saya pernah menerima surat dari syarikat guaman untuk menyaman saya dari Ibrahim Ali, Pas Pasir Puteh, Kelantan Water Sdn Bhd dan juga dari Husam Musa) untuk menyaman saya. Setatakat ini saya tak pernah lagi rasa takut, gerun atau gementar bila menerima surat-surat dari syarikat lawer atas arahan anak guaman bagi menyaman saya.
Ini adalah kerana saya yakin saya kena hidup mengikut apa yang telah diskripkan oleh suratan dan takdir-Nya yang tidak mungkin sebagai hamba-Nya yang lemah saya mampu mengubah suratan dan takdir-Nya yang pasti akan ada hikmahnya. Yang pasti juga, Allah tidak akan zalimi hamba-Nya.
Saya cukup yakin bahawa saya tidak akan dilahirkan sebagai saya kalau untuk jadi penakut. Saya tidak akan ditakdirkan hidup para era kemasyhuran Tok Guru Nik Aziz kalau saya dilahirkan untuk jadi takut menegur apa yang saya rasa kesilapannya yang mungkin tidak disedarinya dan tidak ada pula yang tergamak atau yang berani menegurnya atas kepentingan-kepentingan tertentu.
Saya yakin Allah tidak akan mentakdirkan saya ada bakat dan kebolehan menulis serta ditakdirkan mengalami pelbagai pengalaman pahit dan manis yang secara tidak langsung banyak membantu saya untuk menulis apa yang patut saya tulis, kalau tidak ada apa-apa tujuan dan tidak akan memberi faedah kepada hamba-hamba-Nya sebagai rakyat negara tercinta ini.
Saya sendiri perhatikan perjalanan hidup saya, dilahirkan sebagai anak tunggal kepada pasangan ibu dan bapa saya. Walaupun ada adik beradik tetapi bukan sebapa, cuma seibu, tetapi kami tetap macam adik beradik seibu sebapa dan tidak ada sebarang gate antara kami. Begitu juga ibu dan bapa tiri saya, kami mesra dan tidak pernah merasa hubungan antara anak dengan ibu atau bapa tiri pun.
Semasa dalam kandungan ibu, ayah sudah tinggalkan saya dan saya hanya kenal ayah ketika berusia 14 tahun. Tanpa ayah menyaksikan kelahiran saya dan mendengar tangisan pertama saya pun saya tetap lahir ke dunia ini. Maknanya saya berani juga keluar dari perut ibu tanpa bersaksikan seorang ayah.
Bila bersekolah (dalam puluhan rakan sebaya sekampung, hanya saya dan empat orang yang lain dari kampung saya dihantar bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bechah Kelubi) saya kena berani berdepan dengan pelbagai risiko.
Jarak untuk ke sekolah agak jauh. Pukul 5.00 pagi dah kena mulakan perjalanan (berjalan kaki, tak pakai kasut) ke sekolah melalui lorong sempit kerana waktu itu kampung saya masih berhutan tebal yang ada harimau yang sentiasa membaham lembu di samping ada binatang buas yang lain.
Adakalanya masa dalam perjalanan kami berlima, kami jumpa bekas tapak harimau yang masih baru. Tapi saya dan rakan-rakan tak rasa takut dibaham harimau pun walaupun ketika itu saiz badan kami barangkali boleh dimakan semulut sahaja oleh sang harimau.
Selain dari terpaksa melalui lorong yang sempit, kami terpaksa menyeberang sungai melalui jelujur buluh. Sungainya pula banyak buaya dan kami sering nampak buaya timbul dipermukaan air semasa kami berada di atas jelujur. Saya tak tak rasa takut. Pergi sekolah pukul 5.00 pagi, sampai ke rumah kadang-kadang pukul 5.00 petang. Bawa duit cuma 10 sen.
Masa masih budak lagi saya dah ikut ibu saya ke tempat mengundi bila pilihanraya. Orang kampung saya pada masa itu mengundi di Baroh Pial. Kami yang menaiki lori melalui lorong yang sempit bersenjatakan buah setol, potong tengalung, parang bong, sadat, tongkat batang langsat, tanah ko dan lain untuk berdepan dengan ancaman Pemuda Tahan Lasak Umno.
Walaupun masih budak saya tak takut, malah saya masih ingat lagi saya sentiasa pegang ulu parang bong dan bersedia untuk tebas Pemuda Tahan Lasak Umno kalau lori yang kami naiki diserang kerana itulah yang telah diikrarkan sebelum bertolak ke tempat mengundi, kononnya kalau mati, kami akan syahid kerana akan mengundi Pas. Saya sendiri ketika itu belum bersunat pun.
Sebagai wartawan saya pernah dilarang tunjuk muka ke Rantau Panjang dan Golok ekoran dari laporan khas yang saya tulis mengenai kegiatan penyeludupan.
Apabila dilarang saya semakin kerap pergi ke sana siap dengan memakai baju yang ditulis nama saya di bahagian belakang baju supaya mudah dikenali bahawa orang yang dilarang datang itu berada pada tempat yang dilarang. Saya tak takut pun.
Bila saya kecam S46 yang mula retak hubungannya dengan Pas suatu ketika dulu, saya dicabar datang di depan ibupejabat S46 di Wakaf Siku untuk berdepan dengan orang gedebe S46 yang kononnya mahu muka saya jadi macam Pak Bbunga Ali dikerjakan.
Pada malam yang disuruh saya datang, saya yang berbekal kayu hoki bukan sahaja datang seorang diri ke tempat yang disuruh melalui panggilan telefon itu tetapi saya menunggu sampai pukul 4.00 pagi. Saya tak takut. Tidak ada seorang pun muncul untuk memperpak-bbunga-alikan muka saya.
Bila Tokcik saya (Abdullah Sulong yang merupakan bekas anggota API, beliau cukup gembira kerana saya minat jadi penulis/wartawan malah beliau sanggup jual kerbau jantan bagi belikan saya mesintaip) mahu saya betulkan fakta sejarah tentang anggota Melayu Parti Komunis Malaya (PKM) dan mahu saya jumpa sendiri dengan Abdullah CD, Rasyid Maidin, Abu Samah Mohd Kassim dan lain-lain yang katanya adalah nasionalis/pejuang kemerdekaan yang menjadi mangsa tanggapan sebagai petualang negara oleh penjajah, saya pergi jumpa mereka. Saya tak rasa takut walaupun komunis digambarkan sebagai ganas dan tidak berperi-kemanusiaan.
Masa pergi ke Kampung Perdamaian di Shukhirin (tempat Abdullah CD dan Abu Samah bermastautin) dan ke Perkampungan Malaysia di Yala (tempat pemastautinan Rashid Maidin) saya menyeberang sempadan bukan sahaja tanpa dokumen yang sah tetapi kad pengenalan pun saya tak bawa.
Saya masuk melalui pintu masuk yang sah. Saya tak takut. Saya bukan sahaja tidak ditahan kerana tidak ada apa-apa dokumen tetapi tidak ditanya pun oleh pihak bekuasa kedua-kedua negara tentang dokumen saya. Sepanjang dalam perjalanan saya berzikir munajat yang merupakan antara yang dipesan oleh Allahyarham Dato' Haji Muhammed Nasir (bekas MB Kelantan) dan Ustaz Abdullah Adam (guru saya di Madrasah Al-Balaghulmubin dulu), teutama bila berada dalam keadaan terdesak, berzikr munajatlah.
Seawktu ikut rombongan Tok Guru Nik Aziz ke Selatan Thai (acapkali) saya tak pernah bawa dokumen apa-apa, termasuk kad pengenalan. Saya tak rasa takut pun kerana saya tahu saya bukan buat salah dan tujuan saya pergi ke sana adalah dengan niat yang molek dan membawa keyakinan bahawa apa yang berlaku kepada saya pada masa lalu, malah untuk tempoh masa sesaat akan datang pun memang telah sedia terskrip dalam suratan dan takdirnya.
Masa ikut rombongan Tok Guru ke Kemboja setelah menerima perintah sertai rombongan secara bidang terjun, saya hanya ada wang RM3 (Ringgit: tiga ringgit) sahaja dalam kocek dan RM3 itu pula saya masukkan dalam uncang ketika gerakan memungut derma dilakukan oleh anggota rombongan di Lapanga Terbang Phnon Penh.
Saya tak takut lapar tanpa duit dalam kocek, malah saya tidak bermurung pun kerana itu, sehinggakan Allahyarham Haji Wan Mohd. Jamil Wan Mahmood selaku boss saya ketika itu tidak tahu pun kocek saya kosong walapun kami tinggal sebilik di Hotel Puncak, Phnon Penh sepanjang lawatan selama seminggu itu.
Saya tak takut dengan apa yang telah dan akan terjadi kerana kalau takut pun apa yang terskrip dalam suratan dan takdir-Nya tetap akan berlaku dan tidak mampu untuk diubah atau dibaiki-pinda ikut kemahuan saya.
Pokok pangkalnya saya kena sentiasa bersedia untuk redha. Atas faktor itulah juga maka saya mengambil risiko menegur siapa sahaja yang saya rasa patut ditegur, termasuk Tok Guru kerana saya yakin bahawa apa yang saya catat sebagai penulis tidak akan tercatat tanpa izin-Nya yang pasti akan ada hikmahnya.
Saya tidak pernah takut dan gementar untuk hadapi saman Tok Guru, malah saya bersedia untuk bersemuka di mahkamah yang saya yakin jika ianya berlaku, pasti akan ada hikmahnya demi kepentingan ilmu dan maklumat untuk rakyat negara tercinta ini.
Paling utama kepada ahli dan penyokong Pas supaya ekoran darinya, mereka memuhasabah diri sama ada cara mereka berpolitik selama ini secara benar-benar betul dengan Islam atau sebenarnya bengkok tetapi dianggap betul kerana mata, mulut dan telinga ditutupi ketaksuban terhadap tokoh-tokoh tertentu.
Kalau boleh dan tidak melanggar peraturan, dalam perbicaraan nanti saya mahu, malah berharap akan dibenarkan menjadi lawyer kepada diri saya sendiri!
Thursday, June 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
patut lah meli kapak ni tak berapa masyhur kalau nak banding ngan kambing jamnapari skali pon...lu hancussss
Syabas Abe Meli
Naik ghaa bulu romo ambo denga cerito abe meli. Peduliken gapo ore nok kato, takut kerano saloh berani kerano benar, Syaitan dan nafsu kalu nok godo ore2 alim buke hantar prebet, tapi Jeneral, dio masuk jarum dale hati ulamak supaya sero hebat, keramat, tapi dio lupo pado maso yg samo dio adalah takabbur, riyak, dan manggok. Sayang ore hakikat mace TGNA, boleh gelecoh gitu mu nahh, takpo be, dio perluken ore mace abe Meli utk royak supaya dio sedar.
Terima kasih kerana sudi menulis dan menegur.
Ikhlas
Nizam UK
meli meli. biso mung.
tu jaman dulu. mu sohor lah.
loni gak tinggal bulu jah...
Pejuang sengoti banyak berkorban dan terkorban. Takpo Meli ambo tau demo bukan jenis nak ko ssohor, harta benda pun demo tak berapo nak mano.
Kawe dengar ore kato, bakpo tak beli rumah, demo kata demo bukan nak hidup atas dunia sokmo-skomo. Umur 60 atau lebih awal lagi demo akan mati. Orang kemaruk nak rumah besar...nak harta berjuta-juta kes tak berapo ingat ko mati.
Betul ko demo kata lagu tu. Kalau betul bagi kawe demo ni jenis ore pelik bedo'oh. Kawe tabik dengan demo.
Post a Comment